SUARA hingar bingar kedengaran sehingga ke pinggir hutan. Bunyi suara bersipongang mengisi dewan besar di tengah belantara pada tengah malam itu. Langit sudah gelap-gelita dengan purnama penuh melimpahkan secebis cahayanya ke kawasan yang jauh daripada penempatan manusia itu.
Sedang manusia lena di rumah, di atas kasur empuk dalam pelukan pasangan masing-masing, hantu-hantu mula berjaga setelah seharian menyorok daripada kemunculan mereka. Malam ini malam yang penting. Hantu-hantu dari seluruh pelosok negara berkumpul di sebuah dewan lama di Hutan Pahang. Malam ini, mereka berkumpul demi satu matlamat, satu tujuan untuk membincangkan masalah-masalah yang didatangkan manusia ke atas kehidupan atau kematian mereka.
Di dalam dewan, berkumpul segala jenis hantu yang selama ini menghuni negara Malaysia secara senyap. Ada yang berbadan genit berwarna hijau, ada yang dibungkus kain kafan yang hampir reput dan kotor dengan tanah, ada yang berambut kusut-masai dengan baju compang-camping dan pelbagai lagi ragam di luar jangka dan sangkaan manusia.
Butir bicara hantu-hantu di dalam dewan itu tidak dapat difahami dengan telinga kasar. Yang terdengar hanya hilaian ngeri dan jeritan yang keluar dari mulut mereka.
Hanya telinga yang punya kasyaf sahaja tahu bahawa malam itu, mereka berkumpul dengan satu tujuan dan satu tekad yang sama, iaitu demi membalas dendam kepada umat manusia.
Dewan yang gamat itu tiba-tiba senyap apabila terdengar pengumuman ketibaan Yang Keji Raja Jembalang. Mata dan lohong mata hantu-hantu itu kemudian terpaku pada pintu masuk hadapan dewan. Perlahan, selangkah demi selangkah diambil oleh Yang Keji Raja Jembalang ke tempat duduk istimewanya.
Sebaik sahaja Yang Keji Raja Jembalang melabuhkan punggungnya, majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis. Dia meraikan kedatangan Yang Keji Raja Jembalang, para pembesar hantu, wakil-wakil hantu dari pelbagai bangsa serta semua hadirin yang datang dari seluruh pelosok Malaysia demi menjayakan majlis buat julung-julung kalinya, Kongres Hantu Malaya pada malam ini.
Sesudah itu, mereka semua berdiri tegak membacakan Ikrar Hantu Malaya dan kemudiannya menyanyikan lagu rasmi. Selesai nyanyian lagu tersebut, pentas diberikan kepada Yang Keji Raja Jembalang untuk menyampaikan sepatah dua kata sekali gus merasmikan majlis gilang-gemilang itu. Selepas perasmian oleh Yang Keji Raja Jembalang, pengerusi majlis kembali mengambil alih pentas.
“Dengan berakhirnya kata alu-aluan dan perasmian oleh Yang Keji Raja Jembalang, maka dengan ini, saya menyerahkan pentas kepada petinggi-petinggi atau wakil-wakil hantu untuk tampil ke hadapan demi menyuarakan konflik atau isu berbangkit yang patut dibincangkan. Dengan segala hormatnya dipersilakan,” pengerusi majlis turun dari podium pentas.
Beberapa detik kemudian, seisi dewan sepi menantikan wakil hantu mana yang mahu menjadi yang pertama naik ke pentas dan menyuarakan isu atau melontarkan pendapat mereka. Penantian yang sementara itu diakhiri dengan berdirinya petinggi kaum Orang Bunian. Mata dan lohong mata semua hantu terpaku pada penampilan petinggi Orang Bunian. Pakaiannya kemas dengan sepersalinan Baju Melayu Teluk Belanga berwarna kuning lembut, bersampingkan songket dan bertanjak. Bunyi keletuk keletak capal mengiringi langkahnya naik ke atas pentas dan terus ke podium.
“Cubaan suara,” perkataan pertama keluar daripada petinggi Orang Bunian bernama Talhah.
“Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kata selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara”.
Pantun dijual sebagai tanda mula bicaranya malam itu. Kemudian dilanjutkan lagi dengan kata-kata sembah hormat kepada Yang Keji Raja Jembalang di samping mengalu-alukan kedatangan semua hadirin ke Kongres Hantu Malaya.
“Tanpa berlengah dan memanjangkan bicara, saya masuk ke inti pati ucapan saya pada malam yang berbahagia ini. Tuan puan dan para hantu sekalian, sedarkah kalian tentang perubahan alam yang kita alami sekarang? Dengan cuaca yang tidak menentu, panas yang membahang dan udara yang semakin tercemar. Kami sebagai warga bunian, walaupun tinggal di alam sebalik mata yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, turut merasai kesan buruk polemik ini,” tambah Talhah.
“Tuan puan dan warga hantu sekalian. Memang tidak dapat dinafikan, alam sekitar yang kita huni sekarang sudah mempunyai pendinding atau tirai yang mengasingkan antara tempat tinggal kami dengan manusia durjana secara umumnya. Namun begitu, kami dapat rasakan kesan buruknya terhadap tempat tinggal kami yang tercinta.
Rumah-rumah kaum kami diteroka. Pintu-pintu tirai yang membataskan tempat tinggal kami diruntuhkan semuanya. Malah, yang lebih mendukacitakan, ada golongan kami yang terpaksa berpindah tempat tinggal. Tinggalkan tanah tempat kami membesar, tinggalkan kenangan dan sebahagiannya meninggalkan punca pencarian hidup.
Maka dengan itu, saya dengan rendah hati, meminta buah fikiran dari sekalian hantu yang berkumpul di dewan berbahagia pada malam ini, supaya masalah yang menimpa kami satu per satu ini dapat diselesaikan. Jika tidak mampu selesai pun, sangat tinggilah syukur saya jika dapat dikurangkan walau sedikit,” Talhah diam tidak menyambung bicaranya, sebaliknya menunggu respons dan saranan daripada para pendengar.
Para hadirin berborak sesama sendiri sebelum seekor Penanggal terbang ke mikrofon yang berada di tengah dewan.
Selepas mengucap salam dan kata-kata hormat, Penanggal yang merupakan salah satu petinggi spesiesnya itu berkata. “Maaf jika kata-kata saya ini agak lantang dan mungkin kedengaran kurang ajar. Mengapa tidak disorokkan sahaja kanak-kanak manusia itu sebagai salah satu cara untuk mereka diberikan amaran seperti yang selalu dilakukan oleh orang bunian? Atau mungkin disesatkan sahaja manusia yang masuk ke dalam hutan tanpa izin itu?”
Tanpa menunggu lama, Talhah segera menjawab. “Saya bukan membantah saranan tuan, tetapi kami telah melakukannya berkali-kali. Bukan setakat itu sahaja, sudah kami ganggu rumah tempat tinggal mereka pada malam hari. Telah kami bikin anak-anak kecil mereka menangis sebaik sahaja senja menjelma. Sudah habis ikhtiar kami ini untuk menakutkan manusia durjana ini,” keluhan terdengar di hujung kata-kata Talhah.
Perhatian seisi dewan kemudian tertumpu kepada Yang Keji Raja Jembalang yang tidak semena-mena memberikan respons.
“Jika benar ikhtiar itu sudah diambil oleh kaum Bunian, maka dengan itu jelaslah bahawa cara lama kita untuk menakutkan manusia ini sudah lapuk dan tidak boleh dipakai. Duduklah Talhah. Di akhir majlis ini akan saya sampaikan usaha yang boleh kita lakukan.”
Maka dengan itu, Talhah mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi dari podium.
Wakil kedua yang mengambil alih pentas adalah daripada kaum Hantu Air. Ketika petinggi kaum Hantu Air naik ke pentas, semua hadirin terpaku pada susuknya yang menjijikkan. Setiap langkah meninggalkan bekas lopak air yang mengalir terus dari badannya. Air itu pula berbau busuk dan tengik. Hadirin yang berada hampir dengan pentas terpaksa menutup hidung menahan bau tengik tersebut. Semua menutup hidung masing-masing kecuali Yang Keji Raja Jembalang terus kekal hormat pada rakyatnya.
Hanya selepas Yang Keji Raja Jembalang berbalas anggukan dengan petinggi Hantu Air itu, barulah dia berdiri dengan tegak memandang semua hadirin. Perlahan-lahan suara para hadirin mulai reda.
“Yang saya hormati lagi kagumi, Yang Keji Raja Jembalang selaku ketua para hantu, para petinggi hantu dan hadirin Kongres Hantu Malaya sekalian. Sebelum ini sudah kita dengarkan tentang keluh-kesah sahabat kita yang elok rupa lagi molek peribadinya. Saya dengan ini turut memanjatkan rasa simpati dan sedih terhadap bala yang menimpa kaum Bunian. Sungguh, saya juga seorang bapa. Membayangkan keluarga saya yang terpaksa hidup susah kerana kehilangan tempat bergantung sudah cukup untuk memberikan igauan ngeri kepada saya. Oleh itu, saya ingin menyeru, jika ada sedikit yang boleh kita bantu demi meringankan beban kaum Bunian, hulurkanlah walau sedikit cuma. Izinkan saya terus ke isi utama saya.
Hadirin Kongres Hantu Malaya sekalian,
Jika hadirin cakna dengan keadaan atau kebersihan sungai kita sekarang, sudah tentu hadirin sedar yang tahap kebersihannya kian merosot dari hari ke hari. Angkara tangan kotor lagi keji manusia, sungai yang sebelum ini biru kehijauan, kian berubah warna kepada coklat kehitaman. Jernih air sungai kian lama kian hilang dek bahan toksik dan sampah sarap yang menutupi permukaan sungai. Hal ini setelah saya selidiki, berasal daripada perbuatan keji manusia yang suka membuang sampah ke sungai dan menjadikannya seakan pusat pelupusan sampah. Tempat tinggal kami ini kotor sudahnya dan turut mengeluarkan bau busuk lagi memualkan. Selain dari itu, terdapat juga bahan toksik yang dialirkan ke sungai tempat tinggal kami. Bahan toksik dari kilang-kilang ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada hidupan air dan juga ada beberapa kes yang mendatangkan kematian anak-anak buah saya. Bayangkan betapa teruk kesan pencemaran air ini, sehingga kami Hantu Air pun turut terkorban.”
Para petinggi hantu menggeleng kepala. Hadirin Kongres Hantu Malaya ramai yang meraup muka dan mengurut dahi yang tidak pening. Hanya Yang Keji Raja Jembalang kekal statik mendengar tanpa sebarang reaksi. Namun, di dalam kepalanya berputar segala macam solusi yang perlu diusahakan demi menyelesaikan polemik angkara perbuatan manusia ini.
Seorang wakil Hantu Raya bingkas bangun dari tempat duduknya. Selepas meminta izin untuk bertanyakan soalan dan mengangguk kepada Yang Keji Raja Jembalang, dia pun bertanya.
“Tidakkah ada usaha daripada puak Hantu Air terhadap masalah ini? Tidakkah diganggu sahaja hidup manusia durjana itu? Tidak bolehkah dijadikan malam-malam manusia itu tidak aman dengan bau-bauan yang busuk atau apa sahaja usaha yang boleh dilaksanakan demi menjauhkan manusia ini dari sungai?” nada suaranya jelas menzahirkan rasa prihatin terhadap kaum Hantu Air. Tidak senada pun dalam bicaranya yang berbunyi sinis kecuali risau semata.
“Sudah kami usahakan segala macam cara demi menjauhkan manusia durjana ini dari sungai. Namun ketahuilah wahai hadirin sekalian, populasi kami sebagai Hantu Air tidaklah terlalu banyak dan hal ini menjadikan usaha kami sangat terbatas. Sedangkan jumlah manusia yang berbuat durjana itu cukup banyak. Ditambah pula dengan pengoperasian kilang-kilang besar yang dipenuhi oleh pekerja, kudrat kami sebagai Hantu Air juga sampai kepada batasnya. Oleh yang demikian, saya dengan rendah hati, meminta pertolongan daripada para hadirin Kongres Hantu Malaya dan semua hantu di Malaysia sekalian, untuk sama-sama kita menggembleng tenaga dan berusaha membalas perbuatan durjana manusia terhadap kita, terhadap tempat tinggal yang kita sayangi ini. Sekian terima kasih.”
Maka dengan itu, petinggi Hantu Air turun dari pentas.
Selepas itu, petinggi-petinggi daripada kaum hantu lain mengambil giliran untuk ke pentas menyatakan masalah masing-masing yang semuanya berpunca daripada angkara jahat manusia.
Jin Tanah ke pentas menyuarakan masalah tanah yang keasidannya semakin tinggi. Semakin banyak tanah yang menjadi tidak subur. Semakin banyak tanah yang menjadi tandus dan tidak sesuai untuk dihuni oleh manusia mahupun binatang dan tumbuhan.
Wakil ras Pontianak terbang ke pentas, menyatakan kegundahannya terhadap pokok-pokok yang kian lama kian berkurang ditebang oleh manusia. Semakin banyak tempat bertenggek warga Pontianak pada malam hari diranapkan oleh manusia.
Hantu Raya ke depan dan memberitahu bahawa ayam-ayam yang dibela manusia kini semakin lama semakin sakit. Ayam tersebut dicucuk dengan pelbagai ubat yang boleh mendatangkan kesan kepada badan ayam dan pemakannya. Perbuatan itu juga merubah rasa ayam menjadi semakin tidak sedap untuk dinikmati oleh ras mereka.
Wakil daripada ras Pocong pula mengadu bahawa tempat tinggal mereka di kubur-kubur ada ketikanya dilimpahi air yang mengalir dari tanah tinggi. Selepas diselidik, ternyata tanah tidak lagi mampu meresap air hujan yang turun saban tahun. Hasilnya, air akan mengalir sehingga menembusi kubur mereka yang berkedalaman tujuh kaki.
Dan pelbagai lagi aduan oleh hantu-hantu yang tinggal di Malaysia berkenaan perbuatan jahat manusia.
Dalam hati Yang Keji Raja Jembalang yang terlihat tenang itu, dia memikirkan siapa sebenarnya yang diberikan tugasan oleh Tuhan untuk memporak-porandakan hidup kaum lain? Syaitan sepertinyakah atau manusia?
Selepas mendengar semua keluhan dan aduan oleh rakyatnya, Yang Keji Raja Jembalang akhirnya mengambil alih semula pentas untuk menyampaikan ucapannya. Selepas menyampaikan kata-kata hormat dan terima kasih, beliau membuat pengumuman penting untuk semua hantu.
“Malam purnama berikutnya, marilah kita sama-sama keluar dari hutan ini dan berarak mengacau kehidupan manusia yang telah mengganggu-gugat keselesaan hidup kita. Malam tersebut akan menjadi saksi bahawa kita para hantu sudah tidak dapat bersabar lagi. Ada dendam yang perlu kita lunaskan. Ada hutang yang perlu ditagih bayarannya. Maka dengarlah wahai hantu sekalian, marilah kita berjanji bahawa purnama berikutnya, kita akan mengacau dan memporak-perandakan kehidupan manusia seperti mana mereka telah menghancurkan hidup kita!” Yang Keji Raja Jembalang melaungkan kata-katanya dengan sepenuh hati di akhir ucapannya.
Hati para hantu terbakar mendengar seruan ketua mereka. Sorakan menyahut seruan Yang Keji Raja Jembalang itu telah menjadikan dewan gegak-gempita dengan lolongan semua hantu. Purnama berikutnya akan menjadi malam berdarah buat manusia dan manusia perlu membayar hutang perbuatan mereka kepada hantu dan alam sekitar.