Dahulu,
di atas tanah tempat berpijak ini
lahir satu sinar harapan
menerangi gelap kurungan kuasa asing
di sini,
bangkitnya kekuatan
untuk memerangi penjajahan.
Akhirnya,
api semangat yang menyala
mampu melebur pedang-pedang kejahatan
yang menumpahkan cairan merah kala itu.
Kini,
tanah yang sama telah pun subur
kerana tidak lagi disiram darah peperangan
udara yang dihirup juga,
tak lagi dicemari debu-debu kelam
menyisipkan rasa sesak dan takut
dalam nafas kehidupan.
Kini,
tanah ini telah merdeka
tak ada lagi raga tertindas
tak ada pemikiran terbelenggu kejahilan
tak ada hati teracun ketaksuban
tak ada nyawa terancam sejahteranya.
Itulah hak dan kesedaran perlu dimiliki
setiap insan di tanah air ini
kerana lelah perjuangan sang perwira
perlu dibayar dengan kedamaian
syukurilah atas rahmat ini
duhai setiap jiwa yang menghuni.
