AKU terjaga dari buaian mimpi yang indah pada malam hari apabila merasakan tubuhku digoncang sekuat hati oleh seorang lelaki yang usianya lebih separuh abad. Dengan segera dia mengheret dan menyuruhku membawa Kiah bersama-sama. Ya, Kiah yang selalu dihina oleh orang kampung. Hatiku menolak, namun langkahku mengatakan sebaliknya. Aku melihat lelaki separuh abad itu bersusah payah berjalan selaju mungkin walaupun langkah kakinya berdengkot-dengkot dan menyukarkannya untuk berjalan lebih laju. Kudengar jeritan penduduk kampung. Api yang kian marak menjilat rumah itu. Yang pasti tiada sesiapa pun yang berani mahu meredahnya.
***
Emak sudah lama pergi meninggalkan aku. Untungnya aku yang masih mempunyai ayah. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Aku tahu jauh di sudut kalbunya, ayah tetap merindu emak. Begitu juga aku. Tanpa bantuan sesiapa, aku dibesarkan dengan sempurna. Semuanya kerana ayah. Dialah ayah peraih rezeki. Dia jugalah emak penyantun kasih.
Fajar kian meninggi mengintai bumi. Nyanyian merdu burung murai memulakan hari yang cerah dan aman. Deruman makhluk yang tidak diundang itu memecahkan keheningan buana. Suasana bertukar rentak.
Gajah liar! Demikian jeritan orang-orang kampung.
Cukup dengan dua perkataan tersebut sudah membuatkan penduduk kampung dilanda gerun. Jeritan penduduk kampung semakin membingitkan dan lari bertempiaran. Ibu dan anak-anak menangis ketakutan.
Aku mencari ayah. Aku memerhati ke kiri dan ke kanan dan berlari ke tepi bukit, namun kelibatnya tidak kelihatan. Degupan jantungku kian rancak memainkan rentak. Ayah terpacak berdiri tegak memandang tepat ke arah Kiah yang semakin mendekat. Semakin lama Kiah semakin mendekat. Ingin aku berlari menyelamatkan ayah tetapi dihalang oleh orang-orang kampung. Nyawa ayah bagaikan di hujung tanduk.
“Ayaaaaah!!!” Aku menjerit sekuat hati. Tubir mataku tidak dapat diempang lagi.
***
Aku masih tidak percaya dapat bertentang mata dengannya setelah peristiwa yang terjadi tempoh hari. Aku juga berasa hairan mengapakah ayah bersungguh-sungguh memohon kebenaran daripada PERHILITAN untuk menjaganya? Aku menatap matanya dan ia turut memandangku dengan hiba bagaikan meminta belas ihsan. Aku cuba untuk memahami gerak rasa haiwan kecil di hadapanku ini. Pandangannya redup. Aku tahu pandangannya itu tidak membahayakan nyawaku. Malah, berjaya meruntun jiwaku.
Rumput yang ayah serahkan kepadaku masih kaku di tanganku. Sungguhpun hatiku tersentuh dengan pandangannya, namun tidak aku hulurkan rumput itu. Masih ada sedikit keraguan di hatiku terhadap pandangannya yang redup dan kasihan itu. Mungkin ia hanya bersandiwara untuk biarkan kami membebaskannya. Aku masih ragu dan tetap memandang mata kecil yang berkaca itu. Senggolan ayah mematikan lamunanku. Ayah memberi isyarat agar aku memberikan ia makan. Aku akur.
Aku tahu ayah hebat orangnya. Ketika seusia aku, ayah sudah boleh diharap menolong datuk menjaga gajah. Banyak gambar foto yang merakam kenangan ayah bersama-sama dengan gajah yang berjaya dijinakkannya. Pernah aku bertanya tentang gambar-gambar itu, namun jawapan ayah tidak memuaskan hatiku. Keluarga aku dipandang hina oleh orang kampung kerana ayah berkaki tempang. Kecacatan ayah menyebabkan kami dipulaukan dan tidak dihiraukan oleh penduduk kampung. Namun, ayah tidak pernah ambil peduli tentang itu. Ayah dan gajah bagai dua jasad satu jiwa. Hari ini merupakan kali pertama aku melihat ayah merawat seekor gajah. Pelbagai ramuan dibancuh di dalam besen. Disapunya ramuan tersebut pada dahi dan kaki gajah. Sebuah buku Mantera Gajah kelihatan di sampingnya.
“Mantera gajah,” pendek ujaran ayah.
***
“Mampukah orang seperti ayah kau menjaga gajah?” sergah Setapok, jiran sebelah rumah kami sambil meniru gaya ayahku berjalan sambil tersenyum sinis.
Kesabaranku menipis. Dadaku berombak kasar. Ingin kuluahkan segala ketidakpuasan hati ini, namun kupendam sedalam-dalamnya. Ayahku dihina. Kami tidak mengganggu mereka, malah kami tidak pernah berbuat jahat kepada sesiapa pun.
Ayah termenung di jendela. Orang kampung mahu mengusir gajah-gajah yang berkeliaran. Kata mereka kami sekeluarga sengaja mendatangkan bahaya kepada penduduk kampung. Aku tidak mengerti mengapakah mereka melemparkan tuduhan sedemikian? Aku tahu gajah liar sangat berbahaya tetapi ia masih boleh dijinakkan dan ayah mempunyai kemahiran itu.
Aku nekad untuk belajar mengurus dan menjinakkan gajah dan mewarisi kemahiran ayah. Biar maruah ayah dan diriku tidak lagi diperlekehkan oleh penduduk kampung
Aku mencari Kiah. Aku melangkah ke kawasan kandang untuk melihat Kiah. Aku tercari-cari keberadaannya di sekitar kandang. Aku hairan Kiah tidak kelihatan. Laju kaki ini berlari. Puas aku mencarinya, namun Kiah masih tidak kelihatan.
“Ayah, Kiah hilang!”
Ayah memalingkan wajahnya ke arahku tanpa sedikit pun riak runsing. Dia menghulurkan buku Mantera Gajah yang lusuh kepadaku.
“Gunakan ilmu yang ada dalam buku ini,” kata ayah seraya berlalu meninggalkan aku yang terpinga-pinga sendiri.
Lama. Baru aku mengangguk faham. Aku menyelak helaian Mantera Gajah. Beberapa doa tercatat di dalamnya. Barangkali ayah bimbang anak gajah itu tercedera sepanjang kehilangannya. Terselit sehelai kertas yang tertulis serangkap doa. Aku yakin itu doa Nabi Sulaiman yang pernah aku pelajari di sekolah. Segala jenis penyakit gajah termasuk merchuan atau bengkak di bawah dagu yang ditulis dalam tulisan Jawi. Rupa-rupanya buku ini membantu ayah merawat dan menjaga gajah yang sakit dengan menggunakan daun herba dan ramuan-ramuan lain.
Berbekalkan ilmu memanjat dan menjejak, aku membawa sumpit meneruskan pencarian Kiah di balik bukit belakang rumah. Mulutku tidak henti-henti mengulang doa yang ayah berikan. Selang beberapa jam aku melewati denai, aku ternampak sosok yang amat kukenali di balik pohon kelapa sawit di ladang seberang.
“Kiiiaaahhh!!!”
***
Ayah senyum memandang aku. Mantera Gajah di atas meja dicapai lantas membukanya.
“Gajah yang kita jaga dan rawat itu daripada baka jurudemang,” ujar ayah membuka cerita.
Aku angguk perlahan.
“Jurudemang bukan gajah biasa tapi gajah yang digunakan oleh pahlawan Melaka suatu ketika dulu. Ayah mahu kamu jaga Kiah. Simpan buku ini dan dalami ilmunya.”
Kata-kata ayah yang mempercayakan aku membuatkan aku membalas senyumnya. Aku berasa bangga atas kepercayaan dan keyakinan ayah terhadap kemampuan aku.
Aku menggalas tugas menjaga Kiah. Anak gajah liar itu semakin hari semakin menampakkan jinaknya. Kiah mula manja denganku. Kadang kala Kiah mengangkatku naik ke badannya dan merapati aku. Setiap petang aku membersihkan badannya. Sesekali aku ulangi doa Nabi Sulaiman yang aku hafal dari kertas yang ayah selitkan dalam buku Mantera Gajah.
“Kau pun nak jadi macam ayah kau juga, ke? Jangan esok kau cacat macam ayah kau sebab dipijak gajah liar ini.” Kata-kata Pak Cik Setapok melukakan hati aku yang mendengarnya.
Pak Cik Setapok tidak senang melihat kemesraan antara aku dan Kiah. Kami tidak pernah berkecil hati. Namun, kata-katanya hari ini kejam. Aku gagahkan hatiku untuk tidak mempedulikan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Sama seperti yang ayah lakukan bertahun lamanya. Tidak membalas dan hanya mendiamkan diri. Itulah kunci kekuatan ayah yang akan aku gunakan untuk menutup mulut orang-orang seperti Pak Cik Setapok.
Kubiarkan sahaja lelaki sebaya ayah itu meluahkan ketidakpuasan hatinya. Masih ramai yang mempertikaikan aku yang mahu menjaga gajah liar seperti ayah. Bagi mereka, Aku tidak sepatutnya mewarisi kemahiran ayah menjinakkan gajah liar kerana hal itu boleh sahaja diserahkan kepada pihak PERHILITAN. Tanggapan mereka pada Kiah tetap sama. Kata mereka, satu hari nanti kampung kami pasti musnah angkara amukan Kiah. Aku dan ayah akan mati gara-gara Kiah naik minyak. Aku cuba menjelaskan kepada mereka bahawa Kiah bukanlah gajah biasa. Namun tiada sesiapa pun yang mempercayai kata-kata aku.
***
Suasana sunyi di Wad Dahlia yang menempatkan pesakit lelaki yang kelihatan bernafas lemah. Sosok tubuh yang terbaring lemah di katil kujenguk kelihatan sayu. Dia membuka matanya perlahan. Aku yang melihat dia tiba-tiba membuka mata segera menekan butang merah di tepi katilnya untuk memanggil doktor.
“Alhamdulillah, Pak Cik Setapok dah sedar,” kata doktor muda yang berdiri di samping katil Pak Cik Setapok.
Beberapa orang kampung yang menunggu di luar wad bergilir-gilir memasuki ruang katil Pak Cik Setapok. Sayup-sayup kedengaran nama aku dan ayah meniti di bibir mereka. Suasana yang tadinya sunyi, tiba-tiba riuh dengan suara beberapa orang kampung yang datang melawat Pak Cik Setapok.
“Terima kasih kerana telah menyelamatkan Setapok.” Suara beberapa orang kampung serentak seraya memandang aku dan ayah.
Aku dan ayah saling berpandangan. Senyum. Puas.
Kelmarin pada saat Pak Cik Setapok terperangkap di dalam rumah yang terbakar, tiada sesiapa pun yang berani membantunya.
Ayah menyuruh Aku membawa Kiah, gajah liar yang pernah diusir oleh orang kampung merempuh rumah Pak Cik Setapok. Aku membawa Kiah ke arah api yang semakin marak menyala. Hembusan air yang deras dari belalai Kiah mematikan api yang mengganas.
Berulang-ulang kali Kiah melakukan perkara yang sama sehinggalah api mulai reda. Kiah merempuh rumah separuh rentung itu dengan kekuatan dan keberanian yang luar biasa. Apabila api semakin malap, Kiah mengangkat Pak Cik Setapok yang sudah tidak sedarkan diri. Kiah berjaya membawa Pak Cik Setapok ke luar dari rumah yang hampir menjadi arang.
“Terima kasih, Senok. Pak cik terhutang budi pada kamu,” bicara Pak Cik Setapok perlahan, hampir sahaja aku tidak kedengaran suaranya. Ada air jernih yang mengalir perlahan di hujung matanya.
“Seman, maafkan aku.”
Air mata Pak Cik Setapok jatuh berguguran. Teresak-esak. Kulihat ayah mematung tanpa bersuara. Hanya memandang Setapok yang sedang menangis kesal.
“Aku sudah banyak menyakiti hati lelaki tempang yang berhati malaikat ini.” Esakan Pak Cik Setapok semakin deras.
Ayah masih membisu.
“Aku sedar, yang kucaci itu ciptaan Tuhan.” Suara garaunya bersulam tangisan keinsafan.
***
Aku menatap mata Kiah. Kiah membelai pipiku dengan belalainya. Dapat kurasakan kasihnya kepadaku. Dua tahun aku dan ayah menjaga Kiah dengan mengurus segala keperluannya.
“Encik, berilah peluang Kiah bersama-sama kami.” Suaraku kian perlahan tatkala kulihat mata Kiah bertakung air jernih yang hangat. Air mataku mula berguguran. Pipiku basah.
Suara Kiah tersangkut-sangkut seolah-olah tidak mahu berganjak. Aku memohon simpati pegawai PERHILITAN di hadapanku, namun dia sekadar membatu. Wajahnya juga menahan sebak.
“Encik, janganlah bawa Kiah,” aku merayu lagi untuk ke sekian kalinya. Air mataku semakin melebat.
Ayah yang mengusap belakangku juga tidak dapat menahan sebak. Aku memegang belalai Kiah dengan erat, seerat-eratnya seolah-olah enggan melepaskannya pergi. Kiah ditarik oleh pegawai itu dan dimasukkan ke dalam lori. Kiah menggelepar sambil menguak sekuat hati. Kakinya terikat rantai besi dan tidak dapat bergerak. Aku berlari memeluk Kiah. Kiah merebahkan badannya dan melilit tubuhku seolah-olah tidak mahu berpisah. Aku sudah kehabisan kudrat meraung memanggil nama Kiah. Namun, Kiah semakin jauh dibawa pergi.
‘Terima kasih Kiah kerana hadir dalam hidupku walau hanya seketika.’