INI kali ketiga dia memohon – bukan meminta. Kerana memohon begitu berbeza dengan meminta. Katanya, memohon bermakna meminta kepada mereka yang telah menawarkan pertolongan secara terbuka, jika keadaan benar-benar memerlukan; sementara meminta bermaksud meminta bantuan kepada seseorang yang tidak pernah membayangkan akan memberi bantuan, selain melihat orang itu memang layak dimajukan permintaan.
Jadi ini kali ketiga dia memohon. Pertama kali pada lima tahun lalu dan kemudian sekali pada tahun lepas – pada awal Januari yang banjir. Kedua-dua permohonannya gagal, meskipun dia mendapat respons yang baik daripada pengerusi dengan dua patah perkataan ringkas – Okey, maklum. Namun selepas memajukan permohonannya melalui aplikasi pemesejan, dia tidak bertanya bagaimana status permohonannya. Baginya hal itu tidak layak ditanya, kerana bakal membayangkan dirinya terlalu mengharap – meskipun dia memang amat berharap. Kerana baginya, jika keadaan tidak mendesak, dia tidak akan memohon.
Untuk kali ketiga ini, dia majukan perkara sama. Bahawa dia memohon bantuan sekadarnya untuk menghadapi hujung tahun yang parah. Perniagaan membuat dan membekal bantal yang diusahakan bersama isterinya merosot – seperti jangkaan para penganalisis ekonomi bahawa ekonomi berada dalam keadaan merudum. Tiada tempahan yang datang. Demikian juga kerja-kerja sambilannya di luar sebagai pemberita sambilan di sebuah akhbar tempatan – arahan untuknya bergerak pun kian kurang. Anaknya yang masih belajar di kolej kini amat memerlukan belanja untuk membeli keperluan kelas.
Jawapan yang diterima kali ini juga adalah sama – Okey, maklum. Untuk itu, seperti biasa dia berterima kasih, dan mendoakan pengerusi yang dihormatinya itu dengan doa yang baik-baik, ‘termasuk seluruh keluarga pengerusi,’ taipnya. Namun dalam masa yang sama, dia telah bersedia dihampakan seperti sebelum ini. Cuma kadang-kadang di hatinya terdetik, mungkin sikap pengerusi telah berubah ke arah lebih cakna, khususnya menunaikan harapan yang diberikannya dengan ungkapan – Okey, maklum.
Dia masih teringat ucapan pengerusi yang dihormatinya itu 10 tahun lalu – “Nombor telefon saya tak pernah berubah. Jika ada sesiapa daripada kalian yang duduk di sini ketika ini yang perlukan bantuan, teruskan telefon atau kirimkan pesanan saja. Insya-Allah, saya akan bantu. Tapi ingatlah, permohonan itu boleh dimajukan jika kesusahan yang kalian hadapi memang sukar diselesaikan.”
Pada waktu itu, dia hanya duduk di kerusi empuk dengan tempat sandar yang tinggi. Namun dia hanya memekur di meja mesyuarat berbentuk U itu. Dia tidak terniat memohon apa-apa. Dia hanya membiarkan kata-kata itu berlalu bagai angin. Sebab baginya, selama ia masih boleh bertahan dalam mengharungi kehidupannya dan keluarganya, dia tidak mungkin memajukan sebarang permohonan, meskipun rakan-rakannya yang dia kenal sebagai kaki projek sudah mula merancang-rancang sesuatu.
“Pengerusi, saya memerlukan bantuan membeli 30 gulung dawai duri untuk memagar kebun saya. Kebun ini saya tanam dengan pelbagai jenis buah-buahan. Rencananya, jika saya pencen nanti, di sinilah saya akan menghabiskan masa… apa pun, kertas kerja akan menyusul,” kata Marbaki, diiring senyuman senang.
Dalam pertemuan itu, hanya dia yang tidak mengusulkan apa-apa, meskipun secara gurauan. Sehinggalah pertemuan mereka berakhir, dia tidak menyebut apa-apa mengenai keperluannya. Dia tahu, dalam kelima belasan orang itu, hanya dia seorang yang benar-benar memerlukan, bahkan tersenarai dalam kelompok miskin tegar – bukan lagi B40. Penampilannya begitu sederhana, tidak sebanding dengan rakan-rakannya di bilik mesyuarat tersebut.
Cuma – meskipun dia tahu itu adalah tindakan yang sia-sia, pagi esoknya dia ke bank. Dia ingin melihat adakah bantuan yang dimohonnya dua hari lalu sudah disalurkan ke dalam akaunnya. Namun dalam perhatiannya di ruang pesanan ringkas di telefonnya, pengerusi belum menyatakan apa-apa, sama ada telah menyalurkan wang yang dimohon dengan memperlihatkan sekali resit kiriman atau belum.
Yang kelihatan hanya jawapan seperti semalam – Okey, maklum.
Sengaja dia datang pada awal pagi, supaya mendapat ruang parkir di hadapan bank, lagipun dia tidak mahu orang melihatnya yang berjalan terhincut-hincut kerana asam urat menyerang jari-jari kaki kirinya. Hatinya berdebar-debar apabila melihat bilik mesin pengeluaran wang automatik lengang. Dengan berhati-hati, dia meletakkan kaki kanan dan kiri serentak di atas asfalt, lalu bersusah payah bangun dan melangkah. Mukanya berkerut menahan sakit.
Yang terlihat di skrin ialah baki semasa akaunnya sejumlah RM43.71. Dia menarik nafas panjang. Yang dimohonnya belum disalurkan lagi. Dia menolak pintu cermin dan keluar. Matahari yang berada di bumbung rumah kedai pekan yang telah berumur hampir 50 tahun itu, seakan-akan memerhatikan gerak lakunya. Banyak kedai lagi yang belum dibuka. Sekawan merpati telah melayang hinggap di kaki lima sebuah kedai runcit Pakistan yang masih bertutup.
Dia memang maklum bahawa permohonannya dihampakan lagi. Namun dalam masa yang sama dia masih waras dan berfikiran positif – bahawa pengerusi mungkin terlupa akan permintaannya. Hatinya mendesak-desak agar dia bertanyakan hal itu kepada pengerusi sendiri. Namun jiwanya mengingatkan bahawa hal itu tidak perlu ditanya lagi, kerana pengerusi tentu mengingati janjinya.
Jadi, dia menarik balik niatnya. Memang benar, bahawa itu hanya satu permohonan yang perlu dilupakan selepas memajukannya kepada pengerusi. Tidak boleh ditanya, kerana ia bukanlah sejenis hutang yang perlu ditagih. Tetapi dia tertanya-tanya juga, kenapa pengerusi menyalurkan bantuan kepada orang yang lebih mampu, sedangkan dia dibiarkan menunggu biarpun ia meminta sekadar yang ada.
“Kalau saya secara peribadi, katakan saya minta 500, saya akan mendapat seribu. Saya tidak pernah hampa. Pengerusi kita begitu pemurah orangnya,” ujar Marbaki sambil tersenyum puas, beberapa minggu lalu.
Mungkin itu yang dinamakan rezeki, detik hatinya. Bahawa setiap orang mempunyai rezeki masing-masing, yang telah ditulis ketika masih di dalam rahim ibu lagi. Sebab itu ia tidak berasa diabaikan atau dilupakan. Bahkan dia menganggap bahawa rezekinya belum datang lagi, dan dia percaya bahawa rezeki memang disalurkan dengan pelbagai cara, salah satu caranya melalui rakan-rakan.
Namun sebenarnya, meskipun permohonannya dikabulkan dalam jumlah 50 ringgit misalnya, dia amat syukur. Biarpun pengerusi pernah mengatakan bahawa beliau mampu membayar tunai 10 buah kereta import, atau mampu membeli sebuah pulau kecil di tengah Laut Pasifik yang berhampiran dengan Pulau Nauru jika sahaja beliau mahu. Dia tidak mengharap sebanyak mana. Dia hanya memerlukan sebanyak jumlah itu sahaja.
Tiba-tiba dia teringat rakan-rakannya mencemuh, betapa pengerusi sangat kedekut. Entah di mana rakannya tahu, bahawa pengerusi mempunyai akaun di Bank Swiss.
“Dia tidak membantu orang-orang seperti kita yang pernah menaikkannya sebagai pemimpin. Dia mementingkan diri sendiri!”
“Tidak wajar saudara berkata begitu,” tegurnya. “Terpulang kepada pengerusi untuk membantu siapa pun atas keringanan hatinya, kerana kekayaan itu ialah miliknya semua. Dia tidak pernah ada hutang dengan kita.”
Baki akaun anda ialah RM43.71. Anda hanya boleh mengeluarkan RM20.
Begitu tulisan di skrin ATM. Dia tidak menyedari rupa-rupanya dia telah berada di hadapan skrin dan menaip pertanyaan baki lagi. Dia tetap mengharap keajaiban, bahawa bakinya meningkat sedikit – sebab mana tahu pengerusi telah memindahkan sedikit belanja untuknya.
Jadi dia cuba mengeluarkan RM20, seperti saranan skrin ATM.
Mesin ini kehabisan wang. Mahu meneruskan urusan? Tanya skrin.
Dia menekan ‘Batal’, lalu kad ATMnya tersembul keluar. Dia menarik kad ATM dan pura-pura tidak berlaku apa-apa. Sebab baginya, itu urusan dirinya secara peribadi yang tidak perlu dimaklumkan kepada sesiapa pun, hatta kepada malaikat yang menjaganya siang dan malam. Bukan seperti sesetengah orang yang mengeluh apabila tidak berjaya mengeluarkan wang mereka, dan berkata kepada mereka yang berbaris di belakang – “malang sekali… duit yang dijanjikan anak-anak belum masuk lagi…”
Dia berdiri di luar bilik kaca ATM, dan berfikir bagaimana kalau keretanya mogok kerana kehabisan petrol semasa memandu pulang. Warna amaran kuning sudah timbul sejak dua hari lalu, dan bila-bila masa sahaja keretanya boleh tersadai. Dia berasa pengerusi itu sengaja melupakan permohonannya yang tidak seberapa. Namun dia tetap positif, dan menganggap belum ada rezekinya.
Dia bergerak sesantai mungkin, seolah-olah ingin menikmati wajah pekan yang segar dalam simbahan mentari bulan Disember. Hujan semalam telah menanggalkan debu-debu pada bangunan rumah kedai yang bercat merah jambu. Dia perlu bergerak santai, agar tempang kakinya tidak ketara di mata orang. Bahkan dia sering berhenti dan mengambil gambar apa sahaja yang menarik perhatiannya.
Dia ke sebuah ATM yang lain, yang baru diingatnya boleh mengeluarkan not 10 ringgit. Sebaik sahaja melepasi blok bangunan rumah kedai yang mempunyai kedai emas dengan pekerjanya yang cantik-cantik, dinding dan pintu cermin ATM itu nampak ceria oleh matahari. Namun beberapa orang sudah berdiri berbaris di dalamnya, di hadapan ketiga-tiga mesin yang ada.
Dia tidak masuk, kerana dia berasa segan dengan wang yang hendak dikeluarkannya. Hanya cukup-cukup untuknya mengisi petrol, sedangkan dia melihat semua yang berada di hadapan mesin mengepal begitu banyak not. Bahkan, rakannya yang memohon pagar dawai duri 10 gulung itu berada di hadapan mesin, mengeluarkan beberapa keping not. Namun dia pura-pura tidak melihatnya.
Dia tetap menunggu para pengguna berkurangan di dalam bilik ATM, supaya dia dapat mengambil giliran. Namun pengguna bersilih ganti mengeluarkan wang. Dia hanya berdiri di luar bilik mesin sambil mencuit-cuit telefonnya tanpa makna, selain daripada supaya dia kelihatan sibuk. Matanya tetap melihat ke ruang bilik mesin.
“Apa ditunggu lagi? Masuklah,” desak Marbaki.
Dia terkejut, kerana Marbaki tiba-tiba berada di belakangnya.
“Tak apa, masih ramai orang,” katanya berdalih.
“Apa ramai orang, tu, hanya tinggal tiga orang,”
“Tidak apa,” katanya, “Aku menunggu kawan di sini.”
Cuma celakanya, Marbaki enggan berlalu. Bahkan turut bersandar di dinding sambil mencuit-cuit telefonnya juga. Dia berasa gelisah, kerana hari kian meninggi. Kerja-kerja di rumahnya menunggu. Namun dia segan masuk ke ruang ATM kerana yang hanya mampu dikeluarkannya ialah dua helai not merah. Tetapi kegelisahannya tidak diperlihatkan, bahkan ia masih berbual-bual kecil dengan Marbaki – namun ia memberi isyarat bahawa dia perlu membalas sesuatu di telefon.
Dia tidak jemu-jemu membaca balasan pengerusi, meskipun yang tertulis hanyalah Okey, maklum.
Dalam diam dia terfikir bahawa menunggu adalah satu kenikmatan, kerana menunggu membuat ia banyak berfikir.
Namun ketika fikirannya melencong kepada hal-hal negatif tentang pengerusi, dia memperbetulkan arah fikiran itu, bahawa pengerusi pada hakikatnya telah banyak berjasa kepada bangsa.
Dia sama sekali enggan berfikir bahawa pengerusi telah membohonginya dan membodohkannya, dan yang lebih teruk lagi memberikannya harapan palsu, lalu dia turun ke pekan semata-mata mahu menyemak baki simpanannya, yang dia sendiri tahu tidak akan bertambah. Dia berasa itulah keistimewaannya dalam ilmu penantian.
Apabila menyedari rakannya telah beredar diam-diam, dan ruang ATM telah lengang, dia cepat-cepat menolak pintu cermin bilik ATM, lalu masuk. Menuju ke mesin sebelah kiri yang dinyatakan mengagihkan wang kertas 10 ringgit. Dia menekan pin, menekan angka dua dan kosong, kemudian kedengaran suara wang kertas begitu banyak dikira dan diselak.
Dia menyeluk ruang mesin dengan cepat seolah-olah mesin itu akan mengatupkan giginya bila-bila masa, lalu menelan kembali not 20 ringgitnya. Dia menoleh kiri kanan, sedang tangannya begitu cepat memasukkan wang ke dalam poketnya, seperti seorang penyeluk saku yang cekap. Hatinya lega, bahkan kini dia berasa senang, seakan-akan dia bersama mentari menyinari dunia.
“Pengerusi begitu kedekut dan berkira,” kata Marbaki di hujung kedai. “Hanya 500 yang dia salurkan, sedangkan saya memerlukan 2000. Anak-anak saya memerlukan belanja…”
Dia tertawa kecil. “Mungkin rezekimu setakat itu hari ini. Bersyukurlah. Sebab ketahuilah bahawa ramai orang lagi yang tidak mendapat apa-apa pagi ini, tapi masih tertawa.”
Marbaki meludah sambil menyeranah pengerusi. “Orang ini mempergunakan kita untuk kepentingannya sekeluarga. Aku tak akan membakar diri lagi selepas ini. Kamu juga, selepas ini berfikirlah…”
Ini kali ketiga permohonannya dihampakan oleh pengerusi, namun dia berasa bahawa belum ada rezeki lagi untuknya. Dia tidak menyalahkan pengerusi, kerana baginya pengerusi hanyalah tempat menyalurkan rezeki yang diberi oleh Yang Maha Kaya. Tetapi memang belum ada lagi rezeki untuknya, begitu yang dia fikir. Cuma mungkin selepas ini, dia tidak akan mengulangi permohonannya lagi.
“Cif! Cif!” terdengar suara memanggilnya. Dia menoleh, dan di belakangnya ialah Marbaki sebentar tadi yang kini dilanda kehampaan.
“Ha…” gumamnya pendek.
“Kalau ada 10 ringgit, Cif, tambahkan duit saya. Sebenarnya saya membeli keperluan rumah… tiba-tiba teringat ada lagi yang saya terlupa beli,” Marbaki menggaru-garu kepalanya.
Dia tertawa. Namun dalam fikirannya mengingati apa yang dipesan oleh isterinya. Dia tidak mengingat apa-apa. Cuma dia perlu mengisi petrol.
“Sekali ini saja, Cif… kalau tidak, mengamuklah orang rumah nanti,” rayu Marbaki.
Dia menyeluk sakunya. “Ambillah 10 ini. Rezeki Tuhan dibagi-bagi,”
Marbaki menyambut not merah itu, lalu menekupkan di mukanya. “Terima kasih. Cif baik lagi, dapat menyumbang untuk saya. Pengerusi tak ada sifat begini,”
“Apa yang ada, kita kongsilah bersama,”
“Mari kita berfikir mencari pemimpin yang kita boleh harap, yang boleh membantu kita… kita kuburkan pengerusi kali ini!” ujar Marbaki sambil menggenggam penumbuk.
Berada dalam keretanya seakan-akan berada di perahu yang merentas gelora. Kereta kecilnya melantun-lantun kerana tayarnya telah kembung. Baginya pengerusi tidak perlu diambil hati, kerana kesibukan yang sentiasa menjengah sebagai ketua parti. Maka permohonan kecil-kecil tidak lagi diperhatikannya, termasuk permohonannya.
Hasrat pengerusi untuk menjadi calon perlu tetap mendapat sokongannya. Meskipun kata-kata Marbaki punyai kebenaran, tetapi baginya pengerusi perlulah dibantu sedaya mungkin, kerana hanya pengerusi yang boleh menjadi simbol keunggulan masyarakatnya.