“Kamu dah siap Fira, Farah?” tanya ibu kepada kami berdua. Sedikit pun ibu tidak tanpa menoleh ke belakang. Ibu sibuk menyiapkan bekalan yang akan kami bawa ke kebun.
“Sudah, ibu.” Serentak aku dan adik menjawab.
Kami menuju ke arah dapur, sudah bersiap berbaju dan berseluar panjang. Memang amalan kami berpakaian begini apabila hendak ke kebun bagi mengelak daripada digigit nyamuk atau tercedera.
“Kalau dah siap, mari kita pergi sekarang. Biar ibu kunci pintu dulu.”
Kami berdua mengenakan topi agar tidak terasa bahang matahari nanti. Aku dan Farah hanya mampu menemani ibu ke kebun pada hujung minggu sekiranya tiada aktiviti di sekolah. Memandangkan hari ini tiada aktiviti kokurikulum di sekolah, maka awal-awal lagi aku sudah memberitahu ibu yang kami boleh mengikut ke kebun hari ini.
Jarak dari rumah ke kebun mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai. Walaupun hanya berjalan kaki, perjalanan 15 minit terasa seperti 5 minit kerana sepanjang perjalanan, kami tiga beranak rancak berbual dan bergelak ketawa.
Setiba di kebun, kami meletakkan barangan yang dibawa di pondok. Pondok yang dibina oleh arwah ayah itu sudah agak uzur rupanya, namun masih utuh. Mungkin sebab itulah ibu mengatakan belum masanya pondok itu untuk dibaiki buat masa ini. Kalau pun hendak dibaiki, kata ibu, dia sendiri yang akan memperbaikinya nanti. Bagi ibu itu bukan perkara besar kerana sudah dibesarkan dalam keluarga petani.
“Mari kita petik daun ubi dan kutip buahnya,” kata ibu sambil menuding ke arah pokok ubi yang aku dan adik tanam bersama ibu suatu ketika dulu.
Melihat pokok-pokok ubi yang kini membesar dengan subur dan begitu tinggi, membuatkan aku cukup bangga pada diri. Cara penanamannya cukup mudah, hanya dengan memacakkan pucuk yang telah dipotong sesuai dengan ukurannya.
Aku dan Farah menarik pokok ubi untuk mendapatkan buahnya. Kerja memisahkan ubi daripada akar pokok dilakukan oleh ibu dengan parang. Daripada sepuluh pokok ubi saja, kami telah mendapat begitu banyak buah ubi yang besar. Tidak sabar rasanya hendak pulang ke rumah dan menggorengnya menjadi kerepek. Bau gorengannya sudah dapat aku bayangkan, seolah-olah sudah sampai ke lubang hidung. Farah juga amat suka memakannya, sehinggakan adakala dia tidak mahu makan nasi kerana kekenyangankerepek ubi .
Pokok-pokok ubi yang telah kami korbankan tadi diberi hidup baru oleh ibu dengan memotongnya kepada beberapa pucuk lalu di tanam semula ke dalam tanah. Aku dan Farah membantu ibu menanam semula setiap pucuk tersebut. Tidak tertinggal satu pun. Nanti, ia pasti akan tumbuh besar seperti yang lain, tanpa perlu dibaja dan disiram selalu.
“Mari kita balik berehat di pondok dulu,” kata ibu seraya memasukkan parang ke dalam sarung yang terselit pada pinggangnya.
Tangan aku dan Farah sama-sama penuh dengan plastik berisi daun ubi. Kelihatan bahu ibu agak condong sedikit akibat membawa beg rotan berisi buah ubi kayu tadi. Beban daripada buah ubi itu agak berat kerana saiznya yang besar walaupun jumlahnya tidak banyak.
Sekembali ke pondok, kami menikmati hidangan yang dibawa oleh ibu, iaitu pisang goreng dan air sirap. Pisang goreng pisang ibu tidak pernah mengecewakan aku kerana kesedapannya yang tidak pernah berubah. Pada usia 14 tahun ini, aku mula belajar daripada ibu cara menggoreng pisang. Memang berbaloi kesedapan pisang goreng ibuku dengan susah payah menggorengnya. Yang sulit tentang menggoreng pisang bukan saja cara gorengan, bahkan perlu berhadapan dengan bahang panas api dan ada kalanya terkena percikan minyak panas. Namun bagi aku, itu semua adalah proses belajar dan pastinya akan ada cabaran yang perlu kita lalui dalam mempelajari sesuatu yang baru dan kita harus bersedia untuk menghadapinya.
“Baik, dah. Sekarang mari kita petik paku midin pula.”
“Paku midin?” tanya Farah.
“Yalah, ibu. Kenapa bunyinya seperti nama orang ?” tambahku.
“Bukan nama oranglah adik, kakak. Nanti ibu tunjukkan.” Ibu sudah membuka langkah menuju ke sebelah hutan yang tidak tebal terletak di sebelah kebun.
Sambil meredah semak yang tidak begitu tebal, aku dan Farah berjalan sebelahan menghampiri ibu untuk melihat apa yang disebutnya “paku midin”.
“Ha, nampak ni. Ini namanya paku midin. Sejenis tumbuhan yang tumbuh meliar tanpa ditanam tetapi boleh dimakan.:
“Tetapi, mengapa ia dipanggil ‘paku’, ibu?” tanyaku.
“Sebab rupanya seperti paku. Kakak petik yang saiznya begini saja, kalau kamu jumpa saiz yang lebih besar atau agak luar biasa saiznya, jangan dipetik kerana yang itu beracun dan tidak selamat untuk dimakan.” Terang ibu, menunjuk cara yang sepatutnya memetik paku midin.
Paku midin yang kami petik kemudian dibungkus oleh ibu dengan daun jati bagi mengekalkan kesegarannya.
“Cukuplah untuk hari ini. Mari kita pulang, ibu nak masak paku midin ini untuk makan tengah hari kita.” Kata ibu sambil kedua-dua belah tangannya memegang paku midin yang telah dibungkusnya tadi. Setelah mengemas segala hasil tuaian dan bekalan, kami terus berjalan pulang.
Sepanjang perjalanan kami berbual dan tidak lekang ketawa dengan gelagat lucu Farah. Datang ke kebun dengan tangan kosong namun balik dengan tangan yang penuh sesungguhnya membuatkan kami berasa lebih bersyukur dapat menikmati rezeki yang Tuhan telah kurniakan kepada kami. Bukan sahaja dapat menjimatkan wang saku ibu yang hanya menampung kehidupan kami dengan berjual sayur di gerai, tetapi membuatkan kami sentiasa bersyukur kerana inilah hasil yang kami perolehi setelah berbudi pada tanah.
“Bawa semua itu ke dapur, Farah. Kamu pergi bersihkan dulu. Kakak boleh tolong ibu cuci ubi itu sambil ibu masak paku midin dan buat ulam.”
“Baik, ibu.” Farah menjawab ringkas lalu menuju ke arah pintu rumah .
Tangan dan sinki dapur kotor dengan tanah daripada ubi yang kubersihkan. Kerja mengopek kulit ubi terpaksa aku serahkan kepada ibu kerana ia agak rumit. Aku beralih memisahkan daun ubi dari tangkai untuk direbus makan bersama ulam nanti. Dari tadi aku hanya mampu melihat ibu menyediakan paku midin untuk dimasak. Ternyata tidak mudah. Ada teknik tertentu dalam memotong paku midin.
Selesai persiapan di dapur, kami pun membersihkan diri. Usai mandi dan bersiap, aku melihat semua hasil tuaian kami tadi sudah terhidang menjadi lauk yang menyelerakan. Ada satu sahaja hidangan yang agak asing bagiku.
“Ibu, apa ini?” Jariku menuding ke arah mangkuk yang berisi seperti paku midin yang kami petik tadi namun aku kurang pasti adakah tekaan aku tepat memandangkan warna coklat telah menutupinya.
“Itulah paku midin yang kita petik tadi. Ibu masak belacan, sebab itu warnanya begitu. Dah, pergi cuci tangan, kita makan sekarang.”
Ulam yang disediakan oleh adik sedap dimakan bersama dengan daun ubi yang telah direbus. Itulah pertama kali aku makan paku midin. Aku mencubanya secubit dahulu bagi menilai rasanya sebelum betul-betul menjamahnya. Mata aku terbeliak setelah mencubanya. Ternyata sayur hutan ini mampu menggoda aku untuk terus menjamahnya. Tidak sangka hanya dengan berlaukkan ikan terubuk masin dan sayur hutan, cukup menyelerakan dan mengenyangkan aku. Selesai makan, aku makan pula beberapa keping kerepek ubi yang telah digoreng ibu. Tertunai sudah ibu goreng yang aku idamkan sejak tadi.
Tanpa aku sedari, sudah separuh hari aku melamun bersendirian di meja makan. Aku terkenang-kenang saat ibu dan Farah masih bersamaku setiap kali makan di meja ini. Farah yang tidak berpeluang untuk balik bercuti kerana ada kuliah membuatkan aku terpaksa pulang ke kampung sendirian untuk menjenguk rumah sekali sekala.
Ibu telah meninggalkan kami berdua lima tahun yang lalu. Kami bukan saja sunyi, bahkan semuanya telah berubah. Kami sudah tidak ada kebun untuk diusahakan. Tanah milik orang tua kami diambil oleh kerajaan untuk dijadikan jalan raya. Hutan yang pernah kami redahi untuk mencari paku midin suatu ketika dulu hanya tinggal kenangan dan kami tiada pilihan, hanya menerima perubahan demi kehidupan yang lebih baik.