DIA melontarkan pandangan pada kehijauan dedaun padi yang beralun-alun ditiup angin bagaikan ombak di laut. Semilir lembut yang mengusap-usap wajahnya membuatkan dia ralit. Dia duduk berlunjur kaki sambil menyandar pada tiang pelantar sulap, rumah kecil di tepi sawah itu menantikan kakaknya datang untuk bersembang dengannya.
Seketika, air jernih yang bergenang di dalam petak-petak sawah mencuri perhatiannya. Seekor kupu-kupu berwarna putih tiba-tiba terbang dari celah-celah batang padi yang tampak membunting. Seperti menyedari sepasang mata yang mengamati pergerakannya, kupu-kupu itu terbang menyerlahkan auranya pada pancaran matahari, kemudian menghilang entah ke mana. Penyamaran kupu-kupu itu begitu sempurna.
“Kupu-kupu putih!”
Dia seakan terdengar suara adiknya saat itu.
Kenangan suatu hari pada zaman kanak-kanak dengan Hidayat, adik lelakinya menyapa mindanya. Hari yang bermula ceria dengan gurau senda sambil bersaing menanam anak-anak padi ke petak sawah hampir bertukar menjadi mimpi ngeri. Semuanya hanya kerana kesilapan Hidayat memilih kata-kata ketika mereka saling bertekak untuk menjadi pemenang.
“Yei, saya pemenang!”
Wajah Hidayat yang melonjak kegembiraan bermain di matanya. Saat itu Juwita tergamam, menatap seberkas lagi anak-anak padi yang menantinya sedangkan Hidayat sudah berdiri sambil menggoncang tangannya ke udara. Gayanya bagaikan seorang juara yang sedang menjulang trofi di atas podium.
“Jarak tanaman kau terlalu jauh, sebab itu cepat siap!” kata Juwita. “Tengoklah nanti, sekejap lagi anak-anak padi itu akan terapung-apung di atas air. Pasti ibu marah!” tambahnya geram, cuba mempertahankan diri.
“Eleh, kakak menanam sambil berangan-angan! Fasal itulah lambat siap, ha … ha … ha … . Kakak asyik teringat Si Miming, buah hati kakak kan?” jawab Hidayat.
Ditambah dengan pancaran matahari yang semakin terik, matanya berpinar-pinar melihat adiknya yang begitu teruja menggoyang-goyangkan punggungnya. Tambah sakit hatinya apabila Hidayat menyebut nama “Miming”, anak penjual aiskrim berbangsa Cina yang selalu datang berjaja aiskrim di kampung mereka berulang kali.
“Diam! Kalau tidak siaplah aku kerjakan engkau nanti!” Juwita memberikan amaran sambil berusaha menahan kemarahan sedangkan Hidayat semakin galak mengusiknya. Bertambah tercabar hatinya apabila Hidayat menjelirkan lidahnya.
“Nah, ambil hadiah kau!” laung Juwita di penghujung kesabarannya.
Segenggam lumpur dilontarnya sekuat hati tepat ke tubuh Hidayat. Baju lusuh berwarna putih yang dipakai adiknya serta-merta berubah menjadi hitam bertompok-tompok.
Hidayat tergamam seketika dengan serangan mendadak itu, namun dia tidak berdiam diri. Tanpa diduga, dia membalasnya dengan lontaran demi lontaran tanah lumpur yang dikaut begitu pantas dengan jari-jarinya dari dalam petak sawah. Dalam sekelip mata sahaja, padi yang baru ditanam habis tenggelam di dalam keladak lumpur.
Juwita nekad untuk membelasah Hidayat secukup-cukupnya sebelum dilihat ibu.
“Nah, ambil kau!” jeritnya sekuat hati sambil melepaskan satu lagi balingan. Rasa cukup puas hatinya kerana lontarannya menepati sasaran. Hidayat menggelupur!
“Ibuuu tolong!” jerit Hidayat sambil menekup matanya ketika Juwita hampir melonjak meraikan kemenangan.
Juwita tergamam. Dia berasa begitu cuak mendengar raungan Hidayat yang kedengarannya bukan dibuat-buat. Tanpa berlengah, dia berlari ke arah adiknya. Dia berlari, jatuh dan berlari lagi di dalam lumpur. Raungan adiknya bergema di seluruh ruang mindanya.
“Buka mata! Buka mata dik!” laung Juwita sambil mencekup air bercampur lumpur dari petak sawah, cuba membasuh mata Hidayat. Si adik menepis tangannya.
“Juwita!”
Dia tersentak daripada lamunan. Segera dia menoleh ke arah datangnya suara yang memanggilnya. Julia, kakak sulungnya sedang menanggalkan sarung tangan di bawah pancuran air yang mengalir dari tali air.
“Kau tak dengar bunyi jentolak itu?” tanya kakak.
Juwita terpinga-pinga, cuba mengamati bunyi yang sejak tadi mengganggu pendengarannya. Ketika itu juga dia teringat Hazrin, pemilik tanah yang berjiran dengan tanah warisan ibu bapa mereka. Dia bersungguh-sungguh ingin menyambung jalan raya sehingga ke tanah miliknya walaupun harus melalui tanah sawah orang lain.
“Besar pahalanya apabila kita membuat laluan untuk orang lain di atas tanah kita,” kata Hazrin beberapa bulan yang lepas. Juwita keberatan pada mulanya memberikan laluan memandangkan hanya Hazrin yang akan mendapat manfaatnya.
“Eh, takkan Hazrin sudah mula buat jalan raya! Janji selepas selesai menuai padi,” gumam Juwita sambil melangkah menuruni anak tangga sulap, berhati-hati.
Bussh … tiba-tiba satu bunyi yang kuat dari arah belakang sulap Julia kedengaran. Juwita terlopong memandang wajah kakaknya yang pucat.
Senyap seketika, sebelum enjin jentolak menderam semula diikuti bunyi pokok tumbang sekali lagi. Tanpa sepatah kata, Julia menapak pantas ke sempadan tanah sawah yang dipenuhi pokok-pokok durian hasil tanaman Hidayat yang sedang lebat berbuah. Juwita mengekorinya dengan dada yang berdebar.
Fikirannya sarat dengan tanda tanya dan jawapan yang amat menakutkan. Sesekali dia mendepangkan tangannya untuk seimbangkan diri sedangkan Julia sudah lebih sepuluh langkah di hadapannya.
“Ya Allah … kenapa tebang pokok durian itu?” sayup-sayup kedengaran oleh Juwita laungan kakaknya.
Dari jarak 30 meter, Juwita melihat sekumpulan lelaki yang sedang memerhatikan pergerakan jentolak yang menderam tanpa henti seakan melepaskan dendamnya pada pokok-pokok yang tidak berdosa itu.
“Hoi, siapa yang beri kebenaran menebang pokok-pokok ini, haaa!?” laung Julia sekali lagi. Sebelah tangannya mencekak pinggang dan sebelah lagi memegang kepalanya.
Ketiga-tiga lelaki itu menoleh ke arah Julia serentak kemudian ke arah Juwita.
Juwita cuba mencari kata-kata untuk dilepaskan tetapi tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia terpinga-pinga melihat kawasan yang belum sampai dua jam tadi teduh dengan rimbunan pokok-pokok durian. Kini yang tinggal hanya sebaris pokok yang tampak janggal setelah pokok-pokok lain rebah menyembah bumi. Hatinya tiba-tiba terasa pedih bagai dihiris sembilu. Baru saja dia berangan-angan untuk menunggu buah pertama durian itu gugur untuk diberikan kepada Hidayat.
Pantas, dia menghampiri Hazrin, lelaki kampung yang berlagak dengan ijazah kejuruteraan tetapi memilih untuk menjadi petani moden konon untuk menjadi sumber inspirasi golongan belia di kampung.
“Kau memang penipu Hazrin! Kau kata laluan jalan raya kita kongsi bersama-sama di sempadan tanah. Tak cukupkah jarak sepuluh kaki dari sempadan yang Hidayat tinggalkan kosong untuk laluan?” bergetar suara Juwita, cuba mengawal perasaannya.
“Tapi Juwita … tanah saya sepanjang sempadan dipenuhi pokok padi,” jawab Hazrin. Tiada riak rasa bersalah pada nadanya.
“Kau memang narsisistik Hazrin!” Dia berusaha mengawal getar suaranya.
“Apa bezanya pokok durian yang sarat berbuah ini dengan padi?” tambahnya, berharap Hazrin tidak akan menyebut mitos semangat padi yang selama ini menjadi pegangan mereka.
“Hentikan sekarang!” bentak Juwita sambil menudingkan jari telunjuknya kepada pemandu jentolak yang terkulat-kulat kebingungan. Hatinya kian panas melihat Hazrin yang terpinga-pinga seolah-olah dialah mangsa keadaan.
“Dengar sini Hazrin, jika ada sebatang lagi pokok tumbang, saya akan haramkan kamu memijak tanah ini! Haram pijak tanah kami walau seinci pun!” tempik Juwita.
Saat itu Juwita benar-benar ingin merampas jentolak itu dan meradak tanah Hazrin biar habis binasa pokok-pokok padinya yang tengah subur menghijau saat itu. Namun entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia berasa dirinya longlai di suatu kawasan yang teramat lapang. Pancaran matahari yang begitu terik menyilaukan mata. Ironinya seluruh tubuhnya terasa begitu dingin seolah-olah dia sedang berdiri atas hamparan salji yang membeku.
‘Adakah ini sumpahan semangat padi yang marah kerana aku berniat jahat pada padi yang sedang tumbuh?’ getus hatinya.
“Juwita!”
Dia mendengar sayup-sayup suara Julia memanggilnya. Samar-samar di kejauhan dia melihat Hidayat menghampirinya.
“Apa hak kakak menghalang jika ibu dah bagi hak milik tanah sawah enam hektar itu pada saya?” kata Hidayat bersahaja walaupun Juwita langsung tidak menyembunyikan kemarahannya.
“Tanah bahagian kakak kan ada, lagi luas kot?” ujar Hidayat lagi, sinis.
“Eh … mentang-mentanglah kau tu anak lelaki, kau boleh pilih sesuka hati kan?” kata Juwita tanpa mengendahkan ibunya yang berkali-kali ingin mencelah.
Dia terlalu sayang akan tanah itu kerana di situlah dia melakar kenangan zaman kanak-kanak yang terindah ketika ayah masih ada. Di situlah mereka tiga beradik berhempas pulas membina kehidupan sehingga berjaya dengan hasil tanaman padi bersama-sama ibu.
Dia hanya mahu sedikit, setengah hektar pun jadilah. Dia seperti mengemis secebis kenangan silam untuk diwariskan kepada anak cucunya nanti. Sedikit pun dia tidak tergoda dengan tawaran sebidang tanah kebun penuh pokok buah-buahan peninggalan ayah di atas bukit yang pemandangannya penuh pesona matahari terbenam menjelang senja.
“Kau ambillah semua tanah bukit itu!” kata Juwita.
Puas Juwita merayu untuk menjuarai hati ibu, namun harapannya berkecai. Ibu tetap membuat keputusan yang berpihak kepada Hidayat.
Perlahan-lahan selepas itu Juwita menerima hakikat bahawa Hidayatlah yang paling layak dinobatkan sebagai pemenang. Akhirnya dia menyedari betapa sentimentalnya nilai tanah sawah yang dibeli dan diusahakan sepenuh jiwa raga oleh ayah pada saat-saat terakhir hidupnya. Dan semestinya anak lelaki tunggal itulah yang paling mampu menjaganya.
‘Ayah pun pasti bangga dengan Hidayat,’ getus hati Juwita, memberikan alasan untuk beralah sambil menelan air mata yang bertakung di lubuk hatinya saat muktamadnya keputusan ibu. Juwita yang kehampaan berjauh hati. Dia benar-benar jauh hati.
Hubungan mereka menjadi dingin selepas itu. Mereka jarang-jarang bertegur sapa kecuali jika ada perkara yang benar-benar mustahak. Namun bagai air dicencang tidak akan putus, persaudaraan mereka tidak pernah berakhir sehinggalah Hidayat menjual sebahagian tanah sawah itu kerana desakan kewangan.
Juwita mengamuk lagi. Belum hilang rajuknya selepas bertahun-tahun, Hidayat melakukan kesilapan yang paling ditakutinya.
‘Walau apa-apa pun terjadi, jangan sesekali jualkan tanah warisan kepada orang lain. Tidak akan mati kelaparan kamu selagi ada tanah untuk diusahakan,’ pesan ayah terngiang-ngiang di telinganya.
Mujurlah yang membeli tanah itu ialah Tauke Tong Ming yang dahulunya hanya berjaja aiskrim keliling kampung.
“Demi persahabatan kita,” kata Miming mengakhiri urusan mereka dengan senyuman yang tampak begitu tulus.
Jauh di sudut hati, Juwita didera nostalgia cinta monyet yang pernah mewarnai zaman kanak-kanaknya dulu.
“Kakak ambillah bahagian saya di tanah sawah itu. Nanti kakak ganding nama atas geran tanah dengan Kak Julia,” kata Hidayat suatu pagi setelah segalanya selesai.
Dia berkeras mahukan kedua-dua kakaknya menerima pemberiannya dan menyatakan rasa cukupnya dengan sebidang tanah di atas bukit yang ditolak Juwita. Suatu pagi penuh ironi ketika Hidayat tidak lagi mampu untuk bertekak dengan Juwita. Suatu pagi selepas sepuluh tahun Hidayat menjadi pengunjung tetap pusat dialisis tiga kali seminggu di hospital Daerah Ranau.
“Kak Julia, Kak Juwita … pemandangan dari sawah tidak kurang hebatnya dengan pemandangan dari puncak bukit kerana keindahan sebenarnya datang dari hati. Kadang-kadang hidup ini banyak pilihan. Kita saja yang berebut-rebut mahukan sesuatu yang kita fikir baik untuk kita,” Hidayat memejamkan matanya, seperti mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
Juwita menahan nafasnya. Suasana bening memenuhi segenap ruang tamu rumah ibu. Tidak pernah dia mendengar adik lelakinya memberikan tazkirah seperti ini.
“Apa-apa pun kalau durian di sawah itu berbuah nanti, jangan lupa bagilah saya rasa buahnya yang pertama tau …” kata Hidayat serius.
Serentak mereka berempat mengesat mata masing-masing yang basah bergenang air mata.
“Juwita … kau okey?” suara Julia mengejutkan lamunannya serentak dengan bunyi deringan telefon bimbit dari beg tangannya.
“Mama! Mama masih di sawah?” suara cemas Tihani tanpa salam membuat jantung Juwita seakan terhenti. “Pak Cik Hidayat mama, Pak Cik Hidayat …”
“Kenapa dengan Pak Cik Hidayat?” Juwita menjerit memecah keheningan suasana.
Bunyi jentolak tidak lagi kedengaran. Tidak ada jawapan dari Tihani tetapi Juwita dapat mendengar suara beberapa orang dalam suasana cemas di hujung talian.
“Kita balik Juwita. Firdaus kata ayahnya pengsan,” sela Julia yang juga baru selesai menjawab panggilan telefon. Wajahnya kelihatan tegang. “Tak payah tanya Tihani lagi.” katanya, membiarkan Hazrin dan rakan-rakannya terpinga-pinga.
Juwita memecut kereta sedan warna kelabunya di atas jalan raya kampung yang tidak berturap dengan separuh jiwa yang telah melayang terbang. Dia tidak lagi menghiraukan lubang yang terdapat di sana sini seperti kebiasaannya kerana didorong hasrat untuk melihat apa yang berlaku kepada Hidayat. Dia enggan menolak seribu kemungkinan pahit yang menerjah fikirannya bersilih ganti.
Namun alangkah hampa Juwita melihat halaman rumah yang kosong, sunyi dan sepi. Kelibat ibu juga tidak kelihatan di mana-mana.
Hanya Tihani dengan wajah yang teramat sugul menunggu di muka pintu. Kerusi roda milik Hidayat kosong tanpa tuannya duduk bersandar menyedut asap rokok daun kirai seperti selalu. Juwita bungkam menatap wajah anak gadisnya yang terkial-kial cuba menyatakan sesuatu.
“Hospital,” hanya itu perkataan yang sempat didengari Juwita sebelum memecut keretanya semula menuju ke hospital yang terletak empat kilometer dari rumah ibu.
Di wad kecemasan, Juwita menggoncang-goncang tubuh Hidayat yang sudah tidak bermaya sebaik sahaja mereka dibenarkan oleh petugas hospital untuk masuk. Julia merangkul bahunya sambil berkali-kali memintanya mengucap dan bersabar.
“Hazrin sudah tebang hampir semua pokok durian yang kau tanam. Dia buat sesuka hatinya kerana dia tahu kau tak akan melawan. Maafkan kakak …” rintih Juwita tanpa menghiraukan Roslyn, isteri Hidayat yang tersedu-sedu menahan tangis di hujung kaki suaminya. Duduk di sebelahnya, ibu yang sugul tetapi tampak begitu tenang.
“Buka mata! Buka mata, dik!” Juwita menjerit histeria, berharap Hidayat akan menepis tangannya.
“Hidayat …”
Esak tangis bersahut-sahutan memenuhi segenap ruang kamar bercat serba putih itu. Kemudian malam pun merangkak perlahan. Ketika mendongak ke langit saat jenazah Hidayat diusung masuk ke ruang tamu di rumah ibu, Juwita sempat melihat seekor kupu-kupu putih mengepak sayapnya kemudian menghilang dalam suramnya cahaya bulan, tanda berakhirnya kemelut duniawi untuk satu-satunya adik lelakinya itu.