Skip to content
Mimpi dalam Mimpi
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Mimpi dalam Mimpi
Mimpi dalam Mimpi
Cerpen

Mimpi dalam Mimpi

  • SAMIRON BIN RAHMAT
  • 5 Jun 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 60
  • 4.8

HARI ini aku bersemangat untuk ke sekolah. Aku ingin merakamkan rasa penghargaan kepada guruku. Ibu menghantarku masa pergi, tetapi masa balik biasanya aku bergilir dengan ibu Akma atau yang lazim dengan cikguku.

Lebih bermakna kerana tarikh keramat profesionmu bertepatan dengan hari ulang tahunmu yang ke tiga puluhan. Elok benar kugabungkan kedua-dua ucapan itu dalam jambangan wadah ini. Biarpun jambangan ini tidaklah seberapa berharga nilainya, tetapi hadiah ini ikhlas dariku, dari lubuk jiwa tulusku, cikgu.

‘Selamat hari guru, cikgu! Selamat hari lahir!’

Aku seakan-akan berlatih mengungkapkan frasa itu beberapa kali. Biasalah sebelum berjumpa, petah saja kata-kataku. Masa bertentang mata nanti, kelu lidah untuk berbicara. Huh, macam orang bercintalah pula!

Aku mahu menyanyikan lagu ’Guru Malaysia’ bersama-samamu di dewan, meminjam semangat kersanimu agar meresap di tubuhku. Memang semangat itulah yang selalu menghidupkan iltizamku untuk melawan vertigo yang entah bila akan reda ini. Semangatmulah yang selalu menguatkan spiritualku ketika kuasa mental dan fizikal mulai lemah.

Tiada hadiah berharga yang mampu kuhulurkan untukmu guru. Biarlah, cukup dengan sejambak mawar yang sejak pagi tadi kusimpan.

Aku mahu luahkan, namun suaraku hanya tersangkut di halkum. Tiada butir artikulasi yang keluar dari rongga peti suaraku.

Usai majlis sambutan hari guru yang seperti biasa meriah dan mengujakan, aku mencari-carimu cikgu. Beg plastik besar yang kuisi dengan jambangan bunga tidak mampu kusembunyikan daripada pandangan rakan-rakan. Lalu, aku mencari momen paling sesuai untuk menemui cikgu.

Jalan terakhir ialah pergi ke biliknya. Sebagai Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), cikguku selalu berada di Bilik Gerakan PIBG ketika tiada kelas. Aku menunggu-nungu detik itu. Lewat tengah hari baru kulihat cikgu masuk ke biliknya.

Banyak acara hari ini. Yang paling ditunggu-tunggu ialah acara pentas, macam ‘Kilauan Emas, Otai Masih Berbisa’ apabila seorang demi seorang guru veteran menunjukkan bakat berkarat mereka.

Gimik sketsa pengawas yang mencerminkan semangat guru di pedalaman melawan cabaran suasana mengajar amat mengesankan. Banyak cabaran dihadapi sehingga akhirnya ramai guru terkorban dalam usaha menyelamatkan anak muridnya yang hampir lemas dibawa arus sungai. Ramai yang kulihat mengesat air mata ketika pengakhiran sketsa tersebut. Dewan jadi hening seketika.

Aku jejaki bilik cikgu. Tiada sesiapa di kamarnya, mungkin semua masih di kantin, menjamu selera. Selepas mengucapkan salam, aku dipersilakan masuk. Kulihat timbunan hadiah yang cikgu terima beraada di atas meja. Tetiba pula aku rasa rendah diri kerana hadiah yang akan kuberi ini hanyalah sejambak mawar merah putih hampir layu yang telah kubeli  semalam. Tapi aku cekalkan hati juga.

“Selamat hari guru, cikgu,” aku segera melafazkan ucapan tersebut. Bimbang juga berlama-lama di situ. Takut ada orang lain masuk dan aku jadi serba salah nanti. Dia angguk dan senyum. Belum sempat dia membalas apa-apa kata, aku terus menyambung, “Selamat hari lahir yang ke-33, cikgu.”

Aku lihat dia tersentak. Matanya bulat memandang tepat kepadaku. Aku pula kesipuan dan cuba melarikan anak mataku.

‘Eh, betul ke hari ini hari lahir cikgu?’ rusuh pula hatiku. Bimbang kalau tersilap, malu besar aku.  

Pandangannya terus tajam menikam dan sekonyong-konyong senyuman terlakar. “Ikalah satu-satunya murid yang ucap selamat hari lahir untuk cikgu. Terima kasih.”

Kata-katanya itu menghilangkan debar dan meningkatkan keyakinan dalam diriku. Aku turut mengukir senyuman. Hilang sangkaan bimbang tadi, berganti dengan rasa bangga. Lalu aku mendekat untuk menyampaikan hadiah yang telah sekian lama tersimpan.  

Tanganku teragak-agak untuk mengeluarkan mawar merah putih yang agak layu itu. Ketika aku mahu menyampaikan hadiah itu, dia minta aku duduk dahulu. 

‘Alamak, aku nak cepat ni,  nanti orang lain masuk,’ desis hatiku gundah. Mahu tidak mahu, aku labuhkan punggung juga.

Cikgu terdiam.

Aku jadi resah. Beg plastik berisi bunga aku labuhkan ke riba.   

“Permohonan cikgu diluluskan. Minggu depan cikgu akan bertukar ke sekolah lain.” Tiba-tiba cikgu melontarkan frasa yang membuatkan aku seakan-akan terkena ledakan mortar.   

Berderau darahku ke segenap urat saraf apabila kuamati kembali suaranya. Aku pandang tajam wajahnya, inginkan kepastian sama ada betul ungkapannya atau aku yang diulit mimpi. Aku genyeh mataku beberapa kali. Momen mati tiba-tiba.

Aku ulangi soalan dengan bahasa badan tanpa lisan dengan pandangan yang cuak. Aku mahu bersuara namun segalanya tersekat di peti aksara. Aku kerutkan kening. Cikgu angguk sambil mengulangi gatra serupa dengan senyum tawar.

Kepalaku kembali pening. Rupa-rupanya cikgu telah mengajukan pertukaran ke luar sekolah. Tetapi mengapa? Adakah kerana sudah bosan dengan kami? Atau dia akan berkahwin atau, atau, ah! Puing-puing hitam putih bercempera di lapangan lelangon mindaku.  

Tanganku terketar-ketar. Mataku kembali berpinar melihat keliling seperti berpusing-pusing. Jemariku longlai sembari sejambak mawar separa layu menggelongsor ke kakiku.

***

Bunyi-bunyi semacam derap kaki dan orang sekeliling bercakap-cakap singgah di cuping telingaku. Semilir hangat membelai nyaman. Aku terasa sesuatu menyentuh dahiku. Perlahan dan lunak. Tika kubuka tubir mata nan lelah, kulihat selintas bayangan.

Ada susuk seseorang mendaratkan pandangan ke mukaku sambil tersenyum. Aku jadi malu tersipu. Aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan tika dan saat itu. Di kananku seorang wanita dan lelaki agak berusia menundukkan wajah. Aku terpisat-pisat cuba mengenal suasana sekitar.

‘‘Ika, dah okey?’’

Suara lunak terngiang-ngiang di labirin. Puas juga aku pandang keliling. Kulihat seorang wanita, pasti ibuku, mula mengukir senyuman kecil. Di sebelahnya, aku pasti ayah yang selalu di wajahnya ada peta kehidupan. Juga mula memintal senyuman. Ya, aku pasti kedua-duanya!

‘‘Cikgu,’’ aku mula pasti itu cikgu yang selalu aku kenang-kenangkan. Tapi mengapa semua ada di sisiku?  Aku cuba angkat tangan. Aduh, sakit! Tubuhku rasa letih sangat. Hanya mata dan mulutku sahaja yang boleh berfungsi ketika ini. Gebar tebal menutup tubuhku.

‘‘Alhamdulillah, Ika dah sedar.’’ Suara ibu yang selalu meladeni karenahku.

Aku angguk lemah, sebagai jawapan. Ibu meramas jemariku. Rasa hangat suhu tangannya menguliti tapak tangan dan celah-celah jariku. Panasnya mendamaikan hati dan perasaanku yang tidak menentu ketika itu.

‘‘Ika kenapa, bu?’’ Selepas aku pasti ada sesuatu yang tidak kena pada diriku. Bukankah aku sepatutnya berada di sekolah dan menyambut Hari Guru? Bukankah aku patut di sana memberikan sejambak bunga kepada guru yang aku sanjungi? Bukankah?

‘‘Bertenang, sayang. Rehat dulu. Seharian Ika tidur.’’ Ibu usap-usap dahiku.

Aku cuba hadam ayat ibu dan surut kembali ke dasar ingatan. Tapi mindaku lemah memproses data. Baru kusedar ada semacam ular lidi membelit lenganku. Perlahan-lahan mataku menyorot laluannya ke sebuah botol putih yang tergantung menurunkan cecair.

Aku lihat kanula yang amat rajin menitiskan kandungannya. Oh, apakah yang terjadi padaku sebenarnya? Soalan itu kupendam dahulu. Mataku melilau pula ke kiri dan kanan. Ada ramai orang berpakaian putih, bersimpang-siur, agak kalut. Tapi di wajah mereka tetap juga mengukir senyuman.

Antara ramai-ramai itu, seseorang datang mendekati dan menyapa kami. Aku dihadiahkan senyuman.

‘‘Assalamualaikum, dik? Macam mana, Ika?’’ Ceria suaranya walaupun nampak agak letih.

Aku menjawab tapi dengan suara halus.

Dia angguk. Monaliza, nama yang terlekat pada dadanya. Dia jururawat pastinya. Ya, betul! Aku tahu benar jika orang berpakaian begitu dan bertopi kecil seperti itu.

Aku semakin yakin yang aku berada di hospital kini. Tapi mengapa, itu aku belum pasti?  Sebentar Jururawat Monaliza memeriksa tekanan darahku. Dia angguk kecil dan catat sesuatu di fail lipat yang dibawa. Aku intai catatannya. Cakar ayam, siapa pun tidak boleh membacanya. Oh, ya! Selalu orang cakap tulisan doktor memang macam itu. Jururawat pun serupakah?

‘‘Alhamdulillah, adik dah makin sihat,’’ kata-kata Jururawat Monaliza menyelesaikan rutinnya petang itu. Kemudian kulihat dia bercakap-cakap dengan ibu dan ayah.

Mendengar kata-katanya itu, aku rasa segar dan seakan mahu bangun. Aku sudah sihat, bisikku. Maknanya aku sakit?

Aku cuba bangun sedikit. Ya, dah boleh! Tiba-tiba ada seseorang membantuku untuk menyandar. Ya, dialah guru itu! Cikgu yang dari tadi setia menunggu.

‘‘Kenapa saya, cikgu?’’ Aku mengambil peluang bertanya ketika ibu, ayah dan jururawat berbincang.

Seperti selalu, cikgu akan senyum dan aura tenang mengairi kolam wajahnya. Aku jadi semakin segar melihatnya berwajah begitu.

‘‘Cikgu pun tak pasti. Ibu Ika telefon tadi kata Ika tak dapat hadir ke sekolah.’’

Oh, jadi benarlah aku sakit! Paling akhir aku ingat selepas makan malam, aku berehat sambil melihat-lihat cenderadurja dan mengenang kejayaan yang kucapai selama ini. Lepas itu aku tidak pasti bila aku masuk ke kamar untuk tidur.

Aku teringat akan latihan bahas kami. Bagaimana keadaan rakan-rakan apabila aku tiada? Tentu Akma risau kerana dia akan menggantikan tempatku. Pasti gelabah terpaksa jadi pembahas utama bidan terjun. Ah, kasihan mereka!

Macam-macam pula yang aku fikirkan.  Bagaimana sambutan Hari Guru di peringkat sekolah hari ini? Meriah macam tahun lepas ke?  Apa pula gimik yang badan pengawas lakukan untuk ‘mengenakan’ cikgu-cikgu kali ini? Alangkah ruginya aku tidak turut serta.

***

Baru kutahu, rupa-rupanya aku dikejarkan ke hospital kerana kadar tekanan darahku terlalu rendah. Kandungan gula juga tidak stabil. Ibu beritahu, aku pengsan tiba-tiba di ruang tengah rumahku ketika sedang membelek-belek cenderadurja.

Menurut ibu lagi, barangkali aku terlalu penat dengan aktiviti sekolah. Keadaan kesihatanku pun ada sedikit masalah sejak beberapa bulan lalu. Apatah lagi ketika datang bulan ini, memang selalu ada gangguan kepada tekanan darah.

“Cikgu tak jadi pindah?” Tiba-tiba aku lontar soalan yang lama bersarang di laci mindaku.

Kulihat cikgu terkejut dengan soalan itu. Dia macam terpinga-pinga pula. Aku pula jadi kesipuan.

“Pindah mana pula?” Cikgu jawab dengan soalan juga.

Aku pandang keliling lagi. Pesakit dan petugas hospital sama banyak melintasi hadapanku. Wad di hospital ini memang sarat dengan pesakit, apatah lagi ketika waktu melawat begini. Tapi abaikan. Aku hendak fokus kepada insan di hadapanku ini.

“Bukan cikgu hendak pindah ke minggu depan?” Aku mengajukan soalan yang sama, mungkin cikgu tidak jelas atau tidak faham pertanyaanku tadi.

Kulihat cikgu telan air liur menahan aneh. Malu juga aku.

“Mana ada cikgu pindah. Ika ni mimpi lagi ke?”

Aku jadi kesipuan lagi. Aku ingat-ingat lupa. Aku dan Akma ada pergi ke bazar minggu, beli kuih, masuk balik kereta cikgu, macam-macam aku cuba ingat kembali. Kami balik dari latihan bahas.

“Jadi cikgu tak jadi pindah minggu depan?” Aku inginkan kepastian lanjut.

“Memang tak pindah pun!” Cikgu bertegas. Dia  senyum-senyum pula macam menganjingku.

Aku buat-buat jengkel. Perlahan-lahan aku melafazkan syukur kerana itu semua rupanya umpama mimpi dalam mimpi. Aku dibuai khayal selama tidak sedar tadi.

Sebentar ibu mendekatiku sambil membawa sejambak bunga. Persis seperti bunga yang ingin kuberi cikgu, namun kelihatan masih segar. Aku kaget seketika lalu menyambut jambangan bunga itu. Ibu beri arahan dengan anak mata. Segera pula aku memahami. Bunga yang aku beli kelmarin mungkin telah terkulai layu.

”Selamat hari guru dan hari lahir, cikgu,” ujarku sambil menghulurkan jambangan bunga mawar merah putih kepadanya. Aku harap kali ini benar-benar aku beri bunga itu pada cikgu. Bukan mimpi.

Kulihat cikgu amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepadaku. Tapi kemudian cikgu letakkan mawar merah putih itu di tempat khas yang disediakan untuk pesakit, di sisiku.

Senyumku mekar, semekar jambangan wadah itu. Bunga itu umpama cikgu yang akan menemaniku selama berada di wad ini.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (10) #cerpenkehidupan (5) #dbpselatan (17) #karyasastera (24) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (27) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (21) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (4) #Tunanetra (4) #wadahdbp (11) abuyon (4) adie abd gani (4) bengkel (2) cerpen (12) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (11) Puisi Tradisional (3) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (10) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Acip
Cerpen

Acip

  • 4 Januari 2024
  • 164
  • 4.5
Burung Merpati
Puisi

Burung Merpati

  • 20 Disember 2024
  • 60
  • 1
مك ترجاديله
Puisi Moden

مك ترجاديله

  • 3 September 2025
  • 5
Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) Sebagai Persatuan Penulis di Negeri Kedah
Tokoh

Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) Sebagai Persatuan Penulis di Negeri Kedah

  • 19 April 2024
  • 471
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP