KRING… Kring… Kring… Deringan jam yang agak bingit membuatkan dia terjaga daripada tidur. Dia mengeliat kecil kemudian berteleku sebentar di atas katil. Jam di sisi katil menunjukkan pukul 4.00 pagi. Dia segera bangun dan ke bilik air. Usai mandi dia mendirikan tahajud kemudian mengulang hafalan al-Quran yang telah dihafalnya. Seketika kemudian, azan Subuh mula berkumandang. Dia mengatur langkah ke masjid yang berdekatan dengan rumahnya.
***
Bunyi kereta yang memasuki halaman rumah mengganggu lenanya. Dia mencelikkan mata seketika. Namun, kantuk lebih menguasai diri membuatkan dia kembali menarik selimut tebal hingga kepala dan kembali ke alam mimpi.
“Ziyad! Oh Ziyad! Bangun solat Subuh. Matahari dah hampir naik ni.” Suara emak yang naik seoktaf sampai di pendengarannya.
Terpisat-pisat dia bangun. Wajah emak di muka pintu dipandang dengan mata yang separuh terbuka.
“Cepat, bangun solat! Subuh dah nak habis!” gesa emak lagi.
“ Iya mak. Yad nak bangun la ni.” Dengan malas dia bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Solat Subuh ditunaikan dengan ala kadar sahaja. Sekadar melengkapkan syarat sebagai muslim.
Kemudian, kedengaran pula suara emak mengejutkan bapa. Mungkin sudah dikejutkan berkali-kali sebelum emak memanggilnya tadi. Bapak pula pulangnya hampir subuh tadi, jadi acapkali saja dia terlepas subuh. Namun, setiap hari emak setia mengingatkan keluarga kecilnya untuk menunaikan kewajipan.
Ziyad menuju ke meja makan. Kelihatan bapa sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja kembali. Sejak perniagaan bapa berkembang maju, semakin singkatlah waktu bapa di rumah. Hanya emak yang sentiasa ada dengan Ziyad kerana emak merupakan suri rumah sepenuh masa. Tambahan pula, kesihatan emak yang kurang baik menyebabkan bapa tidak membenarkan emak bekerja. Kerja-kerja rumah pula selain memasak, bapa upah pembantu rumah untuk mengurangkan beban emak.
Bulan demi bulan perniagaan bapa semakin maju. Bapa pula semakin jarang berada di rumah. Hanya Ziyad yang baru berusia lima belas tahun dan emak serta Mak Leha sahaja yang berada di rumah.
“Emak, emak tak rasa kecil hatikah bapa selalu tak dapat teman emak ke hospital apabila emak sakit?” Persoalan yang sering bermain di benaknya terlontar jua sewaktu dia menemani emak ke hospital suatu hari.
Emak tersenyum sambil mengusap kepalanya. “Tak, sebab emak tahu bapak bekerja keras untuk keluarga kita.”
Senyuman emak nampak tawar di matanya walaupun emak cuba menafi. Pada saat seperti ini, sudah tentu emak sangat memerlukan bapa di sisinya. Kesihatan emak juga semakin merosot dari hari ke hari.
Suasana pada dinihari itu sayu sekali. Ziyad yang menunggu emak di hadapan wad kecemasan menangis teresak-esak di bahu Mak Leha. Kesihatan emak tiba-tiba kian meruncing. Berkali-kali dia cuba menghubungi bapa yang masih pulang namun tidak berjawab. Hatinya kewalahan. Dia meninggalkan pesan di whatsapp tentang berita itu.
“Mak Leha, emak akan baik-baik saja kan?” Dalam sedu dia bertanya.
“Ya, dengan izin Allah, emak kamu akan baik-baik saja.” Wanita tua itu cuba menenangkan anak majikannya.
Tidak lama kemudian kelihatan kelibat bapa berlari-lari anak ke arah mereka. Mungkin dia bergegas ke hospital selepas mendapat perkhabaran tersebut. Langkah bapak kelihatan tidak teratur dan cemas.
“Macam mana emak kamu?” Tanpa sempat menarik nafas bapak terus bertanya. Jelas kelihatan cemas di wajahnya.
“Belum ada apa-apa perkembangan. Emak masuk wad kecemasan dari pukul 2.00 pagi tadi, sampai sekarang doktor belum beritahu apa-apa.” Sayu suaranya memberitahu bapak.
Tidak sempat dia meneruskan bicara, seorang pegawai perubatan cemas berlari ke arah mereka.
“Keluarga Puan Sakinah, kan? Doktor mahu berjumpa dengan waris.”
Kalut-kalut bapa mengikuti langkah pegawai perubatan tersebut. Tampak sekali sesalan dan ketakutan di wajahnya. Dari kejauhan kedengaran azan Subuh berkumandang. Seiring dengan langkah lemah bapa menerima perkhabaran bahawa emak telah meninggalkan mereka, Ziyad terjelepuk pengsan menerima perkhabaran duka itu.
“Taip-tiap yang bernyawa akan mati dan sesungguhnya akan disempurnakan balasan-balasan pahala kamu pada hari akhirat kelak… .”
Suara imam membaca talkin menambah sebu di dada Ziyad. Sudah kering air matanya menangisi pemergian emak.
Bau kemboja di tanah perkuburan itu semakin lama semakin kuat . Pejam celik matanya apabila dia nampak kelibat ibu tersenyum manis kepadanya.
“Emak!” Sejurus itu pandangannya berbalam-balam dan kelam. Entah kali keberapa dia pengsan. Kelam kabut bapa apabila melihat anak tunggalnya itu tiba-tiba tidak sedarkan diri.
***
“Ziyad, bangun nak. Mari kita tahajud dulu sebelum ke masjid.” Suara bapa menyedarkan Ziyad daripada tidurnya. Begitulah rutinnya dengan bapa setelah emak meninggalkan mereka. Mereka bukan sahaja kehilangan emak, malah sebulan selepas itu, perniagaan yang dibina bapak juga turut hilang sekelip mata kerana bapak dikhianati rakan kongsinya.
Tiada apa yang tinggal untuk mereka melainkan dua pucuk surat yang ditulis oleh emak. Satu khusus kepada bapa, sepucuk lagi merupakan peninggalan emak buat dirinya beserta sebuah buku akaun simpanan milik emak yang diwasiatkan kepadanya.
Bapa, banyak berubah setelah emak pergi. Bapa memutuskan untuk pulang ke kampung dan tinggal dengan nenek, tambahan bapa juga anak tunggal. Bapa menggembleng kudrat untuk menampung keperluan seharian mereka. Awal-awal pagi selepas Subuh dia sudah keluar bekerja dan sebelum Maghrib bapa sudah iba di rumah. Sebelum Isyak bapa akan memastikan dia membaca al-Quran. Mungkin hal inilah yang membuatkan arwah emak jatuh cinta kepadanya suatu ketika dahulu.
“Emak, apa yang membuatkan emak jatuh cinta dengan bapak?” Soalan itu pernah dilontarkannya suatu ketika dahulu.
“Bapa rajin solat berjemaah di masjid dulu.” Emak tersenyum tapi senyumannya kelihatan tawar sekali. Mungkin tidak menduga yang bapak akan berubah sebegitu. Senyumannya turut pudar melihat kesedihan yang cuba disembunyikan emak.
Suara bapa yang sedang mengaji membawa pergi lamunan Ziyad. Dia mencapai al-Quran di atas rak dan mengikuti bapa mengaji. Rasa tenang sekali dapat meluangkan masa dengan bapa setiap hari sebelum dia bergerak menuju ke sekolah
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati… .”
Ayat itu membuatkan bapa menangis. Mungkin teringat dirinya yang dulu atau mungkin juga merindui arwah emak. Seketika kemudian bunyi ketukan beduk Subuh memanggil mereka untuk berjemaah di masjid.
Masuk tahun ini, sudah genap dua tahun emak meninggalkan mereka. Bapa pula banyak berubah, Kembali menjadi versi yang dicintai emak atau mungkin versi yang lebih baik. Namun sayang sekali, emak tiada bersama-sama untuk menikmati saat-saat indah begini. Ziyad pula akan mengambil peperiksaan penting tahun ini, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia. Masanya lebih banyak di perpustakaan sekolah untuk mengulangkaji pelajaran. Sebelah malam pula, bapa yang akan menyemak kerja sekolah dan membetulkan bacaan al-Qurannya.
Dinihari itu, cuacanya lebih dingin daripada biasa. Ziyad mencelikkan mata apabila terdengar bunyi orang mandi di bilik air. Jam di hujung kepala menunjukkan pukul 3.00 pagi. Ditoleh pula ke tempat tidur bapa.
‘Awal betul bapa bangun hari ini,’ getus hatinya.
Dia kembali menarik selimut untuk tidur seketika sebelum bertahajud bersama-sama bapa sebelum ke masjid Subuh nanti. Mata dicelikkan apabila dia sudah kelewatan untuk bertahajud dengan bapa. Dia segera mencapai tuala dan bergegas ke bilik air untuk mandi. Dia segera berjemaah dengan bapak. Usai solat, dia segera bersiap ala kadar.
Dia melihat bapa masih dalam posisi sujud. Ziyad sudah tidak sedap hati.
Terlalu lama sujud bapa. Rasa seakan runtuh dunia apabila melihat bapa seakan-akan tidak bernyawa. Dia cuba menyentuh bahu bapak, namun tiada reaksi. Dia sentuh lagi berkali-kali. Masih tiada jawapan. Dia terduduk tidak bermaya. Seiring dengan itu, bunyi ketukan beduk menandakan azan Subuh berkumandang.
“Nenek, tengok bapa, nek.” Tersedu-sedan dia memberitahu nenek.
Nenek tergopoh-gapah datang. Tubuh bapa yang sedang bersujud dibalikkan. Bapa pula meninggalkan dia. Dia meraung sekuat hati di dalam pelukan nenek.
***
Usai solat Subuh berjemaah di masjid dia duduk berteleku sebentar sebelum mengambil tempat di penjuru masjid. Sudah lima tahun bapa tinggalkan dia dan tujuh tahun emak telah pergi. Dia masih di kampung menemani nenek yang semakin uzur sambil-sambil mengusahakan tanah nenek. Ziyad juga turut mengajar anak-anak kecil dan juga beberapa penduduk mengaji al-Quran. Dia berharap keberkatan pahalanya sampai kepada emak dan bapak.