Skip to content
Penjana Insan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Penjana Insan
Penjana Insan
Cerpen

Penjana Insan

  • HANNA SOPHIA HANAFI
  • 5 Februari 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 138
  • 4.2

LAMA TINA membelek buku keramat berwarna hijau itu. Setiap catatan tarikh yang terakam, mengimbau kenangannya sepanjang perkhidmatan yang berbaki lima tahun mencecah usia tiga dekad.

Tina melepaskan keluhan panjang seakan-akan mencuba melepaskan beban berat yang payah untuk dia sendiri terjemahkan sejauh mana sukarnya memikul amanah. Terasa perit lelah dihunjam rencamnya dunia pendidikan.

“Cikgu dah fikir habis ke nak bersara awal? Kalau ikut rekod, cikgu bersetuju untuk bersara wajib lagi lima tahun. Sayangnya. Cikgu guru cemerlang.” Lembut tutur Mila, pembantu tadbir yang menawan berlesung pipit. 

Sekali lagi Tina melepaskan keluhan. Perlahan. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Menjadi pendidik bukanlah pilihan terakhir Tina. Inilah kecintaannya sejak kecil. Mungkin juga, cinta ini terasimilasi dalam kehidupan yang membesar sebagai anak kepada pasangan guru.

Tina mengunjuk buku rekod perkhidmatannya untuk disimpan semula di pejabat sekolah. Menoktahi perkhidmatan sebelum masanya merupakan satu keputusan yang bukan boleh dibuat atas dasar tuntutan emosi yang memaksa untuk bendera putih dikibarkan.

Sudah juga dipohon petunjuk daripada-Nya melalui istikharah. Tetap akal memujuk untuk lebih rasional. Namun, hati masih juga mendongkol mahu menamatkan kerjaya yang sedang berada di puncak jaya ini.

Bergelar Guru Cemerlang Bahasa Inggeris dengan gred DG12 sekarang sudah cukup menggambarkan kejayaan peribadi Tina yang amat menjunjung amanah yang mesti ditunaikan. Sebagaimana yang dinyanyikan setiap tahun semasa sambutan Hari Guru.

Ingatan Tina menelusuri kenangan lima tahun bergelar guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Tina yang komited, mencabar diri untuk mengajar aliran pendidikan khas walaupun jadualnya agak padat di aliran perdana.  Mengajar bahasa inggeris pelajar tingkatan lima, yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Semuanya bermula semasa Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Dewi menghulurkan surat siaran dari jabatan pendidikan tentang kekosongan guru pendidikan khas. Beliau mengetahui bahawa satu-satunya anak perempuan Tina mengalami palsi serebrum dan autisme ringan.

Berpegang kepada kata ‘Tidak salah untuk mencuba’, Tina memberanikan diri memohon. Pada Tina, pasti sesuatu yang menyeronokkan baginya apabila dapat membuat sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Lagi pula, ketika sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (B Ed. TESL) di universiti dahulu, Tina pernah mengambil subjek Pengajaran Bahasa Inggeris kepada Pelajar Berkeperluan Khas.

‘Inilah peluang terbaik untuk mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari dan kepakaran sebagai guru cemerlang untuk manfaat anak-anak berkeperluan khas pula setelah bertahun mengajar murid aliran perdana,’ monolog Tina.

Ramai yang menyanggah, tidak kurang yang mempertikaikan, malah ada yang menempelak bahawa mengajar PPKI, tidak banyak dapat ilmu. “Takut esok-esok jadi macam budak PPKI,” sinis kata-kata Cikgu Ayu yang duduk bersebelahan meja Tina di bilik guru.

Semua pandangan serong itu membuatkan Tina amat berharap agar permohonannya diluluskan. Tina mahu membuktikan bahawa pendidik cemerlang ibarat benih yang baik, dicampak ke mana-mana sahaja, pasti bercambah jua.

Tidak disangka, rezeki Tina berpeluang mengajar aliran pendidikan khas di sekolah yang sama. Lima tahun yang membahagiakan bersama-sama anak-anak syurga. Sesuatu yang menyeronokkan apabila berpeluang belajar melalui anak-anak ini tentang tanaman cendawan dan fertigasi, jahitan dan masakan. Kepuasannya berganda.

Puan Dewi menetapkan setiap guru mengajar satu mata pelajaran teras dan satu mata pelajaran kemahiran. Baru Tina sedar yang selama ini, disiplin ilmunya hanyalah bahasa Inggeris semata-mata.

Tina memilih untuk mengajar kemahiran perkebunan walaupun hakikatnya, Tina ‘berkebun’ sekadar memenuhi masa lapang di rumah. Tina menggunakan sepenuhnya peluang belajar tentang sukatan pelajaran pendidikan khas, menggubal jadual waktu dan banyak perkara lain. Semuanya dipelajari dengan lapang dada.

Namun begitu, bukan sesuatu yang mudah untuk menyesuaikan diri dengan cara mengajar di PPKI. Tina sudah teramat biasa dengan adanya buku teks dan berformatkan peperiksaan. Kekok, seakan-akan baru sahaja memulakan tugas guru! Setahun yang pertama, terkial-kial. Namun, Tina tetap tenang. Dilalui dengan belajar dan terus belajar dengan anak-anak dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Tina mula diterima mesra oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas ini. Berbulan juga untuk pancing kepercayaan mereka menerima guru baharu, antaranya Amir, pelajar dari kelas teori perkebunan. Tina tersenyum sendiri mengingatkan Amir. Segak orangnya. Didignosis sebagai lembam dan juga mempunyai masalah autisme .

Amir gemar bersendirian, introvert, sangat taat pada arahan guru dan patuh pada peraturan. Di dalam kelas teori perkebunan, Tina gemar berseloroh dengan Amir ‘macam ajar kelas dewasa dalam cerita P.Ramlee!’ Mana tidaknya, lain yang dieja, lain yang dibunyikannya. Syukur, akhirnya Amir boleh membaca perlahan-lahan dengan membatang dua suku kata. Lebih daripada itu, Tina belajar mengumpul sabar yang bukan sedikit.

Sungguhpun begitu, Amir merupakan permata dalam kelas amali perkebunan. Tugas membersihkan batas mampu dilakukannya sendirian. Terlalu bersih hingga tiada sehelai rumput kelihatan! Menggembur tanah juga begitu. Terlalu sekata digemburnya.

Pagi Selasa itu, tika embun masih di hujung rumput, indah disimbah mentari pagi, kelas teori perkebunan yang tenang dengan masing-masing telah dibahagikan tugas mengikut rutin, kecoh tiba-tiba.

“Engkau pergi sana lah! Jangan sibuk tempat aku!” Tempikan suara Amir memecah keheningan pagi. Segera Tina menoleh. Sepantas kilat, spontan Tina berlari menarik Amir dari belakang apabila dilihat Amir sudah mula mengayun tangan ke arah Rahmat yang bermasalah hiperaktif. Berderau darah Tina memikirkan kemungkinan seandainya dia terlambat meleraikan pergaduhan yang tiba-tiba sahaja meletus.

Nyaris juga Tina tumbang disiku dek Amir yang sudah berusia 18 tahun dengan kedewasaan fizikalnya tetapi tidak berkadar dengan umur biologinya. Zeti, pembantu pengurusan murid yang menjaga kelas 4 Inovatif, berkejar ‘menyelamatkan’ Tina.

“Amir! Cikgu ni! Kenapa buat Cikgu macam tu?” Tinggi juga suara Zeti menyedarkan Amir.

Tersentak bagaikan disimbah sebaldi air, Amir meluru melutut, memaut kaki Tina sambil meraung-raung. Tina terpempan. Rakan-rakan sekelas Amir terdiam memerhatikan adegan itu. Zeti cuba memujuk agar Amir melepaskan kaki Tina tetapi ditahan oleh Tina yang mulai sebak menahan air mata. Wajah anaknya sendiri yang istimewa, terbayang di paparan retina.

“Cikgu sayang Amir. Cikgu sayang semua anak 4 Inovatif.” Amir memeluk erat kaki Tina sebelum perlahan-lahan bangun meneruskan rutin pembersihan alatan kebun. Zeti sudah membawa Rahmat jauh daripada Amir dan cuba menenangkannya yang memang lasak dan bermulut lancang.

Tina masih ingat lagi kenangan ketika minggu pertama mengajar kelas 4 Inovatif. Tina menegur Rahmat yang asyik ulang alik dari depan kelas dan kemudian ke belakang kelas. Berulang kali tanpa tujuan. Puas dipanggil, dipujuk untuk duduk dan dengar. Marah agaknya disuruh berulang kali, Rahmat menjawab, “Diamlah, cikgu gemuk macam badak sumbu!”

Tina terdiam. Terasa juga di hati Tina, dikatakan gemuk walaupun hakikatnya dia bertubuh kurus dan tinggi lampai. Zeti berulang kali minta maaf bagi pihak Rahmat. “Maaf ya, cikgu. Jangan terasa hati. Rahmat tu cakap saja, bukannya dia faham.”

Walaupun jauh hati dengan tindakan Rahmat, Tina tetap berasa bahagia mendidik anak-anak syurga ini. Mereka sangat lurus dan menceriakan. Serasa separuh stres yang tepu dalam diri selama ini, hilang begitu sahaja.

Benarlah, Rahmat sangat lurus. Selepas mengata Tina gemuk macam badak sumbu, Rahmat menghampiri Tina sewaktu rehat di kantin. “Cikgu, kenapa makan sikit? Cikgu kan kurus. Nanti tak gemuk sebab makan sikit.”

Tina tidak pasti untuk ketawa atau angguk sahaja. Rasa dihargai yang menerpa. Yang pasti, Rahmat mula kenal saiz: gemuk dan kurus.

Tina juga perlu sentiasa cakna dengan keadaan Amir kerana dia tidak tahu berhenti membuat kerja yang ditekuninya. Apabila terlalu penat dan kawan-kawan pula tidak buat apa-apa, Amir mula baran.

Di situlah Tina perlu lebih peka memainkan peranan sebagai guru dan ibu. Syukur kerana Amir sangat taat pada arahan Tina berbanding dengan arahan guru-guru yang lain. Kepatuhan Amir membuatkan rakan-rakan guru yang lain bercerita jika diminta Amir membuat atau mengambil sesuatu dari kebun, dia buat tidak tahu. ‘Hanya arahan daripada cikgu cantik macam Tina sajalah yang akan Amir patuhi,’ seloroh guru-guru lain.

***

Tidak Tina sangka, insiden di kebun hari itu rupa-rupanya tular.

Awal pagi keesokannya, Puan Dewi sudah memanggil Tina ke pejabat. Bergegas Tina ke pejabat Puan Dewi dan ketibaan Tina menambah rasa terkejut apabila melihat Encik Rashid, ketua jabatannya pun turut ada bersama-sama. Sudah heboh rupa-rupanya cerita pergaduhan Amir dengan Rahmat melalui surat layang yang diterima di dalam ‘kumpulan pesanan ringkas’ yang diwujudkan atas sarana ibu bapa.

Segala rasa bercampur gaul dalam diri Tina – sedih, marah, malu, kecewa. Seolah-olah kredibilitinya sebagai guru cemerlang dipersoalkan. Dalam sebak menahan rasa yang mula melahap, Tina menerangkan segala prosedur yang diamalkan sebelum memulakan kelas.

Setiap kalinya, Tina mengulang-ulang rutin keselamatan di bengkel pertanian sebelum memulakan kelas – bermula daripada memakai apron untuk berkebun, bersarung tangan dan berkasut but getah. Proses ini sahaja memakan masa 15 minit, malah lebih lama jika pelajarnya yang berkefungsian rendah. Kanan kiri kasut but getah itu, sama sahaja pada mereka!

Selepas sesi persediaan pakaian, Tina mengamalkan sistem panggilan nama. Dek terbiasa dengan amalan pengakap yang mengamalkan sistem ini semasa perkhemahan, Tina menerapkannya dalam sesi pembelajaran.

Dalam sesi ini, anak-anak ini dibahagikan dalam kumpulan berdua. Biasanya yang agak cepat faham arahan, dipadankan bersama-sama dengan anak-anak yang suka membuat hal sendiri. Harapan Tina, mereka boleh belajar berinteraksi dan bekerjasama sesama rakan sebaya.

Sepanjang kelas, pasti ada Zeti bersama-sama membantu mengurus tanpa leka akan keperluan pelajar istimewa ini. Tina mengakui rasa kekok tetapi menyeronokkan. Malahan berasa lega ketika berada di kebun yang luas. Setiap hari memandang kehijauan dan secara tidak langsung mengajar mereka perkataan dan ayat baharu dalam bahasa Inggeris.

Mujur Encik Rashid sekadar diam mendengar tanpa prejudis akan penerangan panjang lebar Tina yang sedikit emosi. Tina dipinta menyambung semula tugas hakiki di kelas. Sedanau lega memenuhi jenggala hatinya.

***

Dua minggu selepas itu, dalam keheningan pagi, Tina menerima pesanan.

“Cikgu Tina, Tuan Pengetua minta cikgu ke pejabat sekarang.”

Berdebar-debar hati Tina cuak memikirkan sebab dipanggil apabila dimaklumkan oleh Zeti. Pelbagai andaian bagaikan bedilan bertalu-talu memerangi mindanya.

 “Cikgu Tina, saya mahu cikgu mengajar bahasa Inggeris di aliran perdana sepenuhnya semula.”

Bagai halilintar bertempik menghentam telinga apabila Tina mendengar butir bicara Encik Rashid. Sekali lagi, bertakung empangan air mata menunggu pecah.

“Pertukaran ini disebabkan isu pergaduhan tempoh harikah, Encik Rashid?” Gugur juga takungan di labirin.

Encik Rashid menghulur sepucuk surat kepada Tina. “Tahniah, cikgu!” ujarnya bangga. Surat pelantikan sebagai Guru Cemerlang Bahasa Inggeris gred DG10! Tina terpempan. Tanpa sedar dia menangis semahu-mahunya.

Tidak pernah disangka yang jawatan itu miliknya jua kerana sesi temu duga bersama-sama pihak nazir yang mencerap semasa Tina mengajar kelas Tingkatan 5 Perniagaan, amat mencabar kemampuannya menjawab.

 “Ada satu lagi, cikgu. Tahniah sekali lagi! Awak lulus dengan cemerlang Ujian Aptis Bahasa Inggeris untuk kemahiran Mendengar, Bertutur, Membaca dan Menulis .”

Hampir terjerit Tina ketika mendengar kata-kata Encik Rashid, namun masih dapat mengawal rasa gembira mendapat berita mengejutkan itu. Jauh di sudut hatinya, Tina mengucapkan syukur atas kurniaan-Nya. Berulang kali ditatap sijil ujian berprestij yang diguna pakai untuk mengukur tahap keupayaan berbahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

“Kerana dua perkara inilah, saya minta cikgu pertimbangkan permintaan saya agar kembali mengajar sepenuhnya bahasa Inggeris di aliran perdana. Kita menghadapi masalah kekurangan guru opsyen bahasa Inggeris yang semakin kritikal. Cikgu pula lulus cemerlang ujian ini dan diberi ganjaran insentif bahasa Inggeris oleh kerajaan. Lagipun, saya tengok dalam kalut menyantuni anak istimewa, cikgu tetap kompeten, malah semakin cemerlang dalam tugas, ibarat benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau,” puji Encik Rashid seolah-olah memujuk.

Seminggu Tina berfikir serta mempertimbangkan antara bahagia yang mula dikecap dengan tanggungjawab yang dicicipinya sejak mula bergelar guru. Sekarang ini, Tina masih lagi mengajar kelas tingkatan lima arus perdana. Cuma berbahagi hari dengan kelas pendidikan khas.

Akhirnya kembali semula Tina ke lubuk asalnya. Itu pun setelah puas dipujuk oleh Puan Dewi kerana tidak mampu lagi mempertahankan Tina untuk terus mengajar di kelas pendidikan khas, atas tuntutan opsyennya yang kritikal.

Hari Guru tahun berikutnya yang bertemakan Guru Penjana Modal Insan Gemilang, benar-benar membawa impak besar buat Tina. Usai ucapan perasmian oleh YAB Menteri Besar, Tina menerima Anugerah Guru Inovatif peringkat negeri hasil kajian tindakan yang dilaksanakannya mengenai Teknik BaBuDri dalam menguasai kemahiran bahasa Inggeris.

Teknik BaBuDri, akronim daripada Teknik Backword Build up Drill sangat dekat di hati Tina kerana terhasil berdasarkan pengalaman Tina berguru melalui pemerhatian terhadap anak-anak syurga itu. Pengalaman itu banyak membuka mata Tina dalam menangani masalah belajar anak-anak secara empirikal di kelas tersebut.

Hasil kajiannya juga diguna pakai di dalam kelas-kelas tingkatan lima yang berada di belakang. Pelajar di kelas belakang ini hampir semuanya murid yang lemah dan kurang berminat menguasai bahasa penjajah ini. Melalui Teknik BaBuDri, mereka dibimbing membina ayat bermula daripada satu perkataan dan ditambah satu per satu diksi yang beransur-ansur dari belakang hingga menjadi ayat lengkap.

Namun demikian, anugerah ini belum mampu mengalahkan rasa bahagia yang teramat sangat di hati Tina kerana kejayaan kecil dalam serba kekurangan anak-anak istimewa yang ditinggalkan dahulu. Bersama-sama mereka lebih bermakna dan yang dinanti-nantikan. Mereka lebih seperti anaknya sendiri. Manja dan minta lebih perhatian. Sangat akrab dan lebih menghormati dan menghargainya.

“Amir baru dapat kerja di Unit Landskap, Majlis Perbandaran Batu Pahat. Jaga tanaman di taman-taman seliaan majlis.” Berita yang disampaikan oleh Puan Dewi benar-benar mengujakan Tina. Harapannya Amir semakin dewasa mengurus diri, emosi dan mengembangkan potensi.

Masakan tidak, dahulunya Tina yang mengajar anak-anak untuk menjual hasil tuaian mereka. Sasaran pembeli hanyalah warga sekolah – guru-guru perdana, staf dan pekerja kantin. Tercabar juga kesabaran melatih anak-anak ini menjual hasil titik peluh mereka.

Bermula daripada memberi salam, memperkenalkan diri dan barang jualan hinggalah kepada terima duit, pulang baki, jangan dipegang-pegang barang atas meja guru dan ucap terima kasih. Semuanya dipesan berulang kali sebelum ‘melepaskan’ mereka ke bilik guru perdana dan pejabat sekolah.

“Bagusnya anak-anak pendidikan khas ni. Senyum saja. Berulang kali cakap terima kasih. Siap doa, semoga cikgu dimurahkan rezeki dan dapat bayi comel,” cerita Cikgu Ayu yang sarat mengandung, ketika membeli hasil tanaman kebun anak-anak itu.

Mendengar ini sahaja sudah membuatkan Tina rasa cukup tersentuh hati. Dahulunya, beliau juga yang mencemuh Tina memohon mengajar pendidikan khas. Bimbang makin sedikit ilmu diperoleh lantaran sukatan pelajaran pendidikan khas yang terlalu mudah.

Melalui anak-anak syurga ini, Tina belajar untuk menghargai setiap inci kejayaan walau kecil, dan bukan sekadar berbangga dengan pencapaian bilangan A semata-mata bahkan pembangunan insan secara holistik. Mereka belajar bersyukur dengan apa-apa sahaja yang Tuhan kurniakan dan apa-apa yang telah dicapai walaupun pencapaian itu biasa sahaja pada pandangan mata mereka di luar sana. Tina benar-benar memahami bahawa erti bahagia ialah pada yang mensyukuri.

***

“Cikgu Tina! Cikgu Tina!” Tina terkejut dari lamunan, mendengar panggilan Mila.

“Cikgu nampak serba salah saja ni. Macam berat hati nak bagi saya simpan buku rekod perkhidmatan cikgu,” seloroh Mila menampakkan lekuk lesung pipitnya. Manis sekali.

Baru Tina sedar kendatipun sudah diunjuk buku tersebut kepada Mila, masih lagi tangannya memegang erat dokumen keramat berwarna hijau itu. Seakan-akan tidak mahu melepaskan.

Terkejut melihat Mila tercegat di hadapannya dengan jambangan coklat di tangan.

“Kejutan untuk cikgu! Nah, Cikgu Tina! Ada yang hantar tadi. Untungnya badan,” Mila mengusik Tina yang terlopong kehairanan.

“Jauh mengelamun sampai tidak sedar ada bungkusan! Belanjalah saya coklat satu, cikgu.” Makin dalam lekukan lesung pipit Mila yang tersengih-sengih mengendeng. Sejambak gubahan coklat jenama popular disua ke ribaan Tina.

 

Salam Cikgu,

Terima kasih atas segala tunjuk ajar, bimbingan, teguran dan nasihat cikgu selama ini. Mohon maaf atas segala kesilapan dan tingkah laku saya yang menyinggung hati cikgu. Saya kagum melihat sabarnya cikgu mengajar anak-anak istimewa. Perhatian dan kasih sayang cikgu sama seperti semasa cikgu mengajar kami di tingkatan lima juga. Andai apa-apa yang cikgu laksanakan terasa bagai irama tiada berlagu kepada sesetengah pihak, saya tetap menyanyikan lagu wira tidak didendang buat cikgu. Doakan saya selamat dunia dan akhirat. Esok adalah penerbangan antarabangsa pertama saya. Cikgu sentiasa dalam doa saya.

                                                                                                                                                                                                                               – Firdaus Jaafar

 

Tina kelu seribu bahasa menatap bait-bait kata Firdaus yang tertera dalam kad ucapan berbentuk hati, terselit dalam jambangan. Takungan empangan air mata Tina pecah jua. Itulah antara anak didik tingkatan lima yang dibimbing melalui Teknik BaBuDri. Firdaus yang lemah benar dalam bertutur dan interpersonal, akhirnya berjaya melepasi temu duga syarikat penerbangan tersohor negara.

Tina sedar, masih banyak lagi tunas gemilang yang perlu dijana dalam kapasiti amanah guru cemerlang yang disandangnya. Selagi terdaya, Tina tekad untuk meneruskan perjuangan hingga ke garis penamat. Matanya menjeling penuh makna fail perkhidmatan yang telah kembali bersemayam di kamar istirahatnya.

# #bahasainggeris# #hariguru #gurucemerlang #OKU #pendidikankhas
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP