KELIHATAN seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk di beranda rumahnya. Dia bersendirian. Bersendirian merenung ke arah awan. Dia suka melihat putihnya awan. Awan berkepul-kepul memenuhi langit tinggi. Dia mendongakkan sedikit kepalanya. Mendongak sedikit lebih tinggi untuk melihat jauhnya awan berarak. Awan seolah-olah terbang baginya. Terbang melayang bebas. Bebas di angkasa yang tiada sempadan. Dia juga merasakan dirinya seolah-oleh terbang bersam awan. Dia berkhayal di dalam khayalannya.
Dia tersenyum melihat gumpalan awan yang semakin banyak. Awan bertambah rapat di antara satu sama lain. Berdekatan dan akhirnya menyatu. “Kesatuan awan”, getus hati kecil kanak-kanak lelaki itu. Dia melihat awan mula menyatu dalam kumpulan yang sangat besar. Berkepul-kepul. Menutupi luasnya langit.
“Zikri!”
Kedengaran suara wanita muda memanggil nama kanak-kanak lelaki itu dari arah dapur. Itu ialah suara ibunya. ibunya memanggil namanya berulang-kali. Zikri mendengar suara ibu memanggilnya. Zikri hanya diam dan tenggelam di dalam keasyikannya memandang ke arah awan di langit luas. “Langit sangat tinggi”. Zikri bercakap perlahan di dalam hati.
“Zikri”
Ibu berulang kali memanggilnya. Kali ini suara ibu lebih sedikit menekan. Keras kedengaran di cuping telinga Zikri. Zikri tersentak. Lamunannya sedang terbang bersama-sama awan mati di situ. Tersentak dengan itu, Zikri menyahut panggilan ibunya.
“Iya ibu. Zikri ada di beranda rumah ni.”
“Zikri menunggu ayah pulang”.
“Sekejap lagi ayah akan pulang, kan bu?”.
Setiap kali ayah pulang, ayah akan memeluk Zikri. Zikri sudah besar untuk didukung. Berat kata ayah. Lagi pula Zikri sudah tinggi. Zikri berbadan kecil dan kurus tetapi tinggi melampai seperti tubuh badan ayah. Di usia itu, Zikri tidak mampu lagi didukung oleh ayah.
Ibu Zikri bernafas lega sebaik sahaja mendengar sahutan anaknya. Mendengar jawapan daripada anaknya itu, ibu Zikri terus menyambung menyelesaikan tugasnya di dapur. Ibu amat faham perangai anak lelakinya itu. “Zikri, Zikri”. Ibu berbisik perlahan. Ada kebanggaan di hati ibu. Ibu bangga Zikri taat pada perintah ibu. Ibu menyuruh Zikri menunggu ayah pulang pada setiap petang.
Setiap petang, tepat pukul lima, Zikri akan duduk berseorangan menunggu ayahnya pulang. Kadang-kala jika urusan di dapur telah selesai, ibu menemani Zikri menyambut kepulangan ayah dari tempat kerja.
Ayah selalu pulang ke rumah lima belas minit selepas pukul lima petang. Kadang-kala Zikri bermain di halaman rumahnya ketika menunggu ayah pulang. Bermain untuk mengisi masa sementara menunggu ayah pulang.
“Zikri, hari hendak hujan”.
“Jangan bermain di luar pagar”
“Jangan keluar dari beranda rumah”.
“Jangan bermain hujan”.
“Jangan mandi hujan”.
“Ingat pesanan ibu, Zikri jangan bermain hujan. Nanti Zikri demam”.
Begitu banyak pesanan ibu kepada Zikri. Zikri faham, “jangan” bermaksud tidak boleh. Ibu memberitahu hari akan hujan. Ibu tahu hari akan hujan kerana cuaca menunjukkan hari hendak hujan. Ibu tidak membenarkan Zikri bermain hujan. “Hujan!”. “Hari hendak hujan!” Zikri berbisik perlahan. Bisikannya itu terdengar ke telinganya sendiri.
Zikri mula tersenyum. Tersenyum kerana hari hendak hujan. Hujan akan turun. Tidak lama lagi, hujan akan turun. Sebelum ayah pulang pasti hujan akan turun. Ada perancangan di benak Zikri. Perancangan untuk bermain hujan. “Horey!”. Pantas dengan itu Zikri bangun dari tempat duduknya sambil mendepangkan kedua belah tangannya. Zikri berdiri hingga tubuhnya berbentuk huruf “T”. Badannya ditegakkan manakala tangan kiri dan kanannya diangkat separah bahu.
Zikri mendongak ke langit. Awan di langit membuatkan Zikri tanpa jemu memandang ke atas. Langit petang itu tidak biru. Langit tidak lagi cerah seperti tadi. Kepulan awan menjadikan langit mendung. Warna awan berubah menjadi kelabu. Awan yang tadinya putih bersih, kini perlahan-lahan bertukar menjadi kelabu. Zikri tahu, sebentar lagi, awan kelabu akan menjadi bertambah pekat. Bertukar hitam. Itu tandanya hujan akan turun. Zikri ada belajar tentang awan dan hujan di sekolah.Zikri nampak awan mendung berarak perlahan-lahan di dada langit. Bulan Disembar pada setiap hujung tahun ialah musim tengkujuh. Musim yang sangat disukai oleh Zikri. Bukan Zikri sahaja yang sukakan kehadiran hujan, kawan-kawan sekampungnya juga sukakan hujan.
“Wah! seronoknya!”.
Zikri bersorak riang. Suara kecilnya sedikit nyaring. Girang perasaan Zikri. Dia teringatkan keriangan dirinya bermain hujan bersama-sama teman sekampungnya pada musim hujan yang lalu. Zikri bahagia bersendirian mengimbau kenangan musim hujan. Begitulah Zikri. Zikri anak tunggal dalam keluarga. Belum ada adik-beradik lainnya.
Ibu telah berpesan sebentar tadi supaya Zikri tidak bermain hujan. Zikri tahu ibunya di dapur. Ibunya tidak akan tahu jika Zikri bermain hujan di halaman rumah. “Ibu, tidak akan nampak Zikri bermain hujan”. Hati kecil Zikri melonjak mencipta alasan untuk melanggar perintah ibunya. Zikri melihat awan semakin tebal. Gumpalan awan hitam. Awan yang berwarna kelabu tadi berubah warna ke hitam. Awan kehitaman bertambah pekat. Bertambah gelap. Zikri amat yakin, sebentar lagi pasti hujan. Ibunya juga berkata tadi bahawa hari hendak hujan.
Tiba-tiba bunyi guruh berdentum kuat di dada langit. Zikri tidak terperanjat. Zikri bersahaja. Sedikit terperanjat juga tidak. Padanya itu ialah perkara biasa apabila ada guruh sebelum hujan. Zikri bukanlah kanak-kanak lelaki yang penakut. Zikri amat pemberani. “Tum!!”. Sekali lagi guruh berdentum diiringi dengan kilat. Suasana kian kelam seolah-olah menuju ke waktu malam. Rintik hujan mula membasahi halaman rumah.
Zikri masih ingat peribahasa yang diajarkan oleh gurunya di sekolah. Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Peribahasa lama ini Zikri amat faham maksudnya. Zikri masih ingat penerangan Cikgu Nora tentang peribahasa tersebut. Maksudnya ialah jangan berharap kepada yang tidak pasti, sehingga apa yang ada dibazir-bazirkan. Zikri memandang ke arah sebuah tempayan sederhana besar di halaman rumahnya. Tempayan itu, ayah Zikri yang beli. Zikri masih ingat itu. Ayah pulang dengan membawa sebuah tempayan sedarhana besar. Tempayan itu bukan untuk tadahan air hujan. Tempayan untuk ayah meletakkan ikan-ikan kecil.
Zikri tidak tahu nama ikan perhiasan yang kecil itu. Menurut ayah, ikan perhiasan adalah untuk mencantikkan halaman rumah dan sebagai terapi minda. Zikri juga belum faham apa itu terapi minda. Zikri hanya melihat tempayan hiasan di taman itu menyerikan halaman rumah Zikri. Mencantikkan kebun bunga ibu. Ibu menganggap halaman kecil itu sebagai taman bunganya. Hujan yang tadinya hanya rintik rintik mula bertambah lebat. Zikri meronta untuk mandi hujan.Keseronokan Zikri lenyap seketika apabila Zikri mendengar ibunya bersuara dari dalam rumah. Ibu memerhatikan Zikri dari ruang tamu rumah. Cuma Zikri sahaja yang tidak mengetahuinya.
Zikri teringat satu waktu dulu, dia bermain hujan di kampung nenek. Zikri bermain hujan bersama-sama sepupunya. Penuh ketawa riang. Datuk Zikri hanya melihat Zikri dan tiga orang sepupunya bermain hujan. Lelaki kesemuanya. Mereka mandi hujan bersama-sama. Datuk tidak pernah menghalang cucu-cucunya bermain hujan. Datuk tidak seperti ibu. Ibu akan marah Zikri jika ibu mendapati Zikri bermain hujan.
Zikri ingin mengulangi keseronokan bermain hujan. Inilah masa yang sesuai untuk bermain hujan. Zikri menadah tangannya ke langit. Zikri mahu menampung air hujan ke dalam telapak tangannya. Zikri mahu menyapu air hujan yang jernih itu ke mukanya.
Sejuk air hujan. Zikri mula membasahkan lengannya dengan air hujan. Zikri membasuh kepalanya dengan air hujan. Zikri menjulurkan kaki supaya air hujan jatuh ke kedua kakinya.
Sedang Zikri leka bermain hujan. Sedikit demi sedikit tubuh Zikri dibasahi hujan. Zikri hanya bermain hujan di tepian beranda rumahnya. Zikri tidak keluar ke halaman rumah. Zikri tahu, ibu akan marah jika melihat Zikri bermain hujan. Hujan semakin lebat. Zikri bertambah gembira. Zikri lupa akan janjinya kepada ibunya. Air hujan semakin laju turun dari langit. Zikri telah melupakan pesanan ibu. Dilema hati Zikri untuk bermain hujan atau sebaliknya telah hilang. Zikri membuat keputusan tanpa sedar untuk bermain hujan.
Zikri akhirnya keluar dari beranda di rumahnya. Zikri berlari perlahan seolah-olah Zikri sedang masuk ke dalam hujan yang jatuh dari langit. Zikri berlari ke halaman rumah dengan perasaan paling gembira. Hujan kian lebat. Zikri gembira bermain hujan. Zikri berterima kasih kepada hujan. Hujan memberikan Zikri keseronokan meniti zaman kanak-kanak.
Tanpa pengetahuan Zikri, ibunya sedang memantau Zikri dari dalam rumah. Ibunya membiarkan seketika Zikri menikmati kedinginan air hujan. Bagi ibunya, tidak mengapa selagi Zikri bermain hujan dari beranda rumahnya. Sebenarnya ibu juga seperti datuk. Ibu mahu Zikri menjadi anak lelaki yang kuat. Ibu mahu Zikri mempunyai daya tahan yang kuat terhadap hujan. Ibu mahu Zikri tidak akan jatuh sakit apabila terkena hujan.
Ibu mahu Zikri melalui kehidupan kanak-kanak yang menyeronokkan. Tapi kali ini, Zikri sepantas kilat telah berlari keluar dari beranda rumah dan bermain hujan di halaman rumah. Zikri telah melanggar janji kepada ibu untuk tidak bermain hujan.
“Muhammad Zikri bin Muhammad Zidan!”.
Zikri mendengar nama penuhnya dipanggil dari kejauhan. Namun Suara panggilan tersebut sayup-sayup tenggelam dalam derasnya air hujan. Sayup kedengaran suara ibu memanggil Zikri. Tidak jelas. Suara ibu lenyap dibawa air hujan. Suara panggilan ibu dikuatkan. Lebih kuat dari tadi. Sambil sedikit menjerit. Ibu menjerit memanggil nama Zikri.
Jeritan nama Muhammad Zikri bin Muhammad Zidan berulang-ulang. Zikri tersentak. Itulah suara ibu yang sedang marah. Zikri menyapu mukanya yang sudah basah terkena hujan. Zikri mengelap wajahnya dengan bajunya yang sememangnya sudah basah kuyup. Zikri telah melupakan janji yang dibuat dengan ibunya.
Zikri merasa bersalah. Namun, rasa takut Zikri melebihi rasa bersalahnya. Zikri takut dirotan oleh ibu. Zikri masih berdiri tegak disirami hujan di halaman rumahnya. Zikri mengharapkan ayahnya pulang untuk menyelamatkan keadaan. Zikri tahu, apabila ayah pulang, ayah tidak akan memarahi Zikri. Ayah ialah seorang anggota bomba. Bomba dan air tidak dapat dipisahkan. Zikri juga ingin menjadi seorang lelaki yang kuat seperti ayah apabila dewasa kelak. Berani menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang. Namun begitu buat masa ini, harapannya hanya satu, bagaimana mencari alasan untuk mengurangkan kemarahan ibunya. Dia buntu di tengah lebatnya hujan pada petang itu.