“CUBA Darus cakap dengan mak. Siapa perempuan itu?” soal mak anjang sambil memandang wajah anaknya itu.
“Itu pilihan Darus, mak. Bagi Darus, mak tak ada hak untuk menghalang Darus untuk berkahwin dengan sesiapa sekalipun,” kata Darus dengan lantang.
“Sudah-sudahlah maknya. Anak kita tu ada pilihan sendiri. Cuba awak fikirkan masa depan dia. Buangkan sifat marah awak tu,” celoteh pak anjang pada isterinya.
“Saya tetap dengan pilihan saya sendiri. Jangan awak cuba bantah pilihan saya,” marah mak anjang kepada suaminya.
“Sebagai orang tua, kita berhak untuk memilih yang mana baik dan yang mana buruk. Tetapi, biarlah pilihan yang kita buat itu akan membahagiakan anak kita,” sambung pak anjang.
***
Pak anjang dan mak anjang masih menunggu kepulangan anak mereka, Darus. Perselisihan faham antara mak anjang dengan Darus telah membuatkan anaknya itu merajuk dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Mak anjang tetap dengan pilihannya. Darus tetap dengan janjinya. Peristiwa pahit yang berlaku pada hari itu itu telah meretakkan hubungan antara Darus dengan emaknya
“Maknya, saya hendak ke ladang pisang. Tengah hari nanti baru saya balik,” beritahu pak anjang kepada isterinya pada pagi itu.
“Ye lah!” jawab mak anjang.
Kebun pisang pak anjang amat luas. Ada dalam empat relung. Projek pisang pak anjang semakin dikenali dan semakin maju sejak dia memulakan projek itu kira-kira dua tahun yang lalu.
Pak anjang mendapatkan motosikal Honda C70 yang dibelinya sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan isteri yang disayanginya itu. Bunyi enjin motosikal Honda 70cc memecah kesunyian di halaman rumah pak anjang. Enjin motosikal milik pak anjang masih elok lagi sehingga sekarang. Dia amat teliti dalam hal-hal penjagaan motosikal, malahan motosial itu jarang meragam di tengah jalan.
“Awal hari ini pak anjang datang. Selalunya petang sedikit,” kata Hamid, pemuda kampung yang menguruskan projek penanaman pisang berangan milik pak anjang.
“Awallah! Aku nak tengok pisang dah betul-betul boleh dikutip untuk dijual,” beritahu pak anjang pada Hamid.
“Saya tengok pisang berangan di hujung sana sudah boleh dijual,” kata Hamid sambil menunjuk ke arah pokok pisang berangan di penjuru pagar. Sesekali pak anjang mengelap peluh yang mengalir di mukanya. Mentari terus memancarkan cahayanya. Cuaca agak panas sekali.
“Hamid. petang nanti tolong tebang pokok pisang yang buahnya sudah boleh dikutip dan dijual. Kerahkan lima pekerja untuk melakukan kerja itu. Pisang-pisang yang dikutip itu nanti terus bawa ke pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk urusan jualan,” beritahu pak anjang pada pembantunya, Hamid yang merupakan seorang pemuda yang berasal dari Kampung Berapit.
“Baiklah pak anjang. Semua itu serahkan pada saya. Tahulah saya nak uruskan,” kata Hamid sambil memandang wajah pak anjang yang dianggap seperti ayahnya sendiri.
“Darus di mana pak anjang? Tak nampak mukapun?” soal Hamid secara tiba-tiba.
“Tak tahulah Hamid. Sejak berlakunya pertelingkahan dengan mak anjang, Darus membawa diri ke Kuala Lumpur,” sambung pak anjang.
“Bersabarlah pak anjang. Nanti baliklah si Darus tu!” kata Hamid.
“Walaupun Darus memberitahu emaknya yang dia sudah menemui teman hidupnya, tetapi mak anjang tetap membantah pilihan yang dibuat oleh Darus,” beritahu pak anjang sambil memandang ke arah pokok pisang berangan miliknya.
“Itu semua ujian buat pak anjang seisi keluarga. Banyak-banyaklah bersabar pak anjang, mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku itu,” nasihat Hamid pada pak anjang.
“Terima kasih Hamid,” balas pak anjang.
“Pak anjang baliklah dulu. Petang nanti saya datang ke rumah pak anjang,” kata Hamid.
“Baiklah Hamid. Aku balik dulu!” ucap pak anjang sambil kakinya melangkah pulang ke rumah.
“Pak anjang. Nanti dulu. Ini setandan pisang berangan yang hampir masak. Pak anjang bawalah balik,” beritahu Hamid sambil menghulurkan setandan pisang berangan kepada Pak Anjang.
Pak anjang mengambil pisang itu, lalu diletakkan pisang itu di atas motosikalnya.
“Hati-hati pak anjang. Bawa pisang elok-elok,” nasihat Hamid.
“Terima kasih Hamid,” balas pak anjang sambil menghidupkan enjin motosikal Honda C70 miliknya. Bunyi enjin motosikal milik pak anjang itu memecah kesunyian di kawasan ladang pisang itu.
Selang seketika, bunyi enjin motosikal itu hilang dari pandangan Hamid. Sebagai pembantu pak anjang, Hamid bergegas ke ladang pisang dan mengarahkan lima pekerjanya menebang pokok pisang yang sudah matang. Pisang berangan yang dituai itu akan dijual kepada pihak FAMA dengan harga yang berpatutan. Hamid juga sudah menghubungi pihak FAMA untuk datang mengambil pisang berangan yang dituai itu. Dua buah lori dari pihak FAMA diperlukan untuk membawa pisang berangan itu ke pusat jualan FAMA. Mengenai bayaran ke atas semua pisang yang dijual kepada pihak FAMA turut diuruskan oleh Hamid. Petang itu, semua pisang berangan dijual pada pihak FAMA. Selesai tugas menebang, membawa pisang ke pusat jualan FAMA serta urusan pembayaran, petang itu juga Hamid menuju ke rumah pak anjang.
“Assalamualaikum!” Hamid memberikan salam.
“Waalaikumsalam, oh Hamid… naiklah!” pelawa mak anjang.
“Mana pak anjang?” soal Hamid sambil melangkahkan kakinya di atas tangga menuju ke atas rumah pak anjang dan mak anjang.
“Pak anjang sedang solat asar. Duduklah dulu,” terang mak anjang.
Hamid duduk di atas kerusi panjang yang ada di ruang tamu rumah itu.
“Hamid rupanya. Ingatkan siapa tadi,” kata pak anjang sambil melangkahkan kaki keluar dari biliknya.
“Maknya…tolong buatkan air untuk Hamid,” pinta pak anjang pada isterinya.
Seketika, mak anjang datang membawa dua cawan air kopi.
“Terima kasih mak anjang,” ucap Hamid sambil memandang wajah Mak Anjang.
“Darus ada telefon pak anjang?” soal Hamid.
Pak anjang hanya mendiamkan diri.
Tiba-tiba mak anjang bersuara. “Tak ada pun”. Mak anjang dengan wajah sugul memandang wajah suaminya.
Pak anjang hanya memerhatikan wajah isterinya itu. “Jangan kau ungkitkan perkara itu lagi Hamid. Biarlah dia dengan perasaannya. Kau tentu tahu perangai mak anjang kau macam mana. Kalau yang dipilih itu baik pada dia, itulah pilihan dia yang tepat. Jangan cuba bantah!” beritahu pak anjang.
“Kenapa mak anjang tak mahu terima keputusan Darus? Dia juga ada hak untuk membuat keputusan. Itu masa depan dia,” balas Hamid lagi.
“Tak tahulah Hamid. Kalau bercakap dengan mak anjang kau, itulah pilihannya. Jangan ada sesiapa yang membantah,” sambung Pak Anjang. “Sudah habis suara bila bercakap dengan mak anjang kau tu. Dia bukan nak menerima pendapat dan pandangan aku. Itu sebabnya Darus membawa diri ke Kuala Lumpur,” terang Pak Anjang.
Sedang mereka berbual-bual, tiba-tiba kedengaran seseorang memberikan salam dari luar rumah. Mereka bertiga terpaku. Dia seolah-olah tidak percaya bahawa lelaki yang berdiri di pintu itu ialah anaknya, Darus. Darus memeluk ayahnya. Ada air mata tumpah membasahi baju pak anjang. Saat manis itu amat ditunggu-tunggu sejak anaknya membawa diri ke Kuala Lumpur.
“Darus…anak emak!” tiba-tiba mak anjang bersuara.
“Mak…maafkan Darus. Darus banyak bersalah kepada emak,” kata Darus sambil memeluk emaknya.
“Darus tak bersalah. maklah yang bersalah,” ucap emaknya sambil menitiskan air mata. “Janganlah Darus tinggalkan emak. Emak sayangkan Darus. Emak berjanji tidak akan memarahi Darus lagi,” sambungnya sambil mencium dahi Darus.
“Darus juga sayangkan emak. Darus harap emak akan terima pilihan Darus,” beritahu Darus pada emaknya. “Mak…Darus ada hadiah untuk mak,” kata Darus sambil memandang wajah emaknya.
“Hadiah apa?” soal emaknya. Darus turun dari atas rumah menuju ke arah keretanya. Kelihatan seorang wanita keluar dari kereta itu. Darus membawa wanita itu berjumpa dengan emaknya.
“Apa khabar, mak cik?” tanya wanita itu sambil bersalaman dengan mak anjang.
“Anak ni siapa?” soal mak anjang inginkan kepastian.
“Saya kekasih anak mak cik,” beritahu wanita itu.
“Siapa nama anak?” tanya mak anjang lagi.
“Saya Jamilah,” balas wanita itu kembali.
Tahulah mak anjang siapa wanita itu yang sebenarnya. Mak anjang memeluk bakal menantunya itu. Mak anjang tidak marah lagi. Dia akan terus menyayangi anaknya. Seboleh-bolehnya, dia ingin melihat anaknya bahagia bersama-sama teman hidupnya.
Mak anjang mencium pipi Jamilah.
“Emak dan ayah tahu ke yang Jamilah datang ke sini?” soal pak anjang.
“Janganlah pak cik dan mak cik bimbang. Ayah dan emak sudah tahu hubungan kami. Mereka tidak membantah pilihan anak mereka,” terang Jamilah.
“Esok ayah dan emak akan datang ke sini,” beritahu Jamilah sambil mencium tangan bakal bapa mentuanya itu. Pak Anjang memandang wajah isterinya itu dengan senyuman. Darus yang sejak tadi hanya memandang peristiwa bersejarah itu terus memeluk ayahnya.
“Tahniah, Darus!” ucap Hamid sambil bersalaman dengan Darus.
Hamid memeluk Darus. Bagi Hamid, Darus ialah sahabat baiknya. Mereka bersekolah bersama-sama dan belajar di kelas yang sama.
“Terima kasih Hamid!” balas Darus.
Keesokan harinya, ayah dan emak Jamilah datang ke rumah Darus. Kedatangan mereka membawa hajat yang besar.
“Assalamualaikum…” kedengaran orang memberikan salam.
“Waalaikumussalam…,” jawab pak anjang sambil melangkahkan kakinya menuju ke arah pintu rumah.
“Ini rumah Darus ke?” soal lelaki itu.
“Ya…ini rumah Darus. Darus anak saya..,” beritahu pak anjang.
“Saya ayah Jamilah..,” sambung lelaki itu. “Naiklah…,” pelawa pak anjang.
“Nama saya Suhaimi. Ini isteri saya, Suhaila. Kami datang dari Kuala Lumpur. Kedatangan kami ke sini adalah untuk menyatukan dua hati yang sudah lama bersatu. Antara anak kami dengan Darus,” ucap Encik Suhaimi.
“Betul kata suami saya. Anak kami amat mencintai Darus,” kata Puan Suhaila.
“Apa kata kita langsungkan ikatan pertunangan antara mereka. Selepas itu, barulah majlis perkahwinan mereka,” sambung Encik Suhaimi.
“Saya sebagai ayah kepada Darus tidak membantah keputusan yang dibuat oleh Encik Suhaimi dan Puan Suhaila. Kami hanya menyokong sahaja,” kata pak anjang sambil memandang wajah isterinya. Mak anjang hanya mengangguk kepala tanda bersetuju.
Bagi Darus, dia berjanji akan menjaga Jamilah dengan sebaiknya. Dia ingin menjadikan Jamilah sebagai seorang isteri yang sah. Perkara yang paling penting, dia ingin membahagiakan Jamilah dengan sepenuh hati. Kesetiaan dan kejujuran Jamilah membuatkan hatinya terpaut. Darus akan menunggu saat-saat manis untuk menjadi seorang suami yang penyayang dan mengasihi isterinya dengan sebaik mungkin. Itulah janji Darus.