Skip to content
Mimpi Seorang Perempuan Gunung
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Mimpi Seorang Perempuan Gunung
Mimpi Seorang Perempuan Gunung
Cerpen

Mimpi Seorang Perempuan Gunung

  • HALIDAH@JULAIDAH ARIFIN
  • 20 Mei 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 275
  • 4.7

LILY meletakkan secawan kopi panas di atas meja di sudut kamar, tidak jauh dari katil besi yang memenuhi hampir separuh ruang kamar itu. Niat untuk menyapanya terhenti seketika apabila melihat lelaki itu masih terbaring dengan mata terpejam rapat, seolah-olah sedang menikmati sejalur mimpi indah pada pagi dingin bulan Februari.

Dengan berhati-hati, Lily membetulkan penutup cawan itu agar aroma teh di dalamnya kekal segar sehingga dia bersedia untuk menghirupnya. Sesaat, matanya terpaku pada corak vintaj yang menghiasi cawan itu. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menutup serpihan kenangan yang tiba-tiba mengusik mindanya.

‘Perempuan gunung,’ bisiknya, penuh nostalgia.

Seolah-olah terdengar semula suara Tauke Chan pada kali pertama dia membawakan secawan kopi ke mejanya. Itulah kali pertama Lily melihat wajah majikannya yang sering diperkatakan oleh pekerja-pekerja wanita  sebagai duda tampan yang bergaya. Mungkin kerana berasa dipermainkan dengan panggilan “perempuan gunung” itu, maka dia tidak pula berasa demikian. Bagi Lily, gaya autokratiknya merimaskan.  

“Namaku Lily, bos,” katanya tanpa ditanya.

“Lee Cha, wajah kau seperti perempuan gunung yang cantik ini. Panggil aku Chai,” katanya dengan nada separuh bergurau sambil menghalakan pandangannya pada  corak klasik Cina  yang menghiasi cawan teh di tangannya. Lily mengetap bibir, menahan marah mendengar namanya seakan-akan dipersenda.

‘Elok-elok namaku Lily jadi Lee Cha. Hmm… dia pula mahu dipanggil Chai, padahal semua orang mengenalinya sebagai Tauke Chan dan memanggilnya Seng,’ dia bergumam sambil berlalu, meninggalkan majikannya yang masih tersengih nakal memandangnya.

Siapa sangka, tiga bulan selepas itu, lelaki yang sama melamar Lily untuk menjadi suri hatinya.

“Dia duda Lily, usianya pun hanya beberapa tahun lebih muda daripada mendiang ayahmu. Eh… sanggup kau korbankan cita-cita dan perasaan sendiri kerana kehendak ibumu? Kecualilah jika kau memang sudah jatuh cinta padanya,” ujar Jamie, sahabat karibnya, apabila mendapat tahu bahawa Lily akan berkahwin dengan majikannya itu.

“Dia mengingatkanku pada ayah,” jawabnya jujur, walaupun dia terkedu seketika apabila mendengar perkataan “cinta” yang diungkapkan oleh majikannya.

Tentu Jamie percaya, cinta ialah magis dan pemboleh ubah kepada keputusan dan tindakannya.

“Aku akan belajar mencintainya selepas kahwin…” kata Lily sambil menopang dagunya dengan tangan kanan, dan tangan kirinya memintal-mintal rambutnya yang lurus terhurai melepasi paras bahu.

“Apa kata ibumu?” tanya Jamie lagi.

“Dia tentu gembira kerana aku akan berkahwin dengan orang yang matang,” katanya sambil tersenyum pahit, cuba menahan sebak yang menyesakkan dada.

“Kata ayah dulu, aku ini mudah sangat terpengaruh, sebab itu dengan siapa pun aku berkawan, mereka yang tentukan.”

Sedikit pun dia tidak menyesal saat sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya, tanda dia sah menjadi isteri orang. Pada usia memasuki 18 tahun, saat gadis-gadis sebaya masih terkial-kial mencari arah untuk dituju, dia sudah tiba di suatu titik kehidupan, iaitu dia harus  benar-benar reda dan pasrah pada takdir.

Jamie, rakan karib sejak zaman kanak-kanak, satu-satunya yang hadir bukan sekadar sebagai rakan, tetapi juga sebagai keluarga, bertimpuh di sisinya seusai upacara perkahwinan yang sederhana di rumah keluarga Cina Peranakan itu.

‘Ibu tidak perlu risaukan aku lagi,’ bisiknya berulang kali dalam hati usai ketua masyarakat Cina mengisytiharkan dia dan Tauke Chan, atau Seng, telah sah menjadi suami isteri.

“Kau okey?” tanya Jamie ketika mereka bertemu beberapa bulan kemudian. “Kau tampak ceria dan … .”

“Gemuk? Bukankah kau pernah kata, kegemukan itu simbol kebahagiaan.”

Mereka sama-sama ketawa, kemudian sama-sama mengesat air mata yang berderai di pipi masing-masing. Ironi sebuah persahabatan yang ikhlas adalah seperti menghirup kopi tanpa gula. Sekalipun pahit, tetap ditelan semata-mata untuk mendapatkan rasa kopi sebenar.

“Aku dan Chai baik-baik sahaja. Cuma aku sedikit cemburu kerana kau akan melangkah ke menara gading,” ujar Lily setelah diasak dengan pertanyaan tentang rumah tangganya.

Hakikatnya, kemewahan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh suaminya gagal menutup ruang kosong di dalam jiwa seorang perempuan gunung itu. Dia tidak berubah walaupun ketika dia bercerita tentang cita-citanya sejak zaman kanak-kanak, dan sang suami berjanji akan memberikan dia segala-galanya sebagai ganti. Namun hakikatnya, mimpi itu tidak pernah hilang.

“Mimpi yang sama lagi?” Seng bertanya setiap kali Lily terbangun daripada tidur dalam esak tangis.

Lily tidak pernah memberikan jawapan. Seng juga tidak pernah bertanya tentang mimpi yang berulang-ulang mengganggu tidur isterinya itu.

Mujurlah masa beredar begitu pantas. Dalam empat tahun sahaja, mereka sudah dikurniakan sepasang cahaya mata, Eddy dan Erica. Kelahiran mereka berdua membuatkan Lily hampir percaya bahawa ruang kosong di dalam jiwanya akhirnya terisi. Namun dia silap.

Rupa-rupanya, kebahagiaan umpama bunga-bunga di taman. Bunga itu berputik, kemudian berkembang dan perlahan-lahan pudar sebelum gugur satu per satu. Begitu juga dengan rumah tangga Lily apabila Seng semakin kerap berada di luar kawasan, sehingga akhirnya dia seolah-olah terlupa jalan pulang ke pangkuan isterinya serta kepada anak-anak mereka yang kian meningkat dewasa.

Lily menanti dan terus menanti sehinggalah dia menerima perkhabaran bahawa Seng telah berbaik semula dengan bekas isterinya. Dia tidak terkejut, tidak juga berasa dikhianati. Dia hanya menyedari bahawa jiwanya masih meronta-ronta mencari sesuatu untuk mengisi ruang kosong di dalam hidupnya.

“Lepaskan aku,” pintanya ketika Seng pulang selepas berbulan-bulan menghilangkan diri.

“Aku tidak minta kautinggalkan aku, tetapi tidak juga akan menghalang jika kau benar-benar ingin pergi,” kata Seng, sementara Lily masih berharap Seng akan menghalangnya.

Saat itu, Lily berasa bahawa Seng sememangnya telah melepaskan cinta yang pernah diucapkannya pada 24 tahun yang lalu.

“Sayang kau sampai mati,” rupa-rupanya hanya ucapan retorik pada malam perkahwinan mereka.

Rasa sebak yang padu mendera seluruh hati dan perasaannya ketika itu. Lily terperangkap antara keinginan untuk terus bertahan dalam ruang hidup yang dibinanya bertahun-tahun, atau melangkah keluar melalui pintu yang tiba-tiba terbuka untuknya berlari dan menjadikan mimpinya satu realiti.

Pada akhirnya, Lily memilih untuk pergi.

Masa berlalu begitu pantas, hanya anak-anak yang tinggal bersama-sama Seng menjadi jambatan penghubung antara mereka. 

“Lau Po?” suara serak lelaki itu membuat Lily tersentak daripada lamunan.

Dia tergamam seketika. Sudah tiga tahun dia tidak mendengar panggilan itu. Ya, tiga tahun yang panjang dan penuh pahit manis, tetapi penuh bermakna baginya. Dalam tiga tahun itu, Lily perlahan-lahan menyedari bahawa Seng masih berada di satu sudut yang paling istimewa di dalam hatinya. Sungguh!

“Chai… ini Lee Cha,” Lily menyahut, suaranya bergetar menahan esak di dadanya.

“Emm, aku keluar sekejap. Nanti kita sarapan bersama-sama ya, tunggu Erica sampai,” katanya, ingin segera berlalu untuk mengesat air mata dengan lengan baju kurungnya, sambil berharap anak perempuannya segera masuk membawakan bubur untuk ayahnya.

“Minumlah teh itu dahulu selagi masih panas, kau kan tidak suka teh sejuk,” kata Seng perlahan.

Lily terkedu. Hati bertanya, adakah lelaki itu cuba mengungkit kesilapannya dahulu?

“Duduklah, aku mahu cakap sesuatu. Semalam cepat betul kaubalik, jadi tidak sempat,” tambahnya dengan nada merayu, cuba mengukir senyum.

“Maafkan aku kerana kita bertemu di sini sahaja, bukan di rumah kita.”

Lily serba salah mendengar perkataan “kita”. Namun akhirnya dia akur, lantas menarik kerusi menghampiri katilnya dengan hati yang sebu. Tiga tahun lalu, dialah yang mengungkapkan kata-kata itu ketika dia meminta untuk dilepaskan. Kali ini, dia pula yang harus mendengar.

“Lau po…” sekali lagi Lily tersentak. Betapa dia ingin mengingatkan Seng bahawa  dia sudah tidak layak lagi dipanggil ‘Lau Po’, namun mulutnya terkunci.

“Sudah temui apa yang kauimpikan?”

‘Ya Tuhanku, soalan apakah ini?’ getus hatinya.

Jika yang dimaksudkan Seng ialah perkahwinan keduanya yang telah berakhir, jawapannya tetap “tidak”, kerana di situ dia tidak pernah menemukan kebahagiaan.

Lelaki yang pernah mengambil tempat Seng sebagai suaminya itu gagal membimbingnya dalam perjalanan menggapai impiannya. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama sembilan bulan. Anehnya, dia tidak berasa kecewa.

“Ya, Seng … aku sudah temui,” ujarnya separuh berbisik, bimbang kata-katanya menambah luka hati Seng. “Maafkan saya … .”

“Lau Po, kau tidak perlu meminta maaf. Aku gembira, tidaklah sia-sia kita berpisah,” katanya bersahaja.

Lily terpempan, berusaha memahami bait demi bait kata-katanya.

Serta-merta, Lily teringat akan soalan Seng yang sering didengarinya setiap kali dia diburu mimpi yang sama ketika mereka masih bersama-sama dahulu. Rupa-rupanya, selama ini Seng mengetahui keinginan yang tidak pernah disuarakannya. Kini, dia diburu pertanyaan… siapa sebenarnya yang berpura-pura bahagia selama ini?

Lily menatap wajah Seng yang tenang, setenang kabus pagi yang berarak perlahan di persekitaran ladang teh yang menemukan mereka. Ternyata dia telah lama bersedia untuk mencurahkan segala yang tersimpan di lubuk hatinya. Lily membiarkan lelaki yang pernah mengisi sebahagian besar ruang hidupnya itu bersuara, tanpa takut kata-katanya akan membuatnya merajuk panjang.

‘Aku sudah puas merajuk Chai…’ getus hatinya.

Dalam nada perlahan, Seng mengungkapkan bahawa bubur paling sedap di dunia ini hanyalah bubur buatan Lily. Perempuan paling cantik juga dia, si perempuan gunung yang lembut. Walaupun ketika sedang marah, malah ketika merajuk, Lily tetap memasak untuknya, dan bajunya sentiasa wangi.

“Perasaan sayangku terhadap dirimu tidak pernah berkurang sejak detik pertama kauhidangkan aku teh, dengan cawan masih di tanganmu ketika itu. Kaubancuh teh yang paling sedap di dunia ini, Lee Cha,” tambahnya dengan suara yang semakin tenggelam, sementara matanya yang kian redup menambah pedih di hati Lily.

‘Aku pun sayang kau, Chai. Aku sayang kau setengah mati hingga saat ini. Jangan tidur dulu. Aku mencintaimu,’ kata Lily sambil menarik-narik lengan baju Seng, berharap Seng mendengar jeritan batinnya.

“Maafkan aku, Seng …” hanya itu yang mampu diungkapkannya.

“Raudhah…” begitu sayup kedengaran suara Seng memanggil nama baharunya. Bukan Lee Cha, bukan Lau Po dan bukan juga perempuan gunung. Kemudian hanya nafasnya yang turun naik kedengaran.

Lily menatap wajahnya yang tenang. Tenang bagai bayi yang sedang lena diulit mimpi.

‘Ya Allah, jika kauizinkan aku meminta sesuatu lebih daripada yang selayaknya, aku merayu, ampunilah dia. Dialah yang melorongkan aku ke laluan untuk hijrah cinta di hatiku ini. Hapuskanlah penderitaannya, ya Allah, kerana dialah suami dan ayah yang terbaik untukku dan anak-anak kami…’ Lily  memohon dengan penuh pengharapan.

“Mama, marilah pulang berehat dulu. Baba pun perlu berehat,” pujuk anak lelakinya, Eddy.

Erica memeluknya erat dengan mata yang merah membengkak. Entah sejak bila kedua-dua cahaya matanya dan Seng ada di situ, dia pun tidak sedar.

Lily menatap wajah lelaki itu dengan air mata yang berlandung di dalam jiwanya, membiarkan rindu membuai sepenuh jiwa dan perasaannya seketika.

Akhirnya, dia faham kenapa Allah mentakdirkan mereka untuk berpisah. Rupa-rupanya, Seng memahami mimpi yang bertahun-tahun membelenggu hidupnya.

Paling menyentuh hatinya, Lily masih satu-satunya yang Seng panggil “Lau Po”, walaupun keadaan mereka telah berbeza, dan hakikatnya Seng tidak pernah mengkhianatinya.

***

Perempuan gunung itu masih bertelekung di atas sejadah ketika anak-anaknya datang membawa perkhabaran tentang ayah mereka yang telah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang, sejurus sebelum azan isyak berkumandang pada malam itu.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Singa Watan yang Mengaum Lantang
Puisi

Singa Watan yang Mengaum Lantang

  • 9 Jun 2024
  • 67
  • 5
Episod Maung
Puisi

Episod Maung

  • 20 Januari 2026
  • 107
  • 4.7
Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika
Bicara Sastera

Nilai Keislaman dalam Cerpen Hasan Baseri Budiman: Surat dari Negeri Puitika

  • 20 April 2026
  • 148
  • 4.8
ناراتيف سنتون برتيڠکه
Puisi Tradisional

ناراتيف سنتون برتيڠکه

  • 20 Mei 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP