Skip to content
Namanya Marwan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Namanya Marwan
Namanya Marwan
Cerpen

Namanya Marwan

  • Wan Muhammad Baihaqi
  • 5 Mac 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 222
  • 4.3

NAMANYA Marwan. Dia tidak memiliki rupa paras yang menarik. Rupanya seperti orang kebanyakan Tanah Jawi, mempunyai kulit sawo matang dan berhidung pesek. Tutur bicaranya pula agak lambat dan adakala tergagap-gagap. Dia sememangnya dilihat mempunyai banyak kekurangan jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang sebaya dengan umurnya. Begitu pun, dia mempunyai kelebihan dalam membuat taakulan dan pertimbangan dalam menyelesaikan apa-apa masalah.

Akibat penampilan dan perwatakan yang dirasakannya serba kekurangan pada pandangan mata, Marwan menjadi gusar dan takut untuk berhadapan dengan khalayak. Apabila ada majlis keramaian, dia hanya menjadi pemerhati bisu. Sekali-sekala bibirnya mengukir senyuman apabila ada yang senyum kepadanya dan ia disusuli dengan rasa serba salah tentang apa yang perlu dilakukan kemudiannya. Mindanya menerawang jauh sambil membuat tafsiran akan persepsi setiap orang terhadap dirinya.

Umur Marwan sudah mencecah tiga dekad. Tanpa pekerjaan tetap yang menjamin kehidupannya kemudian hari membuatkan dia dipandang sebelah mata oleh ramai orang termasuk ahli keluarganya. Meskipun berusia tiga dekad, pada mata ibunya dia seperti remaja belasan tahun. Kecerdasan akal fikirannya telah diselindung oleh tutur bicaranya yang tergagap-gagap.

Apabila diberikan kepercayaan untuk bekerja, Marwan cuba untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. Dia mahu membuktikan keupayaan dirinya. Tetapi sayangnya setiap kali memulakan kerjaya yang baru dibina, paling lama dia hanya mampu bertahan sehingga enam bulan.

Penamatnya, dia tidak disambung kontrak, diberhentikan atau dia sendiri mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Untuk setiap tahun yang dilaluinya, terdapat satu kerja yang ditempuhi dengan tempoh-tempoh tertentu bagi bidang kerja serta lokasi yang berbeza.

Lima tahun yang terkebelakang dilalui dengan lima jawatan berbeza. Walaupun jawatan yang disandang seperti menjadi budak suruhan, kerja itu tetap memberikan pengalaman yang sangat berguna kepada Marwan. Pada detik ini, dia mencari-cari pekerjaan keenamnya yang diharapkan dapat bertahan melebihi tempoh enam bulan. Itulah harapan dan impiannya. Ketika ini, belum lagi terfikir atau tergambar di fikiran apakah yang bakal ditempuhinya jika dia berjaya mancapai target bekerja melebihi tempoh enam bulan.

Marwan tidak pernah sesekali berputus asa. Biarpun tempoh menunggu bagi menemukan kerjaya baharu itu memakan masa yang agak lama, malahan seingatnya inilah tempoh paling lama dia menunggu bagi suatu peralihan kerjaya. Tunggu dan terus menunggu.

Sudah hampir setahun Marwan tanpa apa-apa kerja. Situasi ini mula meresahkannya. Dia dihimpit gelisah dan bimbang. Namun agak menghairankan apabila keluarganya yang sebelum ini kurang menghargai usaha-usaha yang dilakukannya bertukar menjadi sebaliknya. Tempoh hampir setahun yang dilalui tanpa pekerjaan menjadikan Marwan individu penting dalam rumah sekali gus keluarganya. Dia mula dijadikan tempat bergantung, ketua dan pembuat keputusan bagi isu-isu tertentu yang berlegar dalam kalangan ahli keluarga.

Dengan percakapan yang lambat dan tergagap-gagap, Marwan masih lagi mampu untuk mengetuai perbincangan yang turut didengari oleh ibunya, ayahnya yang semakin uzur dan seorang adiknya yang hidup dalam dunianya sendiri. Keyakinan mula tumbuh dalam dirinya. Dia berusaha untuk mengekalkan keyakinan itu dengan mengawal suaranya. Setiap patah kata yang terungkap daripada bibirnya diusahakan agar dapat didengari sejelas mungkin. Bahkan, adakalanya dia mengulang dua kali atau lebih perkataan tersebut.

Marwan tidak mahu  berterusan hidup dalam situasi umbang-ambing, apatah lagi jika ianya membawa kepada putus asa. Dia tidak mahu gagal sebagai seorang manusia meskipun perjalanan hidupnya masih tanpa matlamat dan destinasi yang jelas. Apa sahaja peluang yang berada di depan mata, itulah corak perjalanan hidupnya bagi suatu tempoh waktu. Dia berusaha untuk menjadi positif dan optimis seboleh mungkin.

Detik yang ditunggu akhirnya tiba apabila Marwan berpeluang untuk menjadi guru di sebuah sekolah swasta dengan jawatan kontrak selama setahun. Setidak-tidaknya, tempoh melebihi enam bulan itu memberikan kegembiraan awal kepadanya walaupun dia belum jelas mengenai realiti, budaya dan persekitaran di tempat kerja baharu. Apa yang pasti, dia akan berhadapan dengan lebih ramai orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa yang hampir seusia dengannya. Dia tidak takut.

Persekitaran kerja yang berbeza ditagih. Jika sebelum ini Marwan banyak bergelumang dengan kerja-kerja pentadbiran dan hanya menggunakan peralatan, tetapi kali ini dia akan lebih banyak berinteraksi dengan manusia. Rasa kekok dan kegagapan yang dialaminya perlu diatasi. Nilai kemanusian meresap masuk ke dalam diri Marwan. Dia seolah-olah sudah berada dalam situasi baharu.

Setahun berlalu dengan penuh cabaran dan ranjau yang berliku. Situasi Marwan tidak banyak beza dengan sebelumnya. Sekalipun dia berjaya memecahkan rekod enam bulan bekerja dan kegembiraan memenuhi ruang lapang dadanya, pencapaian itu dianggap tidak seberapa berbanding dengan situasi dirinya. Dia hanya dapat berbangga dengan tempoh waktu yang dilalui. Dia dapat menceritakan bahawa dia sudah bekerja bagi tempoh setahun, namun apakah makna kepada satu tahun itu?

Tempoh itu dirasakan cukup lama baginya. Sedikit sebanyak timbul perasaan bosan apabila dia melalui rutin yang sama dalam masa setahun. Dia kagum melihat ramai orang di luar sana mampu bertahan menjalani rutin kerja yang sama bertahun-tahun lamanya, bahkan berpuluh tahun. Mampukah dia bertahan untuk tempoh yang lebih lama bagi pekerjaan yang sama?

Esok Marwan akan bertemu dengan pihak pengurusan sekolah untuk mengetahui nasibnya sama ada akan disambung lagi atau sebaliknya. Dalam hatinya timbul perasaan bolak-balik. Dia gembira andai terus diberikan kepercayaan kerana pekerjaan ini juga merupakan satu-satunya sumber pendapatan yang ada. Namun, di sebalik rasa gembira itu terselit kebimbangan jika prestasinya dipersoalkan. Dia sedar pencapaiannya tidak seberapa. Dia tidak memberikan sepenuhnya apa yang ada.

Tempoh perkhidmatan disambung lagi selama dua tahun. Tempoh yang lebih lama. Berita itu sebenarnya agak mengejutkan Marwan. Dia seperti tidak bersedia untuk tempoh yang lebih lama di lokasi yang sama. Adakah dia tidak selesa dengan pekerjaannya? Sepatutnya apabila berkhidmat lebih lama di lokasi yang sama, dia akan gembira. Malahan dia tidak pernah punya apa-apa konflik dengan sesiapa, termasuk rakan sekerjanya. Dia hanya perlu menangani pergelutan yang wujud dalam dirinya.

Marwan menjadi seorang yang penyabar dan bertolak ansur. Dia tidak mudah melatah dan memberontak sebagai respons kepada ketidakpuasan hatinya. Jiwanya didorong untuk mendaki lebih tinggi, biarpun terkial-kial mencari jalan pendakian. Kepetahannya semakin bertambah walaupun percakapannya tidak seiring dengan jiwa dan tingkah laku Marwan. Keyakinan dirinya kadangkala bagai dipaksa-paksa untuk situasi tertentu. Dia mengakuinya.  

Marwan merenung sambil berfikir panjang. Kehidupannya tidak banyak berubah. Dia teringat akan situasi dirinya yang dianggap mampu menjadi ketua di rumahnya. Saat dia menjadi individu penting dalam keluarganya. Cerita dirinya berpusing seperti roda. Dia tidak mampu mengimbangi antara kerjaya dengan kehidupan peribadi.

Ketika dia berusaha untuk menstabilkan peranannya di rumah, kerjayanya kelihatan seperti tunggang-langgang. Hakikatnya, kedua-duanya tidak pernah berada pada paksi yang kukuh. Jauh sekali untuk melangkah ke alam rumah tangga yang masih tidak nampak hala tujunya.  

“Marwan, aku ingin lihat engkau mendirikan rumah tangga. Bila lagi engkau nak berbini? Kerja pun dah ada.” Pada suatu petang, hasrat terpendam itu akhirnya terzahir di bibir ibunya.

Marwan mendengar tanpa memberikan apa-apa respons. Mengiakan pun tidak, menafikan pun tidak.

Akhirnya perbualan mereka beralih kepada isu lain. Cerita adik mereka yang kekal dalam dunianya, cerita sekolah Marwan yang dianggap selesa serta cerita Mak Lang yang baru pulang daripada mengerjakan umrah. Cerita rumah tangga terus tenggelam dibawa arus cerita lain yang berbasa-basi. Kemudiannya mereka bergelak ketawa bersama-sama.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Tembaring Sungai Paitan
Cerpen

Tembaring Sungai Paitan

  • 20 Ogos 2024
  • 1282
  • 4.7
ڤينتو قمر اين تيدق ڤرنه كوتوتوڤ
Puisi Moden

ڤينتو قمر اين تيدق ڤرنه كوتوتوڤ

  • 16 Januari 2026
  • 4
Baldu Sakinah
Puisi

Baldu Sakinah

  • 5 Mac 2026
  • 78
  • 4.5
Kenduri di Rumah Abah
Cerpen

Kenduri di Rumah Abah

  • 5 Disember 2023
  • 621
  • 4.6

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP