“ADUH, sakitnya kepala aku!” keluh Syikin. Dia memicit-micit kepalanya.
“Mengapa nian jadi begini? Apa harus aku buat sekarang?” Dahi Syikin berkerut. Dia seolah-olah sedang memikirkan satu masalah yang amat berat.
Syikin duduk di meja tulis. Sepucuk surat bersampul merah di atas meja itu menarik perhatiannya. Surat itu diambil lalu dibelek-beleknya.
Sampul merah itu cantik. Terdapat gambar bunga-bunga kecil menghiasi tepi sampul surat itu. Nama Syikin dan alamat rumahnya tertulis dengan jelas pada sampul surat tersebut.
Sekeping setem gambar pokok bunga raya bernilai satu ringgit Malaysia tertampal pada sudut atas kanan surat itu. Cap pada surat itu menunjukkan surat itu dari Sandakan, Sabah yang diposkan tiga hari lalu.
Syikin mengeluh lagi. Ada beberapa perkara yang membuatkannya risau dan tidak senang duduk ibarat kera kena belacan. Isi surat itu telah dibacanya berulang kali. Namun kali ini, surat itu dibacanya lagi. Bukanlah Syikin tidak memahami isi surat itu sehinggakan terpaksa membacanya banyak kali. Bukan juga dia tidak senang dengan kiriman surat itu. Syikin sememangnya seronok menerima surat tersebut. Sebelum ini pun dia sentiasa tertunggu-tunggu surat daripada kenalannya itu. Cuma pada kali ini, keseronokannya itu lenyap apabila membaca isi surat tersebut.
Sebenarnya Syikin masih tidak percaya. Isi surat itu memaklumkan perkara yang tidak pernah dijangkakannya. Hal itulah yang menyebabkan dia kebingungan seketika.
“Aku harus mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Jika tidak aku juga akan menanggung malu,” kata Syikin.
Sudah tentu Syikin tidak mahu menerima semua itu berlaku. Dia bimbang persahabatan mereka akan terjejas jika kenalannya mengetahui perkara yang sebenarnya. Sebab itulah sekarang, Syikin sakit kepala. Dia memeras otak sejak semalam. Dia memikirkan pelbagai cara untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini itu daripada berlaku.
“Syikin!” Kedengaran suara ibu memanggil namanya. Syikin bergegas menyimpan surat itu di bawah buku tulis.
“Ya, ibu!” sahut Syikin.
“Ada panggilan telefon untuk kamu ni,” beritahu ibunya.
Syikin bergegas keluar dari biliknya lalu menuju ke ruang tamu. Ibu menyerahkan telefon kepadanya.
“Ya, siapa di sana?”
“Hello, Syikin. Melor di sini.”
Mulut Syikin terlopong. Dia tidak menyangka bahawa Melor akan menelefonnya.
“Eh, Melor! Apa khabar?”
“Baik. Kamu apa khabar?”
“Alhamdulillah, baik. Saya sihat,” jawab Syikin dengan tergagap-gagap.
“Kamu sudah terima surat daripada saya?” tanya Melor.
“Ss … sudah. Terima kasih.”
“Kenapa kamu tidak menelefon saya? Kamu tidak setuju kalau saya datang berziarah ke rumah kamu?” tanya Melor.
“Eh, bukan begitu! Cuma, saya belum berbincang dengan keluarga saya lagi. Sebab ibu bapa saya sibuk mengurus perniagaan mereka di Kuala Lumpur. Dan, saya pula.., er..,”
Syikin menggaru-garu kepalanya.
Ibunya yang sedang menjahit sulaman terdengar kata-kata Syikin. Dia terpinga-pinga sambal mengerling ke arah anaknya itu.
“Saya tahu, kamu tentu sibuk dengan kelas violin?” kata Melor.
“Er.., ya.., ya..,” Syikin menjawab cepat-cepat.
“Kalau begitu, tidak mengapalah.”
“Melor, kamu jangan pula berasa kecil hati. Saya pun sebenarnya teringin benar hendak berjumpa dengan kamu. Cuma sekarang bukan masa yang sesuai,” kata Syikin dengan nada memujuk. Dia bimbang jika kenalannya itu merajuk.
“Oh, tidak! Saya faham juga bah keadaan kamu. Saya pun tidak harus mendesak kamu. Mungkin belum masanya kita untuk bertemu,” balas Melor.
Setelah berbicara seketika, Syikin meletakkan telefon sambil melepaskan keluhan lega. Dia terduduk di sisi ibunya lalu membelek-belek sulaman yang sedang dibuat oleh ibunya.
“Siapa itu?” tanya ibunya.
“Kawan Syikin, ibu.”
“Dari mana?”
“Dari Sandakan, Sabah. Melor namanya.”
“Jauh dia buat panggilan?”
Syikin tidak menjawab pertanyaan ibunya.
“Sudah lama kamu kenal dia?”
“Sudah setahun kami berutus surat.”
“Oh, itukah kenalan yang kamu ceritakan dulu? Bagaimana kamu mengenalinya?” tanya ibu.
“Syikin mendapat alamatnya daripada majalah ASUH,” jawab Syikin.
“Apa yang kamu berdua bualkan tadi?” Ada apa-apa hal yang pentingkah?” tanya ibunya lagi.
“Er.., tidak ada apa-apalah ibu. Dia cuma hendak bertanya khabar sahaja. Syikin cuba hendak berdalih.
“Ibu terdengar perbualan kamu tadi. Ibu hairanlah, sejak bila pula ibu dan ayah sibuk berniaga?” tanya ibunya kehairanan.
“Syikin tersengih-sengih. Dia berasa malu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu ibunya tahu perkara yang telah dilakukannya.
“Syikin ke bilik dulu, ibu. Ada kerja sekolah perlu disiapkan,” kata Syikin cuba mengelak. Dia bimbang ibunya akan menyoal lagi dan bimbang tidak dapat menjawabnya.
“Aduhai, lain macam sahaja perangai kamu hari ini Syikin! Ada apa-apa yang kamu cuba sembunyikan daripada ibu?”
Ibu meletakkan kain sulamannya di atas meja kecil di sebelahnya. Dia memandang Syikin, menanti jawapan.
“Er…,” jawab Syikin teragak-agak. Dia berasa serba salah.
‘Perlukah aku menceritakan hal yang sebenarnya?’ detik hati Syikin.
Ibu memegang erat tangan Syikin. Dia menyuruh anaknya itu duduk di sisinya semula.
“Cuba kamu ceritakan kepada ibu. Apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa kamu membohongi Melor?” tanya ibu.
“Syikin tidak berbohong, ibu. Cuma Syikin tidak bercerita perkara yang sebenar, jawab Syikin masih mahu mempertahankan dirinya.
“Itu sama juga dengan berbohong. Ibu tidak pernah mengajar kamu bersikap begitu. Cuba ceritakan hal yang sebenarnya kepada ibu,” desak ibunya lagi.
“Sebenarnya Melor hendak datang ke rumah kita. Dia hendak mengenali keluarga kita,” jawab Syikin.
“Ha.. moleklah jika begitu. Bila dia hendak datang?” tanya ibu.
“Esok. Ayah Melor ada seminar selama tiga hari di Alamanda, Putrajaya. Melor bercadang untuk datang dan menginap di sini.”
“Tidak ada masalah jika dia hendak menginap di sini sementara ayahnya berseminar. Boleh juga ibu berkenalan dengan kawan kamu itu.”
“Hmm…”
“Mengapa, kamu tidak suka?” Tanya ibunya hairan dengan perilaku Syikin.
Bukan Syikin tidak suka kalau Melor datang. Setelah agak lama berkenalan, inilah peluang untuk mereka bersua muka. Selama ini mereka bertukar-tukar gambar sahaja. Syikin tidak mahu Melor tahu hal yang sebenar.
“Kamu berbohong kepada Melor ya? Kamu bimbang dia akan tahu?” Kata ibu cuba meneka. Syikin mengangguk.
Syikin sudah tidak dapat mengelak lagi. Dia terpaksa mengakui kesalahannya. Dia telah banyak berbohong kepada Melor. Dia tidak mahu terus berbohong kepada ibunya pula.
“Adakah kamu malu kerana ayah cuma seorang pemandu teksi dan ibu pula hanya suri rumah? Kamu rasa hidup kita susah?”
Pertanyaan ibu membuatkan hati Syikin tersentap. Syikin tidak bermaksud begitu. Dia tidak pernah merendah-rendahkan pekerjaan ayahnya. Baginya, ayah seorang yang bertanggungjawab dan amat rajin bekerja.
“Bukan begitu ibu. Cuma Syikin berasa segan sebab Melor anak orang berada. Ayahnya pegawai tinggi kerajaan. Syikin bimbang dia tidak mahu berkawan dengan Syikin kalau dia tahu kita tak setaraf,” jelas Syikin.
Walaupun ayah Syikin cuma pemandu teksi, namun hidup mereka sekeluarga tidak susah. Semua keperluan harian disediakan setakat yang termampu.
“Jika Melor seorang yang jujur dalam persahabatan, dia tidak akan peduli tentang itu semua. Bukan taraf atau kedudukan yang utama dalam persahabatan Syikin. Yang penting keikhlasan,” kata ibu.
Syikin terdiam. Dia memikirkan kembali segala pembohongannya selama ini. Dia berbuat begitu kerana ingin setaraf dengan Melor. Dia tidak berlaku jujur dalam persahabatannya.
Syikin teringat akan isi suratnya kepada kepada Melor. Di dalam surat-surat itu dia menceritakan tentang keluarganya kepada Melor. Kononnya dia anak ahli perniagaan. Ayah dan ibunya memiliki sebuah kedai minyak wangi berjenama di Malaysia.
Bukan itu sahaja, Syikin juga turut memberitahu Melor bahawa dia tinggal di sebuah rumah banglo setingkat di Seremban yang mempunyai empat buah bilik.
“Kamu tidak harus berasa rendah diri. Walaupun hidup kita tidak mewah, tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) sahaja, tetapi hidup kita bahagia. Ibu dan ayah menjaga kamu bagai menatang minyak yang penuh,” kata ibu.
Jiwa Syikin diketuk rasa penyesalan. Kalaulah dia tidak berbohong dari awal tentu dia tidak perlu menanggung malu untuk berhadapan dengan sahabatnya Melor.
“Maafkan Syikin, mak.”
“Kamu tidak perlu minta maaf daripada ibu. Mintalah maaf kepada Melor. Ceritakan kepadanya hal yang sebenar. Kamu harus mengakui kesilapan kamu. Sesat surut terlangkah kembali. Tak baik jika kamu terus berbohong, berdosa.”
“Melor tentu tidak mahu berkawan dengan Syikin lagi.” Nada suara Syikin berbaur sebak.
“Belum tahu lagi. Mungkin dia pasti akan memaafkan kamu nanti,” pujuk ibu.
Ding dong! Loceng hadapan rumah mereka berbunyi. Syikin dan ibunya saling berpandangan. Siapa pula yang datang ke rumah mereka?
“Assalammualaikum!”
“Waalaikumsalam. Eh, itu suara ayah kamu! Syikin, pergi siapkan air minuman.
Ibu segera membuka pintu, Syikin pula terus ke dapur membuatkan air untuk ayahnya.
“Ini tetamu kita. Encik Azman dengan anaknya. Encik Azman ini seorang guru,” jawab ayah Syikin.
“Jemputlah masuk,” kata ibu Syikin pula.
Mereka duduk di kerusi. Anak perempuan Encik Azman bersalaman dengan ibu Syikin. Kemudian, dia duduk di sisi ayahnya.
Mata budak perempuan itu mengerling ke segenap penjuru ruang tamu rumah Syikin itu. Dia tersenyum kerana berasa senang hati melihat rumah yang bersih dan terjaga rapi itu.
‘Tentu puan ini seorang yang gemar menghias rumah,’ bisiknya dalam hati.
“Sebenarnya abang bertemu dengan Encik Azman ini di hentian teksi tadi. Katanya dia mencari alamat rumah ini. Abang ajak mereka singgah dulu,” jelas ayah Syikin.
“Ya, saya dan anak baru tiba dari Terengganu. Saya berkursus selama dua hari mulai esok. Anak saya ini beria-ria sangat hendak datang ke rumah kawannya tetapi kami langkah kiri pula. Keluarga rakannya sibuk,” balas Encik Azman.
“Tidak dapat ke rumah pun tidak mengapa. Kalau dapat melihat sekitar rumah pun sudah cukup,” kata anak perempuan Encik Azman.
“Mengapa pula?” tanya ibu Syikin.
“Saya teringin benar hendak melihat rumah banglo yang cantik itu. Boleh juga mencuci mata,” tambah anak perempuan Encik Azman.
“Di mana rumahnya?” tanya ibu Syikin lagi.
“Di sekitar sini juga. Alamatnya Taman Seri Mawar, Seremban, Negeri Sembilan.
Ibu Syikin tersenyum, dia mengangguk-angguk. Ayah Syikin juga begitu. Itulah sebabnya dia membawa Encik Azman dan anaknya ke situ.
“Saya ke dapur sebentar.” Ibu Syikin bangun lalu beredar.
Tidak berapa lama kemudian, ibu keluar bersama-sama dengan Syikin. Mereka membawa minuman dan kuih-muih untuk minum petang bersama. Ayah Syikin mempelawa Encik Azman dan anaknya minum.
“Eh, Melor!” Melor turut terkejut. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan Syikin di situ. Mereka berdua kehilangan kata-kata. Akhirnya, barulah Melor tahu selama ini Syikin berdusta akan dirinya. Mereka berdua saling berdiam seribu bahasa.