Skip to content
Mapel dan Belantara Rindu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Mapel dan Belantara Rindu
Mapel dan Belantara Rindu
Cerpen

Mapel dan Belantara Rindu

  • FRANCO MORROW ANAK BALAI
  • 20 Oktober 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 4.3

“Luruhnya daun mapel menandakan jalan-jalan kehidupan yang pernah kita lalui dipenuhi dedaunan kenangan.” — Dhia Aina.

AKU berjalan perlahan di celah-celah daun yang berguguran. Udara musim luruh di Kanada ini menyambut aku dengan sejuk yang membelai, seolah-olah mengusap wajahku yang dibasahi kenangan. Danau Baker yang dikelilingi pepohonan berwarna musim gugur di Bolton Timur, Quebec, menarik perhatianku dan turut memikat para pelancong untuk datang ke sini. Langkahku terhenti di bawah sebatang pohon mapel, dan dari dahan tertingginya, gugur sehelai daun merah jingga, melayang perlahan seperti mahu menyampaikan sesuatu. Aku menyambutnya dengan kedua-dua telapak tangan yang terbuka.

Empat tahun lalu, kami berdiri di sini, tepat di bawah pohon mapel ini. Tangannya memegang erat tanganku, dan matanya bersinar dengan harapan. Genggaman tangannya pada waktu itu seakan tidak ingin melepaskan segalanya. Waktu itu musim luruh juga, aku masih ingat akan cuit gelagatnya sambil tertawa kecil saat daun-daun merah ini gugur di atas kepalanya.

“Aku mahu simpan dan bingkaikan sehelai daun ini,” katanya, memungut sehelai daun mapel yang masih cantik bentuknya.

“Untuk kenangan,” sambung Aina.

“Apa yang kamu mahu kenangkan?” tanyaku sambil tersenyum.

“Segalanya … tentang kita. Tentang hidup yang sedang kita cipta. Biarpun hanya seketika.”

Sejujurnya aku tidak tahu pada ketika itu. Tetapi sekarang aku mengerti bahawa akan ada manusia yang tahu noktah takdirnya akan tiba. Aina salah seorang daripada mereka.

Di sepanjang jalan inilah bibit-bibit bahagia kami tercipta dengan senda gurau dan tawa yang menyukarkan kenangan itu untuk dilupakan.

Aku dan Aina bertemu di tanah asing ini, ketika kedua-duanya hanyut dalam misi mencari erti hidup dan makna kejayaan. Aina datang ke Kanada sebagai pelajar seni, sedangkan aku hanyalah lelaki kampung yang berjaya menjejak kaki ke bumi yang penuh mapel ini atas tiket biasiswa. Université de Montréal ini menyediakan kepelbagaian jurusan untuk mahasiswa. Aina merupakan pelajar seni sedangkan aku lebih memilih jurusan kejuruteraan sebagai keberlangsungan pelajaranku.

Kisah kami bermula di sebuah perpustakaan. Dia sedang membaca buku falsafah hidup Jepun dan aku, seperti biasa, mencari rujukan untuk tugasan kejuruteraan yang membebankan. Matanya menangkap pandanganku, dan senyumannya itulah yang mengubah segalanya. Perilaku aku yang agak tidak menyenangkan menjadi penyebab Aina menghampiri dan menegurku.

“Kamu kelihatan tegang sangat, mengapa?” tegurnya ramah.

“Aku sedang mencari cara untuk tidak gagal subjek ini,” balasku, separuh jujur.

“Jelas sangatlah kamu dalam kebingungan,” usiknya sambil ketawa.

“Jika begitu, duduklah sekejap. Baca tentang falsafah hidup. Apabila kamu tenang, semuanya akan masuk dalam otak dengan mudah,” Aina menyerahkan beberapa buku mengenai falsafah yang ada di tangannya.

Itu nasihat pertama yang menjadi asas kepada hubungan kami. Aina merupakan seorang gadis yang berjiwa bebas–menyukai puisi dan menyulam makna pada hal-hal kecil yang dianggap remeh oleh orang lain.

Dia selalu berbicara tentang daun mapel, tentang perubahan warna daun mapel yang mampu memberikan cerminan hidup buat seseorang. Dia juga bercerita tentang keharmonian dan kesetiaan yang ada pada daun mapel.

Aku yang hidup dengan logik dan angka, mula belajar melihat dunia melalui lensa yang berbeza. Jurusan kesenian yang diambil oleh Aina tidak menampakkan tanda-tanda persimpangan dalam hubungan yang kami cipta dan bina. Perbezaan inilah yang telah membentuk nilai kebersamaan dalam diri kami sebagai anak perantau yang berjuang untuk mencapai kejayaan yang diinginkan.

Danau Baker ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan para pelancong dari luar negara tetapi juga kepada penduduk tempatan yang suka berkelah dan bersiar-siar di sini. Nostalgia itu indah pada ketika kita mencipta butir-butir kenangan untuk dimasukkan dalam kotak ingatan. Begitu juga kami, kenangan itu mendahului sesuatu yang kami rancang. Seakan waktu yang sentiasa berselang-seli datang dalam paparan yang sama di tempat-tempat sekitar Danau Baker ini.

“Mapel ini … setia sifatnya,” kata Aina suatu hari ketika kami berkelah di kawasan belantara kecil yang dipenuhi dengan pokok mapel. “Mapel tidak melawan musim, tidak juga menolak perubahan. Mapel hanya … menerimanya.”

“Maksud Aina?” tanyaku sambil memandang tepat ke wajahnya. Namun, sesekali pandangannya dilarikan ke tempat lain. Jauh menuju ke arah permukaan danau.

Aku mengalih pandangan ke danau dan menumpukan mata ke arah dahan-dahan yang bergoyang perlahan.

“Dan apabila daunnya gugur, mapel tetap indah,” sambungnya.

Aina mengajarku bahawa keindahan bukan terletak pada sifat kekal atau tidaknya sesuatu perkara, tetapi pada penerimaan terhadap perubahan-perubahan yang akan mendatang. Indah dipandang pada makna konteks dan nilai penerimaan sejati. Seperti daun mapel yang gugur, namun tetap mempesona di atas tanah, membentuk karpet merah semula jadi yang membuatkan sesiapa sahaja ingin melangkah perlahan di atasnya. Indah seperti permaidani merah menuntun para pejalan kaki berasa senang dan yakin untuk sesuatu hal. Aina mengatakan bahawa sesuatu perjalanan hidup itu perlu tenang agar perjalanan itu indah untuk dinikmati.

“Setia itu bukan menunggu selamanya,” katanya lagi. “Tetapi memahami apabila perlu ditinggalkan dan apabila perlu menjauh.” Penerimaan sejati inilah yang sering dikatakannya.

Musim sejuk tahun itu, Aina jatuh sakit. Kanser tahap empat. Terlalu lambat untuk dikesan, terlalu pantas sakitnya berkembang. Selama ini Aina merahsiakan segalanya. Aku masih ingat pada suatu malam ketika Aina dihubungi oleh doktor. Aina sempat meninggalkan aku seketika di balkoni dan kembali semula setelah itu. Dia datang dengan melemparkan kuntuman senyuman yang berbeza tidak seperti kebiasaannya. Sambil mengambil tangan kananku, digenggam erat dan kami bersama-sama duduk di tepi tingkap apartmen kecilnya, memerhati salji pertama yang turun. Bulan madu yang penuh dengan kejutan. Aku banyak mendiamkan diri.

“Aku akan jadi daun mapel itu,” katanya, tenang.

Aku tidak faham atau mungkin aku sengaja menolak untuk memahami kata-katanya.

“Apabila daun mapel itu gugur nanti, kamu jangan menangis. Hanya simpan satu daun. Bingkaikan juga untuk kenangan. Selebihnya, biarkanlah daun itu ditimbus salji … .”

Aku tidak mampu membalas.

Aina bertahan sehingga musim luruh seterusnya. Kami tidak lagi berlari-lari di taman mapel, tetapi Aina hanya duduk diam di kerusi roda yang sering dia gunakan. Hari-harinya menjadi singkat, nafasnya menjadi perlahan. Namun, senyumannya tetap sama — ikhlas, damai, menerima.

“Kamu tidak pernah rasa marah pada takdir?” tanyaku pada suatu petang.

“Aku percaya, hidup bukan tentang panjangnya waktu. Tetapi mengenai cara kita mengisinya. Aku sudah cukup bahagia, dan bahagia itu bukan milik yang kekal, tetapi milik yang sedar.”

Aku menggenggam tangannya yang dingin. “Aku akan sentiasa rindukan kamu, Aina.”

Dia tersenyum. “Jangan rindukan aku. Rindulah kenangan kita. Itu lebih hidup dan bermakna.”

                                                                          ***

Tahun ini, aku kembali semula ke tempat itu — di bawah pepohonan mapel yang pernah menyaksikan tawa riang kami. Aku datang sebagai seorang lelaki yang masih cuba belajar menerima, masih cuba setia pada janji lama, untuk tidak menangis, hanya menyimpan satu kenangan yang perlu dibingkaikan dalam ruang ingatan.

Begitulah aku pada waktu ini yang masih berjalan di sepanjang jalan kenangan ini. Rasa kesedihan telah ditutupi oleh bayang-bayang senyuman Aina. Sesekali aku senyum namun tercuit juga rasa sedih. Aku memerhati semula pada pepohon mapel ini yang membuatkan fikiranku semakin menerawang jauh. Tenggelam dalam kepulan awan imaginasi terdahulu. Hanyut dalam impian Aina. Kenangan yang masih tertangguh itu sesekali cuba menumpahkan kolam takungan air mata keluar daripada kelopak mata.

Aku masih menyimpan daun mapel pemberian Aina suatu ketika dahulu. Sudah lusuh, warnanya pudar walaupun telah dibingkaikan. Tetapi kenangan pada dirinya masih utuh. Daun itu melambangkan kekuatan–bukan kerana daunnya tidak gugur, tetapi kerana daunnya gugur dengan indah. Aina juga pernah berkata bahawa kita ibarat daun mapel. Ada masanya kita hijau, segar dengan harapan. Kemudian kita berubah menjadi merah dan jingga. Akhirnya kita jatuh. Tetapi jika kita ikhlas menerima perubahan itu, kita akan tetap menjadi indah di mata yang menghargai.

Di celah belantara mapel yang membingkai musim luruh, aku akhirnya mengerti bahawa hidup ini bukan tentang melawan perubahan, tetapi tentang mengharmonikan diri dengannya. Seperti daun mapel yang setia pada musimnya, aku belajar untuk setia pada kenangan. Bukan untuk terperangkap, tetapi untuk mengerti bahawa sesuatu yang indah itu tidak selamanya kekal. Namun, yang kekal itu akan selalu indah jika kita ikhlas mengenangnya.

Deru angin petang yang dingin mulai hadir di persekitaran danau ini. Hadirnya sebagai petanda angin harapan bagi menyejukkan jiwaku. Aku menatap kembali bingkai dedaun mapel sambil membenarkan puing-puing ingatan itu bertandang kembali. Air mata jantan sudah dikalahkan. Aina menang dengan kenangannya.

“Jangan salahkan ujian dan dugaan Tuhan. Jangan salahkan angin yang menumbangkan pepohon mapel. Jangan juga salahkan musim dingin salji yang menimbus dedaunan mapel yang indah ini. Jangan suka menyalahkan sesuatu yang tidak kita ketahui. Janganlah pernah menyalahkan diri dengan takdir yang telah ditentukan-Nya.”

Dan di bawah pohon ini, aku mengambil beberapa keping daun mapel sambil melepaskan sehelai demi sehelai ke udara. Aku biarkan mapel melayang turun perlahan, menari bersama-sama angin. Dahulu, aku belum lagi memahami dunia falsafah yang dikongsi oleh Aina. Kini, aku tahu bahawa belantara mapel ini telah menenggelamkan aku dengan kenangan yang indah. Meraikan kehilangan dan bukannya menyerah kalah pada kehidupan yang masih panjang.

“Terima kasih, Aina, kerana mengajarku erti setia. Kini, aku berdamai dengan harmoninya sesebuah perpisahan.”

Belantara mapel, kenangan Aina dan kesetiaan yang tidak berpenghujung.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (19) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (21) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

بوات ساوداراكو يڠ شهيد
Puisi Moden

بوات ساوداراكو يڠ شهيد

  • 4 November 2023
  • 4.5
Harapan
Puisi

Harapan

  • 6 Mei 2025
  • 33
  • 4
Untuk Dipanggil Rumah
Cerpen

Untuk Dipanggil Rumah

  • 19 Februari 2024
  • 232
  • 4.8
Fungsi Bahasa Melayu Masa Kini
Bicara Bahasa

Fungsi Bahasa Melayu Masa Kini

  • 19 Jun 2023
  • 4133
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP