CIK AYU mengambil tempat di bahagian tepi Kopitiam Seri Cengkih. Sebuah warung kopi dengan dekorasi dan binaan rumah Melayu. Wanita berusia 45 tahun ini bersandar seraya mencari keselesaan duduk. Lengan kiri ditumpangkan ke kekisi kayu sambil memandang riak air Sungai Johor di bandar Kota Tinggi ini. Andai seseorang tidak memahami sejarah, tentu dia akan berasa hairan, mengapakah pula Sungai Johor tidak berada di bandar Johor Bahru?
Hal ini dikatakan bahawa dahulunya, Kota Tinggi ini menjadi salah satu daripada ibu kota Empayar Johor. Pada era Johor moden barulah pusat pemerintahan Johor berpindah ke tempat yang ada sekarang ini.
Pelayan datang meletakkan secangkir kopi panas, asapnya mengepul, baunya harum. Segar. Tadi, Cik Ayu sudah memberitahu yang dia hanya akan memesan makanan apabila tetamunya tiba.
Yang dinanti adalah suaminya. Suami yang sudah empat hari tidak pulang ke rumah. Nama ‘cik’ di hadapan itu adalah sebahagian daripada namanya. Tuan Cik Ayu binti Tuan Sulaiman. Ibu Cik Ayu menamakan dia bersempena dengan nama balu Sultan Mahmud mangkat dijulang, yang beliau baca dalam buku Tuhfat al-Nafis, iaitu Tun Encik Ayu. Mengikut rekod Raja Ali Haji ini, Encik Ayu dan Sultan Mahmud belum ‘seketiduran’, lantaran usia Encik Ayu masih sangat muda.
Semasa di sekolah dahulu, ada teman yang bertanya dan kedengarannya agak lucu, namun wajah teman itu sangat bersungguh-sungguh.
“Adakah nama kamu di urusan rasmi nanti, akan disebut sebagai Cik Tuan Cik Ayu dan apabila menikah menjadi Puan Tuan Cik Ayu?”
Sungguh, ketika itu Cik Ayu terdiam, seperti ada sebuah dentuman di dalam kepalanya. Tidak tahu dia mahu menjawab apa. Cuma, apabila dewasa, orang merujuknya sebagai ‘Puan’ dalam urusan rasmi walaupun ketika itu dia masih bujang. Manakala, nama untuk urusan rasminya kini ditulis sebagai Dr. Tuan Cik Ayu binti Tuan Sulaiman. Begitulah peraturan gelar santun bahasa Melayu.
Disentuhnya badan cangkir dengan belakang jari telunjuk kanan. Masih terlalu panas untuk dihirup. Seketika terkenang dia akan kopi yang pernah diharamkan oleh para paderi Roman apabila kopi mulai masuk ke Eropah pada abad ke-16. Kopi dianggap sebagai ‘minuman syaitan’ kerana menjadi hidangan kegemaran di Empayar Uthmaniyah. Perkataan ‘masuk’ itu juga secara ‘tidak sengaja’. Apabila tentera khalifah gagal menguasai Austria, tentera yang berundur ‘tercicir’ bekalan biji kopi yang kemudian menjadi hidangan baharu di meja makan orang Eropah.
Bahkan sebenarnya, hampir 150 tahun sebelum itu ada ulama di Mekah pernah mengharamkan minuman ini lantaran ragu-ragu dengan kandungan biji tersebut. Manakan tidak, seseorang dapat berjaga malam dan cergas selepas minumnya. Barulah pada tahun-tahun kemudiannya, kopi ini dihukumkan halal pada tahun 1524 Masihi oleh Sultan Sulaiman, Khalifah Uthmaniyah ke-10.
Telefon dari dalam beg, Cik Ayu keluarkan. Mahu dia menelefon suaminya tetapi teringat bahawa dia sudah di‘blok’ pada malam tersebut, sejurus suaminya keluar dari rumah. Cik Ayu ada ke bengkel tempat suaminya berkerja, namun suaminya tiada di situ. Cuma, selepas subuh tadi, Cik Ayu menerima mesej untuk berjumpa sebelum nombor telefonnya di‘blok’ semula. Cik Ayu berasa macam hendak marah, namun tiba-tiba berasa geli hati pula.
Perkahwinan mereka ini baru memasuki usia 12 bulan.
“Manakan mudah untuk kau mendapat teruna, usia kamu saja sudah berapa?” ujar seorang saudara semasa mahu menjodohkan Cik Ayu dengan suaminya ini.
Tidak. Cik Ayu bukan setuju menerima suaminya dikeranakan usianya sudah 44 tahun ketika itu. Bukan. Namun kerana ibunya yang meminta dan lelaki itu mengizinkan Cik Ayu terus bekerja.
“Kau tidak kisah, gajinya lebih kecil?” tanya seorang teman karib Cik Ayu.
“Dia dapat memenuhi nafkah dengan wajar. Aku boleh membeli keinginanku sendiri.”
“Dia mencintai kau?”
Cik Ayu berfikir sejenak, “Tapi dia tidak zalim.”
“Engkau sendiri, cinta kepada dia?”
Cik Ayu diam seketika, baru menjawab, “Dia membenarkan dirinya menjadi ‘alat’ supaya aku dapat memasuki syurga dari mana-mana pintu yang aku ingini.”
Bukan tidak ada sindir-sindiran yang dibawa angin ke telinga Cik Ayu daripada sebahagian pelajar di Fakulti Sejarah Universiti Iskandar Johor, “Ala, Cik Ayu itukan pejuang hak asasi wanita. Mana ada lelaki yang berani dekat-dekat dengan dia.”
Cik Ayu mengaku yang dia adalah pejuang hak asasi wanita. Dengan tambahan, hak-hak yang sudah diberikan dalam syariah. Contohnya hak wanita dalam mendapatkan pendidikan, bukankah ini selari dengan hadis Nabi SAW yang mengatakan menuntut ilmu itu wajib ke atas lelaki dan perempuan? Sungguh tidak adil jika demi anak lelaki, sanggup ibu dan ayah bersusah-susah supaya anak ini dapat bersekolah. Sementara itu, anak perempuan disuruh menjadi isteri kedua supaya dapat meringankan beban keluarga.
Adakah salah apabila Cik Ayu bersungguh-sungguh menolong isteri yang dikasari suami? Melayan isteri dengan baik-baik, bukankah itu sebahagian daripada suruhan agama? Cik Ayu lepaskan lagi nafas berat. Dia cuba bertenang, tidak mahu merosakkan ‘angin’nya pada pagi-pagi hari begini.
“Suamiku….”
Malam itu, secara tidak sengaja dia terbaca pelan hibah takaful yang tercatat namanya dengan jumlah peratusan 60 dan selebihnya milik wanita bernama Nor Mastura. Wanita itu mantan isteri suaminya. Mereka menikah muda, bahkan belum pun tamat pengajian di universiti. Usia perkahwinan pun tidak lama, tidak sampai empat tahun. Mengikut kata adik iparnya, perkahwinan mereka sangat sempit dan rumit. Mastura tidak dapat bertahan selepas keguguran anak pertama mereka. Sekarang dia sudah ada keluarga baharu dan anak-anak dengan suami baharu.
Cik Ayu terdiam, cuma terkejut apabila suaminya merentap pelan itu lalu keluar dari bilik. Tidak lama kemudian dia terdengar bunyi deruan enjin motosikal yang meninggalkan halaman rumah diikuti nombor telefonnya di‘blok’.
Kopi di cangkir, Cik Ayu hirup perlahan. Matanya merayap ke seberang jalan dari tempat Cik Ayu duduk, berderet kedai-kedai kain milik orang Kemboja yang sudah pun berdekad menjadi warganegara bumi bertuah ini. Pelayannya jelita dan ramah.
Semasa awal tahan 1980-an dahulu, para perempuan Kemboja menjunjung bungkusan kain datang dari satu rumah ke satu rumah untuk berjualan.
Ibu Cik Ayu pernah bertanya begini, “Kenapa awak datang ke Malaysia?”
Ketika itu Cik Ayu masih kanak-kanak, menyending di sebelah ibunya. Perempuan Kemboja menjawab lebih kurang begini, mereka terpaksa melarikan diri dari kampung. Orang kampung ditangkap dan diseksa. Antara seksaan yang Cik Ayu paling ingat adalah, menurut cerita wanita Kemboja itu, orang digantung dengan kaki di atas lalu kepala akan dimasukkan ke dalam tempayan yang dipenuhi air. Sungguh kejam!
Siapakah yang pernah lupa akan kekejaman Pol Pot membunuh lebih satu juta warga Kemboja? Demi menjayakan misi menjadikan Kemboja sebagai negara komunis, rakyat yang kelihatan intelek dihabisi nyawa mereka. Guru, doktor, para imam antara yang menjadi buruan askar-askar Pol Pot.
Jari-jemari, Cik Ayu ramas kuat. Dia masih meremang setiap kali mengingat cerita perempuan Kemboja itu. Segera Cik Ayu pandang semula olekan air di permukaan sungai itu.
Serta-merta dia teringat akan kata-kata cikgu sastera semasa di tingkatan enam, “Kamu bayangkan sungai ini pada masa lalu. Payang, kakap, kora, perahu mayang, perahu kolek, bersusun-susun di tebing sungai ini.”
Ya, kehebatan Kota Tinggi pada sukatan mata pelajaran Cik Ayu bersekolah, dirakam dalam teks sastera, tidak dalam teks sejarah. Begitulah.
Kata cikgu sastera itu lagi, “Umpamanya zaman sekarang ini, satu rumah ada satu buah kereta ataupun dua buah. Begitulah pada zaman itu, perahu menjadi alat pengangkutan. Kalau kereta diparkir di daratan, perahu ditambat di air.”
Pernah juga satu ketika Cik Ayu mendengar dua orang siswi bertelagah. Mereka bukan dari fakultinya. Cik Ayu ada di belakang meja mereka di perkarangan pintu masuk utama perpustakaan. Dua siswi ini duduk sebelah-menyebelah.
Siswi bertudung kilat-kilat berkata bahawa orang Melayu yang menghuni tanah Johor asalnya dari Indonesia. Katanya, penghijrahan mereka turut dikaitkan dengan perpindahan rakyat Melaka yang berundur bersama-sama sultan mereka selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis.
Siswi berkaca mata pantas menoleh kepada temannya lalu menjawab dengan wajah menahan sabar, “Seawal tahun 1006 Masihi, tanah Johor sudah disebut dalam sebuah inskripsi Sanskrit dan Jawa sebagai Wurawari.”
“Wurawari dan Johor, itukan berbeza?” tukas siswa pertama dengan membuka mata luas-luas.
“Memanglah, tapi ciri-ciri yang disebut tentang negeri itu ialah Johor pada hari ini. Maksudnya, tanah ini sudah ada manusia, bukannya hutan belantara.”
“Eleh.” Siswa pertama tidak mahu mengalah.
“Dek kerana pesatnya penduduk dan perdagangan, sampai-sampai pedagang dari Arab datang berdagang seterusnya menggelarkan tempat ini sebagai Jauhar. Dari situ kemudiannya terbit nama Johor. Faham?”
Siswi pertama goyang-goyangkan kepala macam gadis degil apabila diberi nasihat.
Siswi kedua belum mahu berhenti daripada memberikan pengajaran. “Lebih awal daripada itu, direkodkan bahawa seorang putera kepada Maharaja Heizei, iaitu Putera Takaoka mangkat pada tahun 856 Masihi di kawasan selatan semenanjung. Kedutaan Jepun ada membuat sebuah tugu peringatan di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Tahun 856 Masihi ya saudariku yang rupawan, Parameswara pun masih di alam roh.”
Kedengaran nafas merenggus daripada siswi pertama, jenis tidak mahu mengalah.
“Apabila keluar duit pinjaman semester depan, sila pergi buat lawatan sambil belajar ke tugu sana. Biar cerah pengetahuan alam dan manusia kau, tu!” Siswi ini bangun, sauk tali beg lalu pergi.
Dengan sedaya upaya Cik Ayu menahan diri daripada bersorak-sorai. Dia melihat siswi itu pergi dengan kagum, walaupun bukan pelajar sejarah, namun kecintaannya kepada sejarah tanah ini sangat tinggi.
Perlahan-lahan Cik Ayu betulkan duduk. Asap daripada cangkir semakin nipis. Cik Ayu mengusik-usik tangkai cangkir.
Semasa Cik Ayu angkat pandangan, di hadapannya berdiri seorang lelaki berkurta putih longgar, bersarung seluar di atas buku lali seperti yang biasa dipakai oleh jemaah tabligh. Suaminya menarik kerusi di hadapan Cik Ayu. Wajahnya keruh, dia tunduk, ada kesan segan di wajahnya.
Segera Cik Ayu beralih tempat ke sebelah suaminya. Cik Ayu meletakkan tapak tangan pada paha suaminya. “Saya tak marah. Terima kasih sudah izinkan saya bekerja dan menolong para janda.”
Suami Cik Ayu cuma diam.
“Saya yakin, tentu besar jasa Mastura kepada abang.”
Tiba-tiba suami Cik Ayu menaikkan pandangan mata. Dadanya berombak, baru ini dia berasa jatuh cinta kepada Cik Ayu, meluap-luap bagaikan Sungai Johor di kala bah.
