MERAH menyala. Langit Ogos memancarkan bara yang menyengat, membakar harapan yang tipis di hati manusia Kota Jaruman. Kota itu ialah rimba moden dan kontemporari. Kota ini termaktub adendum yang bukan hanya dengan bangunan tinggi mencakar langit, tetapi dengan hukum rimba yang tak pernah lapuk, yang kuat memangsa yang lemah. Di sinilah hidup Mirsa dan Hanra, dua manusia biasa yang terperangkap antara mimpi, hutang dan kerakusan mereka yang berkuasa.
“Merdeka minda dan jiwa,” ucap Mirsa, suaranya cuba kedengaran teguh, tetapi matanya jelas kelam.
Hanra memandangnya dari sudut bilik kecil mereka, tersenyum sinis. “Merdeka? Mirsa, kautahu makna merdeka di kota ini? Merdeka ialah ilusi. Hal itu seperti kulintangan yang dimainkan tanpa irama. Hanya bunyi kosong.”
Mirsa menghela nafas.
“Jadi apa yang kaufikirkan, Hanra? Kita hanya duduk di sini, membiarkan mereka terus menginjak kita?” Rasa geramnya mengapung sehingga tubuhnya berdiri dari tempat duduknya sambil menggaru dahinya yang semakin berat dengan masalah yang semakin menghimpit hidup mereka.
“Bukan begitu, Mirsa. Tetapi kaukena faham, di Kota Jaruman, manusia bukan lagi manusia. Kita menjadi binatang. Kautahu kenapa mereka disebut tikus muncikari? Kerana mereka tak hanya mengambil apa yang engkau ada. Mereka mengorek, menggali hingga engkau kosong. Mereka hidup daripada kelemahan kita.”
Mirsa diam. Kata-kata Hanra menusuk ke dalam. Tetapi dia tahu, kebenaran tidak selalu membawa kelegaan. Di luar sana, tikus-tikus muncikari hidup mewah. Di dalam bilik kecil yang berasingan itu, mereka yang jadi mangsa hanya bernafas, menunggu masa untuk dihisap habis sehingga kekeringan atau sehingga menjadi bangkai busuk di tepi longkang.
Hanra dan Mirsa bukanlah siapa-siapa di Kota Jaruman. Mereka hanyalah dua anak muda yang datang dari desa kecil, meninggalkan kampung halaman dengan harapan membina kehidupan lebih baik di kota yang menjanjikan peluang. Mereka datang dari daerah pedalaman yang berakar kuat pada tradisi dan budaya Kinabatangan, tanah subur di Sabah yang mengalirkan sungai terpanjang di negeri itu. Mereka lahir sebagai sebahagian daripada suku kaum Sungai, komuniti pribumi yang kaya dengan adat dan kepercayaan turun-temurun.
Hanra, yang dilahirkan sebagai anak bongsu dalam keluarga petani, membesar dengan memikul tanggungjawab yang tak sepatutnya menjadi bebannya. Ayahnya meninggal dunia semasa dia berumur 12 tahun, meninggalkan ibunya yang tua dan tanah sawah yang semakin tandus. Di desa, Hanra ialah simbol pengorbanan anak lelaki yang bekerja keras di ladang demi menyekolahkan adik-beradiknya. Namun, ketika bencana banjir Sungai Kinabatangan melanda dan menghancurkan segala hasil tuaian, Hanra tahu dia tiada pilihan selain pergi ke kota. Dia perlu meninggalkan keluarganya demi mencuba nasib di tempat yang jauh lebih kejam daripada tanah kelahirannya.
Mirsa pula seorang anak perempuan sulung daripada keluarga miskin yang tinggal di kaki bukit. Ibunya, seorang tukang jahit, sering bekerja hingga larut malam, sementara ayahnya pula seorang peminum tegar yang jarang-jarang pulang ke rumah. Mirsa membesar dengan melihat ibunya berjuang sendirian untuk menghidupi adik-beradik yang lain. Dia menyimpan harapan tinggi untuk menjadi seorang pendidik, tetapi keadaan memaksanya berhenti belajar selepas tingkatan lima. Satu tawaran kerja sebagai pembantu di sebuah syarikat kecil di Kota Jaruman mengubah hala hidupnya, meskipun itu bukanlah kehidupan yang dia impikan.
Di kota itu, mereka bertemu secara kebetulan di sebuah kilang kecil tempat mereka bekerja. Hanra menjadi seorang penghantar barang, sementara Mirsa bekerja di bahagian pentadbiran. Dalam waktu singkat, mereka menjadi sahabat, saling menguatkan satu sama lain di tengah kota yang terasa asing dan dingin. Namun, kehidupan di kota tidak semudah yang mereka bayangkan. Hutang sewa rumah, kos makanan dan gaji kecil yang tak pernah cukup menjadikan mereka mangsa mudah bagi tikus muncikari seperti Pak Lanang.
Setiap orang di kota ini, seperti Mirsa dan Hanra, hidup di papan permainan yang penuh dengan ular dan tangga. Mirsa teringat pada pepatah lama yang sering diceritakan ibunya, “Kota ini ialah hutan, dan manusia ialah binatangnya. Ada yang berburu, ada yang diburu.”
Mirsa dan Hanra ialah mangsa dalam hutan itu, terjerat dalam permainan si tikus muncikari. Hanra tersepit dengan ujian dan situasi yang akan dihadapi oleh setiap manusia. Seperti lubang hitam yang menelan segalanya.
Hari itu ialah permulaannya, Mirsa menerima panggilan dari Kampung Bukit Garam. Suara adiknya tersekat-sekat. Mirsa dapat mengagak daripada helaan nafas yang melaju hingga kedengaran di dalam telefonnya. Dia cuba menjadi setenang air bagi mengawal perasaannya sebagai orang yang lebih tua.
“Along, ibu sakit. Tak ada duit untuk ke hospital. Tolonglah.”
Dada Mirsa bagai terhimpit sehingga nafasnya tidak lancar. Dia memandang Hanra yang sedang mengira wang kecil di atas meja. “Aku tak ada pilihan, Hanra. Aku perlu pinjam lagi.”
Hanra berhenti, memandangnya tajam.
“Kautahu ini bukan penyelesaian. Hutang itu bukan tali untuk menyelamatkan engkau. Itu ialah tali yang akan mencekik engkau perlahan-lahan.”
“Tapi apa lagi pilihan aku, Hanra? Aku tak boleh biarkan mereka di kampung mati kesakitan atau kelaparan.”
Hanra diam. Akhirnya dia mengangguk perlahan.
“Kalau begitu, kita pergi bersama.” Sokong Hanra.
Mereka bertemu Pak Lanang malam itu. Di sebuah restoran mewah di tengah kota, lelaki itu menunggu dengan senyuman lebar.
“Mirsa! Hanra! Selamat datang. Silakan duduk.” Sapa Pak Lanang.
Mereka duduk di hadapan lelaki yang segak dengan kemeja putih dan seluar berjenama gaya Slim Tapered berwarna hitam itu yang kelihatan seperti malaikat dermawan. Tetapi di matanya, ada sesuatu yang dingin, seperti pemangsa yang melihat mangsanya.
“Lima ratus lagi ya? Kecil saja. Tapi kautahu perjanjiannya bukan, Mirsa. Kalau engkau lewat, bunga akan tumbuh dan bunga itu tidak akan berhenti berbunga.” Mata Pak Lanang seperti seekor harimau. Tajam seolah-olah menjadi satu peringatan panjang.
Mirsa mengangguk. Dia tahu risikonya, tetapi ketika kehidupan menjerat tenggoroknya, dia tidak punya pilihan lain.
Sebulan kemudian, saat Mirsa gagal membayar sepenuhnya, dia dan Hanra diserang oleh tiga lelaki suruhan Pak Lanang. Di lorong sempit, mereka dipukul hingga terkapar.
“Kami beri engkau tiga hari,” kata lelaki bertatu itu, nadanya bengis.
“Kalau engkau tak bayar, kami pastikan engkau tak akan berjalan lagi.”
Peringatan itu menjadi duri yang melekat di tubuhnya sehingga memberikan kesan dan sakitnya sentiasa. Tak tertanggung deritanya.
Malam itu, Mirsa dan Hanra duduk di sudut bilik mereka. Tubuh mereka lebam, tetapi mata Mirsa penuh dengan kemarahan.
“Kita tak boleh terus begini, Hanra. Kita manusia, bukan tikus.”
Hanra memandangnya, wajahnya penuh keletihan.
“Ya, kita manusia, Mirsa. Tetapi manusia yang terperangkap dalam permainan tikus. Dan kautahu apa yang terjadi pada manusia dalam permainan ini? Mereka kalah.”
“Tapi kita belum kalah,” kata Mirsa tegas.
Pada malam yang sama, Mirsa memutuskan untuk bertemu dengan seorang sahabat lama, seorang pensyarah falsafah bernama Dr. Goh. Dia percaya, mungkin lelaki itu dapat memberinya perspektif yang lebih luas. Di sebuah kafe kecil, Dr. Goh menyambut mereka dengan senyuman lembut.
“Mirsa, Hanra, apa yang membawa kalian ke sini?”
Mirsa menceritakan segala-galanya. Tentang hutang, tentang lintah darat dan tentang rasa tidak berdaya yang menghimpit.
Dr. Goh mendengar dengan tenang, kemudian menghela nafas.
“Kota ini ialah refleksi dunia, Mirsa. Dan dunia, pada dasarnya, ialah sistem ketidaksamaan. Ada yang berkuasa, ada yang diperintah. Tetapi kautahu apa yang membuat perbezaannya? Kesedaran. Mereka yang sedar tentang ketidaksamaan ini dan memilih untuk melawan dan akan meninggalkan jejak yang besar.”
“Tapi bagaimana kami melawan, Dr. Goh? Mereka lebih kuat, lebih kaya.”
“Dengan kebenaran, Mirsa. Kebenaran ialah senjata paling tajam. Tetapi ingat, kebenaran tanpa keberanian cuma sia-sia.”
Pagi itu, setelah pertemuan mereka dengan Dr. Goh, Hanra dan Mirsa duduk berdua di sebuah bangku kecil di tepi kota itu, menikmati udara pagi yang segar meskipun di sekeliling mereka, kebisingan kota tidak pernah berhenti. Tetapi dalam hati mereka, ada sesuatu yang mengalir lebih tenang, seperti aliran sungai di Kinabatangan, sungai yang menjadi saksi kepada kehidupan mereka yang dulu.
Hanra memandang Mirsa dengan pandangan yang penuh makna. “Kauingat tak masa kecil kita, di kampung? Ada satu alat muzik yang selalu dimainkan orang tua. Kulintangan, bukan?”
Mirsa terdiam sebentar, membenarkan kata-kata Hanra.
“Ya, kulintangan … bunyi itu, Hanra. Melodi yang menenangkan jiwa, seperti aliran sungai yang tidak pernah terburu-buru. Setiap bunyi yang dihasilkan dari kulintangan itu, seolah-olah meresap ke dalam hati, membangkitkan semangat dan memberikan kedamaian.”
Kulintangan, alat muzik tradisional yang dibuat daripada gong-gong kecil yang dipukul dengan lembut. Kulintangan sering dimainkan dalam majlis perkahwinan dan upacara adat suku Sungai. Bunyi kulintangan yang lembut dan berirama mengalun dengan penuh keharmonian, menghubungkan mereka dengan alam semula jadi dan nenek moyang. Setiap ketukan kulintangan seolah-olah membawa pesan dari zaman silam, memberikan kekuatan batin dan ketenangan yang mendalam.
Mirsa memejamkan matanya, membawa rohnya terbang ke kampung halamannya, seolah-olah dapat melihat dan mendengar kembali bunyi kulintangan itu. Ada juga yang sedang menari riang penuh kebebasan seiring tingkah iramanya. Petikan melodi pada setiap satu daripadanya mengetuk mindanya secara maya. Mirsa berasa damai dan bahagia sehingga mindanya bebas dan membuahkan keputusan yang bermakna.
“Bunyi kulintangan itu memberi kita kekuatan, tapi juga mengingatkan kita agar tidak terburu-buru dalam hidup. Kita boleh berjuang, Hanra, tetapi kita juga harus tahu bila untuk berhenti sejenak, untuk merenung, untuk menyusun langkah.”
Hanra mengangguk perlahan, hatinya kini lebih tenang.
“Itulah yang kita perlukan, Mirsa. Dalam perjuangan ini, kadangkala kita terlalu terbawa oleh kemarahan, kesedihan dan rasa tidak puas hati. Tapi kita perlu ingat, seperti bunyi kulintangan, kita juga perlu berirama, seimbang, agar kita tidak kehilangan arah.”
Malam itu, Mirsa dan Hanra mula menyusun strategi. Mereka menulis kisah-kisah mangsa lain, menyebarkan selebaran di seluruh kota. Mereka bercakap kepada sesiapa saja yang mahu mendengar. Satu demi satu, mangsa-mangsa lain mula bersuara. Gerakan kecil itu menjadi lebih besar. Di pasar, di lorong-lorong gelap, orang mula berbicara tentang tikus-tikus yang merampas hidup mereka.
Pak Lanang mula berasa bahangnya. Tetapi dia bukan lelaki yang mudah tunduk. Suatu malam, Mirsa menerima panggilan daripada salah seorang orang suruhan Pak Lanang.
“Kami tahu apa yang kaulakukan. Berhenti, atau engkau akan menyesal.”
Tetapi Mirsa tidak berhenti. Dia tahu, jika dia tunduk sekarang, segalanya akan berakhir.
Pada malam Hari Merdeka, Mirsa memimpin perhimpunan kecil di sebuah lorong sempit. Mereka membawa sepanduk, mereka bersorak tentang kebebasan. Di tengah kota yang penuh dengan keriuhan, suara mereka kecil, tetapi ia tidak bisa diabaikan.
“Ini bukan hanya tentang kita,” kata Mirsa kepada mereka. “Ini tentang semua orang yang pernah diinjak. Kota ini bukan milik tikus-tikus itu. Kota ini milik kita!”
Kota Jaruman tidak berubah dalam sehari. Tetapi di sudut-sudut kecilnya, harapan mula menyala. Mereka yang pernah diam kini bersuara. Hanra memandang Mirsa, yang kini berdiri teguh sebagai seorang pemimpin kecil.
“Engkau tahu, Mirsa, aku selalu percaya pada satu perkara. Perjuangan itu seperti api. Ya, perjuangan itu bermula dengan percikan kecil, tetapi kalau kita terus menjaganya, perjuangan akan menjadi nyala yang membakar habis kegelapan.”
Dan di tengah malam Ogos itu, Kota Jaruman menyaksikan cahaya kecil yang akan terus membesar.
Hari Merdeka tiba di Kota Jaruman dengan hiruk-pikuk dan lampu gemerlapan. Langit malam diterangi bunga api yang memercik seperti bintang-bintang yang berjatuhan. Namun, di lorong-lorong gelap yang biasa menjadi sarang tikus-tikus muncikari, ada sesuatu yang berbeza malam itu. Di sebuah sudut kota, sekumpulan orang berkumpul. Mereka bukan golongan kaya atau berkuasa, tetapi wajah-wajah mereka memancarkan tekad. Mirsa berdiri di tengah, memegang sepanduk lusuh yang ditulis dengan tangan:
“Kebebasan bukan untuk dijual. Merdeka bukan sekadar slogan, tetapi hak semua.”
Di sebelahnya, Hanra berdiri teguh, meski tubuhnya masih membawa bekas luka dari malam sebelumnya.
“Kawan-kawan, hari ini kita menyambut kemerdekaan negara kita. Tapi tanyalah pada diri sendiri, apakah kita benar-benar merdeka? Di kota ini, kebebasan telah dijual kepada tikus-tikus muncikari. Kita, rakyat kecil, hanya hidup untuk membayar hutang, menanggung kesengsaraan meskipun hutang itu sudah kita lunaskan dengan wang dan darah yang tumpah ke tanah. Apakah ini erti merdeka?” Mirsa memulai dengan suara lantang yang memecah malam. Orang ramai mula bersorak, mendukung semangatnya.
“Dulu, nenek moyang kita berjuang untuk membebaskan diri daripada penjajah. Kini, penjajah baharu tidak lagi datang dari luar, tetapi hidup di antara kita. Mereka memakai topeng kebaikan, tetapi di dalam, mereka ialah lintah yang menghisap darah kita.”
Bunga api di langit terus memercik, tetapi suara perhimpunan itu mulai mengalir seperti arus deras. Satu demi satu orang mula bersuara, menceritakan pengalaman mereka sebagai mangsa lintah darat. Tangisan, kemarahan dan harapan bercampur menjadi satu.
Hanra melangkah ke depan, kali pertama mengambil mikrofon. “Aku dulu percaya kita tidak punya pilihan. Tetapi malam ini, aku sedar sesuatu, pilihan itu ada. Kita boleh memilih untuk diam dan menjadi mangsa, atau kita boleh berdiri bersama dan melawan. Hari ini, aku memilih untuk melawan.”
Di tengah malam, ketika lampu-lampu jalan mulai meredup, perhimpunan itu menjadi sebuah pesta kecil. Mereka menyanyi lagu patriotik dengan semangat yang jarang-jarang terlihat, bukan sekadar untuk negara, tetapi untuk kebebasan diri mereka sendiri. Seorang lelaki tua yang hadir di situ berkata kepada Mirsa:
“Anak muda, aku hidup lebih lama daripada kamu, dan aku pernah melihat ramai pejuang menyerah kerana takut. Tapi kamu dan kawan-kawan kamu memberi aku harapan. Mungkin kemerdekaan sejati itu bermula di sini, malam ini.”
Mirsa mengangguk, air matanya berlinang. Semangatnya bertambah. Dia menyeka air matanya. Bunga api terakhir meletus di langit, membentuk cahaya yang menyilaukan. Di tengah gemerlapan itu, Mirsa menyedari perjuangan mereka baru saja dimulai.
Pagi setelah sambutan Hari Merdeka, berita tentang perhimpunan kecil itu mula tersebar. Kisah tentang orang-orang biasa yang melawan lintah darat menjadi inspirasi bagi banyak pihak. Selebaran mereka, yang dulu hanya beredar di lorong-lorong kecil, kini mulai dicetak oleh media arus perdana. Di media sosial dan banyak laman sesawang mulai membincangkan isu itu. Pak Lanang dan para muncikari lainnya mulai kehilangan cengkeramannya. Orang-orang kini tidak lagi takut untuk menolak dan bersuara. Di beberapa kawasan, gerakan kecil seperti yang dimulai oleh Mirsa dan Hanra mula muncul. Pihak polis juga sudah begitu kerap melawat kawasan-kawasan sempit itu. Gaji yang telah diterima daripada majikan, mereka kumpulkan bersama untuk membayar Pak Lanang melalui pemindahan wang secara dalam talian. Itu ialah kali terakhir untuk mereka membuat kesilapan yang bodoh.
“Kita telah menyalakan api kecil dan mendengar muzik iringan kulintangan yang berkumandang dalam minda kita,” kata Hanra sambil memandang Mirsa suatu pagi.
“Api itu mungkin tidak membakar dunia hari ini, tetapi ia cukup untuk menerangi jalan bagi mereka yang akan datang selepas kita.” Mirsa tersenyum, memandang langit yang mulai terang.
“Dan pada akhirnya, Hanra, itulah makna sebenar merdeka. Bukan sekadar kebebasan untuk diri kita, tetapi kebebasan yang kita berikan kepada orang lain.”
Kota Jaruman, di tengah kota yang pernah gelap, cahaya baharu mulai menyinar, bukan dari lampu-lampu mewah atau gedung pencakar langit, tetapi dari hati rakyat yang akhirnya berani bersuara seperti hak mereka yang tertindas selama ini.
“Mirsa, di Kinabatangan, kita selalu percaya bahawa sungai membawa pesan. Kalau ia mengalir deras, ia membawa kekuatan. Kalau ia tenang, ia membawa renungan. Dan kalau ia kering, itu tanda kita harus bertindak.” Mirsa tersenyum.
“Kita akan menjadi sungai yang mengalir deras, Hanra. Kita akan membawa pesan ini kepada semua, hingga tidak ada lagi tikus yang berani menjarah hidup orang lain.” Ucap Hanra. Jauh di sudut hati mereka rindu halaman kampung, namun di Kota Jaruman, diiringi semangat warisan Kinabatangan, perjuangan mereka terus mengalir, seperti sungai yang tak pernah berhenti mencari jalan ke laut.