KEMUNCULAN cahaya yang begitu terang benar-benar membuatkan dirinya tersentak. Cahaya yang mengeluarkan api tersebut persis kejadian yang berlaku lima tahun yang lalu. Dirinya berundur sedikit ke belakang dari pandangannya yang begitu ralit di celahan lubang pemerhati sebentar tadi. Dia benar-benar terkesan dengan kejadian itu, malah seluruh kehidupan turut terkesan dengan fenomena itu.
“Apa yang harus aku lakukan? Sudah lima tahun aku di sini!”
Dia terus menekan papan kekunci dengan agak kuat. Seakan-akan dirinya begitu marah dengan perkara yang tidak dapat diselesaikannya itu. Hentakan demi hentakan pada papan kekunci tersebut nampaknya masih tidak membuahkan hasil. Dia merengus. Dia kecewa kerana segala usaha pencariannya menemukan jalan buntu.
“Azola, apakah maksud yang ingin Azola sampaikan? Sudah pelbagai cara Coka buat untuk selesaikan masalah ini, tapi Coka tetap juga gagal. Tolong bagi Coka petunjuk, Azola!” Coka merintih kecewa. Gerakkan tangannya menekan papan kekunci makin perlahan sama seperti perasaan kecewanya.
Coka melabuhkan punggungnya. Baginya dengan lakuan duduk boleh meredakan sedikit kemarahan yang membelenggu diri. Tidak! Dia bukanlah orang yang panas baran. Dia, orang yang tenang dalam segala macam keadaan. Cuma keadaan ini… benar-benar menguji kesabarannya. Puncanya, hal tersebut melibatkan kehidupan alam sejagat!
Mandat berwarna coklat kekuningan itu dicabut dari dadanya. Diperhatikan dengan pandangan yang kosong. Kosong kerana dia sebenarnya gagal mengepalai sebuah angkatan yang diamanahkan kepadanya. Menyesal tidak sudah, namun tiada gunanya. Yang penting, dia harus menyelesaikan masalah ini juga.
Digosok-gosok mandat itu yang kelihatan agak kelam dan pudar. Sudah lama tidak diambil peduli barangkali.
Tiba-tiba, rasa sebak menerjah dirinya. Mandat yang digenggam ini diterima pada hari kejatuhan empayarnya. Seharusnya, ketika menerima mandat ini dia bersuka-ria pada hari kejadian, menyambutnya dengan penuh gilang-gemilang, namun semuanya punah dan ranap disebabkan kejadian itu. Hari yang sama, waktu yang sama itu jugalah Azola pergi dari kehidupan ini. Pergi tetapi meninggalkan seribu satu persoalan. Sesuatu yang dia tidak pasti akan jalan penyelesaiannya.
***
Hutan Simpan Kekal Ranggai menjadi destinasi hujung minggu buat Ismail, Rahman dan Razif. Lazimnya, mereka akan bermalam di lokasi yang jadikan sebagai tempat berkhemah. Aktiviti berkhemah dan mendaki sudah menjadi rutin mingguan buat tiga sekawan ini. Pendakian serendah 400 meter hinggalah setinggi 1000 meter sudah mereka tawani. Namakan sahaja! Namun apabila berbicara tentang Gunung Pasir yang terletak di puncak hutan simpan itu, aktivitinya agak mencabar bukan sahaja dari segi ketinggian, malahan dari segi mental dan emosi.
Sebuah mitos terpahat di situ. kata orang-orang lama, terdapat penunggu yang memelihara kubu lama zaman pemerintahan Jepun di puncak gunung tersebut. Sememangnya pada pemikiran manusia, bangunan lama yang terbiar itu pastinya berpuaka. Mengikut khabar angin, kubu tersebut digunakan bagi pertahanan penduduk Tanah Melayu dari ancaman Jepun dan setelah dirampas, kubu tersebut dijadikan sebagai pusat tahanan dan penyeksaan bagi penduduk tempatan.
Namun demikian, cerita mengenai penunggu itu tidaklah menarik berbanding dengan isu pemeliharaan monumen-monumen lama. Bagi Ismail, Malaysia memiliki begitu banyak bangunan bersejarah, namun sayangnya terbiar dimamah arus pembangunan yang kian pesat dewasa ini. Dalam kalangan mereka bertiga, Ismaillah yang memiliki jiwa sejarah. Tidak kira sejarah tentang budaya, monumen atau bahasa sekalipun, jiwanya mudah terusik sekiranya warisan tersebut terbiar tidak diendahkan. Bukan hanya terusik kecewa dek warisan yang diabaikan, malah membuat hatinya terluka juga.
Dahulu pernah kaukhabarkan,
Jika rindu, lihatlah sang rembulan,
Aku tanya apa yang dimaksudkan?
Jawabnya, kita berdua lihat bulan yang sama dan sepadan
Aku berdekah sambil tanya fakta atau auta,
Kata kau itu firasat orang lama-lama,
Hati terdetik, baiklah usai ini lihat saja bulan yang di sana,
Jika rindu bergelojak sengsara
Kini kau sudah hilang…
“Hoi Mail, tak habis-habis lagi ke dengan puisi madah sakti kau tu!” sergah Rahman dari arah belakang.
Lantas Ismail menutup buku catatannya dan mukanya kemerah-merahan menahan malu. Entah apa yang dimalukan pun dia tidak pasti. Sergahan seperti itu bukanlah kali pertama dia terima. Sebelum-sebelum ini pun sudah banyak kali berlaku.
“Isy, kau ni Man! Buat aku terkejut saja. Bagilah salam dulu,” balas Ismail yang sebenarnya buntu akan jawapan yang sepatutnya diberi dalam situasi tersebut.
“Kau masih belum berbaik lagi ke dengan Sara?” tanya Razif dengan nada berlapik.
“Entahlah, Sara tu. Dia macam tak hargai semua pengorbanan yang aku buat demi dia,” balas Ismail.
“Perempuan. Memang macam tu. Semua baik kita dia tak nampak. Satu silap kita, sejauh mata memandang dah boleh kesan,” terang Rahman cuba berhiperbola.
“Aik, macam berpengalaman aje. Kau tu bercinta pun tak pernah. Bercakap macam pakar cinta pula!” seloroh Razif.
Suasana hening pada waktu senja di tapak perkhemahan mereka dipecahkan dengan gelak tawa tiga sekawan itu. Walaupun Ismail ikut ketawa, namun hatinya masih terpalit rasa campah akan hubungannya dengan Sara.
***
Kubu persembunyian Coka memberi isyarat bahawa telah berlaku sesuatu pada objek kajiannya. Objek tersebut ditinggalkan oleh Azola, malah misteri yang tidak terungkai memberi impak kepada kehidupan sejagat. Coka menekan laju papan kekunci bagi melihat keserasian data dan signal yang diterima. Akhirnya!
Mata Coka menatap tajam satu per satu data yang muncul. Ditekuni tanpa rasa sedikitpun lelah. Baginya, inilah masa yang dinanti-nantikan. Merungkai segala misteri yang terbuku sekian lama. Sekali lagi. Akhirnya!
Objek yang ditinggalkan ini memerlukan sesuatu yang membolehkan Coka untuk membukanya. Mungkin sebuah kunci, mungkin juga kata-kata azimat atau mantera. Dia sudah menemui lokasinya. Jauh dan memerlukan kepakaran yang tinggi untuk masuk ke sana. Tanpa berfikir panjang, Coka mengarahkan orang bawahannya menyediakan pengangkutan untuk ke sana. Dia bersendirian. Baginya, biarlah orang bawahannya yang tinggal hanya lima orang itu bersiap siaga di kubu ini. Coka sudah sedia. Sedia untuk berdepan dengan segala risiko walaupun maut bakal menanti dirinya.
***
“Argh!” jerit Ismail apabila kakinya tertusuk cerucuk kayu yang telah patah. Baru sahaja dia jatuh berguling dari bukit akibat tergelincir sewaktu mencari kayu api. Sesekali dia meraung kesakitan menahan pedih akibat luka tersebut. Fikirannya menjadi kosong dan tidak mampu berfikir secara rasional kerana kemalangan yang menimpa dirinya berlaku dengan begitu pantas. Dia menjerit memanggil nama Rahman dan Razif namun suaranya tenggelam dek hujan yang kian lebat.
Ismail bangkit melangkah dengan sepenuh tenaganya walaupun langkah kakinya canggung. Tiba-tiba matanya terpaku akan sebuah bangunan lama yang menyerupai seakan-akan kubu yang tersergam betul-betul di hadapan matanya. Bangunan itu begitu usang dan seakan-akan sudah lama ditinggalkan. Lantas fikiran Ismail diterjah akan mitos Gunung Pasir iaitu kubu yang berpenunggu dan hanya dapat dilihat oleh orang-orang yang terpilih sahaja!
‘Takkanlah aku insan terpilih itu?’ tercetus pertanyaan jauh di lubuk hati Ismail.
Hujan kian lebat. Tubuh Ismail pula tidak mampu menahan kesejukan dan dia memerlukan tempat berteduh. Dia tiada pilihan lain selain menerjah masuk ke dalam kubu tersebut. Dia melangkah perlahan sambil terhincut-hincut menahan kesakitan. Kepalanya penuh dengan seribu pertanyaan dan masih berasa bingung dengan kejadian yang baru berlaku ini, namun dia memberanikan diri masuk dan cuba mencari perlindungan daripada hujan dan kesejukan. Dia melangkah perlahan masuk ke dalam bangunan tersebut.
Usai melangkah masuk, hati Ismail berdebar-debar menghitung nasib yang bakal menimpa dirinya. Sudah pasti pelbagai perkaraboleh berlaku buat tetamu yang tidak diundang seperti dirinya ini. Keadaan kubu tersebut terlalu usang dan dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan liar.
Ismail meneruskan peninjauan di dalam bangunan tersebut walaupun keadaannya begitu gelap dan hanya dibantu dengan cahaya kilat sabung-menyabung di luar sana. Jantungnya masih berdegup pantas mengalahkan langkah kakinya yang terhincut-hincut. Dia melalui satu lorong yang terdapat banyak bilik di sebelah kiri dan kanan. Barangkali, bilik tahanan dan penyeksaan seperti khabar angin yang didengar sebelum ini. Ada sebuah bilik yang daun pintunya terbuka dan tertutup dek angin kuat dari arah luar. Hal tersebut mewujudkan perasaan ingin tahu Ismail akan ruang isinya. Ismail menghampiri bilik itu dan menolak perlahan-lahan untuk melihat isi di dalamnya. Bunyi pintu lama terhasil setelah ditolak dan… .
Matanya terbeliak melihat satu tubuh genit berdiri betul-betul di depan matanya. Rupa makhluk tersebut tiada perbezaan yang ketara dengan manusia, namun tubuhnya agak kecik berbanding dengan manusia biasa. Ismail tidak pasti perasaannya ketika itu. Mahu terkejut atau mahu menatap kehairanan. Makhluk tadi turut menunjukkan reaksi yang sama. Susuk tubuhnya dapat dilihat sepintas lalu sahaja ketika cahaya kilat memancar yang membantu penglihatan Ismail dan kemudian hilang dalam sekejap mata.
“Kausiapa?” tanya si tubuh genit itu. Ismail bertambah hairan kerana makhluk itu boleh bertutur bahasa manusia dan bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu.
“A..a..aku Ismail. Aku tersesat tadi. Kemudian terjumpa kubu ni. Aku masuk untuk dapatkan perlindungan,” ujar Ismail dengan nada terketar-ketar.
“Ismail? Macam pernah…” tiba-tiba fikiran Coka diterjah dengan kisah yang pernah disampaikan oleh Azola. Kisah seorang pejuang kebebasan tanah air yang akhirnya mati dipenggal kepalanya. Individu tersebut memiliki perkaitan dengan Azola.
“Tuk Mail itu atuk kau, ya?” soal Coka dengan penuh harapan.
“Bukan atuk aku tetapi moyang kepada moyang aku. Tuk Mail seorang pahlawan Melayu yang tak didendangkan,” jawabnya sedikit kecewa. Seakan-akan soalan itu menutup segala kebingungan, keresahan dan ketakutan Ismail akan situasi yang menimpa dirinya sekarang.
Dengan pantas Coka menuju ke arah Ismail dan cuba menyentuhnya. Berderau darah Ismail apabila makhluk tersebut cuba menghampirinya. Dia cuba berundur sedikit ke belakang, namun pandangannya sepantas kilat menjadi gelap.
***
Kepala Ismail berdenyut-denyut. Matanya dikecilkan sedikit apabila cubaan untuk membuka mata terhalang akan lampu yang terpasang terang. Dia meraba kakinya yang tertusuk cerucuk kayu sebentar tadi. Agak pedih, namun kakinya sudah berbalut dan diletakkan ubat luka. Dia cuba duduk namun badannya terasa sengal dan lenguh yang teramat. Dia bingung.
“Di manakah aku berada sekarang?” bisiknya sendiri. Bingung.
“Kau dah sihat?” tiba-tiba kedengaran suara yang membuatkan dirinya diam seketika. Pertanyaan buat dirinya barangkali.
“Maafkan aku sebab terpaksa culik kau. Aku tiada niat jahat. Aku terpaksa,” ujar Azola. Tanpa membuang masa, Azola menunjukkan sebuah peti klasik yang sudah berusia. Peti itu tertutup rapi. Tidak seperti peti biasa. Peti ini tiada kunci atau tempat kunci yang boleh membukanya.
“Siapakah kau yang sebenarnya? Peti apa ini?” soal Ismail sedikit meninggi suaranya.
“Aku, Coka. Sekarang kau berada di kubu persembunyian kami. Negara kami sekarang dilanda kehancuran. Bapaku, Azola telah meninggalkan sesuatu untuk membantu aku memulihkan keadaan negara yang hancur ini.
“Jadi, apa kaitan dengan aku?” soal Ismail ingin tahu.
“Aku pun sebenarnya bingung hendak menyelesaikan persoalan ini. Cuma, aku dapati engkau ada kaitan dengan Tuk Mail, bukan? Mungkin itulah jalan penyelesaian yang aku cari selama ini.”
“Aku masih tidak faham. Apa kaitannya?” soal Ismail. Dia tidak memahami maksud Coka.
“Mungkin kaulah orang yang boleh membantu aku membuka peti lama ini. Peti ini satu-satunya peninggalan Azola sebelum dia pergi, meninggalkan aku!” Hati Coka kembali sayu setelah menyebut nama bapa yang disayanginya itu.
“Azola pernah tersesat di sebuah tempat semasa menjalankan misi penyelidikannya. Ketika itu, kapalnya terbabas dan mendarat cemas di sebuah hutan. Kemudian, Azola terjumpa sebuah kubu dengan tentera yang sedang mengawal ketat kawasan sekitarnya. Puak kami memiliki kekuasaan untuk menghilangkan diri daripada dilihat mahkluk lain dan Azola berjaya menyelinap masuk ke dalam kubu tersebut. Pertemuan Azola dan Tuk Mail juga di situ,” terang Coka.
“Tuk Mail? Tuk Mail moyang kepada moyang aku tu? Luculah kau ni. Macam mana kau boleh kenal dia?” jawab Ismail sedikit ketawa sambil tersenyum sinis.
“Tuk Mail pahlawan sejati. Tapi dia ditahan oleh tentera Jepun kerana menentang kemaraan mereka. Dia diseksa setiap hari di situ. Azola yang menjadi saksi penyeksaan Tuk Mail saban hari. Tapi, Azola tidak dapat menolong Tuk Mail kerana dia tidak boleh menampakkan diri di hadapan Tuk Mail dan makhluk lain. Menjelmakan diri kepada makhluk lain merupakan larangan bagi kami. Cuma sekarang ini, larangan itu sudah dihapuskan,” terang Coka.
Ismail cuba menahan ketawa. Baginya, cerita tersebut seakan-akan rekaan penulis khayalan yang hanya ingin mengaut keuntungan daripada pembeli yang dahagakan cerita fantasi.
Coka tidak mengendahkan perasaan geli hati Ismail tersebut.
“Azola ada belajar sesuatu daripada Tuk Mail. Ilmu mantera pemulih badan. Aku tak tahu manteranya apa dan bagaimana cara membacanya. Cuma, aku dapat rasakan kau tahu tentang mantera itu. Aku yakin bahawa kau orang yang dapat membantu kami membuka peti ini dengan mantera itu,” kata Coka perlahan. Suaranya sedikit kecewa dengan reaksi Ismail tetapi dia benar-benar berharap pada Ismail.
“Dan, sebabnya lagi?” tanya Ismail masih ragu-ragu.
“Hanya waris Tuk Mail sahaja yang boleh memasuki kubu pertahanan itu. Penampakan yang dilihat orang lain akan kubu tersebut hanyalah sekadar umpan untuk mencari waris yang sebenarnya. Itu semua yang pernah diceritakan oleh Azola sewaktu aku masih kecil dulu,” jawab Coka.
“Jadi akulah waris itu? Apa yang boleh aku buat? Aku semakin bingunglah!” teriak Ismail.
“Azola mengambil keputusan untuk mengaburi penglihatan tentera Jepun di kubu itu dan membebaskan Tuk Mail. Dia tidak sanggup lagi melihat penderaan dan penderitaan yang ditanggung oleh Tuk Mail. Cuma ada perkara yang pelik. Tuk Mail mudah untuk sembuh walaupun sudah beberapa kali disebat dan dirotan.”
“Dia mudah sebab guna mantera pemulih badan? Karutlah semua itu,” balas Ismail tidak percaya.
“Jadi, kau tahu baca mantera itu? Ajarkan aku. Mungkin mantera itu boleh buka peti ini.” Muka Coka menunjukkan riak gembira. Kegembiraan yang bukan kepalang sekiranya Ismail boleh membaca mantera tersebut dan membuka peti ini.
Ismail masih ingat lagi mantera yang pernah diberitahu oleh atuknya dan mantera itu pernah menjadi data kajian bagi tesis sarjananya dahulu. Nama ‘Ismail’ yang diberikan kepadanya ini adalah daripada permintaan atuknya. Atuk memberitahu bahawa dia nampak sesuatu pada diri Ismail. Rupa paras Ismail sama seperti Tuk Mail. Seorang pahlawan Melayu ketika zaman penjajahan Jepun.
Namun sayangnya, jasa dan perjuangan Tuk Mail sebagai seorang pahlawan tidak mendapat liputan meluas bagi pengkaji sejarah pahlawan Melayu. Jasa dan pengorbanan beliau ketika melawan tentera Jepun tidak pernah didendangkan. Sumbangan diabaikan dan hilang bersama-sama jasadnya.
“Boleh tak Ismail? Bacakan untukku,” gesa Coka.
Ismail tersentak dari lamunannya. Dia memandang Coka. Dari susuk tubuhnya, dia dapat melihat Coka, seorang lelaki muda yang berkarisma dalam memegang sesuatu amanah.
Mungkin Ismail harus menghulurkan bantuan. Demi Tuk Mail yang berjuang hingga ke titisan darahnya yang terakhir sehingga akhirnya mati dipenggal penjajah kejam. Dan, demi menghapuskan rasa kemanusiaan yang kian pudar dalam kalangan manusia.
Mungkin dia bakal membuat perubahan yang besar kepada rakyat Coka. Dia membetulkan kedudukannya dan bermulalah mulutnya terkumat-kamit dengan bacaan…
Bismillah
Tikam, Tikam bukan aku
Lempar, lempar bukan aku
Hanya Esa yang berhak
Untuk tikam
Untuk lempar
Secara tidak semena-mena peti tersebut terbuka dan mengeluarkan cahaya yang sangat indah berwarna kebiru-biruan. Masing-masing terpana dan melopong melihat fenomena tersebut. Namun paparan pada cahaya tersebut tidak seindah cahaya yang dikeluarkan. Paparan tersebut menunjukkan rampasan kuasa dalam kalangan ahli keluarga, sikap tidak menghargai pemberian seseorang, sifat saling dengki-mendengki dalam kalangan makhluk dan akhir sekali pertumpahan darah sesama mereka yang begitu dahsyat.
Coka menundukkan pandangannya. Air matanya bercucuran jatuh ke bumi. Cahaya yang terpancar turut terpadam sejurus Coka menundukkan pandangannya. Kini dia baru sedar. Negaranya hancur akibat sikap buruk yang diamalkan oleh dirinya sendiri. Barulah dia faham bahawa pesan orang-orang lama ada mengatakan “hancurlah negara jika pemimpinnya buruk tingkah lakunya”. Negaranya terkenal dengan sifat-sifat yang murni sahaja sehinggakan istilah “sikap buruk, jahat dan negatif” tidak pernah timbul.
Coka seakan-akan lupa bahawa dia menaiki takhta pemerintah menggantikan bapanya hasil daripada pergaduhan antara adik-beradiknya. Dia tidak pernah menghargai kasih-sayang yang telah diberikan oleh ahli keluarganya. Dia insaf. Dia mulai sedar, hanya dengan melakukan kebaikan, negaranya bakal aman semula. Pulih daripada segala kemusnahan dan kacau-bilau yang sudah bertahun lamanya.
“Adakah manusia sama seperti itu juga, Ismail?” tanya Coka sayu. Air matanya terus gugur menyesal akan tindakan dirinya.
“Manusia itu insan. Makhluk yang pelupa. Mudah lupa apabila senang, beringat apabila sudah ditimpa ujian. Tapi, masih ada juga yang lalai dan terus leka walaupun dirinya ditimpa musibah. Tuhan hendak menjentik kita dengan ujian agar tidak terus lupa akan-Nya,” ujar Ismail yang sebenarnya tidak merancang akan jawapannya sebentar tadi.
“Terima kasih, manusia,” jawab Coka.
Pandangan Ismail menjadi kabur. Dia membiarkan pandangan itu menyelubungi dirinya. Dia tenang akan situasi itu…
***
Ismail membuka matanya. Sekali lagi bukaan matanya tidak luas kerana terganggu akan cahaya yang berada di depannya. Hatinya sedikit risau sekiranya kejadian dia ‘diculik’ itu berulang lagi.
“Doktor! Doktor!” jerit satu suara yang tidak begitu asing bagi Ismail.
“Mungkin dia dah sedar. Buat sesuatu doktor,” suara tersebut semakin meninggi.
Doktor bergegas ke tempat perbaringan Ismail. Memeriksa tubuh badannya. Ismail berasa lenguh-lenguh pada badannya. Tetapi perasaan itu dikaburi dengan ketenangan apabila dia mendapati dirinya berada di dunia yang nyata. Ismail tersenyum dan melelapkan matanya kembali.
Razif dan Rahman menemui Ismail dalam keadaan yang sangat lemah di tebing bukit berhampiran lokasi perkhemahan mereka. Mereka bergegas menyelamatkan Ismail dan mendapatkan bantuan daripada Orang Asli di sekitar gunung tersebut.
Ismail masih berasa bingung dengan pertemuannya dengan Coka itu hanya mimpi atau petunjuk daripada tuhan untuk dirinya. Mahu sahaja dia menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya itu kepada rakannya yang lain, namun bukanlah sifat manusia itu percaya akan sesuatu yang kabur dan tidak jelas. Cuma dia berharap agar negara yang didiami Coka kembali aman seperti biasa. Kesilapannya adalah berbuat perkara buruk dan ditimpa musibah. Sekiranya Yang Esa menghukum manusia seperti kita ini dengan hukuman seperti itu, pasti dunia ini sudah lama hancur. Sebabnya, sudah banyak kerosakan yang manusia cipta dengan tangan mereka sendiri, bukan? Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Syukur.
Manusia itu sifatnya mudah lupa. Kemanusiaan yang sepatutnya diamalkan oleh manusia itu semakin hari semakin pudar. Bangunan lama yang mampu dijadikan iktibar buat generasi akan datang, dipilih-pilih untuk dipelihara sekiranya ada nilai komersial padanya berbanding dengan nilai pengajaran yang terpahat pada sejarahnya.
Kepada yang tidak pandai menghargai pengorbanan dan kesetiaan seseorang buat dirinya, itulah manusia. Manusia memang begitu. Meninggalkan saat dirinya sudah cukup dan sempurna untuk ditinggalkan. Apakah manusia itu kemanusiaan?
*Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh.
