IDRIS menambat seekor lembu pada batang pohon nangka. Diikatnya tali tambatan dengan kemas, bimbang lembu berwarna coklat gelap itu akan terlepas. Bukan dia tidak pernah dengar kisah lembu korban naik minyak, terlepas daripada tambatan lalu bertukar agresif dan menyerang manusia. Bukan tidak ada penduduk kampung yang cedera akibat diserang lembu-lembu korban yang naik minyak.
Selepas memastikan lembu itu benar-benar selamat ditambat, barulah Idris meninggalkan lembu itu dengan bekalan rumput di sekitar. Idris tidak mahu terus naik ke rumah. Dia mahu menanti ayah pulang dari kebun pisang. Meskipun Idris dapat menerka air muka ayahnya sewaktu pulang nanti, sebagai seorang anak yang berbudi pekerti, Idris setia menanti.
“Sudah tambat kuat-kuat? Jangan sampai terlepas pula. Naik darah aku nanti. Lembu-lembu si Kasim ini bukan makan saman. Liar!”
Idris mengangguk perlahan. Dia tahu, api kemarahan ayah masih marak. Meski Pak Cik Kasim sudah datang meminta maaf. Ayah masih marahkan lembu-lembu Pak Cik Kasim yang sudah pun selamat dikorbankan sewaktu Hari Raya Aidiladha tiga tahun lepas. Beberapa ekor lembu telah masuk ke kebun pisang ayah dan merosakkan pokok-pokok pisang miliknya.
“Memang lembu tidak ada otak. Orang yang menjaga lembu itulah yang kena ada akal!” Marah ayah memang masih membara.
Sejak peristiwa itu juga, ayah sudah tidak turun bergotong-royong dengan penduduk kampung untuk acara korban di pagi hari raya. Ayah begitu marah kerana lembu-lembu Pak Cik Kasim mencerobohi kebun pisangnya dan memakan hasil tanaman yang sedang masak ranum. Tinggal untuk dihantar ke pasar di kawasan sekitar.
“Kebun pisang itu mata pencarian aku. Mata pencarian si Kasim itu lain pula. Dia ada lembu. Lembu-lembu yang tidak faham cakap manusia. Dia kena jaga lembu dia baik-baik. Jangan lepaskan sesuka hati. Selalu aku dengar, lembu si Kasim terlepas masuk ke kebun orang. Ada yang merayau sampai ke tengah-tengah jalan waktu malam. Sampai berlanggar dengan motosikal, lori dan kereta. Si Kasim langsung tidak pedulikah?”
Ayah mengibas-ngibas kain pelekat yang diletakkan di bahu supaya hilang kepanasan dan peluh yang menyimbah wajah.
“Itu cerita lama ayah. Sekarang, Pak Cik Kasim sudah ada beberapa orang penjaga lembu untuk menjaga lembu-lembunya. Biar lebih terkawal.” Idris akhirnya membuka mulut. Jauh di lubuk hati, dia mahu pertelingkahan antara ayah dengan Pak Cik Kasim lerai sebelum Aidiladha tahun ini tiba.
“Jadi, kau seronoklah bela lembu si Kasim? Itu, yang seekor itu, tempoh hari nyaris hilang juga kan?” Ayah menunding jari telunjuk ke arah lembu coklat yang ditambat oleh Idris di sebatang pohon nangka sebentar tadi.
“Lebih baik kau ikut aku pergi kebun pisang!” Ayah merengus lagi.
“Ayah, bukan sepanjang masa saya jaga lembu Pak Cik Kasim. Ini lembu yang saya perlu jaga untuk disembelih pada pagi hari raya korban nanti. Dari kecil saya sudah ikut ayah ke kebun pisang. Saya sudah faham selok-belok kebun pisang ayah. Pak Cik Kasim tidak menang tangan untuk uruskan lembu-lembu korbannya. Sebab itu dia minta tolong saya. Lagipun, bukan ramai anak muda di kampung kita yang sanggup membela lembu, ayah.”
Idris mahu ayahnya sedar bahawa mengembala haiwan ternakan seperti lembu dan kambing bukanlah mudah. Kisah Nabi Muhammad SAW yang diceritakan oleh Ustaz Syahmi terngiang-ngiang di cuping telinga Idris. Nabi Muhammad ditakdirkan oleh Allah SWT untuk menjadi pengembala kambing, padahal terdapat banyak pekerjaan lain yang lebih mulia dan dipandang tinggi. Daripada situlah, terbentuk sifat Nabi Muhammad SAW yang sabar dan pengasih. Mengembala haiwan bukanlah mudah. Mengembala memerlukan kesabaran yang tinggi dan kecerdikan luar biasa buat menjinakkan haiwan-haiwan gembalaan. Ayahnya tentu tahu sirah Nabi Muhammad SAW.
“Ayah, tahun ini kita ikut korban atau tidak?” Idris bertanya lagi. Sebagai anak jantan, dia harus berani menyatakan hasrat walaupun dia tahu luka di hati ayahnya masih belum sembuh.
“Kalau lembu si Kasim, aku tidak ingin ikut korban. Kalau ada lembu lain, kau beritahu aku.” Ayahnya terus mengangkat punggung dan lenyap memasuki pintu rumah yang terbuka lebar.
Malam itu, Idris rasa jiwanya tidak begitu tenang. Tiga hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Takbir akan bergema. Lembu dan kambing akan dikorbankan. Namun, mengapa sikap ayah masih dingin dan egoistik sekali? Mengapa ayah tidak memilih jalan damai dengan memaafkan? Adakah berdendam menjadikan ayah orang yang menang? Ayah seharusnya berkorban. Idris akhirnya melelapkan mata setelah berjam-jam lamanya merenung siling sambil memikirkan kemaafan ayah yang begitu sukar dibeli.
Keesokan hari, Idris terperanjat besar melihat lembu berwarna coklat gelap yang biasanya ditambat di pohon nangka di hadapan rumah, sudah hilang. Lembu itu dipanggilnya Laska. Rumput yang ditinggal di sekitar Laska juga masih banyak, tanda lembu itu sudah hilang sejak tengah malam. Idris terjun daripada perkarangan rumah. Disarungnya selipar dan dicapainya basikal untuk mencari Laska sederas mungkin. Lusa Laska akan dikorbankan. Laska tidak boleh hilang. Tidak boleh!
Sementara ayah Idris sedang bersiap-siap untuk ke kebun pisang. Hari ini banyak hasil yang akan dikutip. Buah pisangnya sudah masak. Dia mahu menghantar terus ke pasar-pasar berhampiran. Ramai orang sedang mencari pisang untuk dibuat kerepek sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba. Sewaktu menuruni anak tangga, ayah Idris perasan lembu coklat gembalaan anaknya tiada di tempat biasa. Namun, dia langsung tidak curiga. Tanggapannya, Idris pasti membawa lembu itu meragut rumput di sekitar kampung.
Telahan ayah Idris itu tidak tepat sama sekali. Laska masih tidak dijumpai Idris. Sementara ayahnya bersenang-senang ke kebun pisang untuk mengutip hasil. Dalam kepala ayahnya hanya memikirkan keuntungan yang akan diperoleh pada hari ini. Namun, setibanya di kebun pisang, mulut ayah Idris terlopong. Adakah benar apa yang dilihatnya dengan mata kepalanya?
Seekor lembu berwarna coklat gelap rebah berlumuran darah di tengah-tengah kebun pisangnya. Sewaktu menghampiri lembu itu, Idris pun tiba dan terus menerkam tubuh Laska. Tubuh yang tiada cacat cela. Tubuh yang gemuk dan sihat kerana dijaga dengan begitu baik oleh Idris. Idris menggoyang-goyangkan tubuh Laska berulang kali. Dia mahu pastikan Laska masih bernyawa ataupun tidak. Melihat Laska yang masih tidak menggerakkan tubuh, tahulah Idris bahawa lembu itu sudah mati dan tidak bernyawa lagi.
Idris menatap dan merenung jauh sepasang mata Laska yang tidak tertutup sepenuhnya. Ada air mata yang membasah di situ. Namun, wajah lembu itu begitu tenang seolah-olah reda dan ikhlas dengan cara kematiannya. Kematian yang sepatutnya tiba pada pagi Hari Raya Aidiladha. Idris menangis semahu-mahunya di sisi Laska, disaksikan oleh ayahnya yang masih belum memahami apa yang sedang terjadi.
Seluruh kampung gempar dengan peristiwa kematian seekor lembu milik Pak Cik Kasim di kebun pisang ayah Idris. Ada penduduk kampung yang cuba memfitnah ayahnya, namun Idris bangun dan melawan tuduhan itu. Sejahat-jahat ayahnya, belum pernah ayahnya membunuh haiwan dengan sengaja. Ayahnya tidak sejahat itu untuk membalas dendam dengan cara membunuh binatang korban. Ayahnya masih ada iman! Masih ada agama!
Akhirnya, terbongkar kisah sebenar.
Malam itu, Laska memang terlepas daripada ikatan. Malam itu juga, Laska pergi ke kebun pisang milik ayah Idris. Tiada siapa yang menghantar Laska ke situ. Sewaktu itu juga, beberapa pemuda kampung yang jahat ingin mencuri pisang-pisang ayah Idris yang telah masak ranum. Pemuda-pemuda ini memang terkenal dengan gelaran kaki botol dan kaki judi. Mereka mahu menjual pisang-pisang itu untuk mendapatkan wang.
Laska yang berjaya bolos ke kebun pisang milik ayah Idris, menyerang pemuda-pemuda itu menggunakan kepala dan tanduknya sehingga mereka cedera. Namun, beberapa tikaman menusuk ke perut dan badan Laska yang menyebabkan lembu itu akhirnya menemui ajal.
Ayah Idris seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Perlahan-lahan dia menatap wajah Idris yang jauh bermenung mengenangkan Laska yang sudah pun terkorban sebelum tiba Hari Raya Aidiladha. Rasa kesal mula bersarang di ruang hatinya.
“Tidak dapatlah orang merasa daging kau yang begitu nikmat itu, Laska. Tapi percayalah, darah kau yang mengalir di tanah demi sebuah pengorbanan akan disambut Tuhan. Aku menjadi saksi kau seekor binatang yang taat.”
Idris menyeka air matanya yang masih belum mahu reda.