Skip to content
Lelaki Pengunjung Setia
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Lelaki Pengunjung Setia
Lelaki Pengunjung Setia
Cerpen

Lelaki Pengunjung Setia

  • Mohamad HM
  • 21 November 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 401
  • 4.4

LELAKI ITU duduk di satu sudut kedai makan untuk yang kesekian kali sehingga dicam oleh pemilik kedai. Fikir pemilik kedai, lelaki itu harus ada sebab tertentu suka memilih tempat duduk di situ. Tentu lelaki Melayu itu ada alasan suka berseorangan, fikirnya lagi. Sudahlah seorang, menu yang dipesannya sama, mi goreng atau martabak dan teh kosong tanpa gula.

“Encik, mau tambah air? Nasi sudah ada, lauk juga sudah siap.”

“Tak apa, mamak. Kalau lapar saya minta. Jangan susah-susah. Bukan baru hari ini saya datang sini.” Nada tulus dan seloroh berbaur dalam percakapan sang lelaki pengunjung kedai.

Basa-basi itu menghidupkan komunikasi, mungkin tidak sampai ke tahap silaturahmi. Namun, setakat itu sahajalah yang mampu diteroka oleh lelaki warga emas dengan penampilan sederhana itu. Mamak sesekali memerhati sahaja aksi lelaki itu dari dapur. Dia tidak berhajat mengetahui asbab lelaki pengunjung setia itu menimbulkan tanda tanya kepada dirinya.

Tengah hari itu, hanya ada tiga orang pengunjung yang datang ke kedai. Termasuk lelaki pengunjung setia, ada empat orang. Mereka pengunjung yang terasing, tentulah tidak saling mengenali.

Lelaki sebaya mamak itu kelihatan mencatat sesuatu, kemudian mengetuk-ngetuk perlahan pena di tangan kanannya ke meja. Dia bangun lalu berjalan menuju ke dapur, walaupun dia sedar bahawa dia tidak perlu berbuat begitu jika ingin memesan minuman tambahan atau makanan berat untuk juadah tengah hari itu.

“Mamak, jangan susah-susah, ya. Saya boleh layan diri.” Mamak hanya tersenyum mendengar sapaan lelaki.

“Saya suka kedai ini, tak ramai orang. Fikiran saya tenang duduk sini, boleh tulis macam-macam,” jelas sang lelaki.

“Duduklah, tak ada hal. Sudah banyak hari juga encik duduk, meja yang sama juga!”

Lelaki itu tergerak hatinya ingin beramah mesra, menzahirkan sifat insan sejagat kepada mamak dan pembantunya. Lelaki itu sedar bahawa mamak asyik memerhatikan gerak-gerinya dari jauh.

“Saya Hamid. Mamak jangan susah hati, lihat saya selalu datang sini.” Lelaki itu baru memperkenalkan namanya, sambil tersenyum.

“Oh, nama saya juga serupa, Hameed!” Mamak juga tersenyum, melanjutkan kata, “Oh, tak ada apa! Saya pandang-pandang saja. Tiada orang lain yang datang, siapa lagi yang boleh saya pandang?”

“Wah, bahasa Melayu Encik Hameed bagus! Sudah lama duduk Malaysia?”

“Sudah 30 tahun, Encik Hamid. Ini kedai saya nombor dua. Kedai nombor satu di Taman Seraya sana, anak saya jaga,” jelas mamak, tanpa ditanya.

Fikiran Hamid terkasima juga dengan fakta yang diucapkan oleh mamak yang senama itu. Bagi Hamid, mamak seorang lelaki perantau yang berjaya mencari rezeki halal menerusi perniagaan kedai makan.

Hamid mulai memikirkan nikmat rezeki daripada perniagaan. Daripada satu sisi yang lain pula, Hamid terfikir bahawa mamak itu mungkin sama seperti dirinya, sejenis insan yang menyendiri ketika usia melewati senja. Fikir Hamid lagi, mamak sudah berjaya menjanakan ekonomi keluarganya, sebagaimana yang dihasratkan oleh Hamid. Namun, hasrat Hamid jauh lebih murni. Dia mahu terjun ke dunia industri kreatif sambil memajukan bahasa kebangsaan. Itulah yang tersirat dalam benak Hamid.

Kembali ke meja makan, Hamid menyemak catatan pada buku kecilnya. Yang terlintas dalam benaknya, dia sudah dapat meletakkan dirinya setakah lebih maju. Sudah ada tuju hala yang jelas berbanding dengan sebulan yang lalu, sewaktu mulai memakai gelaran baharu, sang pesara pengunjung setia.

****

Memasuki alam persaraan terasa seolah-olah memasuki dunia baharu, meninggalkan dunia yang sarat dengan aturan kerja, dari pagi sampai ke malam. Orang yang mengenali Hamid tahu bahawa kesedaran Hamid berbaur keinsafan. Apa tidaknya, pengalaman tatkala membesarkan anak-anak dalam usia yang relatif lewat menjadikan Hamid sebagai lelaki yang melankolia, sekali gus insan yang cengeng, sekurang-kurangnya dapat diperhatikan amalannya selepas memberi salam ketika usai solat. Hamid sedar betapa skrip doa lisannya rencam. Banyak nama yang disebut, banyak hajat yang ingin dipinta daripada Allah Rabbul Izzati. Itulah Hamid, lelaki pengunjung setia kedai makan di hujung jalan.

Dalam perencanaan yang dipercayainya sudah kemas, Hamid mengatur kesempatan berbincang dengan sahabatnya, siapa lagi kalau bukan Azman. Lelaki itu lebih muda dan masih lagi berkhidmat di sebuah institusi pendidikan tinggi swasta.

“Man, tentu menarik kalau kita dapat kembangkan konsep anekdot mengikut tema tertentu,” Hamid cuba merangsang mindanya sendiri, juga minda Azman.

“Anekdot jenis tulisan yang popular dalam Readers Digest, kalau tak silap.” Azman pantas membalas usul yang digagaskan oleh Hamid.

“Betul, betul sangat, Abang Hamid. Bentuk anekdot ringkas sahaja, tulis apa-apa yang terlintas, asalkan difahami pembaca.” Azman mengutarakan kefahamannya.

Hamid menjelaskan lagi, “Ya, satu lagi, anekdot bersifat santai, tidak serencam cerpen. Suatu ketika dahulu, aku berusaha nak mempelajari teknik penulisan anekdot dengan menghadiri bengkel kelolaan seorang penulis terkenal. Setelah aku membaca beberapa buah buku lain yang sama konsepnya, rasanya tak perlu lagi aku menghadiri kursus.”

“Sudah banyak penerbit yang terbitkan buku anekdot. Eloklah kalau abang nak gerakkan projek ini. Apalagi, dengan bantuan media sosial, kita mudah menghimpunkan penulis.” Azman ternyata kawan yang tidak mensia-siakan buah fikiran Hamid yang bernas. Bagaikan bertemu buku dengan ruas, cetusan idea dua orang sahabat sepersatuan itu saling melengkapi konsep swaterbit yang baru dirintis itu.

Bertunjangkan fikrah genre anekdot, dengan keutamaan memilih tema kehidupan, lima judul telah siap disusun oleh Hamid. Judul-judul itu bersumberkan lima kosa kata tentang metafora kehidupan: Rimbun, Langit, Rencah, Lautan dan Pelangi. Setiap metafora diperhalusi mengikut peluasan makna kosa kata pilihan. Sebuah buku ditetapkan dapat menampung karya anekdot 20 orang penulis, yang membawa kepada jumlah 100 orang penulis jika daftar nama dapat diisi. Dalam percambahan idea yang disusun oleh Hamid beberapa hari lalu, setiap penulis akan diperuntukkan 10 halaman, langkau 1.5. Itu sekadar format asas yang terangka dalam benak Hamid.

“Bagaimana dengan kos dan soal teknikal lainnya?” Azman kian teruja mengikuti  gerak kerja perencanaan Hamid.

“Soal kos dan teknikal kita serahkan kepada Lokman dan Zarul. Mereka tahu cara pengiraan kos, juga  sudah ada pengetahuan asas tentang percetakan digital.”

“Kalau begitu, saya cadangkan Abang Hamid jadi penyelenggara untuk tiga judul, sementara dua judul lagi, saya tawarkan diri,” Azman lantas menampilkan sikap proaktifnya. Sikap itu bagaikan minyak pelincir yang dapat melicinkan gagasan Hamid, kelak menjadi kenyataan yang diharapkan. Kata orang, perkara yang baik wajar disokong!

“Cantik sangat! Terima kasih, Man. Macam orang mengantuk disorongkan bantal gayanya! Dua tiga hari lagi kita berjumpa dengan Zarul dan Lokman, berbincang tentang anggaran kos dan format buku.”

Berbekalkan pengetahuan sedia ada dan ilmu bantu daripada buku Gaya Dewan serta pengalaman sebagai editor Jurnal Akademik, Hamid teruja menzahirkan idea gerak kerja penerbitan. Konsep penerbitan gaya baharu ini, kata orang sekarang, konsep swaterbit atau penerbitan mandiri. Koleksi buku Hamid yang meliputi lima disiplin ilmu yang tersusun rapi di rak buku rumahnya membuktikan kesungguhannya dalam penerokaan ilmu semasa di kampus, diperkukuh dengan kegiatan ilmiah dan separa ilmiah semasa masih berkhidmat.

Bagi Hamid, situasi yang dialaminya, kalau pun tidak sampai meletakkan dirinya secerdik yang diinspirasikan oleh tokoh bahasa yang menjadi idolanya, setidak-tidaknya dia sudah berada di landasan yang betul, dalam skala kerja sederhana yang dihasratkannya. Hamid hanya berhajat mahu mengisi waktu persaraan, agar hasilnya kelak terkesan oleh pembaca di lingkungan.

Hamid ingin menyerahkan perihal pengurusan buku termasuk soal pembayaran yuran dan kerja-kerja teknikal kepada Lokman dan Zarul, penggiat kerja percetakan. Bertitik tolak daripada jiwa yang kental asbab pengalaman semasa dalam perkhidmatan yang menginspirasikan, Hamid bagaikan tidak sempat menoleh ke belakang lagi, apalagi Azman pula bertindak sebagai rakan kongsi idea dan teman bicara ilmu. Ternyata mereka serasi.

“Ya Allah, Kautarik satu nikmat, Kauberikan pula nikmat yang lain. Daku bersyukur atas segala nikmat kesihatan jiwa, akal dan fizikal yang Kaukurniakan, ya Allah.” Skrip doa yang hampir sama diulang baca seusai solat fardu, kian mesra meniti hari-hari yang menceriakan kehidupan Hamid.

****

Pada hujung minggu, kedai makan Hameed dikunjungi lagi. Kali ini Hamid dan Azman datang sekereta. Setelah sebulan projek penulisan anekdot fasa pertama berjalan, Hamid menerima bilangan karya yang amat menceriakan hatinya. Karya itu dimuat turun daripada e-melnya lalu dipindahkan ke pemacu pena. Sebelum memesan menu kegemaran, Hamid menyerahkan pemacu pena kepada Azman.

“Sudah ada lebih separuh yang menghantar karya. Edisi Rimbun ada 15 karya, edisi Langit, 12 karya; edisi Rencah, 15 karya, edisi Lautan, 17 karya; dan edisi Pelangi, 19 karya. Congaklah jumlah penulisnya.”

“Dalam tempoh hampir sebulan, sambutan terhadap setiap edisi melebihi 70 peratus, Abang Hamid. Kira boleh tahanlah! Tempoh berkarya seminggu lagi. Rupa-rupanya industri kreatif ini ada banyak pengikut!” Azman begitu gembira melihat prestasi lima edisi yang dipaparkan pada skrin komputer.

“Aku sempat baca dua tiga karya secara rawak. Memang mengujakan, Man! Inilah hasil yang kita tunggu-tunggu. Pandai sungguh penulis bercerita dan menafsirkan metafora yang kita jadikan judul buku. Rasa tak sabar nak baca semua karya!”

“Kita tunggu seminggu lagi, bang. Abang baca karya untuk tiga edisi, bakinya saya yang baca. Seronok lihat kesungguhan penulis.”

Makanan dan minuman yang dipesan sudah tersedia di atas meja. Hamid dan Azman masih menekuni kandungan edisi pada skrin komputer riba.

“Bagaimana kalau jumlah penulis tak capai jangkaan kita?”

“Mungkin kita lanjutkan tempoh penyerahan sambil kita uar-uarkan lagi di media sosial,” Hamid menyarankan, sambil mula menyuap martabak kegemarannya. 

Azman meneguk kopi yang dipesan tadi, siap memberitahu, kopi yang digemarinya ialah kopi serbuk, bukan kopi uncang. Hamid mengecam kebiasaan Azman, seperti juga kebiasaannya, mahu helaian tisu tersedia di atas meja, setiap kali menghadap juadah.

“Tugas kita nanti agak berat, Man. Kita kena baca semua karya, selaraskan teknikal persembahan. Oh, aku dapat satu idea! Bagaimana kalau kelima-lima edisi kaukemaskan teknikalnya, kemudian kerja penyuntingan aku hadap seorang?”

“Bang, itulah yang terbaik. Kerja penyuntingan bukan kerja sebarangan, kena orang yang tahu selok-belok nahu, yang mana salah, yang mana boleh diterima!”

“Itulah, berkat pertemuan kita hari ini. Inilah agaknya cara kerja swaterbit, kita ikut budi bicara. Yang penting, manuskrip nanti bersih, tiada kesalahan tatabahasa. Betul tak?”

Azman tersenyum, menghabiskan baki martabak dalam pinggannya. Air kopi di dalam cangkir pula masih tinggal separuh lagi.  

“Betul sangatlah kalau begitu. Kerja kau ialah kerja editor perolehan, aku pula editor naskhah. Nanti semua karya yang sudah murni akan kita serahkan kepada pereka bentuk untuk dibuat ilustrasi pula.”

“Jangan laju sangat, bang. Saya masih bekerja, abang sudah berehat!”

“Mana ada rehat? Kerja-kerja tetap ada, Man. Lebih banyak kerja semasa bersara!”

Tiba-tiba Hameed muncul lalu bertanya, “Encik Hamid dengan kawan, tidak mahu tambah air?” 

“Mentang-mentang nama kita sama, bagus sungguh layanan kepada saya, ya. Tauke sendiri yang datang bertanya!”

“Mana ada tauke, saya juga pekerja. Kami dua orang saja yang bekerja. Tidak susah juga, dari pagi sampai petang, tidak sampai 10 orang. Kadang-kadang ada waktu-waktu tertentu ramai juga orang,” Hameed menerangkan situasi kedainya, kemudian beredar ke dapur.

“Bang, kalau kisah Hameed berniaga di kedai makan, sesuai masuk dalam edisi mana?” Azman sekadar mahu menguji kefahamannya dengan bertanya tentang perkaitan antara bicara Hameed dengan anekdot yang sedang dikelolakan.

“Bijak sungguh kau, Man. Aku rasa, boleh masuk mana-mana edisi, ikut konteks cerita. Kalau cerita tentang rezeki, mungkin sesuai dalam edisi Rimbun. Kalau ceritanya tentang kerenah pengunjung yang datang ke kedai, mungkin edisi Rencah.”

“Setuju, ikut rentak karya, ya.  Wah, tak sabar nak baca semua anekdot!”

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Pusara Senja
Puisi

Pusara Senja

  • 20 September 2024
  • 97
  • 4.8
لاڠيت بيرو
Puisi Moden

لاڠيت بيرو

  • 20 Disember 2024
  • 5
Kesepaduan Sosial dalam Penyatuan Budaya Masyarakat di Malaysia
Sejarah dan Budaya

Kesepaduan Sosial dalam Penyatuan Budaya Masyarakat di Malaysia

  • 5 Disember 2025
  • 333
Lelaki dari Eropah (Dedikasi khas buat Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh)
Puisi

Lelaki dari Eropah (Dedikasi khas buat Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh)

  • 1 Februari 2024
  • 136
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP