Skip to content
Nilaian Harta Terakhir
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Nilaian Harta Terakhir
Nilaian Harta Terakhir
Cerpen

Nilaian Harta Terakhir

  • Jie Hafizs
  • 5 Disember 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 167
  • 4

“SAYA TERKEJUT. Tiba-tiba, ada seorang lelaki bertopeng keluar dari banglo itu. Seingat saya, lelaki itu turut memikul beg galas,” beritahu saksi pertama, seorang suri rumah yang tinggal berdekatan.

“Beg galas itu mesti berisi peralatan untuk membuka peti besi milik mangsa,” bisik minda tuan detektif.

“Saya terdengar bunyi ketukan kuat beberapa kali. Ada bayangan seseorang sedang memukul sesuatu,” bicara seorang nenek yang menjadi saksi kedua. Nenek itu sudah lama berjiran dengan mangsa.

Sejam kemudian, kesemua saksi berjaya memberikan keterangan. Tuan detektif mendapat maklumat terkini bahawa mangsa telah lama kematian isterinya. Kira-kira setahun yang lalu, orang gajinya pula telah diberhentikan kerja. Yang menjadi suspek terdekat hanyalah ketiga-tiga orang anak lelakinya. Kesemuanya tidak lagi tinggal sebumbung. Malah, jarang sekali melawat ayah mereka selepas masing-masing membawa diri. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka dikatakan kerap kali pulang ke banglo itu.

Banyak persoalan bermain di minda tuan detektif demi mencari kebenaran. Otaknya ligat berfikir, “Mangsa merupakan orang yang kaya. Tetapi, kenapa kebanyakan barangan berharga di dalam banglo ini telah banyak dijualnya?”

Mangsa yang terlibat ialah Tengku Hamid. Berumur 68 tahun. Beliau sedang dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan serius di belakang kepala. Suspek telah menyerang mangsa selepas gagal mencuri. Kejadian itu berlaku di sebuah banglo milik mangsa. Lebih spesifik, lokasinya di dalam bilik rehat yang berada di tingkat bawah.

Tidak lama kemudian, ketiga-tiga suspek muncul di lokasi kejadian selepas berjaya dihubungi. Ya, mereka merupakan anak-anak kepada Tengku Hamid. Tiada tergambar kerisauan pada wajah mereka. Padahal ayah mereka sedang menerima rawatan. Bertubi-tubi soalan diajukan oleh tuan detektif yang mungkin dianggap klise seperti, “Apa hubungan anda dengan mangsa?”, “Anda di mana sewaktu kejadian?”, “Anda mempunyai dendam dengan mangsa?” dan banyak lagi soalan berkaitan. Tujuannya bagi memastikan alibi masing-masing.

“Tidak mungkin saya sanggup mencederakan ayah! Lebih baik tuan detektif tanyakan pula kepada adik-adik saya,” nafi Tengku Zakwan, iaitu anak sulung kepada Tengku Hamid.

“Kamu masih tak mahu mengaku? Tapi, kami mendapat laporan bahawa kamu sering bertengkar dengan Tengku Hamid,” duga tuan detektif. Sengaja melihat reaksi suspek.

“Ah! Pertengkaran biasa dalam keluarga,” balas Tengku Zakwan ringkas.

“Maksud kamu?” tuan detektif kembali menyoal.

“Sejak akhir-akhir ini, kami adik-beradik telah berselisih faham. Lebih-lebih lagi tentang pewarisan harta. Saya ini anak sulung, pasti lagi berhak ke atas harta keluarga ini,” jelas Tengku Zakwan. Tertonjol sikapnya yang pentingkan diri.

“Saya Tengku Zairul, anak kedua Tengku Hamid. Ya, hubungan kami semua tidak berapa baik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh abang saya. Namun, tak mungkin saya mahu mencederakan ayah,” suspek kedua membuka bicara.

“Sewaktu bertengkar, mungkin kamu tidak sengaja menyerang Tengku Hamid. Kemarahan akan menyebabkan seseorang itu boleh bertindak di luar kawalan emosinya,” tuan detektif sengaja meninggikan nada suara.

“Tidak! Bukan saya yang lakukan,” balas Tengku Zairul gelabah.

Tuan detektif terus mendesak, “Hanya kamu semua yang mengetahui kedudukan sesuatu barangan di dalam banglo ini, terutamanya peti besi tersebut, walaupun selalu disembunyikan di bawah sehelai kain. Justeru, salah seorang daripada kamu tentu mampu merencanakan aktiviti kecurian tersebut sebelum mencederakan Tengku Hamid,” tuan detektif menambah.

“Itu tidak benar!” Tengku Zairul berkeras.

“Sekarang, kamu yang bongsu. Saya mendapat laporan bahawa kamu dikatakan berkeliaran di sekitar banglo ini sebelum kejadian,” ujar tuan detektif.

“Ya, sebabnya saya sering pulang ke rumah untuk melawat ayah. Tidak seperti abang-abang saya yang hanya datang kerana mahukan harta!” dengus Tengku Zainal, suspek ketiga. 

Mereka diam seketika. Salah seorang anggota polis forensik membisikkan sesuatu ke telinga tuan detektif. Beliau mengangguk faham. Wajahnya tiba-tiba berubah.

“Jika ayah kamu semua meninggal dunia, kejadian ini akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh! Lebih baik kamu semua ceritakan kebenarannya,” pinta tuan detektif agar kes itu dapat diselesaikan dengan mudah.

“Saya juga mendapat laporan bahawa Tengku Zakwan memiliki banyak hutang. Sekarang, motif kejadian ini semakin jelas,” sambung tuan detektif sambil tersenyum.

Anak sulung Tengku Hamid terkejut.

“Rupa-rupanya abang yang lakukan?” soal Tengku Zairul.

“Jangan tuduh sembarangan. Abang tahu kamu berdua yang rancang semua ini kerana mahukan harta ayah. Lebih baik kamu berdua mengaku,” balas Tengku Zakwan. Mereka bertiga saling membela diri.

“Jangan berdalih. Saya tahu, Tengku Zairul dan Tengku Zainal juga memang memiliki hutang,” kata tuan detektif serius.

Dada mereka bertiga dihurung gementar. Mereka mengaku memiliki banyak hutang. Sebab itu mereka sering berkelahi berebutkan harta. Namun, mereka menafikan sekeras-kerasnya berhubung kes serangan ke atas Tengku Hamid.

Tengku Zakwan jujur menjelaskan, “Baru-baru ini, syarikat saya telah mengalami banyak kerugian. Justeru, saya cuba meminta wang daripada ayah, tetapi ayah langsung tidak peduli. Padahal, sayalah yang lebih berhak kerana saya anak sulung.”

“Lalu, kamu terpaksa menyerang Tengku Hamid?” soal tuan detektif pantas, memotong percakapan Tengku Zakwan.

“Tidak! Setakat itu sahaja pertengkaran kami. Soal kejadian pagi tadi, pasti adik-adik saya yang lakukan,” tuduhnya lagi.

“Saya juga memang mengalami masalah kewangan. Lebih-lebih lagi selepas sukar membayar balik hutang pinjaman. Tengku Zainal pun masih memiliki hutang pelajaran yang sekian lama tertunggak. Kami berdua telah meminta bantuan daripada ayah, tetapi hampa. Ayah seolah-olah tidak mahu berbicara tentang pewarisan harta. Sedangkan, kami juga berhak menerimanya,” jelas Tengku Zairul pula.

Tengku Zainal sekadar mengangguk.

“Kamu semua sudah besar panjang. Entah bagaimana kamu semua membelanjakan harta. Habis, siapa yang lakukan?” tuan detektif inginkan kepastian.

Tengku Zairul meluahkan pengakuan, “Saya memang telah cuba membuka peti besi ayah pada awalnya, namun gagal. Kemudian, saya terpaksa menyuruh Tengku Zainal pula tanpa diketahui oleh ayah, tetapi hasilnya tetap nihil.”

“Semuanya rancangan saya, tapi percayalah bukan kami berdua yang mencederakan ayah!” ceritanya lagi.

“Sudah saya katakan, mereka berdua yang terlibat dengan kecurian!” sahut Tengku Zakwan.

“Hah, bagaimana abang tahu?” Tengku Zainal bingung.

“Abang terdengar perbualan kamu berdua tempoh hari tentang rancangan itu,” jelas Tengku Zakwan sambil tergelak.

“Tapi, abang tak sepatutnya menuduh kami berdua mencederakan ayah. Abang pun tahu, bukan kami yang lakukan!” Tengku Zairul mengetap gigi, tidak berpuas hati.

Tengku Zakwan tersenyum sinis, “Soal itu, abang tidak tahulah!”

Walaupun kejadian itu berlaku tanpa dirancang, dia seolah-olah mahu mengambil manfaatnya. Fikirnya, segala harta akan menjadi miliknya selepas adik-adiknya ditangkap.

“Cukuplah bertengkar!” tegur tuan detektif. “Sebenarnya, kejadian ini merupakan satu kemalangan. Apa yang dilihat oleh saksi bukanlah seseorang sedang memukul Tengku Hamid, tetapi bayangan seseorang yang cuba membuka peti besi tersebut,” jelasnya.

“Ya, benar,” akui Tengku Zainal. Dia memang memukul peti besi itu dengan penukul selepas gagal memasukkan nombor kata laluan yang betul. Namun, kegiatan itu juga terpaksa dihentikan selepas kemunculan ayahnya.

Tuan detektif mengangguk, “Baguslah, kamu mengakuinya. Lagipun, saya sudah perhatikan telapak tangan kanan kamu. Ada timbul kesan darah disebabkan kamu memegang atau menggunakan peralatan keras secara kasar,” ujarnya terperinci.

Mereka terdiam seketika, menunggu kalam.

“Pada awalnya, Tengku Hamid sudah terjatuh berdekatan dengan almari antik. Barangkali, beliau mahu mengambil sesuatu di dalam rak teratas almari tersebut sehingga terpaksa berjinjit kerana tinggi. Lalu, kakinya terseliuh dan terus terjatuh selepas berjaya mengambilnya. Lantas, belakang kepalanya terhantuk kuat pada bucu meja tamu,” sambung tuan detektif.

Tengku Zakwan melontarkan soalan, “Habis, kenapa posisi tubuh ayah berubah?” Adik-adiknya mendengar penuh tanda tanya.

“Setelah terjatuh, ayah kamu masih sedarkan diri seketika. Selesai menyimpan sesuatu di dalam peti besi, beliau kembali pengsan. Kerana itu, kesan tompokan darah yang telah kering muncul di hadapan almari antik berdekatan meja tamu. Sedangkan, tubuh Tuan Hamid ditemui berhadapan dengan peti besi sambil memegang kepalanya yang sakit. Begitulah pemerhatian saya berdasarkan hasil laporan daripada unit forensik,” jelas tuan detektif, yakin dengan kesimpulannya. 

“Huh! Ayah bersusah payah mengunci kembali peti besinya walaupun dirinya mengalami kecederaan. Tentu banyak hartanya yang disimpan di situ,” getus Tengku Zairul. Mereka tiga beradik menantikan peti besi itu dibuka oleh anggota polis forensik.

“Jangan haraplah. Abang yang akan mewarisi semua harta ayah,” ujar Tengku Zakwan sombong. Mereka semua asyik bertikam lidah berebutkan harta.

“Hentikan pertengkaran! Kamu semua masih tidak mengerti perasaan seorang ayah?” tengking tuan detektif.

Mereka semua terdiam seribu bahasa.

Tuan detektif berbicara lagi, “Ada satu laporan yang perlu direnungkan. Tengku Hamid menangis sendirian sebelum kemalangan itu. Ya, beliau pasti sedih mengenangkan sikap anak-anaknya. Buktinya, ada serbuk putih tersisa pada baju beliau ketika kejadian itu. Dipercayai serbuk garam. Dengan kata lain, kesan air mata yang telah mengering.”

“Ayah menangis selama ini?” soal Tengku Zairul sendiri.

Suasana kembali tenang.

“Tuan detektif, kami telah berjaya membuka peti besi,” beritahu seorang anggota polis forensik.

Ketiga-tiga beradik itu bergegas ingin melihat peti besi tersebut. Sangkaan mereka meleset. Yang ada bukanlah harta yang diidamkan, tetapi hanya buku-buku bank, surat pajak gadai, surat jual beli tanah, resit jualan dan sebagainya.

“Ayah kamu semua telah banyak menangis kerana kesedihan yang sangat mendalam. Beliau bekerja keras selama hidupnya untuk mencapai kemewahan supaya kamu semua dapat hidup selesa. Namun, beliau berasa bersalah kerana kesenangan itu seolah-olah telah memanjakan kamu adik-beradik. Segala usaha beliau selama ini semata-mata kerana rasa kasih sayang, tetapi kamu semua masih tidak mampu bertanggungjawab,” tegur tuan detektif dengan lembut.

Tuan detektif meneruskan dialog, “Tanpa sedar, beliau masih menolong kamu semua sehinggalah dewasa. Perhatikan di dalam banglo mewah ini. Semua barangan berharga telah dijual untuk membayar hutang-hutang kamu semua secara diam-diam. Mungkin segala harta yang lain telah habis dijual. Sudah pasti, almari antik itu juga akan dijualnya nanti. Sebab itu, ayah kamu mengambil barang-barang berharga di dalamnya. Lihatlah pula baki akaun yang tertera dalam buku bank milik beliau. Apa kamu masih belum jelas?”

Mereka semua merenungi diri. Ternyata Tengku Hamid sudah kehabisan harta kerana terpaksa membantu anak-anaknya selama ini. Memang benar, mereka tiga beradik telah lama dibelenggu masalah hutang. Walaupun sering dibantu oleh ayah mereka, tetapi masalah itu masih tetap terjadi. Mereka sentiasa mengulangi kegagalan tersebut. Mengapa tidaknya, mereka suka berseronok dan berbelanja sakan selepas mendapat kemewahan. Tidak mahu berusaha sendiri untuk membayarnya, sampailah timbul hutang yang lain pula.

“Nah! Mungkin, hanya inilah harta terakhir dan paling berharga yang tersisa buat kamu semua,” keluh tuan detektif. Beliau menghulurkan sekeping potret keluarga yang juga telah ditemukan di dalam peti besi itu.

“Inikah sesuatu yang diambil oleh ayah di dalam almari antik itu?” tanya Tengku Zakwan bernada sayu.

“Ya, itulah yang cuba disimpan oleh ayah kamu. Harta yang tiada nilainya.” Sebelumnya, tuan detektif telah meneliti keadaan di dalam rak teratas almari antik itu. Kesan debu yang hilang di dalamnya memang bersesuaian dengan reka bentuk potret keluarga tersebut. Bermakna, ada sesuatu yang telah diambil oleh Tengku Hamid. Malah, kesan cap jari yang masih baharu milik Tengku Hamid juga turut ditemukan di situ.

“Betapa indahnya saat ini,” ujar Tengku Zairul sedih. Gambar mereka bertiga sewaktu masih kecil ditatapnya bersama. Ayah dan ibu mereka tersenyum bahagia dalam potret keluarga tersebut.

“Rindu arwah ibu,” luah Tengku Zainal yang terimbau pada kenangan. Ya, kenangan terindah ketika berseminya kasih sayang bersama keluarga bahagia. 

“Maka, siapakah yang layak menerima harta terakhir itu antara kamu semua?” sindir tuan detektif sambil tersenyum puas. Misteri kes tersebut berjaya diselesaikan.

Kesedaran mula menjelma ke dalam hati ketiga-tiga beradik itu. Sudah pasti mereka rindu ingin menatap wajah Tengku Hamid, iaitu ayah mereka yang sedang dirawat di hospital.

# #detektif #nilaianhartaterakhir
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP