“Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kuburan-kuburan dibongkar, setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikan(nya).”
(Surah al-Infitar, 82: 1-5)
“Entah kenapa aku rasa ayat-ayat ini sangat indah. Langit terbelah? Di atas langit tu ada apa? Tak ada apa-apakan yang boleh kita belajar? Vakum. Void. Ruang kosong. Hampagas.” Aku meluahkan segalanya kepada Que. “Mana boleh tak ada apa-apa, tak masuk akal. Mana boleh belah sesuatu yang tiada. Cuba tengok ni, aku belah udara,” sambungku sambil menunjukkan aksi karate di ruang udara di hadapan mukaku.
Que tersengih.
“Udara boleh dibelahlah.” Que menyangkal hujahku seraya menaip sesuatu dalam telefon pintarnya. “Cuba kau tengok ni…” sambungnya lagi sambil menunjukkan halaman Wikipedia berjudul ‘Supersonic Speed’. “White cloud forms as a result of the supersonic expansion dropping the air temperature below the dew point. Nampak awan putih tu. Tu kira udara terbelah la tu.”
Daripada sengih Que tadi, aku dah boleh agak dia ada poin yang kukuh.
Aku sengih juga. Aku suka apabila ada orang mencabar idea aku. Perumpamaannya seperti akar pokok yang tunjang, batang pokok yang kukuh, semakin kuat apabila ditiup angin. Kaedah evolusi alam semula jadi. Menentukan kemandirian sesuatu spesies sejak zaman berzaman. Idea perlukan evolusi juga.
“Ok. Udara boleh dibelah. Buah kelapa boleh dibelah. Air boleh dibelah. macam Nabi Musa belah Laut Merah tu, kan?” kataku sambil cuba menyusun hujah lain supaya kekal pada frekuensi yang sama dengan Que.
“Sekarang berbalik kepada persoalan aku tadi … boleh ke langit yang vakum dan tak ada apa-apa itu, dibelah-belah?”
Kami sama-sama terdiam. Suasana di kedai mamak 24 jam masih riuh rendah walaupun sudah lebih tengah malam. Sedari tadinya kami tidak ambil peduli semua itu. Isu transisi fizikal dari alam dunia ke alam akhirat lebih mengalpakan kami. Kejadian kiamat yang pasti akan berlaku itu menjadi fokus perbualan kami pada malam itu.
Que hanya mengusap-usap janggutnya yang sederhana panjang itu sambil sekali sekala menyentuh jari telunjuknya ke bibirnya.
Aku mengalih pandanganku ke langit. Bulan dilindungi awan. Langsung teringat fakta bahawa cahaya bulan memerlukan masa kira-kira 1.3 saat untuk sampai ke bumi. Maknanya kalau kita nampak bulan, itu bukan bulan yang terkini. Itu adalah bulan 1.3 saat sebelum itu.
“Kau biasa dengan Profesor Enstein, yang mengkaji teori fasal General Relativiti tak? Teori tu telah dibuktikan oleh Sir Eddington pada tahun 1919,” tanyaku lagi bukan untuk poyo. Kalau aku poyo pun, Que tidak akan mengambil kisah.
“Kontras daripada teori dan formula matematik graviti oleh Sir Isaac Newton, Enstein merumuskan formula matematik lain yang menunjukkan bahawa graviti adalah relatif kepada spacetime continuum. Jadinya bintang-bintang, planet-planet, dan semua objek di cakerawala ini bergerak mengikut bentuk geometri ruang masa masing-masing.”
“Secara relatifnya, objek yang mempunyai jisim yang besar akan memberi kesan yang lebih kuat kepada ruang masa. Hal ini akan memberi kesan kepada ruang masa objek yang berhampiran.”
“Apakah kaitannya?” Que mencelah, langsung tidak menunjukkan rasa hairan.
Que menghirup sedikit air kopinya yang tinggal setengah gelas itu. Sengaja ditinggalkan baki, mungkin sebagai simpanan untuk melancarkan perbahasan kami jika terjadi pergeseran. Que meletakkan gelas kembali ke atas meja dan bersandar ke kerusi; memberi petunjuk kepadaku bahawa dia sedia mendengar hujahku yang seterusnya.
“Maksudnya, ruang angkasa lepas bukan vakum. Bukan void. Tetapi berstruktur. Ruang angkasa mempunyai geometri yang relatif kepada ruang masa. Haaa … kalau langit mempunyai bentuk tertentu (walaupun mata manusia tidak dapat melihatnya) maka mestilah langit boleh dibelah.”
“Itu pun kita belum mengambil kira segala macam gelombang yang ada di luar sana. Radiowave, Magneticwave, dan entah apa-apa gelombang lagi yang tidak kita ketahui. Mungkin segala perjalanan malaikat di langit juga memberi kesan riak kepada gelombang-gelombang tu..”
“Ingat tak konsep kelajuan supersonik yang kau tunjukkan pada aku dalam wiki tadi?”
“Mesti ada kaitannya..”
Que tersengih lagi, kali ini mata sedikit bersinar.
Kali ini giliran aku pula bersandar sambil menghirup teh tarik aku. Dalam al-Quran juga ada menyebut, apabila langit terbelah, ia umpama bunga ros berwarna merah mekar di angkasa. Aku bayangkan mesti akan berlaku ironi sewaktu kiamat, indahnya langit di pandangan mata, tetapi berasa ketakutan yang amat dahsyat di dalam hati. Aku simpan dahulu isu ini sebab Que telah pun menghabiskan kopinya. Jam di kedai mamak menunjukkan pukul 1:45 pagi.