ARMAND pelajar tingkatan lima di sekolah tempat baharuku ditempatkan untuk bertugas. Sewaktu pertandingan merentas desa peringkat sekolah, Armand berjaya meraih tempat pertama dengan catatan masa yang mengagumkan. Dia pantas.
Daripada pembawaan Armand, aku melihat dia seorang pelajar yang baik dan menghormati guru-guru. Aku juga mendapat tahu Armand tidak pernah terlibat dalam kes salah laku disiplin sekolah. Terlintas di fikiranku, pelajar yang baik dan berbakat sebegini perlu digilap potensinya, lebih-lebih lagi dalam acara sukan. Negara pula memang agak ketandusan bakat. Terutama dalam impian emas Olimpik pertama yang masih tidak kunjung tiba.
‘His, jauh benar aku berangan!’ lamunanku kembali ke alam nyata. Angan-angan bukan kena bayar. Yang kena bayar adalah untuk beli beras. Aku senyum sendirian mengingatkan itu.
Eh, memang menjadi impian seluruh rakyat Malaysia untuk memiliki pingat emas pertama di Sukan Olimpik! Kata orang biar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang sudah berjaya. Terutama semua negara jiran kita seperti Indonesia, Singapura dan Thailand. Kita pun sudah mencatat nama dalam senarai negara yang memiliki pingat perak Olimpik tetapi belum ada kilauan emas. Rakyat bersatu padu menyokong semua acara tidak kira sesiapa dan sukan apa-apa pun. Negara kita juga gah dalam pelbagai acara, namun emas Olimpik belum bergemerlapan di leher kontinjen negara.
“Lari laju pun tak ke mana-mana! Budak itu lemah dalam kelas,” masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telingaku.
Adakah sikap sebegini yang menjadikan kita sentiasa gagal? Di mana salah semua akar umbi dan hala tuju perancangan negara kita? Tambahan pula, aku sebagai seorang guru Pendidikan Jasmani atau guru sukan di sekolah, memang mengharapkan impian emas Olimpik menjadi kenyataan, sebelum aku menutup mata. Tapi taklah sampai mata terbeliak ketika meninggal.
“Cikgu, senyum sorang-sorang ni kenapa? Nak kami tolong apa-apa lagikah?” Salah seorang pelajar bertanya.
Tiba-tiba dua orang pelajar menghampiri. Di tangan mereka sudah ada kon-kon berwarna oren penanda kawasan yang diletakkan di tengah padang tadi. Semuanya sudah dikumpulkan oleh mereka.
“La, kamu sudah kutip semuanya!” aku agak terkejut. Selalunya kalau tidak disuruh, maka tiadalah yang membantu. Tapi lain pula dengan sikap pelajar aku yang ini. Mereka berdua hanya senyum.
“Oh, nanti kalau boleh tolong saya angkat kotak podium itu sahaja untuk bawa masuk ke dalam stor. Terima kasih banyak-banyak,” ringan tulang sungguh mereka. Salah seorangnya sudah tentulah Armand.
Banyak kegunaan kon itu dalam pengajaran Pendidikan Jasmani. Malah ketika acara sukan juga sangat penting. Buat penanda batas sempadan penonton dengan tempat acara seperti ketika penyampaian hadiah dan juga ketika larian.
Upacara penyampaian pingat untuk kejohanan merentas desa peringkat sekolah sudah berakhir. Kerja-kerja akhir untuk mengemas selalunya akan beralih ke bahu guru sukan. Guru-guru dan pelajar lain selalunya akan bergegas pulang. Maklumlah penat berlari dan bersukan.
Aku baru sahaja berpindah ke sekolah ini. cakap-cakapku tentang potensi Armand dalam sukan larian jarak jauh disambut dingin oleh beberapa orang guru yang sudah lama di sekolah itu. Armand dikhabarkan sangat lemah dalam pelajaran. Boleh dikatakan berada dalam senarai pelajar lemah.
“Eh, sekolah berasrama penuh dan berprestij sebegini mana mungkin lemah!” detik hatiku.
Sebuah sekolah berasrama penuh, lemah dalam pelajaran di sini maksudnya tidak punya gred yang baik seperti yang disasarkan oleh pihak sekolah. Selalunya pihak sekolah mahukan semua subjek memperoleh gred A.
Keesokan harinya, aku sebagai guru penyelaras pertandingan memanggil semua pelajar yang mendapat kedudukan sepuluh teratas dalam kejohanan merentas desa untuk taklimat berkaitan latihan pasukan sekolah. Persiapan yang rapi sangat perlu untuk menyertai pertandingan merentas desa peringkat negeri.
“Jangan hanya pergi untuk berseronok tetapi kalah!” itulah yang selalu aku ingatkan kepada pelajar.
Armand kelihatan teruja untuk mewakili pasukan sekolah. Aku sering melihat Armand berlatih bersendirian untuk meningkatkan staminanya dalam acara larian jarak jauh. Tidak hairanlah dia telah memenangi tempat pertama di peringkat sekolah. Usaha tangga kejayaan. Armand bertubuh kecil berbanding rakan-rakannya yang sebaya. Jadi untuk Armand menyertai sukan-sukan lain yang ada sentuhan fizikal, dia agak ketinggalan. Mudah kata, tidak sesuai.
Namun untuk acara larian terutama jarak jauh sebegini, yang penting ialah stamina. Haile Gebrselassie, bekas juara dunia acara maraton antarabangsa, bertubuh kecil dan boleh dijadikan contoh. Dengan hanya mempunyai ketinggian 165 sentimeter, pelari yang berasal dari negara Ethopia itu telah memahat nama di persada dunia. Kisahnya ketika bersekolah, dia berlari dengan mengepit buku di bawah ketiak sejauh sepuluh kilometer secara berulang-alik dari rumah ke sekolah. Itulah faktor yang menurutnya, menjadikan beliau kuat berlari dan cekal. Akhirnya berjaya.
Motivasi yang aku kongsi itu menjadikan Armand lebih bersemangat.
Hampir seminggu aku melatih Armand dan rakan-rakannya untuk persediaan menyertai acara merentas desa peringkat negeri. Armand seperti hari-hari sebelumnya, bersungguh-sungguh dalam latihan. Komitmennya seperti datang awal dan berlatih dengan gigih memberikan aku bayangan bahawa dia akan berjaya, kelak. Armand juga mendapat tahu bahawa aku merupakan guru yang pernah melatih pelajar sekolah lamaku sehingga mendapat johan berpasukan pertandingan merentas desa peringkat daerah dan negeri. Armand juga mendapat tahu bahawa aku pernah melatih pasukan merentas desa negeri (negeri sekolah lamaku) untuk ke Pertandingan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Pada Armand, berlatih di bawah tunjuk ajar guru seperti aku ini sudah cukup bertuah, maka Armand terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap latihan yang diikutinya.
Hari untuk pendaftaran nama peserta kian tiba ke tarikh akhir. Aku menghantar senarai nama peserta untuk mendapatkan pengesahan oleh pengetua.
Malang sekali, nama Armand ditolak. Alasan pengetua, gred Armand tidak cukup untuk melayakkannya mewakili sekolah.
Aku terus berjumpa pelajar-pelajar yang berlatih denganku pada sebelah petang dan memaklumkan berita tersebut kepada mereka. Sudah pasti Armand kecewa. Aku cuba memujuknya bahawa aku akan cuba menjelaskan kepada tuan pengetua.
“Kamu sudah lihat nama-nama yang akan mewakili sekolah ke peringkat negeri. Jadi segala keputusan sudah dibuat oleh pengetua. Saya cuma menurut perintah,” aku cuba berjenaka untuk tidak mengecewakan pelajar yang tidak dibenarkan oleh pengetua menyertai kejohanan tersebut.
Hanya diam yang menyambut gurauan aku. Para pelajar seperti sudah pasrah dan mengerti tentang peraturan yang menetapkan sebegitu. Hanya pelajar yang melepasi gred yang ditetapkan sahaja akan mewakili sekolah.
Dalam pada itu, sekali lagi aku pergi berjumpa pengetua untuk memohon pertimbangannya. Namun, keputusan yang aku terima tetap sama. Pihak sekolah sudah menetapkan syarat. Harus dipatuhi demi kelangsungan kecemerlangan sekolah pada masa hadapan. Aku sebagai guru yang masih baharu di situ tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Latihan diteruskan juga dan nama Armand terpaksa digugurkan. Jelas sekali kekecewaan yang aku dapat lihat pada riak wajah Armand pada hari terakhir latihan kami bersama-sama.
Hari pertandingan pun tiba, prestasi pasukan sekolah baharuku tidak seberapa. Antara sebabnya selain penyingkiran nama Armand, ramai yang mendapat kedudukan lima teratas di peringkat sekolah menarik diri untuk menyertai kejohanan itu bagi memberikan tumpuan terhadap peperiksaan penting yang akan diduduki.
“Bagaimana dengan pelajar-pelajar kita yang menyertai kejohanan merentas desa, cikgu?” Pertanyaan daripada tuan pengetua ketika kami berpapasan di hadapan pintu pejabat sekolah.
Macam mana nak berjaya kalau budak-budak yang berpotensi untuk menang tidak dibenarkan menyertai? Hanya jawapan itu yang ada dalam fikiranku.
“Tak ada rezeki kita, cikgu. Insya-Allah nanti kita cuba lagi tahun hadapan,” aku berbasa-basi.
Tuan pengetua terus berlalu ke dalam biliknya dan menutup pintu.
Minggu berganti bulan dan semester sekolah kian ke penghujung. Ketika peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku dilantik menjadi Ketua Pengawas. Tugasku untuk mengendalikan peperiksaan percubaan tersebut mengikut standard peperiksaan sebenar seperti SPM kelak. Setiap hari peperiksaan, aku dapat berjumpa Armand, tetapi sebagai seorang ketua pengawas dan calon peperiksaan sahaja. Prosedur peperiksaan perlu dipatuhi dan dijaga ketat.
Pada hari terakhir peperiksaan, aku telah merancang untuk berjumpa Armand. Tamat masa menjawab dan semua skrip jawapan dikutip, calon peperiksaan aku suraikan dari dewan. Aku minta Armand untuk tunggu sekejap. Ketika perjumpaan itu, aku hulurkan sijil penyertaan pertandingan merentas desa peringkat negeri kepada Armand. Pihak urus setia pertandingan memang memberikan lebihan sijil kepada pengurus pasukan. Barangkali sebagai persediaan kemungkinan pengurus pasukan akan tersalah cetak nama peserta atau rosak dan sebagainya.
Jadi kepingan sijil penyertaan yang lebih itulah aku cetak nama Armand. Armand menerima sijil tersebut dengan perasaan terharu serta gembira. Disalam dan diciumnya tanganku. Lama tanganku digenggam sebelum dilepaskan. Terdengar ucapan “Terima kasih, cikgu”, perlahan dan sayu daripada Armand.
Aku tahu dia memang layak dan pasti akan mengharumkan nama sekolah jika diberi kebenaran untuk menyertai kejohanan merentas desa peringkat negeri itu. Itulah kali terakhir aku bertemu Armand. Harapan aku menggunung semoga sijil tersebut menjadi inspirasi kepadanya. Hidup jangan pernah mengalah. Jika sekali gagal atau kecewa, kita perlu bangkit berkali-kali sehingga berjaya.
Cuma kadang-kadang aku terfikir, mengapa sebagai pendidik atau pentadbir sekolah, tergamak menafikan hak pelajar?
Setiap pelajar ada potensi diri yang berbeza-beza. Kejayaan dalam nilai gred peperiksaan bukanlah satu kayu ukur untuk menilai keseluruhan kejayaan seseorang pelajar.
Sikap seperti baik, menghormati guru, tiada salah laku disiplin di sekolah, berjaya dalam sukan, berjaya dalam pidato, menjadi pengawas sekolah dan sebagainya juga satu kejayaan.
Peraturan atau hukuman melarang pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan sukan atau acara-acara lain kerana keputusan akademik yang rendah di sekolah baharuku ini agak ketinggalan. Walaupun pelik dan kecewa tetapi aku akur dan mendoakan Armand berjaya.
Bagiku, kemenjadian pelajar adalah lebih penting dan utama. Sahsiah dan disiplin pelajar, iaitu adab, wajib pihak sekolah terutamanya guru tekankan. Akademik cemerlang memang penting tetapi dalam situasi Armand, jelas suatu ketidakadilan telah berlaku.
Tiga tahun sudah berlalu. Tiba-tiba aku menerima mesej bergambar di aplikasi WhatsApp. Armand memberitahuku bahawa dia dapat menyambung pelajaran di Melbourne, Australia. Dia masih berlari dan baru sahaja menamatkan larian dalam acara Maraton Australia yang amat terkenal itu. Dia juga merancang untuk menyertai acara larian Maraton London. Aku sangat gembira. Mahu sahaja aku hebahkan kepada pihak sekolahku bahawa kejayaan bukan semata-mata pencapaian akademik. Jadi kita perlu adil dalam menilai kebolehan seseorang pelajar.
Gambar Armand bersama-sama pingat serta sijil dan catatan masanya membuatkan aku bersyukur. Dia tidak patah semangat dan meneruskan minatnya. Aku juga bertekad untuk terus menggilap bakat pelajar, moga akan membutirkan emas Olimpik buat negara kelak. Usaha tangga kejayaan dan perlu dipupuk daripada akar umbi.