DIA bukanlah seorang ahli fizik untuk menceritakan perihal magnet terutamanya aspek kegunaan, sifat dan daya magnet, malah sejarah penemuannya. Apa yang dia tahu tentang objek yang turut dikenali sebagai besi berani pada masa kecilnya itu ialah keunikan atau keupayaannya untuk menarik objek lain ke arahnya, seperti besi, tembaga, kobalt atau bahan lain yang seumpamanya. Selain itu, info lain berkenaan dengan magnet hanya diketahuinya setelah membuat carian di internet atau yang terkandung dalam sukatan pelajaran kurikulum sekolahnya. Apa pun itu bukanlah persoalannya, serahkan perkara ini kepada mereka yang arif dan berkecimpung dalam bidangnya.
Fungsi magnet yang mempunyai daya penarik itu menggerakkan dirinya untuk mengaplikasikan sifat-sifat kemagnetan dalam skop yang lebih luas. Dia selalu membayangkan, alangkah baik sekiranya dia berfungsi sebagai sebuah magnet yang mampu menarik orang lain datang kepadanya atau meletakkan magnet dalam diri seumpama robot yang dipasangkan magnet pada mana-mana anggotanya. Tetapi realitinya tidak semudah yang digambarkan kerana bayangan itu sekadar wujud dalam imaginasi kecilnya.
Apa yang ingin diketengahkan ialah simbolik magnet yang berkuasa menarik objek lain datang ke arahnya. Sebagaimana sebelumnya, dia tidak ingin berbicara tentang medan magnet atau daya yang dikenakan oleh suatu magnet ke atas magnet lain. Bahkan lebih luas daripada itu, dia ingin memanfaatkan serta menginspirasikan magnet sebagai objek yang mempunyai daya kuasa penarik. Biarlah apa orang mahu kata. Contoh mudah dan ringkas yang boleh diambil pengajaran dan dibuat satu perbandingan adalah apabila seseorang yang berupaya menarik orang lain kepadanya melalui kelebihan atau ciri-ciri istimewa yang ada pada dirinya.
Keistimewaan seseorang ialah anugerah semulajadi kurniaan Tuhan, namun ada ketikanya ia mampu dipupuk dan dibentuk melalui didikan, bimbingan dan latihan yang konsisten. Dia bukan berbicara tentang dirinya. Sebaliknya dia menjadi pemerhati kepada orang yang berada di sekelilingnya.
Sudah lama dia ingin membicarakan soal daya tarikan yang ada pada seseorang dan perkara ini sentiasa bermain-main dalam mindanya sahaja tanpa mampu untuk dia suarakan kepada khalayak.
Dia menjadi penganalisis tidak rasmi melalui pancaindera seterusnya menimbulkan rasa kagum dalam diri terutamanya untuk seseorang yang mampu menarik orang lain walau tanpa berbicara.
Jika diikutkan, dia tidak mahu bermonolog sendirian dan menjadi pemerhati yang kehilangan suara. Daya tarikan yang ada pada diri seseorang seumpama magnet yang menggerakkan hati dan anggotanya untuk hadir mendengar, menonton atau setidak-tidaknya memberikan reaksi terhadap apa yang ditampilkan oleh pandangan matanya.
Kadang-kadang daya tarikan itu hadir daripada seseorang yang langsung tidak dikenalinya, terdiri daripada golongan marhaen yang tidak mempunyai nama atau status dalam masyarakat. Mereka bukan ahli politik, pemidato atau seorang yang menawarkan jualan barangan atau perkhidmatan yang petah berkata-kata, seterusnya mampu mempengaruhi mereka yang mendengarnya. Mereka tidak dikenali dan keistimewaan yang ada pada diri seumpama magnet itu tidak ditonjolkan atau tiada sesiapa yang mencungkilnya keluar. Kelebihan yang ada dapat dikesan dan dirasai dengan hanya duduk bersembang kosong atau dengan sedikit aktiviti ringkas.
Dia bukanlah seorang pakar motivasi atau individu yang bertanggungjawab untuk mencungkil segala keistimewaan itu agar terzahir pada mata setiap orang. Itu bukanlah tugasnya. Dia hanyalah seorang pemerhati sekali gus seorang yang mengagumi individu yang mempunyai daya tarikan tersebut.
Apakah daya tarikan itu hanya terletak pada lidah dan kata-kata seseorang? Malah jika diperhatikan, terdapat individu yang tidak petah berkata-kata tetapi tulisannya sangat kritis dan tajam sekali. Apabila membaca tulisannya, hati terus terpikat kerana tulisannya mampu menusuk ke hati nurani, atau mampu menarik pembaca untuk menamatkan bacaan dan mengulangi bacaannya. Tanpa melihat pada susuk tubuh penulisnya, mungkin pembaca akan mengandaikan bahawa penulisnya mempunyai karisma dan watak yang hebat. Namun siapa sangka, terdapat juga individu yang mempunyai penampilan biasa tetapi mampu menarik seseorang dengan tulisannya.
Selain itu, tidak dinafikan terdapat ramai individu yang bergantung sepenuhnya kepada paras rupa untuk menarik seseorang kepadanya. Sama ada berlaku secara sedar atau tidak, atau sememangnya seseorang itu bijak memanfaatkan kelebihan paras rupa yang ada pada diri mereka untuk menarik orang lain kepadanya. Secara jujur atau demi kepentingan peribadi, itu soal lain.
Dia tidak ingin melihat daya tarikan itu pada sudut cinta atau melibatkan hubungan seorang lelaki dan wanita. Hal ini kerana daya tarikan itu bersifat pseudo dan boleh dimanipulasi. Walau apapun, ini hanyalah pendapat peribadinya sahaja, meskipun amat wajar dengan situasi dunia sekarang yang sering kali meletakkan paras rupa sebagai kelebihan sehingga melayakkannya diberikan tawaran termasuklah pekerjaan. Kelebihan paras rupa padanya bersifat sementara dan mempunyai tarikh luput. Bagi pemerhati sepertinya, wajah tampan dan cantik berjaya menaikkan nama dan populariti sesorang dan mampu menarik ramai orang.
Selain itu, terdapat juga individu yang bijak memanfaatkan apa yang ada di sekeliling sehingga mampu menaikkan imej dan penampilannya. Hal ini diteguhkan lagi dengan pemilihan waktu yang sesuai, latar tempat dan suasana yang dapat menarik perhatian ramai serta alat bantu yang berkesan.
Benarkah tanggapan itu? Jangan-jangan ia adalah kesimpulan yang silap dengan hanya sekali lihat, sedangkan realitinya berbeza. Penilaian yang dibuat tanpa dirinya mendekati dan menyantuni sesiapa. Bahkan timbul sanggahan yang menujah benaknya.
“Engkau hanya pandai bercakap mengenai orang lain yang mempunyai magnet dalam diri, tetapi ironinya ke mana hilangnya magnet yang sepatutnya tersemat utuh dalam jasad engkau sebagai pemerhati?”
“Sampai bila engkau mahu menjadi pemerhati?”
“Tidak malukah untuk terus mencari alasan dan bertindak menjadi pemerhati?”
Dia mengesat peluh yang mula membasahi dahinya. Lidahnya kelu tanpa jawapan. Dia cuba mencari idea untuk memenangkan pandangannya tentang teori magnet yang tidak mampu diterokainya itu. Ego tidak mampu mengimbangi id yang berada dalam diri.
“Tidak. Aku bukan semata-mata pemerhati.”
Dia cuba menafikan setelah puas mencari idea. Namun idea yang dicari tidak kunjung tiba. Akhirnya dia mencari jalan mudah dengan menafikannya.
Sepatutnya bukan idea, tetapi bukti yang menyanggah kenyataan itu. Entah dari mana datangnya kenyataan itu yang tiba-tiba menjengah dalam kepalanya atau mungkin terdapat seseorang yang pernah menempelaknya dan tersimpan dalam minda bawah sedarnya. Dia hanya mengingati kenyataan tanpa mampu membayangkan siapakah yang membicarakannya.
Realitinya pada saat ini dia hanya tinggal seorang diri. Dia jarang sekali keluar dengan tujuan urusan kemasyarakatan dan mendekati individu yang dikatakan mempunyai magnet dalam diri itu. Sebutir magnet yang dirasakan sangat mahal nilainya. Dia tidak mahu dituduh sebagai seorang yang hanya pandai berbicara sedangkan realitinya tidak bermakna apa-apa. Dia juga tidak memiliki magnet yang mampu menarik orang ramai datang kepadanya. Hal ini bukanlah sebuah ekspedisi mencari harta karun atau apa-apa bahan tinggalan sejarah. Meskipun ternyata memang sukar untuk sesuatu yang bersifat abstrak. Ya, magnet itu hanya sebuah tamsilan.
Dia tidak mahu membayangkannya sebagai sebuah ekspedisi pengembaraan di alam minda separa sedar atau berfantasi, kononnya melakukan perjalanan ke tempat yang jauh dengan tujuan mencari magnet tersebut atau melakukan penerokaan dari satu lombong ke satu lombong dengan menghadapi bermacam cabaran dan rintangan sebagaimana yang selalu diserlahkan sebahagian pengkarya bagi menambahkan keunikan dan kelazatan ceritanya.
***
Pada petang itu, dia keluar dari rumahnya dengan satu tujuan iaitu untuk menguji cuba tahap magnet dan daya tarikan yang mungkin ada pada dirinya. Meskipun dia sedar, malah cukup kenal dengan dirinya yang sememangnya tiada daya penarik. Dia bukan berbicara soal cinta dan tujuannya keluar bukan untuk memikat sesiapa. Dia juga bukan ingin mempromosi atau menjual apa-apa barangan atau perkhidmatan.
Dia tidak mahu dilabelkan sebagai seorang yang berkata-kata, tetapi hakikatnya tin kosong. Bagaimana dia ingin menarik orang datang kepadanya jika hanya berdiam diri di dalam rumah? Tidak pernah bertemu dengan sesiapa dan bergaul dalam masyarakat. Lantang berbicara pada status media sosial, mengungkapkan itu dan ini, hakikatnya tiada siapa mengenali dan peduli. Dia mesti berusaha untuk menyingkirkan segala ketakutan dalam diri. Jadilah seperti besi berani, bukan besi penakut.
Bagaimana dia ingin memulakannya? Sedangkan tiada jaringan untuk menghubungkan dirinya dengan orang lain di luar sana. Dalam langkah yang kosong itu, dia diterpa satu ungkapan kata.
“Mulailah dengan orang yang terdekat dengan dirimu.”
Dia perlu mengeluarkan segala-galanya yang ada. Segala yang sudah lama terpendam dalam diri. Maka mahu atau tidak, dia perlu seseorang yang boleh menjadi cermin kepada dirinya. Mustahil untuknya mencungkil semuanya secara sendirian, dibimbangi tersilap jangkaan atau itu hanya semata-mata sifat perasan sahaja. Jika itu yang terjadi, dia bukan sahaja akan gagal menarik orang lain kepadanya, malah akan tertipu dan terperangkap dalam angan-angan dan imej yang diciptanya sendiri.