Skip to content
Langkah Menuju Sirna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Langkah Menuju Sirna
Langkah Menuju Sirna
Cerpen

Langkah Menuju Sirna

  • Errsie
  • 20 Februari 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 316
  • 4.8

ANGIN masih bertiup menusuk tulang setiap susuk yang lemah. Jalanan berlumpur menggigit kaki —seolah-olah berjalan di atas duri yang terpacak tajam. Matahari tidak lagi memberikan cahaya, hanya membakar kulit yang merekah dan berdarah. Angin yang menyapa bukan untuk menyejukkan, tetapi untuk mengingatkan bahawa penderitaan belum berakhir. Di jalan yang tidak berpenghujung ini, manusia menjadi bayang-bayang kepada kemanusiaan yang telah lama mati.

 

Sandakan, 1945

Kabut pagi menyelimuti kem tahanan yang sunyi. Di bawah bayang-bayang perang yang semakin kejam, langkah pertama ke arah Ranau mula bergema.  Langkah yang akan menguji batas tubuh dan jiwa manusia. Di dalam berek kayu yang usang, tubuh-tubuh kurus bergelimpangan, mata mereka kosong, menatap siling yang retak seolah-olah menanti takdir yang tidak pernah adil.

Aku pasrah, hanya mampu melihat dinding berek di depanku yang menjadi penjara bagi setiap jiwa. Kulihat di tepi dinding berek terlihat satu susuk tubuh, tubuhnya tinggal rangka, seolah-olah hilang arah. Namun, apabila kulihat jelas matanya masih menyimpan bara kecil harapan. Adakah itu harapan yang mampu aku tanamkan dalam relung jiwaku? Kupejam mataku perlahan, kuhirup makna itu sehingga mengalir deras menjadi nadi dalam setiap hela nafasku.

Lebih kurang sejam, aku kembali membuka mataku yang tertutup dengan harapan, kupandang ke langit yang kelabu. Sudah berapa lama aku berjalan? Seminggu? Dua minggu? Waktu seolah-olah kehilangan makna, yang tinggal hanyalah rasa sakit, lapar dan ketakutan yang tidak pernah reda.

Di belakangku, terdengar suara batuk sahabatku, William. Aku memandangnya laju, kali ini bukan suara batuk sehabis tertawa yang kudengar, bukan lagi suara batuk sehabis makan dan minum yang kudengar, tapi kali ini, suara batuk itu seakan-akan suara batuk yang mengingatkanku bahawa kematian sentiasa mengintai.   

William yang dahulu seorang yang suka berseloroh dan bercerita tentang hasratnya pulang ke Sydney dan makan stik serta pai daging hangat. Tapi kini … dia seorang yang lemah, berjalan perlahan-lahan bersama-sama aku dan para tahanan lain.

“Tom, aku nda sanggup sudah,” ucap William sambil mengelap peluh di wajahnya — entah peluh entahkan air mata.

Kugenggam tangannya kuat. “Kita pasti akan sampai, Will. Kau mesti percaya.” Aku berbisik perlahan kepadanya.

Aku tahu kata-kata itu tidak mampu menghiburnya, bahkan aku sendiri saja sudah pasrah dengan takdir tuhan. Dalam hatiku, aku tahu bahawa tiada siapa yang akan benar-benar sampai ke destinasi. Kami hanyalah sekujur tubuh yang berjalan menuju kematian.

Sedang kami berjalan, terdengar suara tentera Jepun di belakang. Setiap pagi, tentera Jepun menjerit menyuruh kami untuk bangun. Siapa yang lambat akan dipukul, bahkan yang jatuh akan ditembak. Tiada belas kasihan, yang ada hanyalah raut wajah yang ketawa terbahak-bahak memakan kemanusiaan dalam diri masing-masing.

Kejam!

Pagi itu, aku melihat seorang lelaki tua, berusia sekitar 60-an, rebah keletihan. Dia merangkak, cuba bangun. Sayangnya dalam usaha untuk bangkit daripada kelelahan, terdengar suara seorang tentera Jepun dengan selaras senapang pemburu nyawa.

“Bodoh! Orang tua ni tahu menyusahkan kita sahaja!” ucapnya.

“Tembak! Tembak! Hahaha … lagipun dia hanya menyusahkan, buat apa kita mau simpan orang tua ni?” sahut seorang tentera Jepun lain yang sedang menjaga barisan tahanan di bahagian belakang.

Tanpa sepatah kata, tentera Jepun yang memegang selaras senapang itu menembaknya di kepala. Darah memercik ke tanah dan tubuh tua itu dibiarkan ditutupi debu jalanan sehingga membusuk.

Tiada siapa mampu menangis, tiada sesiapa mampu menjerit. Kami kehilangan suara untuk berduka. Suara tentera Jepun semakin kuat tertawa dalam kepuasan, hanyut oleh rasa nafsu yang meragut rasa kemanusiaan.

Setiap malam, aku sering bermimpi tentang semua hal indah yang pernah aku lalui, yang aku rindu, yang mungkin tidak akan aku ulangi. Aku bermimpi tentang keluargaku. Ibuku yang selalu menyisir rambutku, ayah yang suka membaca puisi, dan adikku yang gemar bermain piano. Masih terdengar suara lembut piano yang dimainkan. Dalam mimpi itu, mereka tersenyum memanggilku pulang, dan setiap kali aku bermimpi, air mata tetap jatuh membasahi pipi yang tidak berisi.

Aku berharap mimpi itu terus berkekalan dalam malam, namun aku sedar bahawa akhir mimpi itu akan menjadi tanda kepadaku bahawa pagi telah tiba­. Hari baharu yang penuh penyeksaan telah pun bermula, dan setiap kali aku terjaga, yang ada hanyalah kegelapan dan suara nyamuk yang mengerumuni luka-luka kesan sebatan dan pukulan tentera Jepun.

“Kenapa kita dibuat macam ni?” tanya William malam semalam. Suaranya berbisik, hampir hilang digabung dengan suara ketakutan.

Aku diam tidak mahu menjawab, kerana tiada jawapan yang mampu menjelaskan rasa kebencian yang begitu dalam terhadap manusia yang tidak bersalah.

“Will, aku pun nda  tahu, kita pasrah dan doa mungkin nanti ada jalan keluar.” Aku memberi respons yang sekali lagi berharap dapat menjadi penghibur buat diri William, walau aku tahu itu tidak akan pernah terjadi.

Ketika kami menghampiri Ranau, hanya segelintir yang hidup. Mereka yang telah meninggal bukanlah disebabkan oleh binatang buas dalam hutan Borneo yang tebal, tapi disebabkan oleh manusia yang tiada perikemanusiaan.

Bahkan yang hidup, kami seolah-olah mati. Tubuh ini bukan lagi tubuh manusia, kulit yang melekat pada tulang, mata yang cekung dan luka yang bernanah di seluruh badan hasil daripada pukulan tentera Jepun.

Di kem Ranau, penderitaan masih tidak berakhir. Makanan semakin sedikit, tentera Jepun semakin kejam. Aku melihat temanku William semakin lemah. Malam itu dia bertanya sekali lagi. “Tom, bila semua ni mau habis?” ucapnya.

Sekali lagi aku biarkan, dan memilih untuk senyap. Memilih untuk menjawab dengan memberikan harapan yang tidak akan pernah terjadi. Tanpa sedar, soalan malam itu menjadi soalan yang terakhir kepadaku.

Keesokan harinya, William tidak bangun lagi. Aku berusaha menggoncang tubuhnya, tapi tubuh itu dingin, tiada hembusan nafas lagi di hidungnya. Aku terdiam, tidak percaya.

“William … penderitaanmu sudah berakhir. Semoga engkau tenang di sana.” Aku menangis untuk pertama kalinya, aku biarkan air mata lelaki ini mengalir. Bukan hanya untuk William, tetapi untuk semua yang sudah mati tanpa nama, tanpa kubur dan tanpa keadilan. Bahkan sempat terbit sebuah perasaan dalam hati, seolah-olah cemburu. ‘Mereka lebih dulu bebas, mereka lebih dulu dapat lari daripada semua penyeksaan ini,’ bisikku.

Pada hari yang sama, aku dipanggil oleh seorang tentera Jepun. Aku tahu apa yang akan terjadi. Tentera Jepun itu telah melihatku berkali-kali, mungkin sejak aku menangis pagi tadi, atau entah bila. Tentera Jepun itu membawa senapang dan matanya seperti biasa, menatapku dengan penuh nafsu seperti binatang buas, ingin menjadikan aku korbannya.

“Sini kau!” teriaknya keras.

Aku berjalan menuju ke arahnya, lemah dan layu. “Oiii manusia! Cepat jalan.” Sekali lagi dia berteriak memanggilku, sekali lagi terlihat senapangnya yang panjang itu. Namun kali ini bukan disandangnya lagi, tapi senapang itu dipegang dengan penuh kemas dan penuh hasrat ingin menembakku. Tentu.

Setibanya di depan tentera itu, dia menumbukku sehingga aku jatuh tersungkur. Dia memaksaku berdiri dengan cepat. Aku dengan sepenuh kudrat berusaha berdiri tegak. Aku tidak merangkak, tidak akan merayu. Jika ini akhirnya, biarlah aku mati sebagai manusia.

Kupejam mataku. Menunggu bila-bila masa sahaja peluru senapang tersebut menembusi kepalaku. Tetapi sebelum peluru dilepaskan, aku mendengar bunyi letupan dari jauh. Mataku yang tertutup kembali terbuka, namun kali ini mata yang terbuka seolah-olah terpancar sinar baharu.

“Tentera Berikat telah tiba! Tentera Berikat telah tiba!” teriak seorang tahanan yang sedang berlari ke sana ke sini. Suaranya seolah-olah takut, namun terdengar juga suara seolah-olah laungan yang semangat, adakah itu satu tanda muncul harapan yang memberikan sirna setelah sekian lama hilang?

Tentera Jepun itu panik dan melarikan diri. Aku rebah ke tanah, menangis bukan kerana takut, tetapi kerana kelegaan. Semoga yang tiba ini dapat membawa aku dan tahanan lainnya keluar daripada penjara seksaan ini.

Namun, belum sempat aku menghabiskan sisa rasa kelegaan dalam hati, aku mendengar suara tembakan tentera Jepun, menembak seluruh tahanan tanpa ampun, mereka menembak ke arah kami. Panik dan takut kembali menghantui diri.

“Lari! Lari!” suara tahanan lainnya bergema. Kami berusaha melarikan diri. Aku terus berlari ke arah Tentera Berikat, berharap mereka datang dengan lebih cepat untuk membantu.

Tiba-tiba aku berasa belakangku sakit, perih seolah-olah ada yang menembusi kulit dan menancap di isi belakangku. Aku tahu, itu ialah peluru hasil tembakan tentera Jepun. Aku rebah tepat di hadapan Tentera Berikat tersebut. Semuanya menjadi gelap.

“Ya, tuhan … kalau ini akhirnya, aku ikhlas. Ya, tuhan.” Aku berdoa, lalu menutup mata.

Hening.

 

Sandakan 2017 

Kini, aku ialah satu daripada enam yang terselamat dari Sandakan Death March. Setelah kejadian itu, aku tidak mati, bahkan beruntungnya, seorang wanita tua yang dipanggil Inah menolongku sehingga aku selamat. Aku pulang ke Australia, berharap untuk memulai hidup yang baharu.

Tahun demi tahun, semuanya berjalan dengan lancar. Tubuh yang dahulunya kering yang memikul setiap luka kini semakin pulih. Tapi sayangnya, jiwaku tidak pernah benar-benar pulih. Setiap malam, aku masih bermimpi tentang William, tentang lelaki tua yang ditembak, tentang langkah yang membawa kami ke Ranau.

Aku menulis kisahku, bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk mengingatkan dunia bahawa kekejaman terhadap kemanusiaan tidak boleh dilupakan. Setiap langkah dalam perjalanan maut itu merupakan jeritan yang harus didengar dan di tengah kegelapan, harapan masih boleh hidup, walaupun hanya dalam satu langkah terakhir.

 

Glosari

nda – tidak

mau – mahu

 

 

 

 

# #ceritatempatan #ceritapendek #dbpsabah# #cerpen kehidupan
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP