AKU memang kesian pada Marlia.
Pada masa itu, Marlia tinggal tidak jauh dari rumah aku. Rumah kami hanya dipisahkah oleh beberapa batang pokok getah dan sebatang pohon kundang berdaun rendang.
Pohon-pohon ini menjadi tempat kicauan burung di pagi hari. Aku suka mendengar kicauan burung waktu pagi. Kicauannya bagaikan perbalahan dua insan suami isteri mencari persefahaman dan selang beberapa ketika kemudian, bunyi kicauan burung kembali senyap. Burung-burung itu telah terbang mencari makan.
Pemisah antara rumah aku dengan rumah Maria adalah pagar berkawat kawat duri setinggi 1.5meter. Marlia anak tunggal kepada keluarga Pak cik Jeman dan Mak cik Sarah.
Setiap pagi aku dan Marlia akan berjumpa di pondok menunggu bas berbumbung di kampung kami. Selain kami, hampir sepuluh lagi pelajar lain berkumpul di situ untuk menunggu bas ke sekolah.
Pondok tempat menunggu bas itu ada menyediakan tempat duduk bersaiz satu meter panjang yang dibuat daripada kayu. Aku, Marlia, Wati, Sahak, Budin dan Kamal akan duduk di situ. Pagi itu aku perasan ada perubahan pada diri Marlia.
“Kenapa Mar? Aku tengok kau macam sedih tak seriang dulu?”
“Aku sedih pada keluarga aku, Man,”
“Apa yang kau sedihkan?”
“Setiap pagi ayah dan mak aku bergaduh pasal nak beri aku duit belanja dan tambang bas aku ke sekolah,” jelas Marlia.
“Ayah aku tu sering tak berduit. Duit belanja sekolah aku kena minta dengan mak. Nasib baiklah emak jadi pengasuh jaga anak orang. Upahnya juga untuk menanggung makan dan minum keluarga aku. Ayah aku melepaskan tanggungjawabnya pada emak aku,” tambah Marlia.
Sedih aku mendengar nasib Marlia.
“Ayah aku tu penagih dadah. Ayah selalu minta wang dari mak aku. Kalau mak aku tak beri, ayah aku akan pukul emak aku. Aku rasa kesian pada mak aku. Macam manalah aku mahu menolongnya sebab aku ini perempuan tak sekuat tenaga lelaki,” jelas Marlia.
“Aku selalu rasa stres, Man,” ujar Marlia.
“Kau tak boleh menyimpan perasaan stres kau tu. Nnati kau jadi susah hati. Kau akan tak lalu makan. Kau boleh jatuh sakit dan kau tak ada tenaga nak ke sekolah datang belajar,” jelas aku.
“Habis tu aku nak buat macam mana?” soal Marlia.
“Kita ada guru kaunseling. Kau boleh berkongsi masalah kau dengannya untuk meredakan rasa stres kau tu,” jelas aku. Marlia kelihatan teragak-agak dengan tawaran aku itu. Marlia mendongak ke arah aku.
“Aku malulah, Man, masalah keluarga aku cerita pada orang lain,” balas Marlia.
“Fikirkan cadangan aku tu, Marlia. Mungkin Cikgu Suriah boleh meredakan masalah stres kau tu,” ujarku.
“Sebenarnya, pagi tadi ayah aku bergaduh lagi dengan mak aku.
Air mata Marlia tergenang di kelopak matanya. Marlia terkenangkan peristiwa pagi itu.
“Kan aku dah cakap jangan masuk campur hal aku dengan mak kau, Lia,” herdik Pak cik Jeman.
Marlia menangis dan melarikan diri ke dalam bilik. Mak cik Sarah datang dekat dan memujuknya.
“Aku rasa aku nak lari dari rumah tu, Man. Rumah aku tu dah jadi macam neraka,” tokok Marlia sambil mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya.
Dua
Bas sekolah yang dinantikan itu sampai akhirnya. Kami semua bangun dari tempat duduk itu dan mulai beratur menaiki bas yang berwarna pinang masak itu. Aku membilang rakan-rakan pelajar yang masuk ke dalam bas itu.
Aku membiarkan Marlia memijak tangga dalam bas itu dan duduk dengan Suhaila di bahagian depan. Sesekali matanya memandang ke arah aku yang berada di tempat duduk bahagian selari dengannya sambil mengukir senyuman.
Aku membalas senyuman Marlia, gadis yang berkulit cerah itu dan mempunyai lesung pipit pada bahagian pipi kirinya. Matanya agak sepet seperti gadis Tionghua. Mungkin keturunannya adalah berbangsa Cina.
Bas yang dipandu oleh Pak cik Murugan meneruskan perjalanan pagi itu menuju ke sekolah. Di dalam bas, Pak cik Murad menjadi konduktor tiket bas datang mengutip tambang bas ke sekolah. Maria berasa cemas apabila Pak cik Murad menghampirinya. Tangannya meraba saku baju kurung yang dipakainya.
Pak cik Murad memotong tiket di tangannya dan menghulurkan tiket itu kepada Marlia. Tangan Marlia terketar-ketar ketika menyambut tiket itu.
“Mana duit tambangnya?” soal Pak cik Murad.
“Eh, saya terlupa bawa duit, Pak cik,” jawab Marlia.
“Apa? Terlupa?” jerkah Pak cik Murad.
Serta-merta lengan Pak cik Murad yang panjang berkulit hitam itu menekan loceng bas. Pak cik Murad naik marah. Bas yang dipandu Pak cik Murugan perlahan-lahan berhenti di bahu jalan.
“Turun sekarang kalau tak mampu bayar tiket,” jerkah Pak cik Murad.
Muka Marlia bertukar merah padam kerana berasa malu. Rakan-rakan pelajar yang lain memandang ke arah Marlia dengan mata yang tidak berkedip. Aku kesian pada Marlia.
“Lain kali kalau tak ada duit nak bayar tambang bas, tak payah datang ke sekolah naik bas. Jalan kaki saja ke sekolah tu. Duduk saja di rumah. Jual muka kau yang cantik dan mata kau yang sepet tu. Tunggu saja orang masuk meminang kau,” sindir Pak cik Murad.
“Saya tak nak kahwin, Pak cik. Saya nak sekolah. Saya nak belajar,” balas Marlia.
“Diam, jangan melawan cakap orang tua. Ayah mak kau tak ajar ke?” herdik Pak cik Murad.
Aku melihat Marlia terdiam dan di pipinya digenangi air mata. Aku tidak sampai hati melihat muka Marlia yang sedih itu. Aku mahu menjadi hero pada Marlia. Aku juga salah seorang pengawas sekolah.
Lantas, aku segera menyeluk kocek seluar aku.
“Ni Pak cik, tambang buat kawan saya tu.”
Tangan Pak cik Murad menyambut duit siling daripada aku. Aku membayar tambang bas Marlia kepada Pak cik Murad. Setelah menerima tambang bas itu, Pak cik Murad berpaling ke arah Marlia.
“Nanti kau ganti duit Lokman,” ujar Pak cik Murad yang bergerak ke belakang untuk mengutip tambang bas dari pelajar yang lain. Pak cik Murugan meneruskan perjalanannya.
“Baiklah, Pak cik. Nanti bila ada wang saya akan ganti duit Lokman tu,” balas Marlia.
Aku pulang semula ke tempat duduk. Aku berjumpa Marlia selepas usai waktu sekolah di tempat menunggu bas yang tidak jauh dari kawasan sekolah. Aku dan Marlia menunggu bas untuk pulang ke rumah.
“Terima kasih, Man kerana bayar duit tambang bas, nanti bila aku ada duit aku ganti duit kau,” ucap Marlia.
“Jangan lupa dengan faedahnya sekali,” gurau aku. Marlia hanya tersenyum manis.
Tiga
Hari-hari yang mendatang aku tidak lagi berjumpa Marlia. Aku bertanyakan rakan rapatnya, Suhaila. Tetapi, Suhaila merahsiakannya. Setelah aku merayu, akhirnya Suhaila menjelaskannya.
“Mar minta aku rahsiakan. Dia tak mahu jumpa kau selagi dia tak mampu ganti tambang bas tempoh hari pada kau dengan faedahnya sekali,” ujar Suhaila.
“Eh, aku hanya berguraulah dengan Mar tempoh hari. Bukannya betul-betul pun akan mahu faedah bunga wang yang dipinjam daripada aku tu,” balas aku.
“Kau tentu tahu ‘kan. Perasaan perempuan lekas terkesan,” ujar Suhaila.
Kali ini aku pula berasa stres kerana “mulut” aku sendiri yang celupar itu.
Benarlah cakap Cikgu Aziah yang mengajar Bahasa Melayu supaya berhati-hati dengan mulut kita sendiri. Aku ke rumah Pak cik Jeman untuk bertanyakan tentang Marlia.
“Apa hal kau nak cari Marlia? Tak payah nak sibuklah Man. Tamatkan pelajaran kau dulu baru nak bertanyakan anak orang,” sindir Pak cik Jeman.
“Saya kawan baik Marlia Pak cik. Hubungan kami sebagai kawan sahaja,” balas aku.
Pak cik Jeman meninggalkan aku dengan menghidupkan motosikal kapcainya keluar dari laman rumah. Aku mendapatkan Mak cik Sarah. Aku berdoa dalam hati supaya jawapan dari mulut Mak Cik Sarah tidak menambah stres pada aku.
“Aku dah serahkan Lia pada emaknya yang asal. Hidupnya dengan aku pun susah ‘kan, lebih eloklah aku hantar ke rumah emaknya,” ujar Mak cik Sarah.
Aku semakin stres mendengarkan berita daripada mulut Mak cik Sarah. Aku juga dimaklumkan Marlia bukan anak kandung kepada Pak cik Jeman dan Mak cik Sarah. Marlia adalah anak angkat dan ibu bapa Marlia berketurunan Cina.
Empat
Sudah lima tahun aku tidak berjumpa Marlia. Aku masih menyalahkan Pak cik Murad kerana tidak berbudi bahasa ketika menegur dan mengutip tambang bas sekolah.
‘Segala angkara berpunca dari mulut. Itulah akibat mulut yang tidak berjaga.’ Fikir aku.
Aku juga menyalahkan Pak cik Murad kerana memalukan Marlia di depan Suhaila dan rakan-rakan aku yang lain di dalam bas itu. Jatuhkan maruah apabila Pak cik Murad menghinanya begitu.
Kalaulah Marlia memberitahu aku lebih awal, sudah tentunya perkara seperti ini tidak akan terjadi. Aku tak ada masalah nak membayar tambang bas untuk Marlia. Aku anak YB Sukiman. Semua orang mengenalinya.
Selepas menamatkan pengajian diploma dalam jurusan Kejuruteraan Awam di Politeknik Port Dickson itu aku mengambil peluang bekerja sambilan di Kiosk 7-Eleven. Ketika aku berada di dalam kiosk itu, aku di datangi seorang perempuan Tionghua yang mahu membeli minuman sejuk dan beberapa makanan yang lain.
Nita, rakan sekerja denganku baru pulang membawa nasi lemak bungkus sarapan pagi dan menyerahkan bungkusan makanan itu kepada aku. Aku bergerak ke belakang menuju ke bilik kecil untuk mengisi perut aku yang sedang berkeroncong itu. Nita menjaga bahagian kaunter.
“Erk, dompet nyonya tu tertinggal di kaunter, Man?” Jerit Nita.
Aku datang dekat pada Nita.
“Aku rasa perempuan yang membeli minuman sejuk dan makanan ringan tadi tu,” tambah Nita.
“Kita nak buat apa dengan dompet duit perempuan ini?” tanya Nita.
“Kita simpan dulu. Manalah tahu perempuan itu datang semula ke kiosk 7-Eleven kita ni,” balas aku. Nita berpaling dan mendongak ke wajah aku.
“Kalau dia tak datang semula, bagaimana?” soal Nita.
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Ada alamatnya tak?” tanya aku.
“Tak payah stres, Man. Serahkan dompet duit ini kepada pihak polis, “ ujar Nita.
Aku mengangguk-anggukkan kepala. Mengiyakan kebenaran kata-kata Nita itu. Aku berasa tidak sedap hati. Aku membuka dompet duit perempuan itu. Aku mendapati alamat kediaman perempuan itu di Bandar Baru Bangi.
“Aku cadangkan, kita tak payah serahkan dompet ini pada pihak polis,” ujar aku.
“Kau nak simpan jadi kenangan?” gurau Nita.
“Aku dah jumpa alamatnya melalui kad pengenalannya. Biar aku hantar ke alamat tempat tinggalnya menggunakan kereta ayah aku,” jelas aku yang baru sahaja lulus lesen memandu kereta yang aku ikuti di Syarikat Sekolah Memandu Taufan tidak jauh dari rumah aku.
Nita mengerutkan dahinya. Seperti ada tanda tanya yang bersarang dalam perasaannya mendorongkan aku bersungguh-sungguh menghantar dompet duit kepada pemiliknya. Aku mencari helah.
“Ah, bila lagi aku nak menguji memandu kereta ayah aku tu ‘kan?” ujar aku.
“Kau tak nak bawa aku sekali?” usik Nita.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala.
***
Pagi itu aku mendapat kebenaran daripada ayah meminjam keretanya untuk memulangkan dompet perempuan itu mengikut alamat yang tertera dalam kad pengenalan perempuan itu.
Aku menggunakan khidmat aplikasi navigasi GPS, Waze bagi memudahkan aku mencari kediaman perempuan itu. Aku melalui kawasan perumahan awam sebelum menuju ke jambatan kayu menuju ke kampung seberang.
“Kita berhenti dulu, Man. Lain macam nak ke rumah perempuan tu,” getus Wardi.
Aku dan Wardi singgah di sebuah warung untuk membasah tekak.
“Betul ke alamat ni, pak cik?” tanya aku.
“Oh, penjual sayur tu? Betullah, rumahnya di Kampung Seberang. Nampak tak jambatan kayu tu?” terang pelanggan itu.
Aku memandu menghala ke jambatan kayu itu. Selepas jambatan itu, aku melihat ada sebuah kebun sayur yang luasnya setengah ekar. Sayur-sayurannya kelihatan segar menghijau.
Berbagai-bagai jenis sayur seperti sawi, kangkung, kobis dan lain-lain di tanam di situ. Terdapat beberapa orang pekerja memakai topi lebar di situ.
“Inilah kereta Kancil yang perempuan tu bawa yang datang ke kiosk 7-Eleven tempoh hari,” ujar aku. Aku melihat rumah kampung yang didiami Nyonya Mei Ling.
Nyonya Mei Ling turun ke tanah mendapatkan aku dan Wardi.
“Syukurlah awak datang. Saya runsing entah mana saya letakkan dompet duit saya tu tadi,” ujar Nonya Mei Ling. Tiba-tiba aku mendengar suara halus dari dalam rumah itu.
“Mama cakap dengan siapa tu?” soal suara perempuan itu.
“Anak perempuan saya, dia selalu sebut ada budak lelaki baik hati tolongnya bayar tambang bas ke sekolah ketika dimarahi konduktor bas. Kalau dia jumpa budak lelaki tu, dia mahu bayar semula duit tambang bas dengan faedahnya sekali,” ujar Nyonya Mei Ling. Tiba-tiba Marlia menjerit nama aku dan Wardi.
“Lokman… Wardi!” jerit Marlia dari dalam rumah dan turun melalui tangga ke tanah sambil berlari-lari anak mendapatkan aku.
“Akhirnya, aku dapat juga berjumpa kau, Man,” ucap Marlia.
Dia berasa sebak dan menyapu air matanya yang tergenang dengan lengan baju kurungnya.
“Aku datang kerana mahu memulangkan dompet duit emak kau, Mar,” ujarku.
Marlia menyeluk kocek bajunya bagi memulangkan wang tambang bas Lokman suatu ketika dulu.