Skip to content
Kisah Burung Kedasih
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Kisah Burung Kedasih
Kisah Burung Kedasih
Cerpen

Kisah Burung Kedasih

  • ABDUL RAZAK BIN OTHMAN
  • 6 Mei 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 420
  • 4.8

1

SAYA mengenali kawan yang seorang ini ketika di bangku sekolah. Semenjak itu jugalah kami sentiasa berselisih pandangan dan bertentangan pendapat. Kini sesudah masing-masing berumah tangga dan beranak pinak, kami masih tidak sependapat dalam banyak hal. Adakala selisih dan beza pendapat antara kami membabitkan hal-hal kecil, remeh atau merepek, bahkan boleh juga membabitkan perkara besar dan mencabar. Kali terakhir kami berbahas melalui media sosial fasal akal binatang.

Kawan saya itu menulis satu kenyataan di laman Facebook dengan mengatakan bahawa binatang memiliki akal dan mempunyai keupayaaan berfikir. Kenyataan ini sememangnya mengundang peluang sesiapa sahaja untuk mempertikaikannya. Lantas saya memberi komen dengan gaya bahasa acuh tak acuh kerana yakin kawan saya ini akan membalas semula kata-kata saya itu. Dia pasti tidak mudah mengalah dan akan menempelak balik komen itu dengan bahasa yang lebih tajam.

Sangkaan saya benar. Dia seakan-akan mengherdik apabila saya berhujah balas dengan mengatakan, “Binatang ada otak tetapi tiada akal.”

Tambahnya, “Mana kau tahu binatang tiada akal dan tidak boleh berfikir?”

Dialog itu terhenti di situ, sehinggalah kami bertemu pada suatu petang ketika sama-sama keluar dari masjid usai solat asar. Saya mengajaknya minum di gerai berdekatan. Setelah bertanya khabar seadanya, saya memasang perangkap kata untuk menyambung kembali topik yang tergantung sambil mengajak beliau berdiskusi dengan lebih lanjut.

“Otak yang Allah cipta untuk binatang bukannya berfungsi untuk berfikir,” saya cuba bersuara.

“Kau pernah tak tengok dokumentari TV Animal Planet?” dia terus persoalkan jika benar binatang tidak mempunyai akal.

“Bagaimana seekor karnivor boleh menyusun strategi dan helah untuk memerangkap serta membaham mangsa? Malah mangsa juga pada masa yang sama punya akal berfikir untuk berusaha melepaskan diri daripada serangan itu. Itulah namanya pertembungan antara akal dengan akal. Sebab itu adakala mangsa tewas, dan pada masa yang lain pemangsa pula gagal. Sudah ditetapkan Allah yang sesetengah binatang itu menjadi mangsa manakala sebahagian yang lain pula sebagai pemangsa. Begitulah kitaran dalam sistem rantaian makanan bagi setiap makhluk Tuhan,” bersungguh-sungguh hujahnya.

Saya dapat menjangka pertikaian ini akan menjadi perbahasan panjang dan bertele-tele. Semenjak mengenali dirinya, memang sukar untuk dia bersetuju apatah lagi mengiakan pendapat saya setiap kali kami berdebat. Kemudian saya mengingatkan kawan saya itu bahawa Islam menyifatkan manusia sebagai sebaik-baik kejadian kerana dibekalkan akal. Sebaliknya, semua binatang dianggap tidak semulia manusia kerana ia tidak berakal. Disebabkan akal, manusia diangkat martabat sebagai khalifah Allah di muka bumi. Malah kerana akal juga manusia akan dipersoalkan segala amalan di mahsyar kelak.

Saya fikir strategi untuk mengunci mulut dan mematikan hujahnya adalah dengan mengemukakan nas-nas al-Quran dan hadis tentang perkara ini. Saya harap dia lebih berhati-hati untuk membahaskan hal ini. Namun, hujah agama juga masih belum berjaya menundukkannya. 

Kawan saya ini tidak mahu mengalah. “Ya syeikh, ya maulana, ya utama! Usah terlalu terbuka, bahaya! Tidak semua perkara boleh dipertikai dan diakal-akalkan. Harus kita terima dengan yakin tanpa rasa ragu, was-was mahupun waham akan sesuatu perkara itu jika telah termaktub dengan dalil naqli. Jangan!” Kenyataan balas inilah yang saya kira paling ampuh.

Tidak cukup dengan itu, saya tanyakan dengan nada sinis, “Sanggupkah kau nafi firman atau sabda?”

Saya fikir kata-kata yang diungkapkan ini cukup keras walaupun lembut denga nada sebutan. Mudah-mudahan akan menusuk ke lubuk hati sebagai tumbukan bertaraf knock out sekali gus dapat menundukkan egonya. Tetapi, sangkaan saya tersasar. Dia masih terus berhujah, cuma nada suaranya kini sedikit kendur dan menurun. Mungkin dia terkesan dengan sindiran saya tadi.

“Aku tidak katakan akal binatang itu setaraf akal manusia. Binatang punya kemampuan berfikir terhad dan berbeza antara satu dengan yang lain. Kau tahu, apakah maksud terhad itu? Boleh kau jelaskan perbezaan akal manusia dengan akal haiwan? Boleh kau perincikan beza otak dengan minda? Dan perbezaan antara berakal dengan berfikir?”

Saya cepat-cepat mengaku tidak tahu sebagai jalan pintas untuk segera menghentikan perbahasan. Saya tahu empat pertanyaan yang bertubi-tubi itu ialah soalan perangkap. Tiada guna saya menjawab. Walau bagaimana benar jawapan saya, tetap tidak akan tepat baginya. Biarlah saya beralah untuk sekian kali.

Setiap kali memberi hujah balas, dia tidak menjelaskan secara tuntas. Sebaliknya, dia menyoal kembali dengan pertanyaan bertubi-tubi begitu dan begini sehingga kadangkala memeningkan saya. Terus saya meminta dia sendiri yang menjawab pertanyaannya. Lagipun ketika ini saya sudah mulai bosan untuk berbahas dengan sejenis manusia berlagak intelek yang lebih kepada loyar buruk ini.

Kata kawan saya itu, “Binatang hanya berfikir semasa ia hendak bertindak atau melakukan sesuatu perbuatan. Apa yang dilakukan itulah apa-apa yang difikirkan beberapa detik sebelumnya. Tetapi semua perkara yang difikirkan itu segera lenyap apabila sudah dilakukan. Binatang tidak dapat mengingati kembali sepenuhnya apa-apa yang telah difikirkan tadi. Apatah lagi untuk membuat analisis kembali serta muhasabah terhadap perlakuan yang lepas-lepas. Berbeza dengan akal manusia. Akal manusia dapat fikirkan dan ingat kembali perkara yang ada dalam fikiran kita sebelum ini. Akal manusia boleh menilai dan menganalisis perkara yang telah kita fikirkan, malah menimbang baik buruk sebelum dan selepas bertindak sesuatu untuk menjadi pedoman pada masa akan datang. Hal ini yang kita sebut introspeksi atau koreksi diri yang kau sebutkan muhasabah.” 

“Dan lagi?” saya menyampuk konon-konon mula berminat dengan penjelasannya.

“Lagipun, sistem otak manusia itu sendiri sangat ajaib dan menakjubkan. Saintis mengatakan otak manusia, berat tidak sampai pun satu kilogram, tetapi mengandungi 10 bilion sel yang disebut neuron. Satu neuron mempunyai 10 ribu rangkaian yang bergabung dengan sel-sel lain. Setiap rangkaian ini dihubungkan oleh sejenis urat yang disebut sebagai synapse. Jadi, dalam setiap otak manusia ada 10 trilion synapse,” dia terus menyambung.

“Amboi, banyaknya! Tetapi synapse itu untuk apa pula bro?”

Mendengar pertanyaan saya sedemikian apalagi berbasa-basi panggilan bro untuk dirinya membuatkan dia tertawa.

Ketika ini saya hanya senyum kambing seperti orang bodoh. Kemudian dia melanjutkan bicara dengan lebih yakin. Manakala saya tiada pilihan, terpaksa melorongkan untuk dia terus berhujah. Berpura-pura mengambil hati seperti saya ini benar-benar ingin tahu.

“Synapse itu umpama bilik-bilik kecil yang menyimpan data atau memori. Cendekiawan yang kuat ingatan atau hafiz yang berjaya menghafal al-Quran 30 juzuk akan menggunakan sehingga 50% synapse daripada itu. Tetapi orang biasa macam kita, antara 20 hingga 30% sahaja. Bahkan kalau orang itu jenis mudah lupa atau malas berfikir, kuranglah lagi, mungkin hanya 10%. Tetapi ingat, kalau kurang daripada 5%, orang itu sudah ke tahap Alzheimer dan boleh digelar nyanyuk.”

Panjang sekali dia merungkaikan persoalan yang ditimbulkan sendiri. Sudah saya duga, inilah strateginya untuk mematikan hujah atau membisukan saya. Apa boleh buat, sudah itu kelebihannya. Otak saya semacam kekeringan idea. Lagi pula saya malas untuk memikirkan dan mempertikai hujah-hujah ilmiah seperti itu.

“Hebat kau sahabat. Justeru aku dengan rela hati mengaku kalah. Jadi, terimalah hadiah daripadaku. Sekarang tutup matamu,” saya mencelah.

“Eh, hadiah apa pula?” Dia kehairanan.

“Baik, sekarang kau dongak kepala dan buka mata. Maka aku hadiahkan kau seluas-luas langit biru yang berhias pulau-pulau awan yang berapungan itu. Di langit sana ada awan kumulus, di situ bertompok-tompok awan sirus, di sana pula tampak bersisik-sisik semacam awan stratus. Ambillah semuanya itu. Kalau mampu kau bawalah balik ke rumah,” saya membalas.

Kawan saya itu perlahan-lahan memalingkan muka dan mendongak ke arah langit.

Kemudian, bagai seorang pujangga saya berbisik. “Indah bukan? Tetapi keindahan ini akan lenyap apabila munculnya jerebu hitam al-Dhukan.”

Selepas saya berkata begitu, kami berdua diam. Perbahasan terhenti di situ apabila masing-masing memandang ke arah yang berbeza. Saya yakin kata-kata sinis saya ini sedikit sebanyak telah menggores hatinya. Namun, syukurlah dia tidak beremosi. Sejurus kemudian, kami pun bersurai dengan meladeni hati dan perasaan masing-masing. Saya membayar harga teh tarik dan roti bakar yang kami nikmati petang itu.

2

Selepas peristiwa petang itu, saya sering mengelakkan diri daripada berjumpa dengannya. Lebih sebulan kami tidak bertemu dan tidak berkomunikasi sama ada melalui telefon atau media sosial.

Suatu pagi tiba-tiba dia menyergah saya menerusi Whatsapp.

“Kau ke mana, lama senyap? Bersuluk ke?” dia bertanya.

Pertanyaan nada sinis itu tidak segera saya jawab. Kebetulan pagi itu saya sedang bersiap untuk pergi memancing di sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah. Sejurus melempar umpan, saya terfikir-fikir tentang jawapan yang patut saya balas.

Bunyi murai, merbah dan segala jenis hidupan hutan kedengaran dari dekat dan jauh, bagai menemani saya memancing. Kala itu saya tertarik dengan satu kicau nyaring dan langsing yang saya pasti itu ialah suara burung kedasih betina. Suaranya melengking bak orang mengilai dan kedengaran dari ranting pohonan tinggi di tebing Sungai Galas.

Saya cuba mengamati arah si kedasih itu berada. Namun agak sukar dipastikan di pohon mana dan di dahan mana bertenggernya si kedasih itu.

Saya mengenali nama burung kedasih ini melalui video pada laman YouTube. Nama saintifiknya Cuculus merulinus. Lalu saya membelek-belek telefon untuk mencari sesuatu di Internet sambil meneliti kembali video dokumentari tentang tabiat burung parasit yang terkenal dengan sifat pemalas dan jahat ini.

Kedasih betina tidak pernah membuat sarang sendiri sekalipun untuk bertelur. Ia senyap-senyap menumpangkan telurnya di sarang burung lain yang lebih kecil daripada saiz tubuhnya. Sesudah bertelur di situ, kedasih betina akan merosakkan sebiji dua telur burung empunya sarang dengan menguis keluar dari sarang lalu jatuh ke tanah dan pecah.

Telur kedasih yang ditumpang itu biasanya menetas lebih awal daripada telur burung empunya sarang. Sejurus sahaja menetas, si anak kedasih itu terus mewarisi kejahatan induknya. Ketika mata belum pun celik sepenuhnya, si anak cuba menyingkirkan telur atau anak-anak burung asal dari sarang. Ketika ibu burung keluar mencari makanan, ketika inilah anak kedasih itu berbuat angkara.

Anak burung kedasih sudah menjadi pembunuh pada hari pertama ia menetas. Sikap tamak dan lahap anak kedasih terserlah apabila ibu angkatnya pulang dengan membawa ulat, serangga atau makanan di paruhnya. Ia akan mengangakan mulut seluas-luasnya untuk merebut makanan itu.

Sehinggalah si anak kedasih membesar dan mempamerkan bentuk tubuh serta warna bulu yang berbeza, namun si ibu angkat masih tidak mengesyaki kelainan fizikal anaknya. Terus sahaja si ibu menyuap anak kedasih yang berhati hitam itu dengan penuh kasih sayang.

Menyaksikan gelagat ibu burung ini, mengingatkan saya pula kepada Seloka Emak Si Randang:

“anak di pangku diletakkan
kera di hutan disusui
dagang pergi awak terhutang
beras habis, padi tak jadi”.

Sesudah boleh terbang dan mampu hidup berdikari, anak kedasih itu masih di situ. Pandai ia merengek-rengek manja, berlakon bagaikan si anak kecil yang kelaparan untuk terus mengundang simpati si ibu yang berhati mulia. Demikian kisah kejahatan burung bernama kedasih. Saya terfikir, amat sesuai jika digelarkan burung ini sebagai burung iblis atau burung Zionis sebagai nama timangan.

3

Menonton kembali video tentang kedasih di YouTube membuatkan saya leka. Mata pancing entah masih berumpan atau sebaliknya, tidak saya pedulikan. Sambil bersandar di pangkal pokok neram yang besar, saya sebenarnya sedang bersuluk seorang diri dengan perasaan dan fikiran dibuai bunyi alam, omelan nyamuk hutan dan rengit.

Saya tiba-tiba bertenaga untuk berhujah kembali dengan kawan saya itu bahawa otak binatang memang tidak boleh berfikir. Setiap perlakuan dan tindakan binatang itu tidak bermula daripada fikiran, sebaliknya bertitik tolak daripada naluri. Naluri itu datang bersama nafsu yang didorong oleh fitrah atau sifat semula jadi yang Allah telah tetapkan. Selebihnya dipengaruhi oleh persekitaran dan habitat haiwan itu sendiri.

Untuk membuktikan perkara ini, saya mahu menisbahkan kejahatan anak kedasih bermula sejurus ia menetas, sebagai contoh. Mungkin saya akan bertanyakan kawan saya itu, adakah logik seekor anak burung yang baharu menetas sudah mampu berfikir pada hari pertama ia keluar daripada dunia telur?

Saya berhasrat mengajukan hujah ini secara berhikmah. Saya telah memahami keagungan Allah Yang Maha Pencipta melalui makhluk kedasih ini. Saya teringin membalas mesej kawan itu dengan memberitahu bahawa benar sangkaannya yang saya kini sedang bersuluk tetapi bersuluk dengan cara sendiri. Bersuluk dengan tidak memencilkan diri daripada manusia dan keriuhan dunia. Saya bimbang keterasingan boleh menjadikan akal pasif dan kurang sensitif dengan hal ehwal semasa yang berlaku di sekeliling.

Umpamanya isu pembantaian Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza. Hal ini idak boleh dipandang sepi sebagai suatu kelaziman. Umat Islam harus bangkit bersuara. Hati yang mati ialah hati yang selamba melihat kedurjanaan tanpa rasa gugah.

Saya menimbang sama ada mahu membalas mesejnya tadi ataupun mengabaikan sahaja. Andai saya balas mesej pada saat ini, bimbang pula dianggap mahu menyambung kembali episod pertelagahan antara kami pada bulan yang lalu. Saya tidak lagi gusar untuk mendepani percanggahan pendapat walaupun dalam bab yang membabitkan agama kerana kebanyakan isu yang kami bahas seputar perkara furuk sahaja, tidak membabitkan persoalan pokok, iaitu akidah.

Kepada sahabat itu, saya sedang menulis suatu draf pengakuan jujur buat dirinya tetapi belum mampu saya kirimkan kepadanya ketika ini. Biarlah saya simpan dahulu sehingga tiba masa yang sesuai.

Kira-kira draf awal itu berbunyi lebih kurang begini,

“Kita sering berbeza pendapat, tetapi anda tetap sahabat saya nombor satu. Daripada perbahasan kita, aku telah melihat egomu, malah aku juga sempat pelajari erti berlapang dada selain cuba meresapkan rasa merendah diri dan berjiwa besar. Ya, sememangnya ada hikmah setiap kali kita berdebat.”

Benarlah sabda nabi, perbezaan pendapat dalam kalangan umat merupakan rahmat. Perbezaan pendapat tidak harus melebarkan sengketa tetapi membesarkan pengetahuan selain mencambahkan wacana ilmu. Semoga bunga kematangan terus berputik dan akhirnya membuahkan kebijaksanaan kita. Aku mohon berlindung agar tidak tergolong daripada manusia yang cerdas akal tetapi tersesat di dalam dunia fikirnya sendiri.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

M.Z Halim Hassan Anak Seni yang Wajar Dikenang
Bicara Bahasa

M.Z Halim Hassan Anak Seni yang Wajar Dikenang

  • 20 Februari 2025
  • 41
  • 4
Rasa Secawan Espreso Penguasa
Puisi

Rasa Secawan Espreso Penguasa

  • 20 November 2024
  • 177
  • 4.4
دعوت ڤيلو رفاه
Puisi Moden

دعوت ڤيلو رفاه

  • 20 Julai 2024
  • 4.3
Bhadhu dan Suval: Pakaian Lelaki Tenunan Etnik Rungus
Kearifan Tempatan

Bhadhu dan Suval: Pakaian Lelaki Tenunan Etnik Rungus

  • 5 Oktober 2023
  • 1028
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP