Satu
SUDAH beberapa kali Lokman datang ke rumah Mak Jah membawa hajat yang besar. Setelah bertanya khabar, Lokman cuba meluahkan niat asalnya berjumpa Mak Jah. Tapi, hasratnya tersekat pada kerongkongnya.
“Kamu kalau tak ada hal, sudah tentunya kau tak datang rumah mak ni, Man,” perli Mak Jah.
“Man bukannya tak nak datang, mak. Man sibuk,” jawab Lokman.
“Ni ada masa pula kau nak jumpa mak. Tak sibuk lagi ker?” jerkah Mak Jah.
Apa yang diucapkan Mak Jah itu sememang mengigit perasaannya. Tapi, apa dayanya. Tujuannya mahu membantu Juriah.
Minuman kopi dan ubi rebus yang Mak Jah hidangkan tidak pun disentuhnya. Perasaannya semakin tawar untuk menjamah minuman kopi dan ubi rebus itu. Niatnya dipatahkan oleh Mak Jah dengan jawapan yang menjengkelkan hati Lokman.
“Minumlah Man, jangan tengok saja air dan ubi rebus tu,” ujar Mak Jah.
“Tak payahlah mak, lagi pun Man datang bukan nak minum kopi dan ubi rebus mak ni. Man nak ceritakan masalah Man untuk mak dengar,” balas Lokman.
Lokman tidak mempunyai jalan lain selain mendapatkan wang tersebut daripada Mak Jah. Bagi Lokman mendapatkan wang itu dari Mak Jah lebih mudah daripada mendapatkan pinjaman dari Ah Long (ceti haram).
Pinjaman daripada Mak Jah tidak dikenakan apa-apa faedah. Lokman bimbang sekiranya dia membuat pinjaman Ah Long dan gagal pula membayarnya semula, keluarganya akan menerima musibah.
Banyak yang Lokman dengar daripada kawan-kawannya yang membuat pinjaman Ah Long. Nampak mudah tapi menyulitkan di kemudian hari. Mereka akan dipukul oleh geng Ah Long. Mereka juga akan diugut dan rumah mereka akan disimbah dengan cat sekiranya gagal membayar hutang dalam tempoh yang telah ditetapkan itu. Senario yang dialami oleh rakan-rakannya menjadikan Lokman semakin takut.
“Man nak jadikan duit tu untuk ubatkan penyakit Juriah, mak,” jawab Lokman.
Pandangan Mak Jah meraup wajah Lokman sepenuhnya. Sebelum ini, Lokman memisahkan Alyaa Khalisa dan Ifti daripadanya. Cucu-cucunya yang baru berusia 4 tahun dan 3 tahun dipisahkan daripada nenek mereka. Setiap kali Mak Jah ke rumah Lokman, pintu rumahnya tidak dibuka. Bukan itu sahaja, salam daripada Mak Jah pun tidak disambut oleh Lokman dan Juriah. Mak Jah menaiki bas pulang ke rumahnya di Puteri Warisan. Di dalam bas itu, air mata Mak Jah tergenang membasahi pipinya kerana berasa sedih perbuatan anak kandungnya itu.
“Apa sakit Juriah?” tanya Mak Jah.
“Susah Man nak cakap mak. Mukanya dah kuning. Selalu cirit-birit. Makanan yang masuk ke dalam mulutnya akan dimuntahkan semula. Man risau kalau tak mampu selamatkan Juriah, Man akan kehilangannya. Siapa yang akan jaga anak-anak Man yang masih kecil tu?” balas Lokman.
“Sejak tadi mak tanya kau, Man. Juriah tu sakit apa sebenarnya?” ulang Mak Jah.
“Pertama kali Man bawa Juriah ke klinik kesihatan, doktor kata Juriah hanya demam biasa,” ujar Lokman. “Tapi sakitnya berulang-ulang. Kali ini setiap senja Juriah demam. Man bawa Juriah ke klinik lagi. Perut Juriah mulai kembung dan tak ada selera makan. Man bawa lagi jumpa doktor lagi di klinik kesihatan yang sama,” tambah Lokman.
Mak Jah terdiam. Kalau tidak kerana Juriah jatuh sakit, sudah tentu tidak nampak batang hidung Lokman datang ke rumahnya. Rindu Mak Jah terhadap cucu-cucunya, iaitu Alyaa Khalisa dan Ifti terhalang kerana sikap Lokman yang enggan membenarkan cucu-cucunya itu berjumpanya.
“Akhirnya, Dr. Ramesh dari Klinik Kesihatan Desa Rhu itu mengesyorkan Juriah dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut,” ujar Lokman. “Juriah diperiksa menggunakan alat ultra sound dan ujian darah. Barulah pakar perubatan tahu rupa-rupanya Juriah menghidap batu karang dalam hempedu. Nak membuang batu karang daripada hempedunya hanya melalui pembedahan saja,” tambah Lokman.
“Bila Juriah akan dibedah?” Tanya Mak Jah
“Kalau diikutkan giliran Juriah, pembedahan itu hanya boleh dijalankan tahun depan. Banyak pesakit lain yang menghidap penyakit yang sama. Kalau nak buang batu karang itu dengan segera, Juriah boleh melakukannya di Hospital Cempaka, hospital swasta yang terletak di Senawang itu.” Balas Lokman. “Kos pembedahan itulah yang Man nak pinjam wang daripada mak tu,” tambah Lokman.
“Berapa kosnya, Man?” soal Mak Jah.
“RM20,000 mak,” jawab Lokman.
Mak Jah terdiam.
“Tolonglah Man, mak… Man tak tahu nak jumpa siapa lagi selain mak,” rayu Lokman. Lokman terdiam merenung lantai rumah.
Mak Jah mungkin tak senang dengan Juriah, kerana Juriah bukan menantu pilihannya. Mak Jah mahu menjodohkan Lokman dengan Ina yang tinggal di Kampung Jawa, dekat Klang itu. Tapi, perkara itu tidaklah melukakan hati Mak Jah sangat. Mak Jah anggap jodoh dan pertemuan itu terletak di tangan Tuhan.
“Ju memang nak pisahkan anak-anak Ju dari emak. Mak Ju pesan, jangan baik sangat dengan mak mertua. Mak mertua tu jahat,” ucapan Juriah, menantunya itu masih tergiang-giang di kuping telinganya. Hati Mak Jah jadi sebak mengingatnya.
Sikap Lokman yang tidak menunaikan janjinya pada Ina menyebabkan hingga sekarang pun Ina tidak pernah kahwin kerana berasa kecewa dengan sikap Lokman yang enggan mengambilnya sebagai isteri.
Lokman tak mahu kahwin dengan sepupunya itu kerana beranggapan perkahwinan yang begitu bakal melahirkan genetik yang kurang sihat. Lokman hargai kesetiaan Ina itu. Tetapi pada Juriah, Lokman membuat pengakuannya di depan Mak Jah, cintanya sepenuh hati.
Mak Jah terkilan kerana kedegilan Lokman mengikut cadangannya berkahwin dengan Ina. Sebab kedegilan memilih Juriah, Lokman menerima kifarah daripada Tuhan.
Dua
Mak Jah anggap Lokman ialah anak malang kepadanya kerana Lokman sering menyakitkan hatinya. Bukannya Mak Jah tak kenal perangai buruk Lokman sebelum ini. Sewaktu duit Mak Jah hilang di akaun bank itu, Mak Jah syak semuanya kerja-kerja Lokman.
Sewaktu kad ATM itu hilang, Mak Jah tidak mengesyaki sesiapa pun dan menganggap dirinya yang cuai kerana tidak menyimpan kad ATM itu ditempat yang selamat. Seingat Mak Jah, Lokman yang sering menemankannya untuk mengeluarkan wang di bank menggunakan kad ATMnya itu.
Mak Jah ada sebab kenapa Mak Jah mengesyaki Lokman kerana hanya Lokman yang tahu nombor pin pada kad ATM yang disimpan dalam tas tangannya. Atas kecuaiannya itu, Mak Jah tidak membuat laporan polis.
Kad ATM bank yang hilang itu diganti baru oleh pihak bank. Mak Jah hampir pengsan apabila mendapati wang RM20,000 dalam akaun simpanannya lesap begitu sahaja. Melalui kawan-kawan Lokman, Mak Jah mendapat tahu Lokman kalah judi siber.
Pihak bank tidak mengganti wang Mak Jah yang hilang itu kerana kecuaian Mak Jah menyimpan kad ATM tersebut di tempat yang selamat. Pihak bank meminta Mak Jah membuat laporan polis kerana hanya mereka yang tahu nombor pin pada kad ATM boleh mengeluarkan wang pemilik kad itu.
Tapi, Mak Jah tidak membuat polis kerana mahu menjaga maruah Lokman dan tempias kepada keluarganya sekiranya Lokman ditangkap polis. Lokman membuat muka selamba. Lokman tidak mengaku apa-apa di depan Mak Jah atas kehilangan wang simpanannya itu.
Lokman membawa Mak Jah berjumpa dengan Encik Rashid, pegawai bank komersial itu. Pegawai bank itu telah meminta Lokman menunggu di luar bank dan memberitahunya, pihak bank mempunyai sistem kawalan kewangan yang baik terutamanya perkara-perkara yang melibatkan akaun pelanggannya.
Perkara yang berlaku ke atas Mak Jah terjadi apabila ada pihak ketiga mengetahui nombor pin Mak Jah dan membolehkan si fulan itu mengeluarkan wang Mak Jah melalui kad ATMnya itu.
“Cuba Mak Jah ingat baik-baik dengan siapa Mak Jah pernah serahkan kad ATM dan nombor pinnya sekali?” tanya Encik Rashid.
Mak Jah terdiam kerana berasa serba salah mahu memberitahu kepada pegawai bank itu.
“Selain Mak Jah, siapa yang tahu nombor pin itu?” ulang Encik Rashid yang berkulit hitam manis itu.
Hati Mak Jah berat mahu memberitahu nama Lokman kerana hanya Lokman yang pegang kad ATM itu. Bukan itu saja, hanya Lokman juga yang tahu nombor pin kad ATMnya.
“Cuba tanyakan anak Mak Jah kalau dia ada gunakan kad ATM untuk keluarkan wang tu,” ujar Encik Rashid.
“Mak Cik tak bercadang nak buat laporan polis atas kehilangan wang Mak Jah ini?” soal Encik Rashid.
Ada perasaan yang meresap ke dalam sanubarinya yang menghalangnya berbuat demikian. Lokman akan menjauhkan dirinya. Bukan sahaja Lokman, termasuklah Juriah dan anak-anaknya, Alyaa dan Ifti.
Mak Jah sayangkan cucu-cucunya itu dan tidak mahu kehilangan cucu-cucunya sekiranya Lokman membawa mereka berpindah jauh. Akhirnya, Mak Jah berkata begini kepada pegawai bank itu.
“Nantilah, Mak Jah fikirkan,” ujar Mak Jah dan keluar dari bank komersial terletak di Bandar Dato’ Tunggal itu.
Mak Jah tidak memberitahu Lokman hasil perbincangannya dengan Encik Rashid walaupun Lokman mendesaknya beberapa kali. Hati Lokman berasa lega kerana Mak Jah tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Tiga
Pulang dari rumah Mak Jah petang itu, Juriah mendapatkan Lokman. Juriah mengharapkan berita yang mengembirakan dari suaminya. Alyaa dan Ifti datang mendekati Lokman dan mengharapkan aiskrim yang dijanjikan Lokman.
“Lama sangat abang ke rumah mak, dapat ke wang RM20,000 yang kita mahukan itu?” soal Juriah.
“Mak tak mahu bantu kita Ju,” balas Lokman.
“Kenapa?” Tanya Juriah.
“Mak tak berikan apa-apa alasan pun,” balas Lokman.
Juriah menghelakan nafas kecewanya. Tiba-tiba perut Juriah berasa sakit dan berlari ke bilik air. Lokman hanya termenung di ruang tamu bersama anak-anaknya.
Selepas mendengarkan bunyi flush dari tangki tandas, tiba-tiba kedengaran bunyi kuat. Lokman berlari-lari menuju ke tandas. Juriah rebah di lantai tandas. Lokman menelefon pihak Hospital Tuanku Jaafar. Beberapa ketika kemudian kedengaran ambulan sampai ke rumah Lokman. Juriah dibawa ke hospital.
Pagi itu Mak Jah mengenakan tudungnya berwarna ungu menaiki basikal yang biasa digunakan bersolat jemaah di Masjid Jamek Puteri Warisan itu ke rumah Lebai Zan Manat. Kedatangan Mak Jah disambut oleh isteri Lebai Zan Manat, Hajjah Maimun dan anak perempuannya Melati.
“Ada apa Jah?” soal Hajah Maimun.
“Aku nak minta tolong Melati sekejap. Aku nak ke bank.” ujar Mak Jah.
Tiba-tiba muncul Lebai Zan Manat sedang memegang kitab di tangannya. Kitabnya itu diletakkan di atas rak bukunya.
“Ada apa Jah?” Soal Lebai Zan Manat.
“Aku mimpi tak baik tentang keluarga anak aku, Lokman tu,” ujar Mak Jah.
“Setahu aku dah lama Lokman tak datang jenguk kau kan?” tanya Lebai Zan Manat.
“Hari itu Lokman ada pulang. Dia khabarkan pada aku isterinya, Juriah sedang sakit. Lokman nak pakai duit,” terang Mak Jah.
“Berapa banyak Lokman nak pakai?” soal Hajah Maimun.
“Sakit Juriah tu perlu dibedah. Nak buangkan batu karang dalam hempedunya itu. Banyak juga Lokman minta duit daripada aku,” jelas Mak Jah.
Mak Jah tidak memanjangkan perkara itu. Melati telah pun bersiap untuk membawa Mak Jah ke bank di pekan Puteri Warisan. Beberapa kali Mak Jah mengurut dadanya kerana hati keibuannya tidak selesa apabila terkenangkan nasib yang menimpa Lokman dan menantunya itu.
“Mak Jah duduk dulu. Biar Melati ambil nombor giliran,” ujar Melati apabila sampai ke bank yang terletak di Jalan Dato Bandar Tunggal itu.
Dada Mak Jah berdegup-degup tidak tentu arah rasa di hatinya. Kepalanya tunduk ke bawah dan mendongak ke arah angka giliran yang dipaparkan di skrin menunggu gilirannya. Melati membantu Mak Jah mengisi borang memasukkan wang ke akaun Lokman.
Usai memasukkan wang itu, Melati dan Mak Jah berjalan kaki ke kawasan pakir kereta berbayar di pekan itu.
“Mak Jah rasa tak sedap hatilah, Melati. Boleh tak bawa Mak Jah ke hospital?” ujar Mak Jah.
“Baiklah, Mak Jah.” balas Melati.
Ketika keluar dari kereta, Mak Jah melihat kelibat Lokman yang kusut masai itu. Mak Jah menjerit memanggil Lokman.
“Eh, mak. Melati pun ada.” ujar Lokman.
Melati pulang ke rumahnya dan Lokman membawa Mak Jah ke wad Juriah dibedah. Mak Jah berasa gembira melihat Alyaa Khalisa dan Ifti. Mak Jah memeluk mereka berdua bagi melepaskan kerinduannya.
“Mak, terima kasih banyak-banyak. Juriah telah selamat dibedah. Batu karang dalam hempedunya sudah dibuang. Juriah berasa terhutang budi pada mak. Juriah nak jumpa mak minta ampun atas perbuatannya tu,” ujar Lokman di katil wad Juriah.
Tiba-tiba seorang jururawat dengan rasa cemas mendapatkan Lokman dan Mak Jah.
“Dr. Kamal nak jumpa,” ujar jururawat bernama Kartini itu.
“Berlaku komplikasi pada bahagian jantungnya. Bekalan oksigen ke jantung Juriah terputus setengah jam… pihak kami cuba menyelamatkannya, tapi gagal Lokman,” ujar Dr. Kamal sambil menepuk-nepuk bahu Lokman supaya banyak bersabar.
Lokman terkesima dan terduduk sambil menangis teresak-esak di atas lantai hospital itu. Mak Jah termenung jauh.