Skip to content
Penjara
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Penjara
Penjara
Cerpen

Penjara

  • NURUL RIDHWAH BINTI RADZUAN
  • 20 Jun 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 19

“PEMERIKSAAN bilik sel penjara!” teriak pengawal yang bertugas.

Gerakan tangan segera dilajukan daripada norma biasa tatkala teriakan pengawal mula mematikan hasratnya.

 “Isy, semak betul! Aku tengah cuci muka ni, waktu aku duduk kat luar tadi tak nak pula datang!” rungutnya sambil kaki diatur melangkah keluar dari tandas yang hanya cukup syarat.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi bingit dari pintu tandas yang usang itu. Kelihatan seorang wanita berambut panjang paras siku dihiasi wajahnya yang serius keluar dari tandas sambil kakinya melangkah mengambil tempat di sisi seorang wanita yang lebih tinggi daripada dirinya.

Pengawal tersebut kemudiannya memulakan pemeriksaan pagi dengan memanggil nama badan setiap banduan di dalam bilik sel itu. Usai melakukan demikian, pengawal tersebut memberikan taklimat mengenai aktiviti mereka hari ini. Setiap seorang ahli di dalam bilik besi tersebut telah diagihkan tugasan mereka. Hal ini memandangkan bilik mereka yang bernombor 2506 akan bertugas menyediakan sajian makanan sepanjang hari ini.

Tidak betah kaki gadis itu berdiri lama di situ dan ingin kembali meneruskan aktivitinya yang tergendala di dalam bilik air tadi. Namun demikian, langkahnya terhenti disebabkan oleh jasad tua yang menghitung hari menunggu ajalnya berada di hadapan menghiasi pancainderanya sekali gus mengganggu jalannya.

“Aku masuk dulu. Kau kemudian. Nanti aku nak sediakan bahan memasak di dapur!” tegas banduan yang paling tua dengan nombor badan 5789.

Hanya anggukan diberikan kepada wanita tua itu sebagai balasan dan langkah kakinya diteruskan menuju ke tandas. Anggukannya menandakan dia mendengar perkara tersebut bukan bererti dia membenarkan perkara itu berlaku.

‘Aku dah guna tadi jadi aku yang patut guna dulu, tiada istilah yang tua dihormati, yang muda disayangi. Tiada, bukan di sini, bukan di penjara ini!’ bisik hati kecil wanita muda itu.

***

Kedengaran lantang suara tukang masak yang bertugas mengarahkan banduan 2987 supaya membasuh kubis yang telah siap dipotong. Sejurus itu, kelihatan jari runcing tangkas mengambil besen yang berisi kubis dan mengorak langkah menuju ke singki utama.

Kedua-dua mata helangnya tajam menangkap sabun basuh pinggan yang berjenama popular bermula huruf S itu melimpah pada permukaan singki, bibir hujung ternaik tatkala melihat cecair yang berwarna hijau itu menjadi biru selang beberapa saat. Otaknya ligat berfikir mengenainya, dia yakin itu merupakan tanda, kod, isyarat atau sesuatu untuk dirinya, dia yakin.

Malam mula melabuhkan tirainya, namun otak banduan 2987 masih lagi ligat berfikir mengenai kejadian pagi tadi. Dia tahu itu mengenai sesuatu tetapi dia tidak dapat mengenal pasti tentang hal itu. Perkara tersebut mengganggu dirinya walaupun kelopak matanya semakin memberat. Dia tidak pasti sama ada mahu melakukan sebarang onar bagi melunaskan tanda soal yang besar di dalam fikirannya, memandangkan kesnya akan dibicarakan dalam beberapa hari sahaja lagi. Setelah penat berperang dengan diri sendiri, dia memutuskan untuk berdiam diri dan menyerahkan segalanya kepada yang sentiasa bergerak dan tidak berhenti, masa.

***

 “Awak ni tak penat ke?” soal Faris selaku peguam bela.

Dia melihat gadis muda yang masih berpakaian sekolah itu teguh berdiri di hadapan mahkamah sambil memegang sepanduk yang jelas menunjukkan protes terhadap keputusan yang telah dibuat oleh hakim tiga bulan yang lalu. Matanya sempat melirik pada ulas bibir kemerahan milik gadis itu sebelum dia mula menyuarakan persoalannya.

 “Encik, tak penat ke?” Budak perempuan yang masih bersekolah menengah itu bertanya soalan yang sama kepada peguam bela itu. 

Suasana diam seketika. peguam itu terkejut dengan keberanian gadis itu.

Tiba-tiba ….

“Tak penat ke tanggung dosa menganiaya orang yang lemah, makan rasuah, ambil duit haram? Tuan bahagia ke? Mana pergi hati nurani tuan sebagai peguam yang membela golongan yang ditindas? Tuan tak layak menjadi peguam bela! Hakikatnya tuan gagal! Gagal membela klien dan sungguh tak disangka tuan hanya biarkan perkara itu berlalu begitu saja. Kes ini bukan menemui jalan buntu, cuma tuan yang tidak mencari penyelesaian bahkan menutupi jalan itu sendiri,” tebak gadis itu dengan penuh yakin.

Hatinya sakit. Jiwanya hancur melihat orang yang disayangi dijatuhkan hukuman sedemikian. Dia geram melihat setiap seorang yang menjawat jawatan tinggi hanya melepas tangan daripada bertanggungjawab sehingga kes ini akhirnya berakhir begini. Mereka sebaliknya berunding sesama sendiri bagi memastikan tiada pihak antara mereka yang rugi. Di sebalik urusan perniagaan mereka, mereka tidak sedar adanya satu pihak yang rugi dan satu pihak yang terjejas keadaannya.

Kejadian di restoran lima bintang mula menggamit kotak fikirannya. Adegan dia menyerbu ruang makan yang ditempah khas oleh mereka masih segar dalam ingatannya.

“Bila nak selesai semua benda ni? Aku dah malaslah nak turun naik mahkamah! Duit minyak aku bukannya dia yang tanggung. Menyesal aku ambil kes ni, tak tahu pula dia tu miskin. Dah tahu diri tu miskin, janganlah buat jenayah yang menyusahkan orang!” kutuk Nizam dengan marah. Kesal.

“Nak selesaikan cepat? Aku ada rancangan. Dah terang-terang budak tu letak dadah dalam minuman mangsa. Akibat terlebih dos, mangsa terkena sawan yang menyebabkan kematiannya. Badan mangsa tak boleh terima dos dadah yang lebih tinggi berbanding dengan dos yang biasa diambilnya. Jadi, aku pun tak ada keinginan untuk simpan benda ni lama-lama. Aku akan ubah kenyataan dakwaan daripada hukuman gantung sehingga mati kepada penjara seumur hidup.”

Faris yang mendengar  kata-kata tersebut mengangguk beberapa kali. Dia ingin menambah namun perbualan mereka terganggu gara-gara jasad yang berada di hadapannya. Faris terkelu saat melihat mata insan yang berada di hadapannya itu tiba-tiba berkaca-kaca. Dia didatangi oleh perasaan bersalah.

“A… aku tak kisah dengan keputusan mahkamah, tapi aku hanya ada satu permintaan saja. Aku bagi dua pilihan, tunaikan atau tunaikan!” Dia tersenyum sinis.

“Aku tak rasa isi konteks pertemuan ini sesuai diperdengarkan pada khalayak umum memandangkan kau akan naik pangkat sebagai ketua pendakwa raya pada hujung bulan ni. Tentu tak bagus juga untuk firma guaman kau yang baru saja ingin belajar bernafas dalam industri perundangan ni, bukan begitu?” Gadis itu bertanya lagi dengan sinis walaupun pada awal kata-katanya dia bermula dengan sedikit tergagap. Namun selepas itu kata-katanya sangat lancar dan meyakinkan. Kata-kata yang keluar dari mulutnya lebih berani serta terdengar jelas nada ugutan di hujung kata-katanya yang membuatkan wajah kedua-dua lelaki di hadapannya terlihat terkejut dan pucat.

Tidak menunggu lama, salah seorang daripada mereka mula mengeluarkan suara walaupun dadanya berdegup kencang dan menggila. Dia tetap juga bertanya tentang keinginan gadis itu.

Gadis itu menarik nafas yang dalam sekali sebelum mulutnya dibuka dan suara lunaknya mula dikeluarkan.

“Jangan letak tarikh tamat tempoh kes, itu sahaja aku minta! Aku tak peduli kau nak buat apa, terpulanglah!” balas gadis itu dingin.

Usai berkata sedemikian, gadis itu terus melangkah meninggalkan restoran itu. Dengan langkah yang berat, digagahkan juga walaupun setiap langkahnya ibarat berjalan di atas pasir yang memaksa dirinya untuk berhenti dan membiarkan dirinya ditenggelami debu-debu pasir.

Perasaan gadis itu berkecamuk, dirinya dihurung penyesalan. Kesal akan dirinya yang bersikap sedemikian. Fikiran jahatnya mula mengambil alih dengan membisikkan kepada dirinya bahawa dirinya sama sahaja dengan individu-individu lain yang berada di dalam bilik itu, tatkala dia memberikan persetujuan untuk mereka melakukan apa-apa sahaja daripada merayu kepada salah seorang individu yang mengaku sebagai peguam bela untuk terus berjuang membela nasib insan yang dianiayanya.

Dadanya sesak apabila fikirannya diasak dengan bisikan itu. Tidak lama selepas itu, kedengaran keluhan dan kesahan yang diiringi dengan juraian air mata yang membasahi raut wajahnya yang kelam.

 “Maaf, maaf, maaf, maaf, maaf.” Bibir gadis itu hanya mengatakan ucapan yang sama itu berkali-kali tanpa henti.

***

 “Yang Arif, pihak pendakwa memohon memberikan defendan hukuman penjara seumur hidup,” kata pendakwa raya yang segak mengenakan sut hitam putih yang unggul.

“Berikan hujah terakhir pihak peguam bela ,” pinta hakim yang berada di atas takhtanya dengan nada serius.

“Anak guaman saya telah mengaku bersalah dan kami memohon agar Yang Arif menunjukkan sedikit rasa belas kasihan dengan memberikan hukuman penjara selama 10 tahun. Saya percaya dengan mengasingkan defendan daripada masyarakat mengikut tempoh berkenaan dapat memberikan kesedaran dan keinsafan dalam dirinya untuk berubah menjadi insan yang lebih berintegriti berteraskan madani pada masa hadapan.” Panjang lebar hujah yang diberikan oleh peguam sambil matanya melirik kepada susuk tubuh yang berada di sebelahnya.

Berhenti sahaja hujah yang diberikan oleh si pembela mangsa, hakim mula memainkan peranannya untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal ekoran daripada perbicaraan yang telah dilaksanakan selama tiga minggu. Tidak lama setelah itu, jelas kedengaran suara hakim yang lantang dan petah berbicara melambangkan keunggulan undang-undang yang menjadi titik tolak menghakimi manusia demi keamanan manusia sejagat.

“Defendan, Widad Al-Husna binti Abu Bakar, telah mengakui kesalahannya iaitu telah meletakkan sejenis dadah 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam minuman dan telah memanipulasi mangsa dan mendorongnya untuk menghabiskan minuman tersebut sehingga menyebabkan nyawa mangsa diragut. Jenayah yang dilaksanakan oleh defendan dipercayai mempunyai unsur pembunuhan. Oleh sebab itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya,” bicara lelaki tua separuh abad diikuti dengan pukulan palu menandakan keputusan muktamad daripada cawangan kehakiman.

Hening. Suasana di dalam bilik perbicaraan itu sepi, namun ada satu mata yang merakam setiap momen di dalam kamar itu dengan tangan yang digenggam pahit menerima realiti yang hebat mencengkam.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (5) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Dua Buah Masjid di Kemaman, Terengganu Simpan Sejarah Tersendiri
Kearifan Tempatan

Dua Buah Masjid di Kemaman, Terengganu Simpan Sejarah Tersendiri

  • 20 Julai 2024
  • 614
  • 5
Antara Payung, Hujan dan Aku
Puisi

Antara Payung, Hujan dan Aku

  • 5 Disember 2024
  • 115
  • 4
Nasi Daging Air Asam
Cerpen

Nasi Daging Air Asam

  • 4 Januari 2024
  • 214
  • 4.3
Bahasa Pijin dan Slanga: Cerminan Kedinamikan Komunikasi dan Identiti dalam Bahasa Melayu
Bicara Bahasa

Bahasa Pijin dan Slanga: Cerminan Kedinamikan Komunikasi dan Identiti dalam Bahasa Melayu

  • 5 Oktober 2024
  • 1314
  • 4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP