Assalamualaikum abang,
Semoga abang sejahtera di alam sana. Setiap pagi usai solat, Zai tidak akan lupa menghulurkan al-Fatihah dan doa untuk abang, mak dan abah. Zai tahu abang tidak akan dapat lagi menjawab salam Zai. Sudah enam tahun abang meninggalkan Zai. Abang, izinkan Zai menyusuri denai rindu di batas waktu yang masih tersisa.
Abang,
pahit manis semasa hidup bersama sentiasa terbayang dalam lipatan kenangan. Tahun pertama hidup berumah tangga, kita masih lagi tinggal serumah dengan mak. Kebetulan mak sendirian. Abang juga tidak keberatan kita menemani mak. Mak juga gembira dengan keberadaan kita sehinggalah satu hari abang pulang ke rumah dalam keadaan murung. Kaki abang juga bengkak. Petang itu juga Zai bawa abang ke rumah nenek saudara Zai yang pandai mengurut. Alhamdulillah. Balik dari rumahnya abang sudah boleh berjalan seperti biasa.
Tidak lama selepas itu, abang membisikkan sesuatu kepada Zai. Abang mengajak Zai berpindah rumah atas alasan abang telah membeli rumah di bandar. Dengan agak keberatan mak terpaksa membenarkan kita berpindah. Zai tahu mak bersedih. Zai juga sedih mahu meninggalkan mak. Tetapi isteri mesti akur kepada suami. Zai pernah mendengar ceramah seorang ustaz. Katanya seorang isteri jika hendak masuk syurga hanya perlu patuh dan taat kepada suami, selagi suami tidak menyuruh isteri melakukan hal-hal bertentangan dengan agama Islam. Insya-Allah, mak juga akan mendapat kebaikan kerana ketaatan anaknya.
Abang,
Selepas kita berpindah, barulah Zai mengetahui mengapa kaki abang bengkak. Rupa-rupanya abang menunjukkan ‘keperkasaan’ di kampung. Kaki mesin pengukur kelapa mak yang diperbuat daripada besi, bengkok kerana keperkasaan abang. Menurut adat masyarakat Jawa, tidak elok sekiranya menantu lelaki tinggal di rumah mentua. Walaupun abang berdarah Jawa dan Cina, tetapi datuk abang merupakan generasi kedua dari tanah Jawa, yang begitu berpegang kuat kepada adat. Akhirnya kita sama-sama mengerti bahawa hidup sendiri itu mengajar kita untuk lebih berdikari.
Abang,
Lumrah dalam kehidupan berumah tangga ada yang manis ada juga yang pahit. Penghijrahan ini menandakan bermulanya diari baru hidup kita. Ketika kita berpindah kita telah pun memiliki seorang putera. Alhamdulillah, abang dapat membeli sebuah rumah kecil yang cukup selesa untuk kita bertiga. Bulan-bulan pertama kehidupan agak sukar tetapi kita tidak pernah kelaparan. Abang akan menjaga putera kita sewaktu Zai bekerja dan Zai mengambil giliran pada sebelah petang sewaktu abang keluar bekerja. Sekurang-kurangnya kita dapat menjimatkan kos pengasuh anak kerana kita sendiri yang menjaga putera kita.
Setelah hidup berdikari banyak kali kita berlaukkan sardin dan ikan masin gara-gara tidak mampu membeli peti sejuk. Sehinggalah pada suatu hari, Zai menerima sepucuk surat yang mengandungi sekeping cek berjumlah RM800. Besar rahmat-Nya kepada kita yang sedang kesempitan. Cek RM800 itu Zai peroleh hasil penulisan sebuah buku rujukan terbitan Fajar Baktiar. Dengan wang tersebut, kita membeli sebuah peti sejuk satu pintu berwarna hijau. Hebat peti sejuk itu, bang! Sejak mulai digunakan pada 1994, peti sejuk itu tidak pernah rosak kecuali gasnya habis. Zai hanya menukar peti sejuk kita pada 2018! Kini rumah kita ada peti sejuk dua pintu berwarna hitam pilihan putera kita.
Abang,
Banyak juga perubahan yang dilakukan oleh putera kita di rumah peninggalan abang. Jika abang masih ada, tentu abang gembira melihat rumah kita yang lebih ceria. Semuanya dilakukan sendiri oleh putera kita. Selepas pemergian abang, dia meminta izin kepada Zai untuk mengecat rumah kita. Sebenarnya, kami berdua amat terkesan dengan kehilangan abang. Kami kehilangan kasih sayang dan pelindung dalam keluarga kecil kita.
Pada hari kepulangan abang, Zai mendapat panggilan telefon daripada Utus Publications. Editornya menghubungi Zai untuk memberitahu berita gembira, iaitu novel Tawanan Komader Caucasus yang pernah memenangi tempat ketiga, Sayembara Novel Sains Fiksyen anjuran UPSD dan UTM telah berada pada fasa akhir untuk dicetak. Zai meminta ditangguh beberapa hari dengan memaklumkan kepada editor bahawa pada hari itu abang baru sahaja dijemput pulang kepangkuan-Nya. Kepergian abang merupakan satu ujian yang hebat kepada Zai walaupun pada hari abang diusung untuk disemadikan, setitis pun air mata Zai enggan gugur. Sempat Zai abadikan gejolak perasaan pada halaman pertama novel yang terpilih menjadi teks KOMSAS itu.
Abang tahukah pada keesokan harinya, Zai meminta putera kita menghantar Zai ke mahligai abang? Untuk menyebut perkataan ‘kubur’ mahupun ‘pusara’, Zai belum mampu mengatakannya. Kepada putera kita, Zai lebih senang menyebut ingin menziarahi ‘rumah baru ayah’. Pada hari kedua abang disemadikan, Zai menziarahi pusara abang lagi. Di sisi pusara, Zai hanya mampu menahan sebak. Sekuatnya Zai menahan benteng air mata dari pecah tebingnya. Setelah menghadiahi abang surah al-Fatihah dan Yassin, putera kita memimpin Zai ke kereta. Abang tahu apa yang berlaku? Pada ketika itu Zai tidak mampu lagi menahan banteng kolam air mata daripada pecah. Kawasan pusara dibanjiri air mata pada hari itu. Zai baru sedar abang bukan pergi untuk sementara waktu, tetapi abang telah pergi selama-lamanya meninggalkan Zai yang pernah abang sebut sebagai bidadari abang. Abang, Zai sedar semuanya yang kita miliki hanyalah pinjaman dari-Nya termasuklah abah, mak, kakak-kakak dan abang yang meninggalkan Zai seorang demi seorang.
Selepas abang tiada, kami mengupah seseorang melakukan haji badal atau upah haji untuk abang yang kesemuanya diuruskan oleh Tabung Haji. Pada tahun berikutnya, dengan izin Allah SWT, Zai berpeluang menunaikan ibadah umrah. Alhamdulillah, abang. Benarlah Allah Maha Adil. Zai diberi kesihatan yang baik walaupun Zai cuma bersendirian sewaktu di tanah suci. Ramai rakan dalam kumpulan yang sama dengan Zai, diuji dengan kesakitan, seperti demam dan batuk. Terima kasih Ya Allah kerana mengizinkan hamba-Mu ini menziarahi Baitullah, lantas berpeluang menziarahi makam kekasih-Mu, Rasulullah SAW.
Abang,
Zai berpeluang bersolat sunat di makam Rasulullah SAW walaupun ketika itu jemaah lain berpusu-pusu dan saling tolak-menolak ingin menziarahi makam Baginda. Air mata Zai tidak henti-henti merembes sewaktu sujud di hadapan makam Baginda. Situasi yang sama Zai alami sewaktu menunaikan solat sunat sejurus selesai melaksanakan tawaf widak. Anehnya, usai solat sekeliling Zai kelihatan lapang dan tiada jemaah lain yang menghimpit Zai. Alhamdulillah, Zai sangat-sangat bersyukur kepada-Nya abang. Allah SWT telah memudahkan urusan Zai ketika berada di rumah-Nya.
Abang,
Hari ini putera kita telah berumah tangga. Rumah kita kembali ceria dengan adanya menantu kita menemani Zai. Biarpun selama dua tahun ini pergerakan agak terbatas kerana pandemik yang berlaku tetapi ada hikmah yang tersembunyi. Zai mendapat lebih peluang untuk berkarya kerana kini Zai bekerja dari rumah. Dan, paling menarik menantu kita juga mula berjinak-jinak menulis dan berkarya.
Abang,
Zai bermohon mengundur diri dahulu. Mungkin pada kesempatan lain Zai akan berkisah lagi kepada abang mengenai keluarga kita.
Salam rindu dan kasih sayang abadi,
Zai