BUNYI rempah empat sekawan bersatu dalam periuk, menyusup perlahan-lahan ke gegendang telinga. Hidungku cekap mengecam, aku kenal benar aroma tumisan ini. Aroma itu sekejap lagi akan berganda-ganda apabila daun pandan dan rempah kurma menuruti. Mataku yang terkatup rapat, kugagahkan buka. Ya, ramuan yang bergolek-golek dalam periuk mak itu memaksa aku bangun dari lena. Kerana, hari ini adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh emak.
“Mak, bagi Man sambung,” aku mengambil pengacau keluli berhulu kayu dari tangan mak.
Mak pun menghilang ke dalam rumah, beberapa ketika kemudian kedengaran bunyi pancuran air. Dapur kayu api di luar rumah ini hanya mak gunakan sekali sekala sahaja. Sesekali apabila dia teringatkan hari itu.
Aku mengejapkan dakapan tubuh, awal pagi sebegini udaranya memang dingin. Kayu api pula ambai-ambai dek hujan semalaman, patutlah api kurang marak. Beberapa pelepah kelapa yang masih kering kujolok ke bawah periuk berselang-selang dengan kayu api. Barulah api kembali menyala. Tumisan itu kukacau-kacau perlahan supaya tidak hangit. Kemudian apabila tumisan bertukar keemas-emasan, air rebusan daging kutuang kukacau-kacau lagi, kumasukkan tomato dipotong dadu berserta garam. Kuteliti baki bahan-bahan yang mak sudah siap-siap susun di para, hirisan daging ada, daun ketumbar ada, bahan-bahan air asam pun ada, tetapi beras tiada.
Aku tahu, mak tidak mahu orang lain menanak nasi itu melainkan dengan tangannya sendiri. Kuperlahankan nyalaan kayu api (tetapi tidak sampai terpadam), periuk tumis kuangkat dan letak di tepi. Aku masuk ke dalam rumah lalu segera menyiapkan air asam pula. Segala bahannya kugaul dan masukkan ke dalam peti sejuk. Sehingga hari ini makanan tradisi negeri kami inilah yang mengubat rindu mak pada Zali, kerana Zali selalu meminta mak masak makan nasi daging air asam istimewa untuk hari lahirnya.
Di ruang tengah mak masih bertelekung, tangannya tinggi menadah setinggi harapan yang disandarkan. Aku segera bersiap-siap ke masjid, azan subuh akan berkumandang beberapa minit lagi.
***
“Sampai bila kau nak biarkan Siti menunggu? Jangan nanti kau hangus tidak berapi, karam tidak berair apabila Siti dipinang orang.”
Aku faham benar kegusaran mak long, ia memang berasas. Namun, keadaan mak ketika ini sama sekali tidak mengizinkan untuk aku memulakan langkah ke arah itu.
“Mak masih menanak nasi daging awal pagi, masih tertunggu-tunggu Zali balik ke rumah makan setiap kali tiba hari lahirnya. Walhal mak long bahkan seluruh kampung pun tahu, mustahil untuk Zali kembali ke sini lagi. Bagaimana saya nak dahulukan kemahuan diri, sedangkan keadaan mak masih begitu?”
Aku menyuap nasi daging air asam yang kubawa sendiri ke sini dari rumah ke rumah mak long. Selebihnya sudah kusedekahkan kepada jiran-jiran di sekitar. Mak sudah lama berhenti menyuap nasi ke mulutku, apatah lagi duduk makan bersama-samaku sejak Razali hilang.
“Zali sudah pergi, itu yang pasti. Yang tiada diratap-ratap, yang ada dipinggir-pinggir. 25 tahun bukan masa yang sekejap. Bagaimana kauhadap semua ini, Man?”
Hanya senyuman pahit yang mampu kulemparkan buat mak long. Mak long menyudahkan suapan apabila kedengaran azan zuhur berkumandang. Aku segera menghabiskan baki makanan di pinggan.
“Mak Long Leha … Mak Long Leha …”
Suara dari muka pintu dapur itu menghentikan suapanku yang penuh berselera. Suara itu sedikit menjentik sanubariku. Aku melihat wajah Siti yang terpinga-pinga, barangkali tidak menyangka aku akan berada di sini pada waktu ini.
“Mak long ada tu, saya singgah sekejap sahaja ni. Teman mak long makan. Air asam ada lagi, Siti masuklah makan dulu,” ajakanku sebenarnya tidak bersungguh, sekadar mengusir kejanggalan yang mengisi sela ruang antara kami berdua.
“Tak apa, Siti tunggu mak long di luar sahaja. Nanti lewat janji temu dengan doktor.”
Barangkali Siti mereka-reka alasan atau dia memang memahami bahasa tubuhku. Siti pun menghilang dari pandangan, hanya kain tudung kepalanya yang kadang-kadang berterbangan, kelihatan di sebalik pintu dapur apabila angin bertiup.
Sesudah suapan terakhir, aku bangun ke singki. Pinggan sudah selesai dicuci tetapi hatiku masih belum selesai bertingkah. Aku tercegat di depan singki, mengelamun. Aku berfikir-fikir, adakah sebaiknya aku berterus terang sahaja kepada Siti? Bahawa aku hanyalah seorang manusia yang tewas sebelum berjuang, bagai aur di atas bukit. Dan Siti tidak seharusnya membuang masa menungguku.
Tetapi bukankah itu nanti hanya akan menjadikan aku lelaki yang paling malang? Mengalah sebelum berjuang. Sedangkan Siti ialah wanita yang baik. Perasaan inilah yang menjadikan aku terus mendiamkan diri, walaupun mak long sudah banyak kali berkias-kias. Telefon bimbit di meja makan tiba-tiba menjerit kuat, mematikan lamunan, menarik aku kembali ke alam nyata. Aku masih di sini, dan Siti masih tetap sabar menanti.
“Cikgu, permohonan kita untuk membawa pelajar Kelab Sejarah melawat kediaman bekas pesara tentera Operasi Gubir sudah mendapat kelulusan.”
Terujaku bukan kepalang. Panggilan daripada Cikgu Munira, yang juga guru Sejarah itu benar-benar membuatkan aku lupa peperangan jiwa yang baru sahaja aku hadapi. Syukur, hanya kalimah itu yang terungkap. Ini bahkan perjuangan yang lebih besar, yang harus aku menang untuk membawa mak (dan jiwanya) kembali ke pangkuanku!
“Saya pergi dulu Siti,” ujarku ketika melintasi Siti yang masih duduk di bangku di luar pintu dapur.
Siti lekas bangun memberikan laluan. Sejurus aku berlalu sedikit jauh, barulah Siti masuk ke dalam rumah. Terlupa sungguh aku, bahawa setidak-tidaknya aku harus berterima kasih kepada Siti kerana selalu memenuhi keperluan mak long. Atau bertanya khabar Siti. Atau bertanya tentang keluarganya, atau tentang apa-apa sahaja. Sekarang mungkin Siti menganggap aku sama sekali tidak ada hati atau peduli kepadanya.Langkah kakiku laju, enjin kereta dihidupkan. Aku menuju ke sekolah. Banyak kertas kerja dan persiapan yang perlu dilakukan sebelum tarikh lawatan yang hanya tinggal seminggu sahaja lagi.
***
“Operasi Doya Musnah antara operasi yang Tokwan sertai untuk menyekat kemaraan musuh. Ketika itu kami di Gubir sekitar tahun 1970-an. Tiga bulan lamanya kami tinggal di dalam hutan di sempadan Malaysia-Thailand. Makan garam untuk mengalas perut itu biasa bagi kami,” pesara tentera yang mesra dipanggil Tokwan dalam kalangan orang kampung (sekarang dia guru mengaji pada sebelah malam) kemudiannya membuka beberapa album lama. Para pelajar berebut-rebut mahu melihat sendiri bukti yang masih tersimpan rapi.
“Ketika itu Tokwan dan kawan-kawan berhenti rehat. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat dari arah belakang, kami agak-agak jaraknya lebih kurang 50 meter dari tempat kami berada. Tokwan diarah segera mengira bilangan anggota kemudian tersedar, ada anggota yang tidak berada di dalam kumpulan itu.” Tokwan membetulkan duduk.
“Sarjan tiada, Sarjan tiada, Tokwan berteriak dengan kuat. Kami berpecah lalu bergerak secara berasingan ke arah bunyi letupan itu. Sarjan di sini! Sarjan di sini! Tokwan lihat dengan mata kepala sendiri.”
“Apa jadi dengan Sarjan?”
“Sarjan terpelanting jauh beberapa puluh meter ke dalam hutan kerana terpijak jerangkap samar yang ditanam oleh pihak musuh. Periuk api meletup, Sarjan kehilangan sebelah kakinya. Paha, perut berlumuran darah, serpihan-serpihan periuk api ada yang menembusi kulit mukanya. Tolong … tolong … jeritan Sarjan yang tidak bermaya itu memang Tokwan masih ingat lagi sehingga ke hari ini.
Ketika para pelajar sudah beransur ke ruangan belakang dewan untuk makan tengah hari, aku segera menghampiri Tokwan. Aku mengajak beliau duduk di bangku yang sedikit terasing dari keramaian.
“Bagaimana Tokwan? Ada sebarang maklumat terkini berkenaan Sarjan?”
Aku tidak menunggu lama, kerana pertanyaan ini sudah menghuni benakku sejak aku mula mengikuti beberapa persidangan sejarah di peringkat antarabangsa untuk kajian sarjanaku. Lalu aku menjejak segala petunjuk yang ada, sehinggalah aku bertemu empat mata semula dengan Tokwan sendiri beberapa bulan yang lalu. Tokwan kemudiannya membantu aku menjejaki Sarjan yang dia sendiri sudah tidak bertemu sejak selesai Operasi Gubir.
“Ketika Operasi Gubir, ketika Sarjan terpelanting dek jerangkap samar itu, seorang budak lelaki setinggi ini, usianya sekitar sepuluh atau 11 tahun datang menghampiri, budak lelaki itu beri dia minum dan selit surat ini ke poket baju seragamnya sebelum dia lari menghilang ke dalam hutan.” Jelas Tokwan.
Aku mengambil surat lusuh dari tangan Tokwan. Sebahagian besar isi kandungan sudah kabur dan kertas sudah mengeras, ada tompok-tompok darah milik sarjan di atas kertas lusuh itu. Hanya beberapa perkataan yang kelihatan. …mak, jangan bimbang… Zali… berjuang… sehingga menang… .
“Barangkali jika masih ada kesempatan, hubungan yang retak ini boleh bercantum kembali meskipun tidak sesempurna yang asalnya. Kau fikirlah mana yang terbaik, Man.”
“Boleh Tokwan bawa saya jumpa Sarjan?”
Tokwan menepuk lembut bahuku. “Sekiranya beliau masih hidup, sudah tentu Man. Keluarga Sarjan beritahu mereka ada terima lagi sekeping surat beberapa bulan lepas.”
Huluran itu kusambut dengan keluhan halus. “Kalaulah kita bertemu dengan surat-surat daripada Sarjan ini lebih awal… . ”
***
Radio kelabu berhenti memainkan lagu-lagu lama dari cakera padat setelah aku mengalihkan mod ke saluran radio.
“Pendengar budiman, hari ini tanah air kita bakal mencipta sejarah. Dari Pusat Pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat jam 6.05 petang waktu Malaysia, satelit mikro pertama negara Tiung SAT-1 akan dilancarkan. Hasil usaha gigih lapan jurutera dan pensyarah tempatan ini telah sekali lagi membuktikan anak watan kita boleh melakukannya. Tahniah untuk semua!”
Radio kembali memutarkan lagu-lagu. Aku memandang langit biru yang luas. Beberapa tahun sudah berlalu. Surat terakhir daripada Razali kubaca lagi.
Salam untuk mak, salam untuk Razman, salam untuk ahli keluarga yang tidak pernah aku lupakan kewujudan kalian. Surat ini ditulis atas rasa rindu yang tidak tertanggung ketika sekeping jasadku ini hanya menunggu waktu bertemu tuhanku. Sewaktu perjanjian damai pada tahun 1989, terdetik di hatiku untuk pulang menetap di Baling bersama-sama engkau dan mak tetapi aku juga tidak boleh meninggalkan keluarga dan perjuanganku di sini. Sungguh keputusan yang aku perlu buat ketika itu, seperti menghela tali jala, ketika tegang perlu dikendurkan, ketika kendur perlu ditegangkan pula. Janganlah Razman dan mak membenciku. Aku tahu mak tentu marah apabila mengetahui tujuanku menghilangkan diri tanpa khabar berita, tetapi andai mak lembut jua hatinya, bawalah mak ke sini. Aku mahu melutut di kakinya …
Tidak mampu kuhabiskan pembacaan.
“Barangkali jika masih ada kesempatan, hubungan yang retak ini boleh bercantum kembali meskipun tidak sesempurna yang asalnya. Kau fikirlah mana yang terbaik, Man.” Pesan Tokwan tempoh hari tidak pernah meninggalkan fikiranku.
Sejujurnya separuh daripada hatiku gembira bukan kepalang apabila mengetahui satu-satunya saudara darah dagingku, yang ghaib tanpa khabar selama 25 tahun rupa-rupanya masih hidup. Namun kenyataan bahawa Razali telah memilih untuk tidak bersama-sama kami walaupun diberi peluang, dan surat-surat ini pula sebagai bukti, bukankah akan membuatkan luka mak bertambah parah?
Meskipun setelah beberapa tahun berlalu, mak masih berterusan menyalahkanku kerana berfikir aku tidak pernah berusaha mencari anak sulungnya. Mak juga masih bangun awal subuh dan menanak nasi daging air asam untuk Razali setiap kali tiba hari lahirnya, aku tetap bangun juga seperti selalu, berdiri di sisi menemaninya mengubat rindu, walau tanpa terbit sepatah kata dari bibirnya.
Biarlah mak membenciku.
Dan Siti, mungkin tiada jodoh antara kita.