“Bagaimana mahu ke sana?” Rolin bertanya.
“Kau kena belayar di danau yang sangat luas. Jalan di pulau itu belum ada. Perlu meredah hutan untuk sampai. Memang susah mahu ke sana.” Begitu jawab si pencerita dengan kepala terangguk-angguk seakan-akan mahu menyakinkan Rolin tentang kenyataannya.
“Tapi tak mustahil jika mahu ke sana, bukan?” Rolin tampak bersungguh.
“Ramai orang sudah ke sana …” si pencerita menyambung cerita.
Rolin yang tidak sabar, lekas-lekas memangkas. “Macam mana kau boleh sampai ke sana?”
“Aku tak pernah sampai di sana. Aku cuma dengar cerita orang saja.” Si pencerita sengih.
Rolin menahan rasa geram. Orang yang sedang tersengih depannya itu seperti mahu diluku. Tapi hatinya terlalu ingin ke tempat yang dikatakan tidak ada orang luar pernah sampai. Rasa ingin tahunya mencakar-cakar meski dia tahu jalan ke sana sudah tentunya sukar.
“Aku mahu pergi ke tempat itu …” tukas Rolin, bersemangat.
“Kau tak mungkin akan sampai ke sana,” sahut si pencerita dengan gelak kecil, seakan-akan sudah yakin yang Rolin tak akan berjaya sampai. Namun itu sama sekali tidak membuatkan keinginan Rolin patah. Dia takkan berhasil ditegah. Dia takkan mudah mengalah.
“Danau itu seluas lautan …” si pencerita menambah cerita. Memberikan gambaran keluasan danau dengan mata yang dibesarkan.
Rolin tidak akan tunduk pada gambaran yang diberikan sekilas. Keberaniannya tak mungkin dapat dirampas.
Tak kira apa. Menentang matahari, danau seluas lautan, hutan tebal dengan gunung melingkar – tiada apa yang mampu menahan Rolin. Kecuali jika dia tiba-tiba mati. Itu saja yang akan menahan langkahnya untuk pergi.
Ada satu hal yang si pencerita lupa mahu nyatakan iaitu tentang orang-orang yang berjaya sampai ke tempat yang mahu Rolin tuju. Orang-orang yang sampai di tempat itu tidak lagi kembali. Hilang ghaib begitu saja. Itu yang tidak sempat diceritakan pada Rolin.
Dua hari Rolin menyediakan persiapan dengan bekalan makanan secukupnya. Disewanya sebuah perahu layar. Dengan perahu layar itu dia pun belayar mengikut mata angin ke barat laut.
Memang benar. Danau itu luasnya seperti lautan. Airnya hijau toska. Berhari-hari Rolin belayar. Tiada apa yang dilihatnya. Hanya air dan air saja. Hanya langit. Lengkung alam. Deru angin. Udara bergaram. Itu saja yang dihadapnya berhari-hari.
Ketika malam, dia tidur di bawah kenyitan bintang-bintang yang mendandani langit. Bulan perbani tergantung manis. Kembang layar disorong angin melaju lancar. Kocakan air danau menjadi penghiburnya. Nyanyi angin menjadi penemannya.
Lima hari setelah merayapi dada danau berpandukan angin, sebuah daratan mula kelihatan. Perahu layar kecil perlahan-lahan merapati perairan sebuah pulau di tengah danau. Pantainya landai dan sedikit berbatuan.
Rolin selamat sampai dan melepas lelah seketika sebelum dia memulakan perjalanan menuju ke belantara. Rolin tertidur di tepi jerumun dan terjaga ketika mendengar suara orang bercakap-cakap.
Ketika membuka mata, dia terkejut melihat lima orang lelaki sedang berdiri mengelilinginya. Mereka sedang memerhatinya. Bayang-bayang mereka jatuh menimpanya. Orang-orang itu tidak kelihatan seperti orang liar meski berwajah dingin.
Rolin terlonjak bangun.
“Engkaukah orang yang mahu ke Kampung Gembira?” Salah seorang lelaki itu segera bertanya.
Rolin diterpa rasa hairan.
Bagaimana orang-orang itu tahu dia mahu ke Kampung Gembira? Apakah mereka adalah orang dari Kampung Gembira?
Dengan tergagu Rolin berkata, “Benar. Saya mahu ke Kampung Gembira.”
“Ikutlah kami jika begitu. Kami akan bawa engkau ke Kampung Gembira.” Lelaki itu melanjutkan. Yang lain-lain cuma diam.
Tanpa bertanya mereka siapa, Rolin mengikut lima lelaki itu. Dia bersangka baik bahawa mereka itu orang baik-baik.
Setelah berjam-jam merentas rimba, mendaki dan menuruni bukit, nafas Rolin menjadi sendat. Dia tercungap-cungkap. Kakinya tidak mampu lagi melangkah. Peluh berjurai di wajahnya. Tenaganya habis. Degup jantungnya menghentak kuat.
Rolin jatuh terlentang dalam hembus nafas teralun deras. Dia terkapar memandang langit firus dan daun pokok-pokok yang tegak menirus.
“Aku tak boleh teruskan lagi …” kata Rolin dalam nafas yang putus-putus.
“Kau tak boleh berhenti di sini. Kau mesti sampai di Kampung Gembira.” Lelaki yang menjadi jurucakap berkata dalam suara memaksa.
“Aku tak berdaya …” Rolin berkata lemah. Suaranya tergigil.
“Kau sudah separuh jalan. Kau tak boleh berpatah balik.” Lelaki itu berkeras.
Rolin lalu diusung atas tempat pengusung yang dibuat daripada ranting sebesar lengan orang dewasa dan di bawa melalui laluan belukar.
Entah berapa lama dia diusung, Rolin tidak tahu kerana dia tertidur dek kepenatan yang teramat sangat.
Dua hari dia terlantar dan diberi minum ubat akar-akar kayu yang pahit dan pedar. Perlahan-lahan kesihatannya kembali bugar.
Setelah cukup sihat, Rolin dibawa bertemu dengan ketua kampung.
“Selamat datang ke Kampung Gembira,” ucap ketua kampung dengan wajah masam.
“Kami sentiasa menanti-nantikan orang datang ke kampung kami untuk membuatkan kami gembira,” tambah Ketua kampung dengan suara sedikit membentak.
Rolin tercengang, bercampur bingung.
“Apa maksud, tuan?” Dahi Rolin berkerut.
Ketua kampung lantas bercerita yang orang-orang di Kampung Gembira itu tidak pernah gembira. Mereka tidak pernah tersenyum, apatah lagi tertawa.
“Tidak tahu apakah ini sumpahan atau penyakit turun-temurun. Atau tanah ini tanah kutukan. Kami semua tidak pernah gembira dan ketawa. Kami mahu tahu bagaimana rasanya gembira dan bagaimana seronoknya ketawa. Orang-orang yang datang ke kampung ini, perlu buat kami gembira dan ketawa.” Ketua kampung menjelaskan.
“Kalau orang-orang yang datang sini tak berjaya untuk buat semua orang di sini gembira, bagaimana?” tanya Rolin dengan perasaan yang semakin tidak enak.
“Kalau mereka tak berjaya buat kami gembira dan ketawa, mereka juga tak akan lagi gembira dan boleh ketawa.” Ketua kampung memberikan jawapan berbelit.
“Maksudnya?” Rolin angkat kening.
“Orang yang sudah tak bernyawa mana boleh ketawa dan rasa gembira.”
Serta merta darah Rolin terasa kering.
“Maksudnya mati?” soal Rolin walaupun dia sudah tahu apa maksud sebenar kata-kata ketua kampung.
Ketua kampung angguk.
Rolin terus kecut perut. Alam manakah yang sudah dia masuk?
Apakah itu gurau makar atau cerita surealis tidak masuk akal?
“Engkau mesti buat kami semua di sini gembira dan ketawa,” tegas ketua kampung dengan wajah beringas.
Rolin rasa segala isi perutnya dilambung takut. Tangan dan kakinya jadi sejuk.
“Pastikan kau buat kami gembira pagi esok.” Ketua kampung memberikan arahan apabila melihat Rolin terkelu tanpa kata.
Seperti yang diarahkan, pagi-pagi lagi Rolin sudah di bawah ke hadapan semua penduduk Kampung Gembira yang tidak gembira.
Secara logik akal, orang-orang yang tinggal jauh dalam damai semesta, jauh dari segala hingar bingar kota serba gila, jauh dari telefon pintar, jauh dari media sosial yang menjadi nyawa kedua di zaman ini, tentulah akan lebih gembira dan bahagia. Apa sebenarnya yang berlaku pada orang-orang yang tidak gembira ini?
Kepala Rolin dipalu dengan pertanyaannya sendiri.
Malam hari, Rolin mahu cabut lari tapi tempat tidurnya dikepung dan dijaga. Rolin tiada jalan keluar, kecuali berserah nasibnya di tangan takdir.
Rolin berdiri dan perhatikan orang-orang kampung yang sedang duduk mengadapnya sebagai penonton.
“Mulakan sekarang!” Ketua kampung mengangkat tangan dan duduk di tempat paling depan.
Rolin mencari-cari ilham dalam benaknya bagaimana mahu beraksi dan bersenda jenaka. Kerja membuatkan orang ketawa adalah kerja sukar yang tak tergambar. Memang mudah membuat kelakar tapi bukan semua kelakar adalah kelakar.
Rolin lalu membuat aksi-aksi dengan muka lucu. Dia melompat-lompat dan berjalan dengan bermacam-macam lagak tapi orang-orang Kampung Gembira sedikit pun tidak tergelak. Rolin tahu aksinya itu bukanlah lawak. Apa yang dilakukannya itu adalah kedunguan yang dianggapnya lawak.
Selepas membuat macam-macam sketsa dan dialog parodi, Rolin habis ikhtiar dan mati akal. Dia berdiri kaku memandang orang-orang di hadapannya. Orang-orang di hadapan Rolin memandangnya kembali. Seisi hutan terasa sunyi seolah-olah semua haiwan sedang bersembunyi dan berhenti berbunyi.
Rolin berdiri dan berdiam panjang.
Seluruh warga Kampung Gembira sedang menunggu-nunggu detik untuk mereka meletuskan tawa. Mereka tidak sabar-sabar mahu ketawa. Ketawa merupakan satu sejarah baharu untuk mereka. Semua tumpuan terhala kepada Rolin yang berdiri di hadapan.
Rolin masih terpegur. Dia tahu, itulah hari terakhirnya di dunia.
Rolin digodam rasa sedih yang tidak terhingga. Di waktu yang sama, dia marah pada dirinya. Betapa bodohnya dia yang bersusah payah datang ke situ semata-mata untuk menyerah nyawa. Entah dia berada di sebalik alam mana. Entah terperangkap dalam dimensi mana. Yang pasti, hidupnya akan berakhir sebentar lagi.
Bukankah hidup selalu ganjil dan bukan-bukan?
Sempat Rolin berkata begitu pada dirinya.
Tiada apa yang dapat Rolin lakukan, kecuali menangis. Hanya itulah satu-satunya ekspresi yang mampu diluah. Rolin tersedu-sedan. Bahunya terhingut-hingut diasak tangisan. Tangisnya yang tergigil bertukar menjadi kuat dan akhirnya dia meraung-raung dengan mata terpejam.
Ketika sedang meraung, tiba-tiba Rolin mendengar suara-suara ketawa dan tepuk tangan. Seperti gelombang, tawa dan tepuk tangan menjadi riuh. Seisi hutan dipenuhi tepukan.
Rolin buka mata dan terhenti meraung. Air matanya meleleh sampai ke dagu. Dia tercengang memandang orang-orang Kampung Gembira yang sedang ketawa riuh-rendah. Ada yang sampai tertunduk-tunduk menekan perut.
Ketua kampung segera bangun dan pergi memeluk Rolin sambil dia tertawa-tawa hingga perutnya yang gendut bergegar-gegar.
“Kau berjaya buatkan kami semua ketawa dan rasa gembira,” kata Ketua Kampung dengan riak gembira yang bagaikan tak dapat ditahan-tahan. Dia lalu tertawa-tawa lagi seperti sedang menguji skala bunyi tawanya.
“Saya sedang bersedih dan menangis. Itu yang buat kalian gembira dan berjaya ketawa?” Rolin bertanya dengan rasa tidak percaya. Rolin baru tahu yang tangisan dan rasa duka rupanya mampu membuatkan orang lain gembira dan tertawa.
“Kami belum pernah tengok orang menangis dan bersedih. Itu sangat lucu bagi kami. Esok, ajarkan kami cara menangis dan bagaimana mahu rasa sedih!” Ketua kampung menepuk-nepuk bahu Rolin sambil ketawa besar.
Rolin terus jatuh terduduk. Seluruh tubuhnya terasa remuk. Dia menangis semula. Orang-orang Kampung Gembira tertawa melihatnya. Makin tinggi suara Rolin menangis, makin kuat mereka ketawa.