Skip to content
Joko
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Joko
Joko
Cerpen

Joko

  • Shahshi Davien Thomas
  • 20 Mac 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 313
  • 4.6

DI pinggir bandar Tawau, di lorong-lorong sempit yang sering terlepas daripada pandangan orang yang tergesa-gesa, seorang budak lelaki berumur sembilan tahun berjalan perlahan, sambil menjinjing sebuah bakul kecil yang berisi kacang rebus dan gula-gula murah. Namanya Joko. Dia bukan pelajar sekolah. Malah, sejak berusia lima tahun, dia sudah terbiasa menjual kacang rebus dan gula-gula di kaki lima dan pekan-pekan kecil demi membantu ibunya menyara kehidupan.

Di Tawau, kanak-kanak seperti Joko sering dikenali sebagai “budak bakul”. Mereka bukan gelandangan. Mereka masih mempunyai rumah, walaupun kecil dan sempit. Mereka juga mempunyai keluarga, walaupun serba kekurangan. Namun, kehidupan tidak pernah memberi mereka peluang untuk menjadi seperti kanak-kanak lain – berlari di padang sekolah, ketawa tanpa beban atau membeli makanan ringan tanpa perlu mengira duit syiling satu demi satu.

Ibunya seorang tukang cuci di warung makan dan kadangkala menjahit baju lama untuk jiran-jiran. Ayahnya? Tiada siapa yang tahu. Joko sendiri tidak pernah bertanya banyak tentang perkara itu. Baginya, hari ini lebih penting daripada semalam.

Pagi itu seperti biasa. Matahari sudah tinggi, dan Joko mula berjalan dari satu kedai ke satu kedai, menjajakan kacang rebus dan gula-gula murahnya.

“Kacang! Kacang! Satu bungkus dua ringgit bang!”

Beberapa orang tersenyum kepadanya, ada juga yang memalingkan muka. Tapi Joko tetap tersenyum. Itu sudah menjadi kebiasaannya. Senyumannya seolah-olah menjadi perisai halimunan, menyembunyikan keletihan dan kekecewaan. Dia tidak menyimpan banyak impian. Hidup baginya hanyalah tentang esok: adakah cukup duit untuk membeli beras atau cukup untuk membayar sewa rumah. Namun, ada satu keinginan kecil yang disimpannya dalam diam – sesuatu yang hanya muncul setiap kali dia melihat budak-budak lain menikmatinya dengan gembira.

Coklat.

Joko tidak pernah merasa coklat yang sebenar. Baginya, coklat hanyalah suatu yang wujud dalam iklan televisyen dan bungkusan-bungkusan mewah di rak pasar raya.

Ibunya pernah berkata, “Coklat itu mahal, anak! Bukan untuk kita.” Sejak itu, dia tidak bertanya lagi. Namun, setiap kali melihat coklat, matanya tidak dapat berpaling.

Kadangkala, dia membeli gula-gula berwarna perang yang dijual lima sen sebungkus. Dia mengunyah perlahan-lahan, berpura-pura bahawa itu coklat sebenar. Tapi dia tahu, itu cuma gula keras berperisa tiruan.

Suatu hari, semasa melalui kawasan deretan kedai di Batu Tiga, Joko ternampak sebuah poster besar berwarna-warni. Poster itu memaparkan gambar coklat cair yang dituang ke dalam cawan, dengan buih-buih coklat yang menggoda, berserta tulisan besar:

Karnival Joko Coklat! Datanglah Beramai-ramai ke Batu 4 – Minuman Coklat dan Papan Coklat Diberikan secara PERCUMA!

Joko terpaku. Nama “Joko” yang terpampang besar membuatnya tersenyum, walaupun nama tersebut bukan merujuk kepada dirinya. Karnival itu hanya sehari dan diadakan di Batu 4, kira-kira lima kilometer dari tempatnya. Joko mengira-ngira: jika dia ke sana, dia perlu berjalan hampir satu jam. Lebih penting lagi, jika dia menghabiskan masa ke sana, dia tidak akan sempat menjual kacang hari itu. Itu bermakna tiada duit masuk untuk hari tersebut. Tiada duit untuk membeli makanan.

Dia termenung, tapi hatinya bergelora. Bila lagi dia akan mendapat peluang seperti ini? Entah mengapa, nama “Joko” di atas poster itu seolah-olah memanggil dirinya datang ke tempat tersebut.

Mungkin… hanya mungkin… inilah hari dia mengenal rasa sebenar coklat.

Tanpa berfikir panjang, dia menggenggam erat bakulnya dan mula melangkah ke arah Batu 4.

Cuaca hari itu panas terik, matahari seakan-akan menyengat kulitnya yang gelap terbakar. Peluh membasahi kening dan belakang bajunya, namun Joko tidak berhenti. Dalam fikirannya hanya ada satu perkara: coklat.

Setelah hampir satu jam berjalan kaki, Joko tiba di tapak karnival. Orang ramai berpusu-pusu: ada keluarga dengan anak kecil, pasangan muda dan kanak-kanak sekolah. Sebuah khemah besar berdiri megah dengan bendera berwarna coklat dan emas. Di situ, satu barisan panjang terbentuk – mereka sedang menunggu minuman coklat sejuk dan papan coklat asli.

Joko menyelit ke belakang barisan. Nafasnya tercungap-cungap, namun hatinya berdebar penuh harapan.

Di hadapannya, berdiri seorang lelaki berbangsa India, berpakaian kemas dan memegang beg galas kecil. Lelaki itu berpaling lalu tersenyum kepada Joko.

“Hai, adik. Jauh datang?” soalnya dalam loghat yang lembut.

Joko mengangguk perlahan.

“Saya berjalan kaki dari pekan. Saya nak rasa… coklat,” jawabnya.

Lelaki itu mengangguk dengan senyuman penuh pengertian. Dia tidak bertanya lebih, hanya memandang dengan mata yang menyimpan seribu empati. Mungkin dia sendiri pernah melalui bagaimana rasanya menginginkan sesuatu yang dunia kata bukan untuk kita.

Beberapa minit berlalu dan barisan semakin bergerak ke depan. Joko dapat melihat kaunter di hadapan. Seorang petugas karnival wanita, memakai pakaian seragam syarikat sedang menuang minuman coklat ke dalam cawan plastik sambil menyerahkan papan coklat kepada setiap pengunjung.

Namun, saat lelaki India itu hampir sampai ke kaunter, seorang wanita petugas karnival mengangkat tangannya dan bersuara lantang:

“Maaf semua! Ini cawan terakhir dan papan coklat terakhir untuk hari ini!”

Joko terkejut; matanya membulat. Dia menatap ke hadapan. Lelaki India itu menerima cawan dan papan coklat terakhir dengan senyuman kelat. Wanita, petugas karnival memandang Joko dan berkata lembut:

“Adik… maaf ya. Habis sudah. Datang lagi tahun depan ya.”

Joko tidak menjawab, dia tidak perlu kata apa-apa – cukup raut wajahnya menceritakan segalanya. Senyum kecil terukir di bibir, namun matanya berkaca. Dia menghela nafas, menunduk, lalu berpaling. Dengan perlahan, dia berjalan ke arah seorang lelaki dan menyuarakan rutinnya:

“Beli kacang bang… kacang.”

Lelaki India yang memerhatikan dari belakang tidak dapat menahan rasa sebak. Dia menggenggam cawan coklat dalam tangannya. Dia tahu perasaan kecewa yang ditanggung oleh seorang anak kecil yang hanya menginginkan sesuatu yang bagi orang lain mungkin remeh, tetapi bagi Joko itulah segalanya.

Tanpa berfikir panjang, dia melangkah cepat ke arah Joko.

“Joko! Adik nak rasa, Joko?” katanya, sambil menghulurkan cawan coklat sejuk itu.

Joko berpaling, matanya terbelalak. Perlahan-lahan, dia meletakkan bakul kecilnya di tanah, hampir menjatuhkannya kerana terlalu gementar lalu menyambut cawan itu dengan kedua-dua tangan.

Seteguk pertama… Joko terdiam. Coklat itu sejuk, manis rasanya. Namun lebih daripada itu, coklat itu penuh dengan emosi. Setiap teguk bukan sekadar melambangkan rasa coklat, tetapi juga harapan, kasih sayang dan penghargaan. Dia menutup matanya, membiarkan dirinya menikmati setiap titisan manis itu.

Lelaki itu duduk di sebelah joko dan mereka berbual seketika. Joko menceritakan soal hidupnya, ibunya dan tentang bagaimana dia menjual kacang setiap hari.

“Kenapa tak sekolah?” tanya lelaki itu perlahan.

“Ibu kata nanti… apabila ada duit lebih,” jawab Joko pendek.

Lelaki India itu mendengar dengan penuh perhatian. Sebelum beredar, dia menghulurkan beberapa keping wang kertas dan memasukkan satu papan coklat premium ke dalam bakul kecil Joko.

“Hari ni… bakul kamu penuh dengan rezeki,” kata lelaki itu sambil mengusap kepala Joko.

“Abang kerja apa?” tanya Joko perlahan.

“Saya guru. Tapi di Tawau ni, orang selalu pelik tengok saya. Katanya, orang India di sini hanya jadi askar, polis atau doktor. Jarang-jarang jadi cikgu. Tapi saya percaya… kalau kita tunjukkan kasih, tak kira bangsa… hati tetap sampai.”

Joko mengangguk perlahan, tidak mampu berkata-kata. Senyumannya cukup untuk menggambarkan segalanya.

Hari itu, ketika matahari mula menurun dan orang ramai mula bersurai, Joko melangkah pulang. Tapi kali ini, langkahnya ringan. Dia tidak lagi sekadar budak bakul, dia kini budak bakul yang pernah berasa manisnya impian menjadi kenyataan.

Nama sebenar, adik ini, saya tidak tahu. Ya, saya… saya ialah lelaki India itu! Sebelum saya sempat bertanya, adik itu pantas berjalan, suaranya kembali bergema:
“Kacang! Kacang bang!”

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Rumah Kita
Puisi

Rumah Kita

  • 15 Disember 2023
  • 320
  • 4.6
رجڠ ڤوهون ايمان
Puisi Tradisional

رجڠ ڤوهون ايمان

  • 4 September 2023
  • 9
  • 5
Titisan Darah di Bumi Bertuah
Puisi

Titisan Darah di Bumi Bertuah

  • 5 Ogos 2024
  • 69
  • 5
Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Sejarah dan Budaya

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama

  • 5 Disember 2025
  • 241
  • 4.9

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP