AMAR tahu, Pulau Kukup bukanlah pulau biasa. Dikelilingi hutan bakau yang tebal, lautnya luas membiru dan angin dari Selat Melaka membawa seribu cerita. Bagi orang luar, pulau ini hanya sekadar kawasan rekreasi, tempat memancing dan menelusuri denai kayu yang dibina di atas akar bakau. Namun, bagi penduduk tempatan, Pulau Kukup menyimpan rahsia tua. Rahsia yang tidak pernah luput walau berganti zaman.
Tiga malam berturut-turut, Amar dikejutkan dengan mimpi yang sama; seekor ular sebesar batang kelapa, bersisik keemasan, memandangnya dari tepi paya. Desisnya bukan bunyi, tetapi membawa maksud; “Datanglah! Pulanglah!” Dia duduk termengah-mengah selepas bangkit mengejut, menahan degup di dada. Terasa seperti jantungnya cuba meloncat keluar dari dada. Tekaknya tiba-tiba kering, lalu dia meneguk air. Namun, air itu terasa masin seperti air laut apabila singgah di hujung lidahnya.
Sejak bertugas sebagai pemandu pelancong lima bulan yang lalu, Amar yakin dia tidak pernah melanggar apa-apa pantang larang. Pesan ayah dan ibunya sentiasa tertanam dalam fikiran; jangan bersiul di hutan bakau, jangan memijak akar yang menjulur sesuka hati, dan jangan bercakap besar pada laut. Dia anak tunggal; niatnya cuma satu, mencari rezeki untuk membantu keluarga. Namun begitu, mimpi itu seperti tangan halus yang menggeletik belakang lehernya – mengusik, mendesak dan memanggil.
Pada siang hari itu, Amar memimpin rombongan pelancong menelusuri denai. Dia hafal dengan baik semua nama bakau – kurap, api-api, lenggadai. Dia menerangkan fungsi lutut kayu, akar jangkang, air pasang dan surut. Kata-katanya lancar, tetapi fikirannya tertinggal di tebing mimpi. Sesekali, dia terasa ada sepasang mata memerhati dari celahan daun. Setiap kali lidahnya menyebut ‘keharmonian ekosistem’, hatinya teringat sisik emas yang berkilau dalam gelap.
Ketika rombongan bersurai, Amar singgah di jeti. Angin petang mengangkat bau lumpur yang basah. Dia teringat pada seorang nelayan tua, Pak Daud, yang selalu dianggap seperti ayahnya sendiri. Setiap kali resah, Amar akan mencari lelaki itu – mendengar cerita, menimba nasihat.
“Pak Daud,” Amar memulakan bicara sebaik-baik sahaja lelaki itu menambat perahu.
“Beberapa hari ni saya kerap bermimpi. Seekor ular besar… keemasan. Dia muncul di tepi paya bakau, pandang saya macam nak telan. Matanya merah menyala. Lidahnya bercabang… dihulur dekat-dekat. Tubuhnya besar macam batang kelapa. Dia mendesis… tapi saya rasa macam dia bercakap dalam kepala – Datanglah! Pulanglah!”
Pak Daud diam, pandangannya sesayup laut. Jemari yang tua mengurut janggutnya yang memutih. Dia tidak ketawa, tidak terkejut. Hanya nafas yang turun naik, berat – seolah-olah satu-satu helaan ada beban ceritanya.
“Apa lagi dia kata?” tanya Pak Daud perlahan. “Dia mengugut kamu?” Nada suaranya terdengar gugup dan cemas.
“Tak. Tak. Cuma panggil. Lepas tu, setiap kali saya terjaga, baju lencun basah dek peluh. Saya takut cerita pada orang lain. Takut orang gelak.” Amar menunduk. “Tapi saya yakin… itu bukan mainan tidur.”
Pak Daud mengangguk. “Malam ini, kita cari kesimpulan daripada mimpi kamu. Lepas Isyak, jumpa aku di jeti.”
***
Bulan mengambang. Air pasang mengusap tiang jeti seperti anak kecil yang mahu didodoikan. Amar menunggu dengan lampu suluh kecil, sebilah parang di pinggang, dan botol penuh berisi air.
Pak Daud muncul dengan perahu kayu. Mereka menyeberang. Air tenang, tetapi ada sesuatu di bawah yang terasa seakan-akan bernafas bersama-sama ayunan dayung.
Denai kayu malam itu sunyi. Hanya bunyi cengkerik, desiran angin, dan sesekali denting kecil – seperti batu kecil terselit, dihanyutkan air di bawah papan. Akar-akar tua menjulur seperti jari hitam yang cuba menyentuh. Amar melangkah berhati-hati. Setiap cahaya yang dipancarkan oleh lampu suluh menimbulkan bayang yang lebih besar, memanjang, dan seketika menyerupai lingkar tubuh.
Di tengah-tengah hutan bakau, desisan panjang memotong sunyi. Jantung Amar tersentak. Pak Daud mengangkat tangan, mengisyaratkan diam. Dari celah akar yang berselirat, muncullah bayang itu – seekor ular besar. Sisiknya menangkap cahaya bulan, memantulkan kilau emas yang menipu mata. Mata merahnya singgah tepat ke anak mata Amar. Amar kaku. Nafasnya tercarik seperti jejari yang ditarik kasar.
Ular itu tidak mematuk tetapi melingkar perlahan, mengangkat kepalanya seakan-akan mengajak. Pak Daud berundur di balik batang bakau, berbisik, “Pergi. Dia cari kamu, bukan aku.”
Tanpa mengerti, kaki Amar melangkah. Dia mengekori ular itu meredah denai, turun ke tanah lembik, menyusuri akar-akar bakau. Mereka tiba di paya terdalam, tempat denai berakhir dan hanya tinggal lumpur pekat. Di situ ada sebuah batu besar dilumuri lumut, bentuknya seakan-akan bonggol dengan urat-urat tua.
Ular itu berhenti di kaki batu. Udara mendadak dingin. Amar merasakan dadanya berombak, seolah-olah batu itu memegang nafas pulau.
‘Tempat ini… tempat asalmu!’ Desis itu terbit dalam kepala, bukan telinga.
Amar tersentak. Lehernya meremang. Kata-kata itu bagai mengunci lututnya di tempat berdiri. Perlahan, ular berpaling dan menyusup kembali ke belukar. Amar cuba menahan, “Siapa kau? Apa maksudnya?” Namun bayang itu lenyap, meninggalkan bau hujan yang belum jatuh.
Mereka pulang dalam diam. Di dalam perahu, Pak Daud merenung Amar. Lama.
“Aku dah agak,” kata Pak Daud akhirnya. “Kau bukan orang sembarangan. Moyang kau dulu penjaga Pulau Kukup. Dia bersahabat dengan ular sakti. Moyang jaga manusia, ular jaga alam. Apabila moyangmu meninggal dunia, janji itu terputus. Sejak itu, ular jarang-jarang muncul.”
“Kenapa tak pernah sesiapa pun cerita kepada saya?” Suara Amar bergetar, antara marah dengan keliru.
“Ada janji yang disimpan untuk masa yang tepat,” balas Pak Daud. “Dan masa itu… nampaknya datang semula.”
***
Khabar tentang sebuah syarikat pemaju dari luar negara melompat dari warung ke warung. Mereka mahu menebas sebahagian bakau untuk kompleks pelancongan mewah – hotel lima bintang, taman tema laut, restoran terapung. Ada yang teruja dengan peluang kerja. Ada yang resah – bakau diganti konkrit, udang, ketam entah ke mana.
Malam keempat, mimpi datang lagi. Kali ini, ular keemasan itu muncul sangat dekat. Sisiknya bagai bilah halus, setiap satu menyimpan pantulan ribuan bulan. Desisnya turun masuk ke dalam tulang.
“Jika manusia teruskan niat mereka,” bisiknya. Perlahan dan bergetar nada suara itu kedengaran. “Laut akan bangkit. Aku tidak lagi mampu menahan,” sambungnya lagi. Kesal.
Amar terjaga dalam gelap. Tubuhnya letih, tetapi bukan letih biasa. Letih seperti baru selesai menimba laut dengan tapak tangan.
Esoknya, Amar mencari Pak Daud. Mereka bertemu di pondok usang berdekatan muara, tempat yang selalu menjadi persinggahan nelayan. Pak Daud membuka kotak kayu kecil, mengeluarkan sehelai kain kuning yang sudah pudar warnanya dan seutas gelang manik hitam.
“Inilah tinggalan moyang kau,” katanya. “Kain ini pernah menutup batu di paya itu. Gelang ini dipakai penjaga ketika berjanji untuk menghormati aturan pasang surut, tidak menjarah lebih daripada perlu, tidak memanggil badai dengan tamak.”
Amar menyentuh kain itu. Sejuk. Bau lumut tua. Dia mengangkat gelang, terasa beratnya. Aneh – bukan berat besi, tetapi berat makna.
“Kalau aku pakai ini?” tanya Amar.
“Kau bukan jadi raja. Kau jadi jambatan,” kata Pak Daud. “Tapi jambatan selalu dipijak. Siap?”
Amar terdiam. Dia memandang laut yang sama, yang telah menyuapi kampung mereka selama beberapa generasi. “Kalau aku tak buat?” soalnya, hampir berbisik.
“Laut tetap laut,” jawab Pak Daud. “Kita yang berubah menjadi cerita buruk.”
Hari pelancaran projek tiba. Jentera berat mengaum di tepi jeti. Orang kampung memenuhi ruang – ada yang berkopiah, ada yang berbaju kerja, ada yang memeluk fail permohonan kerja. Pemaju membawa pegawai berbahasa Inggeris, Ketua Kampung berdiri serba salah, wakil pejabat daerah mengusap peluh.
Amar melangkah ke hadapan, menggenggam gelang manik di dalam saku.
“Tuan-tuan,” suaranya lantang, “Hutan bakau bukan pokok kosong. Ini paru-paru laut. Ini benteng ribut. Ini tempat anak ikan dan udang membesar. Kalau ditebang, kita bukan hilang pemandangan. Kita hilang hidup.”
Pegawai pemaju tersenyum nipis. “Saudara, kami bawa pembangunan. Kami tanam semula pokok. Teknologi kami teknologi moden. Jangan risau. Lagipun… cerita dongeng tak boleh halang projek berjuta.”
“Dongeng?” Amar berasa darahnya mengalir laju. “Kalau rasa dongeng, malam ini ikut saya. Kita jumpa sendiri.”
Gelak kecil tercetus di belakang. Amar menahan diri. Dia pandang orang kampung – wajah-wajah yang dikenali, tangan-tangan yang pernah menghulur lauk ketika ayahnya sakit, mata-mata yang dididik laut untuk sabar. Langit mula menggelap. Awan berjalan laju, seperti dikejar sesuatu.
“Ini cuaca tropika, bang!” usik seorang anak muda. “Sekejap hujan, sekejap panas.”
Petir melintang jauh di kaki langit. Debur pertama ombak menghentam tiang kayu di jeti, bunyinya lebih berat daripada kebiasaan. Orang ramai mula menoleh. Pegawai pemaju memberi isyarat agar meneruskan ucapan, mikrofon berdesir. Kata-kata yang keluar terputus-putus. Dari kejauhan, sesuatu menjulang dari permukaan air. Mula-mula seperti balak longgar, semakin dekat berubah menjadi garis yang bergerak, kemudian menjadi lengkung yang memecah. Ular itu timbul. Sisik emasnya menangkap cahaya kilat, membuatkan air di sekeliling berkilau.
Jerit pecah daripada kerumunan. Ada yang melintas lari, ada yang tersandar, ada yang meraung menyebut nama Tuhan. Jentera berat meraung berat, cuba diundurkan. Ombak kedua datang, lebih tinggi, menghentam tayar kembung. Rantai besi terlerai. Jentera bergoyang, diseret sedikit ke tepi laut.
Amar berdiri seperti terpaku. Ular itu memandangnya. Dalam talam matanya, Amar melihat bukan sekadar amarah – dia melihat kelelahan. Penunggu itu bukan mahu menelan manusia tetapi menderita daripada janji yang ditolak tarik.
‘Tenangkan mereka!’ desis itu menyentuh benak Amar. ‘Aku tidak mahu menenggelamkan kalian. Tapi aku akan cuba menahan. Aku hanya memberi peringatan’
Amar menarik nafas. Dia melangkah ke hujung jeti, mengangkat tangannya. “Dengar!” Suaranya pecah-pecah kerana angin. “Turun dari jeti! Tinggalkan jentera! Pergi ke balai raya. Ikut jalan tinggi!”
Ketua Kampung cepat-cepat menyambut arahan. Orang kampung mulai bergerak. Pegawai pemaju mencuba menjerit memberi arahan kepada pekerja, tetapi suaranya tenggelam dalam dengusnya angin. Gelombang ketiga menolak perahu-perahu kecil. Tali tangsi memutus seperti rambut putih.
Amar mengeluarkan gelang manik, menyarungkannya pada tangan kanannya. Diangkat tangannya ke udara setingginya. Dunia sekeliling tiba-tiba seperti jatuh sunyi seketika. Sunyi yang aneh, seperti di dalam air. Amar menundukkan kepala ke laut.
“Tolong!” bisiknya, bukan kepada ular, tetapi kepada sesuatu yang lebih tua – laut yang bergelora. “Berilah masa. Kami akan betulkan.”
Ular itu menundukkan kepala. Ombak keempat datang, tetapi tidak setinggi yang dijangka; cukup untuk menakutkan, tidak cukup untuk memusnahkan. Petir masih berkilat, tetapi jarak antara kilat dengan guruh semakin renggang. Seperti seseorang yang melepaskan genggaman.
Operasi dihentikan pada hari itu. Khemah roboh. Kain rentang terkoyak. Pemaju, yang asalnya yakin dengan jadual dan modal tiba-tiba tunduk pada cuaca.
Kampung itu menjadi gamat sehari dua. Ada yang menyebut “keramat,” ada yang menyebut “sihir,” ada yang menggeleng – “kebetulan.” Namun, malam-malam berikutnya, beberapa orang nelayan mendengar desis dari paya – desis yang bukan milik cengkerik. Desis panjang, berlagu seperti doa.
Perbincangan pemaju dengan penduduk kampung seterusnya menjadi lebih mudah. Wakil pemaju bercakap dengan suara data tetapi nadanya kali ini berbeza. Lebih tenang. Lebih menurut. Dia menyelitkan kisah, bukan sekadar angka.
“Zon teras,” katanya sambil menunjukkan peta baharu, “Kawasan paya dalam, kita haramkan aktiviti komersial. Zon tampan sekitar denai; hanya interpretasi alam, unit kecil, tanpa konkrit. Zon luar, aktiviti komuniti sedia ada diteruskan dengan kawalan.”
Pemaju berat hati, tetapi mencongak semula kos. “Tidak menguntungkan,” kata mereka akhirnya. “Kami menarik diri.”
Orang kampung menghela nafas panjang. Bukan semua bersorak. Ada yang kecewa kerana peluang pekerjaan melayang tetapi ramai yang belajar sesuatu bahawa ‘tidak’ kadang-kadang lebih sukar diucapkan daripada ‘ya’. Dan, kesukaran itu menyelamatkan rumah yang tidak berkunci.
Waktu berlalu. Amar tidak memanggil dirinya wira. Dia sekadar penghubung antara manusia yang mahu menamakan, dengan alam yang tidak memerlukan nama. Dia mulai melatih beberapa orang anak muda menjadi pemandu pelancong cara baharu: bukan sekadar menunjuk, tetapi mengajak mendengar. Mereka menghafal nama bakau, ya, tetapi juga belajar membaca arah angin, rasa masin pada lidah, diam pada air. Mereka belajar meminta izin dengan menundukkan kepala, dengan tidak memijak akar sembarangan, dengan menahan diri untuk tidak mengutip apa-apa yang bukan milik mereka.
Amar juga menguruskan lawatan kecil yang dipimpin oleh Jabatan Perhutanan untuk orang luar yang mahu menjadi sukarelawan konservasi. Mereka memasang papan tanda ringkas: ‘Pulau ini bernafas. Tolong jangan duduk di dada.’ Orang ketawa membaca, tetapi langkah mereka menjadi ringan.
Pada malam-malam bulan purnama, desis itu kadang-kadang masih kedengaran; panjang, merdu seperti seruling basah. Amar akan berdiri di jeti, memegang gelang manik dan mengangguk ke arah paya. Dia tidak selalu mengerti kata-kata, tetapi dia mengerti nada. terkadang rindu, kadang-kadang gundah, kadangkala sekadar mengingatkan bahawa keseimbangan sentiasa goyah dan perlu dijaga.
Satu malam, ketika air surut rendah dan bintang tumpah dalam lumpur, Amar bertemu Pak Daud di tepi muara. Lelaki tua itu duduk sambil mengikat jaring, lampu minyak bergoyang kecil.
“Kau dah jadi jambatan,” kata Pak Daud tanpa menoleh.
“Jambatan selalu dipijak,” Amar mengulang kata-kata dulu.
“Tapi jambatan juga yang menyelamatkan orang daripada tenggelam,” balas Pak Daud. “Kalau patah, kau baiki. Kalau goyah, kau pegang.”
Amar tersenyum. “Pak… kalau aku tiada nanti?”
Pak Daud berhenti mengikat sampan. Matanya memandang jauh, menembus gelap seperti biasa.
“Jambatan bukan kayu semata-mata. Jambatan ialah jalan yang kita ajar orang untuk melaluinya dengan aman. Ajar mereka menjaganya. Kelak nanti bila kau tiada, jalan itu tetap ada.”
Beberapa bulan kemudian, sekumpulan pelajar universiti datang berkunjung. Amar mengiringi mereka, bercerita tentang akar bakau sebagai paru-paru laut, tentang udang kecil yang suka bersembunyi di bawah bayang batang kayu, tentang burung yang singgah ketika musim hijrah. Dia tidak menyebut ular dengan dramatik; dia menyebutnya sebagai penunggu; simbol janji. Seorang pelajar bertanya, “Abang, betul ke ada ular besar?”
Amar tersenyum. “Kamu percaya pada angin?” soalnya kembali.
“Percaya.”
“Pernah nampak angin?”
Pelajar itu ketawa, lalu diam, mengerti.
Malamnya, Amar berjalan seorang diri ke paya dalam. Dia meletakkan kain kuning pada batu, menundukkan sedikit kepalanya. “Terima kasih,” bisiknya, “kerana masih menahan.”
Desis lembut menyentuh telinga batinnya. ‘Terima kasih kerana masih mengingat.’
“Adakah semua ini akan kekal?” Amar bertanya, bukan meminta jaminan. Sekadar meminta arah.
“Tidak ada yang kekal kecuali Maha Pencipta,” jawab suara itu. “Yang ada hanyalah penjaga. Selagi ada yang menjaga, yang lain akan belajar.”
Amar mengangguk. Dia menatap sisik emas yang muncul seketika di permukaan, kemudian hilang. Angin membawa bau hujan yang belum gugur. Dari kejauhan, bunyi loceng kecil dari perahu lama memantul ke tebing, seolah-olah ada yang memberi salam.
Pulau Kukup bernafas melalui akar-akar bakau. Air pasang mengurut lumpur, angin membawa garam dan cerita. Setiap desiran daun ialah huruf, setiap gelombang ialah noktah. Di balik desir itu, ada mata yang menunggu, bukan untuk menghakimi, tetapi untuk mengingatkan. Manusia belajar menghormati alam, bukan kerana takut ditelan, tetapi kerana akhirnya sedar: mereka hanya tetamu di rumah yang telah lama terbina sebelum nama-nama mereka wujud.
Amar melangkah pulang menyusuri denai. Di belakangnya, paya kembali sunyi, tetapi sunyi yang bukan sepi. Sunyi yang penuh dengan nafas halus, dengus kecil ketam di celah lumpur dan desis yang berjanji. Dan, di jeti apabila dia menoleh untuk kali terakhir, air memantulkan bulan separa seperti senyum yang tidak mahu dilihat oleh sesiapa. Di bawah permukaan, sesuatu melingkar perlahan-lahan, menjaga batas yang tidak terlihat.
Sejak malam itu, setiap kali ada yang bertanya tentang legenda ular besar, Amar tidak lagi bercerita untuk menakutkan. Dia bercerita untuk mengingatkan bahawa ada janji yang kita warisi. Janji untuk mengambil secukupnya dan memulangkan yang lebih. Dan, jika ada yang tertawa, dia hanya menuding ke arah bakau, lalu berkata, “Dengar betul-betul. Pulau ini bercakap. Kadang-kadang, dalam bahasa desis.”
Apabila angin bertiup dari Selat Melaka, membawa seribu cerita, ada satu cerita yang diulang-ulang: bahawa manusia akhirnya belajar berjalan di atas denai, bukan di atas dada pulau. Bahawa pembangunan bukan tembok, tetapi jendela yang tidak menutup angin. Bahawa di Pulau Kukup, seekor ular bersisik emas masih menunggu di paya. Bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai garis halus yang memisahkan rakus dan cukup.
Pulau Kukup tenang. Sekali-sekala, pada malam purnama, air naik sedikit lebih tinggi dan daun bakau bergetar seperti tangan menepuk perlahan-lahan. Itu bukan amaran. Itu salam. Amar, penjaga baharu yang tidak pernah menuntut gelaran, akan menjawab dengan satu anggukan kecil. Cukup untuk memaklumkan bahawa janji masih dipegang, keseimbangan masih dicari, dan cerita masih hidup.
*Pemenang Utama Kategori Cerpen Hadiah Penghargaan Sayembara Penulisan Karya Warisan 2025 anjuran DBP Wilayah Selatan.
