IYANG.
Satu nama, namun membawa seribu rasa di hatiku. Susuk yang terlalu aku rindui, insan tua yang setia menemani perjalanan hidupku selama 27 tahun. Seorang wanita yang gagah jiwanya, lantang suaranya, tegas namun penuh kasih. Dialah pelindung, pendengar dan tempat aku pulang tanpa pernah meminta apa-apa sebagai balasan.
Hingga kini, aku masih kerap termimpi-mimpi tentangnya. Dalam lena, wajahnya hadir begitu jelas, seolah-olah dia masih ada, seolah-olah pemergiannya hanyalah sebuah khayalan. Setiap kali tersedar daripada mimpi, hatiku kembali terhenyak oleh hakikat bahawa dia benar-benar telah pergi meninggalkan dunia ini. Sukar untuk aku terima, meskipun aku tahu itulah ketentuan Ilahi.
Terlalu banyak cerita tentang Iyang yang ingin aku tulis. Terlalu banyak kenangan yang ingin aku abadikan, sehingga terasa tidak cukup sekadar disimpan dalam ingatan. Aku ingin membukukannya, agar namanya terus hidup dalam setiap helaian kata, agar kasihnya tidak tenggelam ditelan waktu.
Rindu ini terlalu besar untuk aku bendung. Ia memenuhi dadaku tanpa amaran. Setiap kali aku mengingatinya, air mataku jatuh tanpa dipinta. Dadaku terasa berat, nafas seakan tersekat. Bukan kerana aku tidak reda dengan kepergiannya, tetapi kerana aku hanyalah seorang cucu yang masih belum puas bermanja, belum puas memeluk, belum puas mendengar suaranya memanggil namaku.
Rindu ini bukan tanda kelemahan, tetapi bukti betapa besarnya kasih yang pernah aku terima. Dan selagi hatiku masih berdenyut, selagi itu nama Iyang akan sentiasa hidup dalam doaku.
Iyang, itulah nama panggilanku kepadanya. Walaupun dalam bahasa Bajau Samah, iyang merujuk kepada ibu, dan iyang to pula bermaksud nenek, namun bagi semua yang mengenalinya sama ada ahli keluarga, sahabat handai, mahupun jiran tetangga, semuanya selesa memanggilnya dengan satu panggilan yang sama: Iyang. Mungkin kerana sebutannya yang ringkas dan mudah, atau mungkin juga kerana panggilan itu terasa lebih dekat, lebih mesra, seolah-olah tiada jarak antara sesiapa pun dengannya.
Iyang dilahirkan di sebuah kampung di daerah Kota Belud, Sabah. Seorang wanita berbangsa Bajau Samah yang cukup dikenali dan disegani di kampungnya. Namanya tidak asing, bukan kerana pangkat atau harta, tetapi kerana peribadi dan jasanya. Iyang dikenali sebagai seorang wanita yang rajin, ringan tulang, serta petah berbicara. Kata-katanya mudah melekat di hati, tutur bahasanya tegas tetapi tidak menyakiti.
Bertubuh kecil namun kecilnya ibarat cili padi, tidak besar pada rupa, tetapi besar pada kudrat dan semangat. Walaupun berbadan kecil, Iyang tangkas dan cekal dalam menguruskan pekerjaan seharian. Daripada bersawah dan bercucuk tanam, menangkap ikan di sungai, menggembala ternakan, sehinggalah kepada kerja-kerja rumah, semuanya dilakukannya tanpa banyak mengeluh. Setiap tugas disambutnya dengan tekun, seolah-olah keletihan bukan satu alasan untuk berhenti.
Dia sering dipuji kerana stamina fizikalnya yang luar biasa. Pada usia yang semakin lanjut, Iyang masih mampu melakukan kerja-kerja berat yang kadangkala membuatkan orang muda sendiri mengalah.
Iyang terlalu rajin sehingga tidak betah duduk berlenggang. Diam baginya bukan pilihan. Ada sahaja perkara yang ingin dilakukannya untuk mengisi masa—membersihkan halaman, meninjau kebun, atau sekadar menyusun barang sambil berbual dengan sesiapa yang singgah.
Begitulah Iyang. Seorang wanita kecil bertubuh kecil, namun besar jiwanya. Kehadirannya bukan sekadar mengisi ruang, tetapi meninggalkan kesan yang kekal dalam ingatan semua yang pernah mengenalinya.
Sebagai seorang cucu yang sangat rapat dengan Iyang, sejak kecil lagi aku sentiasa mengikutinya ke mana sahaja dia pergi. Aku membesar dalam bayang langkahnya, belajar mengenal dunia melalui caranya melihat dan menjalani kehidupan. Aku sedar, aku agak berbeza daripada adik-beradik serta sepupu-sepupuku yang lain.
Jika mereka memilih untuk duduk bersantai menonton televisyen di rumah, aku pula lebih gemar mengekori Iyang ke luar, menyusuri sawah, kebun dan halaman tempat beliau menghabiskan sebahagian besar waktunya.
Tatkala kapok-kapok gugur bertaburan di tepi sawah miliknya, akulah yang paling teruja mengutip satu persatu bersama Iyang. Di mata orang lain, mungkin itu hanyalah kerja biasa yang melelahkan, namun bagiku ia satu keseronokan yang sukar digambarkan.
Di situlah aku belajar tentang kesabaran, ketekunan dan erti menghargai hasil usaha sendiri. Setiap detik bersama Iyang terasa bermakna, walaupun hanya dalam diam atau ditemani deru angin dan kicauan burung.
Kerana kebiasaanku itu, hubunganku dengan Iyang menjadi jauh lebih rapat berbanding cucu-cucunya yang lain. Aku bukan sekadar cucu, tetapi teman kecilnya, peneman setia yang sentiasa berada di sisi. Bersamanya, aku rasa difahami tanpa perlu banyak bicara, dan kasihnya kurasa hadir dalam setiap langkah yang kami kongsikan bersama.
Pada hujung minggu, ketika aku tidak bersekolah, waktu itu datuk masih ada, kami bertiga akan turun ke sawah pada awal pagi lagi sewaktu matahari baru hendak memancarkan sinarnya.
Kabus masih tebal menyelimuti bumi, dan embun masih setia bertakung di hujung daun padi. Iyang sangat tidak suka apabila cucu-cucunya bangun lambat. Katanya, rezeki itu murah pada awal pagi. Aku hanya mengiyakan kata-katanya, bukan kerana benar-benar memahami maknanya ketika itu, tetapi kerana ibuku sering berkata bahawa orang-orang tua memang begitu, mereka telah terbiasa mencari rezeki sejak subuh, sejak usia muda lagi.
Iyang akan mengejutkan aku sebelum hari benar-benar cerah. Dia mahu aku bersarapan terlebih dahulu sebelum kami turun ke sawah untuk menghalau pipit yang sering merosakkan padinya dan membuat pekerjaan sawah yang lain.
Ada ketikanya aku sangat liat untuk bangun. Badan terasa berat, mata enggan terbuka dan dingin pagi membuatkan aku ingin terus meringkuk di tempat tidur. Namun, suara Iyang yang lantang dan tegas itu membuatkan aku tidak mempunyai pilihan lain.
Maka, dengan mata yang masih separuh tertutup, aku menggagahkan diri bangun dari tilam nipis yang hanya beralaskan tikar mengkuang. Tikar yang Iyang bentangkan setiap malam di tengah ruang tamu rumah papannya. Lantai kayu terasa sejuk di tapak kaki, namun suasana pagi itu sentiasa terasa hidup dengan bunyi unggas dan desir angin.
Kebiasaannya, Iyang akan membancuh teh O panas dan menghidangkannya bersama biskut kering. Jika ada pisang di rumah, dia akan menggorengnya di atas kuali leper dengan hanya sedikit minyak sehingga warna pisang berubah menjadi coklat keperangan dan mengeluarkan aroma yang menyelerakan.
Setelah itu, Iyang akan membungkus sedikit makanan untuk dibawa ke sawah. Bungkusan kecil itu mungkin tampak sederhana, namun di situlah tersimpan kasihnya seorang nenek yang sentiasa memastikan semua cukup sebelum melangkah keluar mencari rezeki.
Di tengah-tengah sawah itu, ada sebuah pondok kecil yang dibina oleh datuk dengan tangannya sendiri. Kami memanggilnya sulap. Dari sulap itulah terbentang luas sawah milik Iyang. Barisan padi yang melambai ditiup angin, seolah-olah hidup dan bernafas bersama kami. Sulap itu menjadi tempat kami berteduh daripada terik matahari, tempat melepaskan lelah hingga menjelang tengah hari.
Datuk juga tidak kalah rajinnya. Dengan cangkulnya yang setia, dia akan mencangkul dan membersihkan parit-parit sawah agar saliran air sentiasa mengalir dengan baik. Seingat aku, air di parit sawah ketika itu sangat jernih. Dasarnya jelas kelihatan, dan kadangkala kelibat ikan kecil berenang bebas dapat dilihat, seolah-olah parit itu juga sebahagian daripada kehidupan sawah yang terjaga.
Kami bertiga akan mengutip dan membuang telur-telur siput gondang yang melekat pada daun padi—kerja yang kelihatan remeh, namun penting untuk memastikan tanaman tidak rosak. Tangan kami kerap diselaputi lumpur, kaki tenggelam separas buku lali, namun tidak pernah sekalipun aku merasa jijik atau jemu. Ketika itu, lumpur adalah sebahagian daripada permainan, dan sawah adalah dunia kecil kami.
Kini, yang paling aku rindukan adalah bau-bau itu. Bau lumpur yang basah selepas terendam air, bau padi yang segar dihembus angin pagi. Bau yang akan kekal tersimpan dalam ingatanku. Setiap kali aku mengingatinya, terasa seolah-olah aku kembali berdiri di tepi sawah itu, di bawah langit pagi, bersama datuk dan Iyang yang kini hanya tinggal dalam kenangan.
Iyang mengajar aku membuat kuih sejak aku masih kecil. Di dapur rumah papan itulah aku belajar satu demi satu membuat penjaram, puteri mandi, koci, kuih jala dan kuih lada-lada. Aku tidak pernah mengira berapa lama masa yang dihabiskan di situ, kerana setiap kali bersama Iyang, waktu terasa bergerak perlahan.
Menjelang hari raya, ramai orang akan membuat tempahan kuih dengan Iyang. Dapur menjadi semakin sibuk, dan aku akan menjadi pembantunya. Aku membantu menggaul adunan, membentuk kuih dan menyusunnya ke dalam balang. Kerja itu memenatkan, tetapi tidak pernah terasa membebankan.
Kuih yang paling terkenal ialah kuih lada-lada, dibuat daripada tepung beras dan telur, kemudian disaluti gula aising. Bentuknya kecil dan menyerupai lada, sebab itulah dinamakan lada-lada. Sekali membuatnya, kami boleh menghabiskan masa berjam-jam kerana tempahan yang banyak, berbalang-balang jumlahnya.
Iyang sering memuji aku di hadapan tetamu. Katanya, aku yang membuat semua kuih itu. Aku hanya tersenyum malu kerana aku tahu Iyang suka memuji berlebihan. Walaupun malu aku biarkan sahaja, kerana melihat wajahnya yang bangga itu sudah cukup membuatkan aku bahagia.
Di pagi hari raya, sebelum kami bergegas ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri, Iyang akan memastikan segala persiapan makanan untuk keluarga dan tetamu sudah siap. Aroma kuih-muih dan lauk-pauk memenuhi ruang dapur rumah papan itu, menandakan bahawa rumah akan menjadi tumpuan pada hari yang istimewa ini.
Selepas solat di masjid, ahli keluarga, baik yang dekat mahupun yang jauh, akan bertandang ke rumah Iyang, selaku orang yang paling tua dalam keluarga. Suasana penuh riuh rendah dengan salam-salaman dan permintaan maaf antara satu sama lain. Aku dan adik-beradik menjadi saksi pada kegembiraan itu, sambil membantu Iyang melayani tetamu yang datang.
Sifat Iyang yang murah hati dan suka bersedekah sangat menonjol pada hari itu. Walaupun hanya memiliki beberapa ringgit di sakunya, dia akan memastikan cucu-cucunya yang datang menerima duit raya. Kami sering melarangnya, tetapi Iyang tetap berkeras, tersenyum dan menyerahkan pemberiannya dengan penuh kasih sayang. Rumah Iyang tidak pernah sunyi pada hari raya; pintu terbuka sentiasa, dan tetamu yang datang dari jauh atau dekat sentiasa disambut dengan mesra.
Bagi aku, suasana itu lebih daripada sekadar tradisi. Ketika itulah saat kasih sayang Iyang terserlah, ketika keluarga berkumpul, dan kenangan manis yang tercipta akan terus melekat dalam ingatan setiap cucu, termasuk aku.
Iyang membela beberapa ekor kambing, kalau tidak silap jumlahnya sekitar lima belas ekor. Kandang kambing itu pula dibina oleh datuk dengan tangannya sendiri. Walaupun usia datuk ketika itu sudah lanjut, tubuhnya masih kelihatan tegap, dengan otot-otot yang jelas terbentuk hasil kerja berat yang dilakukannya sejak muda.
Sejak mula lubang digali hinggalah rangka kandang didirikan dan atap dipasang, akulah yang sering menemani mereka. Aku duduk memerhati, kadang-kadang menghulurkan paku, kadang-kadang sekadar berada di situ agar tidak terasa sunyi.
Pernah sekali aku terjatuh dari kandang itu ketika lantainya masih belum dipasang sepenuhnya. Aku menahan sakit dan tidak memberitahu sesiapa kerana bimbang datuk akan marah. Datuk pernah berpesan bahawa tidak elok seseorang jatuh dari rumah atau bangunan yang belum siap dibina. Mungkin itu sekadar pantang larang orang dahulu. Jika difikirkan secara logik, mungkin juga Atuk hanya mahu menakutkan cucunya agar tidak bermain di kawasan kandang, supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Setelah kandang kambing itu siap sepenuhnya, aku dan adik-beradik yang lain akan bergilir-gilir memastikan semua kambing masuk ke dalam kandang sebelum waktu maghrib. Kerja itu menjadi rutin petang kami. Iyang pula tidak pernah lupa mengingatkan aku supaya mengira jumlah kambing dengan betul dan memastikan pintu kandang dikunci sebelum pulang. Pesanannya ringkas, tetapi aku tahu ia lahir daripada rasa tanggungjawab dan kebiasaan menjaga sesuatu dengan penuh amanah.
Setiap hari Ahad, pasar mingguan di kampung akan diadakan. Kami memanggilnya semio, atau tamu. Di sinilah peniaga-peniaga dari sekitar kampung dan daerah berhimpun untuk menjual hasil pertanian, makanan tempatan, batangan, dan ternakan. Bagi Iyang, Tamu Ahad bukan sekadar tempat membeli keperluan, tetapi juga menjadi tempat melihat dunia luar kampung, bertemu orang, dan memerhati gelagat ramai.
Iyang amat gemar ke Tamu Ahad kerana banyak barang dijual dengan harga lebih murah daripada hari lain. Pada waktu itu, tiada perkhidmatan e-panggilan atau penghantaran seperti sekarang. Kebiasaannya, Iyang akan menaiki trak pick-up yang mengambil penumpang di perhentian bas. Untuk mengelakkan kesesakan dan agar tidak terlepas barang yang diinginkan, dia akan berangkat awal, sejurus selepas subuh.
Di tamu, Iyang membeli pelbagai barang dapur.
Walaupun tangannya penuh dengan barangan, Iyang tidak pernah lupa tentang cucu-cucunya. Dia pasti membeli buah tangan untuk kami, biasanya bertih jagung, dan keropok.
Setibanya dari tamu, Iyang akan memanggil cucu-cucunya ke rumah. Suara panggilannya yang lantang memenuhi ruang, dan seketika itu, gembira menyelimuti setiap sudut rumah.
Aku masih ingat, saat menerima buah tangan itu, rasa gembira dan dihargai itu sukar digambarkan. Tidak perlu terima hadiah mahal atau permainan moden; cukup dengan keropok atau sedikit snek, hati seorang cucu sudah terasa hangat. Saat-saat itulah yang membuatkan aku merindui Iyang lebih-lebih lagi sekarang, setelah dia sudah tiada.
Pada tahun 2011, aku ditawarkan untuk masuk ke asrama penuh di Semenanjung. Perasaan aku bercampur-baur; gembira kerana peluang itu adalah impian, tetapi sedih kerana aku akan meninggalkan keluargaku di kampung, jauh daripada Iyang, datuk, dan rumah yang penuh kenangan.
Hari aku berangkat ke lapangan terbang, Iyang datang bersama-sama menghantar aku. Ramai ahli keluarga lain turut hadir, memenuhi ruang lapangan terbang dengan suasana riuh dan sayu. Aku berasa sedih, kerana aku tahu selepas ini jarang-jarang sekali aku dapat balik ke kampung. Tiket kapal terbang mahal, dan hidup di perantauan menuntut pengorbanan tersendiri.
Sebelum berpisah, Iyang menasihati aku dengan pelbagai nasihat. Dia berpesan supaya aku menjaga diri, belajar bersungguh-sungguh, dan berusaha menjadi orang yang berjaya. Namun, satu perkara yang tidak pernah dia lupa ialah mendoakan anak-anak dan cucunya. Seperti rutin yang sudah sebati dalam hidupnya, Iyang menadah tangan dan mengangkat doa. Suaranya perlahan tetapi jelas:
“Ya Allah, mudahan-mudahan terkabul segala cita-citanya, tercapai segala hajatnya, apa yang dia inginkan, selamat dunia dan akhirat.”
Doa itu tidak pernah berubah, dari aku kecil hinggalah aku besar. Setiap kali aku mengenangkannya, terasa seolah-olah Iyang masih berdiri di sisiku, membimbing, melindungi, dan menyayangi aku walau jauh di mata. Doanya adalah sebahagian daripada kasihnya yang tidak ternilai, dan hingga kini, aku masih menyimpan doa itu di hati sebagai bekalan dan penawar setiap langkah dalam hidup.
Ketika aku berada di tingkatan dua, datuk telah pergi dijemput Ilahi. Kehilangan itu sudah cukup berat untuk Iyang, yang kini kehilangan suami yang telah menemani hidupnya susah dan senang selama bertahun-tahun. Kesunyian mula menyelinap di ruang rumah papan yang dahulu riuh dengan tawa mereka.
Namun, duka Iyang tidak berhenti di situ. Dua tahun kemudian, anak bongsunya, Pak cik Man, meninggalkannya juga akibat kanser. Aku masih ingat ketika itu aku sedang bercuti sekolah dan berada di kampung. Itu pertama kali aku melihat Iyang pengsan akibat menahan kesedihan yang amat dalam. Aku tidak mampu membayangkan betapa hancur hatinya ketika kehilangan anak bongsu yang pergi dahulu.
Walaupun Iyang tabah dan cuba berdiri teguh, kesedihan dan kerinduannya terhadap datuk dan anaknya jelas terserlah. Kesedihan yang tidak dapat disembunyikan. Dia sering menyebut nama mereka, mengaitkan apa sahaja dengan kenangan yang mereka tinggalkan.
“Gulai terung kegemaran Pak cik Man… rancangan TV yang datuk suka… dulu waktu Pak cik Man masih ada…,” kata-katanya, seolah-olah masih mahu berkongsi detik kecil yang dahulu mereka nikmati bersama.
Setiap kata-kata itu membawa rasa rindu yang menusuk, dan aku sebagai cucunya hanya mampu mendengar, memeluknya dalam diam, dan merasai kehilangan insan yang kami sayangi.
Saat itu aku belajar bahawa kehilangan bukan sekadar tentang tiada lagi seseorang di sisi, tetapi tentang kesan yang ditinggalkan dalam hati, memori dan setiap detik kehidupan yang pernah dikongsi bersama. Dan Iyang, walaupun perit hatinya, tetap mengekalkan kasih yang tidak pernah pudar, kasih yang kini aku pegang sebagai ingatan yang paling berharga.
Setelah tamat sekolah menengah, aku tidak lagi tinggal lama di kampung. Aku melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan kerana aktif dalam bersukan, aku memilih untuk menumpukan diri sebagai pelajar dan juga atlet.
Kesibukan itu membuatkan aku semakin jarang-jarang balik ke kampung. Masa bersama keluarga, apatah lagi dengan Iyang, menjadi semakin terhad. Kalau ada cuti pun, hanya sebentar sahaja. Aku sedar aku tidak lagi dapat meluangkan masa seperti dahulu bersama Iyang.
Iyang pula sudah banyak lupa dan tidak cergas seperti dulu. Namun, kebiasaannya yang rajin bekerja membuatkan dia sukar duduk diam. Ada sahaja perkara yang mahu dilakukannya, walaupun sering ditegah oleh anak-anak dan cucu-cucunya.
Suatu hari, Iyang jatuh sakit. Dia dimasukkan ke wad, dan doktor mengesahkan bahawa Iyang mengalami strok separuh badan. Ahli keluarga bergilir-gilir menjaganya. Aku pulang dengan segera untuk menziarahinya. Aku memeluknya, mengusap dan mencium dahinya. Aku teman Iyang, tidur di tepi katilnya. Sebelum pulang, aku memohon maaf kepadanya dan meminta agar dia mendoakan aku seperti selalu. Walaupun Iyang tidak mampu bercakap, pandangannya yang lembut seolah-olah memahami kata-kataku. Iyang cuma membalasnya dengan gerakan mata yang lemah.
Seminggu selepas itu, Iyang pergi meninggalkan kami. Pemergiannya amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Hari raya tidak lagi sama seperti dahulu. Tiada lagi suara Iyang yang memeriahkan rumah, tiada lagi kuih lada-lada buatan tangannya. Rumah yang selalu riuh rendah dengan salam-salaman, gelak tawa cucu-cucu, dan aroma lauk-pauk kegemarannya kini terasa sunyi dan kosong.
Setiap kali aku menjejakkan kaki ke dapur atau melihat sawah di belakang rumah, bayangan Iyang masih jelas di mata. Namun semua itu tinggal kenangan. Aku sering teringat kata-katanya, nasihatnya dan doanya yang tidak pernah putus. Rindu itu terasa menebal. Terasa seperti baru semalam kami bergelak ketawa.
Kami semua berusaha mengisi kekosongan itu, tetapi tiada siapa yang dapat menggantikan Iyang. Setiap perkara kecil di sekeliling rumah, daripada aroma lauk di dapur hingga bunyi daun padi yang bergesel ditiup angin, menjadi peringatan bahawa Iyang sudah tiada. Kadang-kadang, aku terhenti seketika di tengah-tengah aktiviti harian, membayangkan Iyang sedang tersenyum atau menegur dengan suara lantangnya yang penuh kasih.
Namun, dalam kesedihan yang menyelubungi, kami tetap berpegang pada kenangan dan pengajaran yang ditinggalkannya. Setiap nasihat, doa, dan cara dia menjalani kehidupan menjadi panduan yang membimbing kami menghadapi hari-hari berikutnya. Iyang mengajar kami erti kasih tanpa syarat, kesabaran ketika diuji, dan keikhlasan dalam setiap tindakan—sifat-sifat yang kini menjadi sebahagian daripada diri kami.
Segala pengorbanannya, dari pagi hingga malam, daripada kerja di sawah hingga menyediakan kuih raya, meninggalkan jejak yang tidak akan hilang. Kini, warisan Iyang bukan sahaja tersimpan dalam kenangan, tetapi juga hidup melalui kami, cucu-cucunya, yang cuba mencontohi kecekalan dan kasih sayangnya dalam kehidupan harian. Setiap langkah, setiap senyuman, dan setiap doa yang kami ucapkan, seolah-olah membawa kami lebih dekat kepada Iyang, walaupun dia sudah tiada di sisi.
