DARI jauh sudah kedengaran sayup-sayup suara azan. Lutfi mengalih kedudukan badannya. Selimut birunya ditarik sehingga menutup kepala. Mak Salmah masak benar dengan perangai anaknya. Lagi nyaring azan dilaungkan, lagi liat anaknya hendak bangun.
Anak tunggal Pak Selamat dan Mak Salmah ini kebiasaannya menolong ayahnya membuka kedai kopi, menjerang air panas, menyapu sampah di sekeliling kedai, menunggu lori ais datang, menggoreng telur mata dan mengangkat lauk-pauk yang dimasak emaknya ke kedai. Kedai Pak Selamat berseberangan dengan rumahnya sahaja. Kedai yang telah berusia 10 tahun itu hanya beratapkan zink-zink lama, dindingnya pula dari kayu yang sudah dimamah usia.
Seawal subuh lagi akan ada penduduk kampung yang datang menghantar kuih untuk dijual di situ. Seusai solat subuh, maka berduyunlah datang jemaah masjid yang subuhnya hanya dua kerat. Roti canai, bihun goreng telur mata bergoyang, kuih-muih, dan lauk-pauk jadi santapan mereka di pagi hari.
Lutfi tidak seperti rakan-rakan seusia dengannya. Walaupun sudah berumur 14 tahun, dia tidak menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Sijil yang diperolehnya hanya setakat UPSR. Setiap hari dia akan melihat rakannya berbaju putih, berseluar hijau naik bas berhimpit-himpit menuju sekolah. Ada juga yang berbasikal sejauh tiga kilometer semata-mata mahu ke sekolah. Dalam diam dia menyimpan perasaan ingin menyarung baju putih dan seluar hijau itu juga.
“Lutfi, teh tarik kurang manis gelas besar satu!” separuh menjerit Pak Selamat.
Lamunannya terhenti. Dia sedar keluarganya yang miskin tidak mampu menyara yuran persekolahan apatah lagi mahu membeli sepersalinan pakaian sekolah. Beberapa kali juga pengunjung kedai bertanya mengapa dia tidak ke sekolah seperti yang lain. Cepat-cepat dia ke singki, membasuh pinggan dan cawan yang kotor tanpa disedari air matanya mengalir laju.
Pernah juga Lutfi ingin menyuarakan hasratnya kepada Mak Salmah supaya dihantar ke sekolah. Belum sempat dia bersuara, di bawah samar lampu ketika Mak Salmah tekun mengira untung perniagaan pagi tadi.
“Bapaknya, untung hari ni tak cukup nak pusing modal untuk meniaga esok,” perlahan suara Mak Salmah.
“Tak apalah, esok kita meniaga air saja,” pendek balas Pak Selamat.
Berkaca mata Lutfi. Dia terus berlari ke belakang rumah, duduk bertenggek di atas titi. Sekali-sekali air mata jatuh di pipinya yang sawo matang, sambil matanya melihat air sungai, riak air jelas kelihatan. Dia nekad mahu membantu keluarganya tidak kiralah bagaimana caranya. Dia sedih melihat ibu bapanya bangun seawal empat pagi, menyediakan juadah untuk dijual. Sebelah petangnya, Pak Selamat mengambil upah mesin rumput di kawasan berhampiran, manakala Mak Salmah mengajar mengaji anak-anak orang kampung. Waktu malam pula digunakan sepenuhnya untuk beribadat di masjid. Kadang-kala mereka tekun menadah ilmu-ilmu agama yang disampaikan ustaz jemputan.
Pak Selamat selalu berpesan kepada Lutfi, “Tak kiralah sesusah mana pun, jangan kita meminta-minta. Guna kudrat yang ada untuk cari rezeki halal. Walaupun bapak tak mampu nak sekolahkan hang, dengarlah kuliah kat masjid bila ada masa. Biar kita miskin dengan wang tapi kaya dengan ilmu.”
Malam itu cahaya bulan terang sekali. Angin malam sepoi-sepoi bahasa. Pak Selamat dan Mak Salmah sudah lama terlena setelah seharian bekerja. Senyap-senyap Lutfi membungkus begnya, lalu memecahkan tabung simpanannya. Cukup untuk dia sampai ke pekan Taiping. Pagi tadi, dia terdengar orang kampungnya berborak mengatakan bahawa di Taiping ada sebuah kilang baru dibuka, mungkin memerlukan pekerja yang ramai. Dia mahu mencuba nasib.
Fikiran pendeknya cuma mahu memberi kesenangan kepada mak dan bapaknya. Dia menyusup keluar tanpa pengetahuan mereka. Cengkerik merintih supaya Lutfi berpatah balik tetapi sayang jeritan cengkerik itu langsung tidak difahaminya. Lutfi menahan sebuah lori ayam yang dalam perjalanan ke Taiping. Awal-awal lagi dia sudah berpakat dengan pemandu lori itu. Tidak sampai beberapa ketika, Lutfi tertidur dipeluk kesejukan malam. Buku puisi Zurinah Hassan yang dipegangnya jatuh daripada genggaman.
Mak Salmah terjaga awal. Dia bermimpi sesuatu yang buruk berlaku kepada Lutfi. Cepat-cepat dia bangun lalu menyucikan diri. Dicapai telekung lusuhnya, dihampar kain pelekat Pak Selamat untuk dijadikan sejadah sambil duduk berteleku seorang ibu melagukan hasrat hatinya. Mak Salmah menadah tangan penuh pengharapan pada malam sunyi, berlinang air mata tulus, setulus doanya.
“Bapaknya, bangunlah dah nak dekat subuh ni. Kejut si Lutfi, nanti lambat pula air tu panas,” kata Mak Salmah sambil menggoyang-goyangkan badan Pak Selamat.
Pak Selamat menggosok-gosok matanya, mencapai tuala dan terus ke perigi di tepi rumahnya. Selesai sahaja mandi, dia masuk ke bilik Lutfi. Dicarinya Lutfi tetapi tiada di dalam bilik. Katilnya tersusun rapi seperti sudah dikemas.
‘Awal budak ni bangun pi masjid,’ getus Pak Selamat.
Pak Selamat berlalu pergi membelah hening subuh untuk ke masjid.
***
Lutfi dikejutkan pemandu lori setelah tiba di pekan Taiping. Dia yang masih mamun turun dari lori, menuju ke surau bersebelahan pasar borong, tempat lori ayam berhenti. Seusai solat, dia membelek al-Quran lalu membaca beberapa potong ayat. Teringat dia pesan Ustaz Zahazan di corong radio setiap hari, pukul tujuh pagi. “Sesiapa yang membaca 10 ayat seharian pada waktu malam tidak akan tergolong dalam kalangan mereka yang lalai.”
Sesudah selesai, dikatupnya al-Quran yang terlihat padanya debu habuk. Mungkin pengunjung surau itu hanya datang ke surau untuk solat sehingga tidak sempat menghapuskan debu pada al-Quran tersebut. Dibeleknya pula buku puisi Pujangga Tidak Bernama. Lutfi tertarik dengan puisi “Subuh di Kuala Lumpur” dan “Hari Cuti di Kuala Lumpur”. Walaupun dia berada di Taiping tetapi dia melihat puisi tersebut seolah-olah terlukis di hadapannya. Dilihatnya pekerja Majlis Perbandaran Taiping sedang membongkar tong sampah sambil marah-marah. Dari pinggir jalan, dia melihat jalan yang lengang tanpa hon-hon kereta manusia sombong. Hairan seketika.
“Dik, ada dua kupang. Pak cik nak masuk tandas tak cukup duit,” tegur pak cik berkemeja biru lengan pendek.
Lutfi menghulurkan syiling 20 sen tanpa bersuara apa-apa. Hanya tersenyum kelat. Dia duduk sebentar. Memikirkan perancangannya mahu ke kilang tersebut. Selang beberapa minit, pak cik tadi keluar dengan wajahnya lega. Dia duduk di sebelah Lutfi tanpa dipelawa.
“Hang lari dari rumah ka?” tanya pak cik berumur separuh abad itu.
Wajah Lutfi bertukar pucat.
“Ya,” jawabnya perlahan. Di hujungnya ada sedikit getar yang tidak dapat disorok lagi. Dia mula menyumpah dirinya kerana memilih jalan ini. Entah-entah pak cik ini mahu menculiknya. Sengaja dia berlagak mesra. Lalu diajak minum. Diletaknya serbuk tidur dalam minuman. Lalu dibawa ke sebuah rumah usang.
“Hang ingat pak cik tua ni larat ka nak angkat hang bawa masuk guni?”
Sekali lagi mulut Lutfi terlopong. Mustahil pak cik ini sahabat baik Sherlock Holmes.
“Hari ni hari Ahad. Perak cuti. Hang nak cari apa cuti-cuti kat sini? Baik hang balik, tolong mak ayah hang kat rumah. Ada faedah juga.”
Tak semena-mena dia merasa dirinya paling tidak berguna. Kenapa tidak difikirkan sejak awal-awal lagi tentang hal itu? Meskipun Kedah dan Perak itu dekat, tetapi cuti hujung minggunya berbeza. Dia tersenyum kerang di hadapan pak cik itu. Lalu meminta diri. Dalam benaknya, mula memikirkan apa yang hendak diberitahu kepada mak dan bapaknya di rumah. Bas berwarna merah ditahan. “Ayer Puteh,” kata Lutfi kepada konduktor berketurunan India itu. Dia tidak perlu berebut kerusi dan perjalanan terasa sangat panjang.
***
Mak Salmah sudah menangis sedari fajar menyingsing lagi. Heboh satu kedai kopi menyatakan Lutfi lari dari rumah. Walaupun Pak Selamat berasa runsing tetapi dia masih mencermati air yang dibancuhnya. Tiada sesiapa yang tahu ke mana menghilangnya Lutfi. Pak Selamat menghantar teh yang dibancuh di meja hadapan. Dari jauh, sebuah bas berwarna merah datang menderum dan berhenti betul-betul di hadapan kedai Pak Selamat.