DIA mati. Dia gembira! Cepat-cepat dia mencapai beg; mengutip dan memasukkan butir-butir emas yang berserakan di atas jalan ke dalam beg tersebut. Dia berdekah-dekah. Tubuh kaku dengan kepala hampir putus itu tidak dipedulikan. Buat apa! Perkara yang lagi penting adalah darah yang mengalir. Darah itulah yang menjadi perhatian. Ya! Kematian dia itu menjadi ganjaran buat dia.
Aku dan orang lain yang lalu-lalang memerhati sahaja ulah lelaki itu. Tubuh wanita yang kaku itu pun dipedulikan tidak. Tiada sesiapa yang mahu membantu atau melaporkan pembunuhan tersebut kepada pihak berkuasa. Bahkan, ada yang lari, menjauh. Adakah ini sindrom Kesan Pemerhati atau Bystander Effect (satu fenomena sosial yang mencetuskan anggapan dalam pemikiran individu bahawa orang lain yang akan membantu jika terdapat ramai pemerhati sehingga menyebabkan individu tersebut kurang (atau tidak akan) menghulurkan bantuan jika berlaku sesuatu kecemasan)?
Oh, bukan! Ini bukan Kesan Pemerhati. Di negara Barutang, pembunuhan sedemikian bukanlah perkara luar biasa. Bahkan, perbuatan itu ialah satu perkara yang telah diluluskan oleh kerajaan!
Aku terus berjalan menuju ke sebuah mesin layan diri untuk membeli kopi ais kemudian bergerak untuk membeli kuih alus manis lalu menuju ke tempat istirahat. Sambil menikmati alus manis yang berlemak itu, sekonyong-konyong - Ah, kumpulan itu lagi! Bingit. Merimaskan. Sudah tiga hari kumpulan individu berhidung panjang tersebut melakukan protes terhadap kerajaan. Kononnya kerajaan bertindak kejam terhadap mereka.
Mataku sempat menangkap beberapa ayat pada sepanduk yang dijulang oleh pemprotes. Satu ayat menarik perhatian aku: ‘KELOMPOK PEMIUTANG, KELOMPOK KEJAM!’
Tersenyum aku tika membaca ayat tersebut. Ingin sahaja aku mencampakkan batu kata-kata: Bukankah yang kejam itu ialah kelompok kamu sendiri? - kepada kumpulan tersebut, biar benjol dahi mereka tetapi terpaksa aku menyembunyikan kembali kata-kata itu untuk mengelakkan sebarang perkelahian. Kelak, tidak fasal-fasal aku ditangkap oleh Silop, pasukan robot keselamatan yang sentiasa meronda.
Aku tiba di taman lalu duduk di kerusi simenfero yang terletak di bawah pokok jejawi rendang, berhadapan dengan sebatang sungai. Di sini, lebih tenang. Tidak terlalu kedengaran suara-suara pemprotes itu. Baru sahaja aku ingin menghirup kopi, kupingku terdengar bunyi sesuatu yang jatuh di dalam air, lantas aku menoleh. Seorang lelaki tua sedang memerhati sekujur mayat yang terapung-apung. Tidak lama kemudian, seekor ikan toman sebesar anak lembu melompat lalu membaham mayat tersebut. Lelaki itu kemudianberlalu pergi sambil menjinjit bekas penuh berisi butiran emas. Senyumannya melebar.
Aku memerhati. Semenjak parlimen negara Barutang meluluskan rang undang-undang awam berkaitan penambahan fasal 30 di dalam Akta Penghutang 1957 (Akta 256) yang membolehkan kelompok pemiutang mengambil darah kelompok penghutang, kontroversi dan protes terutamanya oleh kelompok penghutang mula tercetus. Oleh sebab penggunaan perkataan ‘mengambil darah’ merujuk perkataan ‘membunuh’ di dalam akta tersebut, kelompok penghutang menjulang-gemilangkan sentimen pelanggaran hak asasi manusia untuk menentang kerajaan. Mereka mengatakan akta tersebut ialah satu akta yang kejam bagi kelompok penghutang.
Aku menikmati alus manis sambil memerhati kepul-kepul awan. Tiba-tiba, menerpa seorang wanita. Wajahnya cemas.
“Tolong … tolong aku! Ada orang mahu membunuh aku!”
Wanita itu mempunyai hidung yang panjang (Eee, ada tahi hidung di hujung hidungnya!). Aku tidak tahu berapa sentimeter kepanjangan hidung wanita itu. Aku tidak mengendahkan wanita itu, kembali menikmati makanan.
“Tolonglah sembunyikan aku. Aku tak nak mati!” katanya sembari memeluk kakiku (teresak-esak). Tolonglah! Aku akan bayar engkau berapa sahaja yang engkau mahu, tetapi sembunyikan aku. Tolong!”
“Bolehkah aku percaya dengan kata-kata kamu ni? Berdasarkan hidung kamu yang panjang itu, susah untuk aku nak percaya! Berambus!” kataku sambil menolak dia. Aku rimas disebabkan risau tahi hidung wanita itu akan termasuk ke dalam makananku.
“Abang … Itu dia. Itu dia!” Pasangan itu berpakaian lusuh dan compang-camping, berusia lingkungan lewat 40-an bergegas ke arahku. Wanita itu menjerit lalu bingkas, cuba melarikan diri namun tidak berjaya apabila dia berjaya ditangkap oleh si suami.
“Mana engkau nak lari!” kata si suami.
Wanita itu membisu. Cuma esakan kedengaran.
Haih! Aku pula terbabit dengan babak yang menyesakkan mata. Ingin aku marah sahaja mereka itu.
“Kak, kalau nak ambil darah dia. Boleh tak ambil di sana? Saya mahu makan ni, kak!” kataku dengan suara yang sesopan mungkin.
“Oh, maaf ya, dik. Maaf. Maaf!” Pasangan itu menyeret wanita itu (yang menjerit meminta tolong) ke satu kawasan (tetapi aku masih boleh melihat babak tersebut). Sebelum berlalu, si isteri itu telah mengeluarkan sebilah belati dari dalam tasnya. Suaminya menahan tubuh wanita itu yang sedang meronta-ronta. Dengan pantas, si isteri membunuh wanita itu seumpama melakukan tradisi Seppuku. Terbuntang wanita itu - kesakitan (ketika itu, aku melihat lubang hidung wanita itu, besar betul! Sudahlah hidung panjang, lubang hidung pun besar!).
Darah bersemburan sebelum berubah menjadi butir-butir emas apabila bertindak balas dengan oksigen.
“Cepat takung. Cepat!” kata si suami.
Si isteri segera membuka beg yang dibawanya; menakung butir-butir emas yang berubah daripada darah itu. Ada yang berguguran di rumput (mereka mengutipnya kemudian). Setelah darah wanita itu berhenti mengalir dan berubah, mereka mencampak jasadnya ke sungai lalu dimakan toman.
“Akhirnya, kita dapat semula hasil titik peluh kita, abang! 20 tahun kita tunggu,” ujar si isteri sembari air matanya ligat menggelongsor. Mereka berpelukan. Gembira sambil meloncat-loncat!
Aku memasang telinga. 20 tahun itu bukannya tempoh yang sekejap. 20 tahun pasangan itu sabar menanti. 20 tahun mereka berada dalam keadaan sulit. Patutlah hidung wanita itu panjang benar. Rupa-rupanya, 20 tahun dia menipu pasangan itu. 20 tahun dia menganiaya pasangan itu! Aku menggeleng. Pasangan itu berlalu pergi.
Dari jauh, sayup-sayup suara-suara protes kelompok penghutang. Secara tepatnya, kelompok penghutang liat dan tegar. Mereka menganggap mereka ialah mangsa sedangkan tidak menyedari (kebanyakannya berpura-pura) sesetengah kelompok pemiutang yang bertahun-tahun telah menjadi mangsa mereka.
Akta Penghutang 1957 (Akta 256) digubal untuk memastikan terdapat undang-undang yang telus untuk pemulihan hutang di negara Barutang. Peruntukan-peruntukan di dalam akta tersebut merangkumi panduan berkenaan dengan prosedur untuk mengeluarkan saman kepada penghutang, perlindungan sama rata untuk pemiutang dan penghutang, perlindungan penghutang daripada prosedur yang tidak adil dan tindakan-tindakan mahkamah terhadap penghutang.
Kewujudan fasal 30 yang membenarkan kelompok pemiutang mengambil darah kelompok penghutang itu sebenarnya hak kelompok pemiutang yang telah dirampas oleh kelompok penghutang yang tidak sedar diri. Tetapi, penggunaan fasal 30 ini bukanlah bermaksud setiap rakyat di Barutang boleh membunuh sewenang-wenang sebagai cara mudah mendapatkan ganjaran untuk meneruskan kehidupan (darah yang boleh berubah menjadi butir-butir emas) dengan alasan mereka berhutang.
Tidak! Tidak! Membunuh dengan sengaja tetap tidak dibolehkan di negara Barutang dan pelaku akan dihukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang. Tanpa kompromi.
Kesalahan membunuh (dengan niat dan tanpa lesen) akan disabitkan kesalahan yang termaktub di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung mandatori (ada pilihan selain daripada hukum gantung berdasarkan keadaan). Apa-apa pun alasannya, membunuh tanpa Lesen Pengambilan Darah adalah tidak dibenarkan.
Perolehan Lesen Pengambilan Darah untuk membunuh penghutang perlu melalui prosedur yang ditetapkan. Pemiutang hendaklah membuat aduan dan menyertakan pelbagai dokumen dan bukti di mahkamah, termasuk bukti lisan. Setelah hakim mendapati terdapat bukti-bukti yang pihak penghutang bersalah dan melakukan penganiayaan, mahkamah akan meminta penghutang membayar hutang mereka dalam tempoh yang tertentu. Jika penghutang masih berdegil (sebenarnya banyak sungguh yang degil untuk melunaskan hutang sebelum fasal 30 itu diluluskan. Pelik, bukan?) dan tidak menurut arahan mahkamah, mahkamah akan bertindak mengeluarkan lesen tersebut untuk pemiutang mengambil darah penghutang yang menganiaya mereka. Butir-butir emas yang terkumpul, menjadi hak mutlak pemiutang. Tidak kira berapa jumlah emas tersebut apabila ditukarkan kepada wang.
Kewujudan fasal 30 ialah untuk membantu pemiutang individu yang dianiayai oleh penghutang. Ya! Aku ulangi: pemiutang individu yang dianiayai oleh penghutang. Akta ini langsung tidak boleh digunapakai oleh syarikat, organisasi, lintah darat apalagi Ah Long!
Kopi pekat itu sungguh sedap! Suara-suara pemprotes sudah tiada. Aku mengeluh. Terdapat segelintir penghutang, memandang enteng terhadap pembayaran hutang. Ada yang sengaja tidak membayar hutang dengan alasan tiada duit tetapi boleh pula berfoya-foya. Bukan itu sahaja, yang lebih memualkan, terdapat penghutang yang apabila diminta menjelaskan hutang oleh pemiutang (yang terdesak), mereka pula yang memarahi pemiutang tersebut.
Inilah yang dinamakan penganiayaan.
Disebabkan itulah, penghutang yang tegar boleh dikenal pasti secara mudah melalui hidung mereka yang panjang kerana suka menipu dan melakukan penganiayaan. Semakin galak mereka menganiaya pemiutang, semakin panjanglah hidung mereka.
Justeru, penambahan fasal di dalam akta tersebut, yang meluluskan pembunuhan penghutang (yang liat membayar) disambut baik oleh rakyat di negara Barutang - dan sudah tentulah ada pembangkang! Dan sudah tentulah juga ada pelbagai pendapat.
Aku teringat mengenai pendapat salah seorang sahabatku yang tidak bersetuju dengan kebenaran membunuh penghutang liat. Dia turut mengatakan permudahkanlah urusan orang yang berhutang. Berikan mereka masa untuk melunaskan hutang mereka dan perkara yang lebih molek, sedekahkanlah hutang itu jika mereka tidak mampu membayarnya kerana perkara tersebut lebih baik.
Apabila mendengar pandangan tersebut, aku teringat satu ayat di dalam kitab suci. Secara peribadinya, aku tiada sebarang bantahan terhadap pandangan ini. Ya, sememangnya melunaskan hutang memerlukan masa dan aku yakin, para pemiutang turut mempunyai timbang rasa. Berkenaan dengan sedekahkan sahaja hutang jika mereka tidak mampu, itu pun aku tiada sebarang penentangan.
Namun demikian, kita ini manusia yang memiliki pelbagai pemikiran (hitam dan putih). Jika pemiutang sanggup melepaskan hutang sebagai sedekah, pasti individu tersebut beranggapan itu ialah jalan yang terbaik baginya. Sama juga, jika berlaku sebaliknya. Jika pemiutang tidak sanggup menghalalkan hutang tersebut, memohon Lesen Pengambilan Darah, itu ialah jalan yang terbaik dalam pemikirannya.
Aku mengembalikan pandangan aku ke sungai. Sekawan ikan toman bersaiz anak lembu itu meloncat-loncat di permukaan air. Aku hairan mengapakah ikan toman itu boleh membesar sedemikian. Apakah yang mereka makan? Gembira betul mereka. Entah mengapa, aku melihat ikan toman itu seperti para penghutang yang liat membayar tetapi boleh pula dimudahkan urusan atau disedekahkan sahaja oleh pemiutang (bagi penghutang yang suka menganiaya). Analogi yang teruk, bukan? Aku tersenyum. Cuma … pendapat peribadi.
Atau, fikirku, hutang sama seperti alus manis ini (sambil mengunyah kuih alus manis). Sedap. Berlemak. Tetapi, tidak dapat dimakan selalu dan berterusan kerana kandungan gula dalam alus manis lambat-laun akan membenih penyakit kepada tubuh. Memudaratkan.
Aku mendongak. Sekawan burung cuba menggoda langit dengan tariannya. Mereka tampak gembira. Beberapa ekor helang sebesar badak sumbu berterbangan di langit yang sama. Secara peribadi, aku menyokong tindakan kerajaan menguatkuasakan akta tersebut untuk penghutang yang liat membayar hutang. Buat apa kita perlu kasihan jika hidung mereka itu panjangnya melepasi 10 sentimeter? Sebaliknya, jika penghutang tersebut, bertimbang rasa dan cepat melunaskan hutangnya, seharusnya pemiutang juga perlu bertimbang rasa.
Aku memejamkan mata, menghirup udara. Kicauan unggas sungguh mendamaikan. Tiba-tiba … ah, bunyi deringan pula mengganggu! Aku menyeluk poket, melihat nama pemanggil lalu menyambut panggilan, mendengar butir bicara si pemanggil.
“Dude, beri nombor akaun engkau. Aku nak bayar hutang engkau ni!”
Setelah membalas, aku menamatkan panggilan dan menghantar nombor akaun. Tidak lama kemudian, tibalah pesanan pemberitahuan berkenaan sejumlah RM6000.00 masuk ke akaun.
Aku tersenyum. Bagus bukan … ada lesen untuk mengambil darah para penghutang? Ugutan untuk memohon lesen membunuh penghutang itu ternyata menjadi kerana ramai penghutang yang sememangnya … takut mati.
Senyumanku menoreh bibir.
Seekor helang menyambar toman yang galak meloncat-loncat. Aku bangkit lalu melangkah pergi. Sepanjang perjalanan balik, aku lihat ramai individu yang mengumpul darah.
Anda … sudah bayar hutang?