DI tengah rimba yang tebal, di mana jari-jemari sinar mentari gagal menjamah sejuk tanah, tersembunyi sebuah desa kecil seolah-olah diselubungi misteri, ibarat mutiara di dalam tiram. Cenderawasih berbunyi, berirama seolah-olah menari dengan dedaunan yang melambai lembut. Rusa-rusa jantan berlaga tanduk, lantaran tiada bau belerang yang meresahkan, hanya wangi orkid dan aroma tanah basah yang mendamaikan. Lumut-lumut hijau menjadi permaidani alam, tempat rama-rama dan sesibur menari-nari di bawah pancaran sinar yang terselinap di celah kanopi. Di kejauhan, air terjun mencurahkan simfoni alam yang mengalun harmoni, seakan membelai jiwa setiap makhluk di sini.
Bangsa di desa ini bukan bangsa biasa. Mereka ialah penjaga rimba, pewaris ilmu leluhur yang menakluknya dengan kasih, bukan kuasa. Di sini, harimau belang tidak buas, malah jinak seperti kucing dalam dakapan. Gajah besar yang gagah menjadi teman perjalanan, melintasi selorong indah di celah denai hidup. Kehidupan di sini adalah nadi keindahan rimba.
Namun, di sebalik ketenangan itu, Kalong, lelaki perkasa desa ini, sedang bergelut dengan kekhuatiran.
“Hidup kito makin punoh; ore kota satu-satu dok amik sabar kito,” keluh Kalong kepada isterinya, Sering, yang sedang bersedia menyalai daging ular sawa di atas para buluh bersama-sama umbut nibong, langkap dan rebung.
Rimbunan rimba kini semakin terdedah kepada kekejaman tangan manusia keparat. Bunyi gergaji mekanikal terdengar di kaki bukit, memotong nyawa pohonan tua yang menjadi saksi zaman kegemilangan nenek moyangnya. Kalong dengan teliti menggeser dua batang kayu mahang kering untuk menyalakan api. Setiap gerakannya adalah doa sunyi, memohon agar rimba ini terus terlindung. Debu bara kecil yang terhasil dikumpulkan di atas daun sambar api, lalu ditelangkupkan ke atas gumpalan rerambut hitam pohon langkap dan ditiup perlahan sehingga menyala. Bau hangit menyelinap masuk ke deria mereka, sebelum api marak mula menari.
Kalong menyusun bunga jarau, ranting kecil dan belahan kayu pulai kering, sebelum dimasukkan kayu cengal sebesar betis bagi memastikan baranya cukup tahan lama untuk proses menyalai ular sawa yang dilondeh kulitnya—hasil tangkapan jerat jerut tali kulit pokok terap dan kayu lentik setambun yang menuntut kesabaran hampir seminggu.
“Kito boleh ka tahan diorang?” soal Sering perlahan, matanya tajam memerhatikan bara api.
Kalong diam sejenak. “Kalau kito dok tahan, sapa lagi, Sering? Ghimba dok jaga kito lama. La…kito jaga dia.” Selepas itu mereka berdua diam seribu bahasa.
Malam itu, selepas bara bersatu menjadi abu, Kalong berbisik kepada Sering, “Sok, kito pi buru. Tak mo daging, tapi nok jaga ghimba ni.”
Sering tidak bertanya lanjut.
Dia tahu, dalam keheningan rimba ini, ada peperangan yang bakal meletus. Peperangan antara mereka yang hidup selaras dengan alam, dan mereka yang datang untuk menjarahnya.
Malam itu sunyi, tetapi sunyi yang meresahkan. Kalong berdiri di hadapan rumah buluhnya, memandang ke arah rimba yang selalu menjadi pelindung dan pemberi rezeki. Namun malam ini, rimba itu seolah-olah menahan nafas. Udara membawa bau asing, campuran minyak dan logam, tanda kehadiran sesuatu yang tidak pernah dialu-alukan.
“Bang, betul ka ni?” tanya Sering, isterinya, sambil memeluk anak kecil mereka, Melai.
Kalong menggenggam erat parangnya, pusaka keluarga yang diasah sehingga mampu membelah kayu dengan sekali hayun. “Kalau aku dak lawan, diorang mai punoh. Ghimba ni rumah kito. Aku takkan biar diorang amik semua.” Kalong terkenang detik-detik arwah ayahnya mengajar mengenali setiap tumbuhan di situ. Kalong tahu mana boleh dimakan, mana boleh dijadikan ubat dan mana yang beracun seperti jelatang dan rengas.
Dari jauh, bunyi mesin gergaji bergema, tajam, memecah malam. Kalong tahu pembalak haram itu sudah semakin dekat. Seminggu lalu, dia menemui jejak mereka—tunggul-tunggul pokok besar yang tumbang seperti jasad tanpa kepala, dan sisa tayar jentera berat yang mengotori tanah basah. Ini bukan kali pertama mereka datang, tetapi kali ini, mereka nampaknya tidak berniat berhenti.
Kalong menyelinap masuk ke dalam rimba dengan langkah yang senyap, seperti harimau memburu mangsa. Gigitan halus agas tidak dihiraukannya. Di pinggangnya, parang tergantung, sementara tangan kirinya memegang busur buluh yang diukir sendiri. Dia tidak bersendirian tapi ditemani Jentol dan Tebing, mengikut di belakang, membawa tombak dan sumpit. Mereka tahu ini bukan sekadar melindungi rimba; ini perjuangan untuk kelangsungan hidup mereka.
Di suatu kawasan lapang, mereka melihat cahaya lampu dan mendengar bunyi manusia bercakap kasar. Mesin gergaji mengaum, memotong pohon besar yang mungkin sudah berusia ratusan tahun. Di tengah-tengah kilauan cahaya itu, jentera berat berkilauan seperti raksasa logam, menghancurkan akar-akar tua yang terkeluar dari tanah.
Kalong menahan nafas. “Kito tunggu diorang henti. Jangan hambat kalau dok perlu,” bisiknya kepada yang lain.
Tetapi keadaan berubah dengan cepat. Salah seorang lelaki pembalak mula mencurahkan minyak ke pangkal pokok yang besar, bersedia untuk membakar kawasan itu. Kalong tidak dapat menahan dirinya lagi. “Henti!” dia melangkah ke hadapan, parang di tangannya berkilat dalam cahaya lampu.
Lelaki-lelaki pembalak itu terkejut seketika, tetapi salah seorang daripada mereka, seorang lelaki bertubuh besar dengan wajah berparut, menghunus parang sendiri. “Hang sapa nak kacau gherja kami?”
“Ni bukan gherja, ni punoh. Ghimba ini rumah kito. Pi…pi…,” kata Kalong tegas.
“Ghumah hang?” Lelaki berparut itu ketawa kasar. “Ghimba ini tak dak tuan. Kalau hang tak mau mampoih, hang blah.”
Ketegangan itu meletus seperti letusan gunung berapi. Pembalak itu meluru ke arah Kalong, menghayunkan parang. Tetapi Kalong lebih pantas. Dia menepis serangan itu, dan dengan gerakan yang tajam, dia menyerang balik, melukakan bahu lelaki itu.
“Kito bagi amare ni!” jerit Kalong, tetapi lelaki-lelaki pembalak lain mula bergerak dengan senjata di tangan.
Jentol dan Tebing melompat keluar dari persembunyian mereka, menyerang dengan tombak dan sumpit. Ada dua tiga orang pembalak haram yang telah tumbang disumpit dengan damak beracun campuran getah pokok ipoh dan minyak buah jarak.
Kalong bertarung dengan sekuat hati. Dia tahu, ini bukan hanya soal mempertahankan rimba, tetapi masa depan anak, keluarga, dan tradisi yang dia warisi. Namun, pembalak haram itu lebih ramai, lebih kejam. Salah seorang daripada mereka berjaya melukainya di bahu, darah menitis ke tanah. Dengan pantas Kalong mencapai daun senduduk bulu di sekitar itu lantas mengunyahnya lalu setelah lumat ditekapkan ke bahunya yang luka.
Ketika keadaan kelihatan semakin buruk, bunyi gemuruh datang dari arah hutan. Sekumpulan gajah muncul dari kegelapan, dipimpin oleh seekor gajah tua yang Kalong kenal sejak kecil—Si Jentir. Gajah-gajah itu menyerang pembalak dengan kekuatan luar biasa, mematahkan jentera dan memaksa mereka lari ke dalam kegelapan. Dalam kekalutan, ada tiga orang pembalak haram yang termasuk ke dalam lubang perangkap babi hutan yang diletakkan buluh runcing di bawahnya dan mati dalam keadaan mengerikan. Kawasan itu memang tempat buruan Kalong. Sebab itu dia menjadi sangat marah.
Lampu padam perlahan-lahan, dan bunyi mesin akhirnya senyap…
Kalong duduk di atas tanah, memegang bahunya yang telah berhenti berdarah, tetapi matanya memandang ke arah Si Jentir dengan penuh rasa syukur. “Kau mai tepat maso, kawan tua,” bisik Kalong dengan suara terketar-ketar.
Sering muncul dari balik pohon Meranti bersama Melai, matanya penuh kebimbangan. “Kau selamat, bang. Syukur.”
Kalong tersenyum lemah. “Ghimba ni selamat malam ni. Tapi esok… aku tak tau apa jadi.”
Dalam keletihan, matanya memandang ke arah rimba yang kini semakin gelap, namun tidak lagi seperti yang dia kenali. Sesuatu terasa pelik, seperti alam itu sedang berubah, atau mungkin dia yang sudah berubah. Dia merasakan tubuhnya semakin ringan, seperti tiada lagi beban dunia yang mengikat. Kakinya sedikit demi sedikit bertukar menjadi abu diterbangkan angin lalu, kemudian bergerak ke pangkal peha dan dadanya yang bidang.
“Sering…” suara Kalong bergema, tetapi tiada getaran yang keluar dari bibirnya. Hanya angin malam yang menyampaikan pesannya. “Aku… aku jadi apa ni.”
Sering memandangnya dengan mata yang bingung. “Abang? Kau kat mana? Napa tak jawab?” Suaranya bergetar, seolah-olah sedang mencari seseorang yang hilang.
Tapi Kalong hanya tersenyum, senyuman yang tidak dilihat oleh isterinya, tetapi terasa oleh angin yang menyapa daun-daun. Sebenarnya, Kalong sudah tiada, sudah lama menjadi bayang-bayang yang menghantui rimba ini, sudah lama menjadi makhluk yang hanya wujud dalam kenangan.
Si Jentir, gajah tua yang selalu setia, bergerak perlahan menuju Kalong tetapi bukan dengan langkah kaki. Gajah itu melayang di atas tanah, seperti ada kekuatan yang memanggilnya. Kalong, yang kini hanya bayang-bayang, merasakan ikatan itu. Dia dan Si Jentir adalah dua jiwa yang terjalin, makhluk yang tidak lagi terikat pada dunia fizikal. Mereka adalah penjaga rimba, tetapi penjaga yang tidak dapat dilihat.
Sering, yang masih tidak menyedari, mula menangis. “Kau gi mana, bang?”
Soalannya seperti terpendam di dalam angin, dibawa jauh ke dalam rimba yang sunyi. Tetapi Kalong hanya berdiri di sana, melihat isterinya, merasakan setiap titisan air mata itu, meskipun dia tidak lagi boleh merasakannya.
“Sering… aku ada ni, tapi dah dok sama,” bisik Kalong, suaranya lebih seperti angin yang menyentuh daun. “Aku bukan laki kau kenal. Aku roh rimba. Aku bayang takkan hilang.”
Sering melihat ke arah rimba, perlahan menyedari sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Di dalam bayang pohon-pohon yang menari, dia dapat merasakan kehadiran Kalong, meskipun dia tidak dapat melihatnya. Rimba ini, yang menjadi rumah mereka, kini menjadi tempat tinggal Kalong—sebuah tempat yang bukan lagi untuk manusia biasa.
“Kau tinggal kami camni ja, Kalong? Aku tak tau nak hidup sorang.” pekik Sering pasrah.
Sering terus meraung menyembamkan mukanya ke tanah. Melai yang tidak mengerti apa-apa turut menangis melihat emaknya sebegitu. Seketika, Sering memeluk Melai dan mereka menangis bersama-sama dalam kesedihan. Mereka akhirnya dipujuk Jentol dan Tebing yang masih terpinga-pinga atas kejadian pelik ini.
“Sering, ghimba ini rumah kito. Aku nanti jaga dia, macam dia jaga kito. Aku janji jaga kau sekali.” bisik Kalong, meskipun tiada sesiapa yang mendengarnya. “Tapi la ni, rumah ni aku. Aku ni ghimba.”
Malam itu, suasana kembali sunyi. Namun sunyi yang lebih dalam, sunyi yang dipenuhi dengan kehadiran yang tidak dapat dijelaskan. Kalong kini bukan lagi seorang lelaki, tetapi roh yang mengawal alam, yang menjaga tanah yang telah dia cintai. Sering, yang masih mencari suaminya, tidak tahu bahawa yang dia cari bukanlah manusia lagi, tetapi bayang yang akan terus menghantui rimba ini selamanya. Menunggu mangsa seterusnya.
Mungkinkah mangsa itu KAMU?