“Untuk pertama kalinya aku mulai merasakan penyesalan. Aku berada di antara perasaan kasihan dan membenci diriku sendiri, tentang seluruh hidupku.” – Julian Barnes
Begitukah aku kini? Menyesal? Derita? Sakit hati? Apakah ada lagi perasaan yang tidak mampu kuungkapkan? Ah, adakah aku sudah gila? Ya Allah… apakah aku masih mampu bernafas di bumi-Mu, Ya Allah. Aku tidak kuat… aku rapuh… ambillah nyawaku, Ya Allah.
Pandangan nanarku menerobos pohon-pohon di tebingan sungai Kelam. Sekelam dan seredup hatiku kini. Sungai itu juga menyalir sangat lesu seperti hatiku. Adakah kau juga merasakan kegelapan dan kelesuan hidupku, wahai alam?
“Karmin…kau sudah pulang nak,” suara ibuku terasa begitu jelas di telingaku.
“Ibu… Karmin pulang, bu, ” sepertinya aku lihat seorang budak menerobos badanku yang lesu lalu memeluk ibunya erat.
Akukah itu? Ingatanku kembali menerawang mengingat masa-masa laluku yang begitu indah dan damai di samping ibuku tersayang. Ibu mengusap kepalaku dengan lembut dan penuh kasih sayang. Karmin, iaitu aku, baru pulang dari sekolah menengah berasrama yang jauh di muara sungai.
Kami tinggal di rumah panjang yang sangat damai. Aku tinggal bersama ibuku yang semakin berusia. Ayahku telah lama meninggalkan kami tanpa khabar berita. Daripada cerita orang kampung, ayahku telah meninggalkan ibuku untuk bersama wanita lain. Ibuku tidak pernah berkata apa-apa apatah lagi berkata buruk tentang ayahku. Aku begitu mengagumi ibu. Aku berbangsa Iban sama seperti masyarakat lain yang tinggal di pinggir Sungai Kelam. Rumah panjang kami dikenali dengan nama Rumah Panjang Jaka yang terdiri daripada 23 buah bilik. Kehidupan kami di sini aman dan harmoni dan sentiasa menghargai satu sama lain.
“Ibu, Karmin sudah tingkatan 5 tahun ini”.
“Ya, nak. Belajarlah baik-baik nak”.
“Ibu, Karmin berjanji kepada ibu. Karmin akan bekerja setelah habis sekolah dan menjaga ibu sampai bila-bila. Karmin akan ubah nasib keluarga kita. Ibu tak perlu lagi bekerja membuat padi huma dan kebun lada itu”. Kataku dengan penuh bersemangat.
“Ibu tak nak apa-apa nak. Ibu nak Karmin berjaya dan gembira pada masa depan, itu dah cukup bagi ibu”.
Kupeluk tubuh ibu yang begitu kurus kurasakan. Pasti ibu begitu lelah membesarkanku sendirian. Betapa sedih hatiku mengenang penderitaan ibu. Aku berjanji akan membalas segala jasa ibu.
Hari demi hari berlalu dengan penuh keharmonian. Akhirnya, aku berjaya menamatkan persekolahanku dengan jayanya. Aku pulang ke kampung membantu ibu di kebun lada dan padi. Betapa lelahnya ibu setiap hari. Setiap pagi ibu akan ke kebun lada menebas semak samun yang mula memenuhi ruang kebun lada. Setelah itu, ke huma padi pula untuk membakar kayu dan menghalau burung-burung yang ingin memakan padi. Sebelah petangnya pula, ibu akan mengutip lada untuk di bawa pulang. Lada-lada tersebut akan dijemur keesokan harinya sebelum ibu ke kebun semula. Itulah rutin sehari-hari ibu di rumah. Tidak kenal erti penat dan lelah. Hatiku sangat tersentuh melihat penderitaan ibu.
Tidak lama kemudian, keputusan SPM pun telah diumumkan. Aku gembira kerana telah berjaya lulus dan layak mendapat sijil. Ibu memintaku untuk menyambung pelajaranku ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi, pastinya aku akan menolak permintaan ibu. Aku tidak sanggup melihat ibu terus bekerja keras untuk menyekolahkanku. Aku ingin bekerja. Itu tekadku.
“Ibu…”
“Ya nak”.
“Karmin nak minta restu ibu. Karmin nak bekerja di Malaya ibu. Karmin nak ke Johor bersama-sama kawan-kawan Karmin. Karmin dan kawan-kawan nak bekerja di sana. Kata orang kerja di sana lebih baik dan banyak pula upahnya ibu. Karmin nak cari banyakkkkk duit untuk ibu”. Jelasku dengan panjang lebar kepada ibu.
Kulihat wajah ibuku sedikit terkejut dan jelas terpancar kesedihan di wajahnya. Dahinya berkerut, matanya mulai berair, wajahnya muram. Kulihat dia menyapu sedikit hujung matanya. Aku tahu ibu menangis.
“Nak… tidak bolehkah kamu bekerja di sini sahaja? Di bandar sana banyak kerja juga kan? Tidaklah terlalu jauh dengan ibu nak. Johor terlalu jauh bagi ibu. Mahu naik kapal terbang lagi. ”Balas ibu dengan suara dan wajah sayunya.
“Ibu… janganlah sedih. Karmin buat ini demi ibu juga. Karmin mahu cari pengalaman dan pekerjaan yang lebih baik demi keluarga kita. Karmin tak mahu ibu bekerja terlalu keras lagi. Karmin juga dah berjanji dengan kawan-kawan untuk bersama mereka ke sana”.
Ibu tahu tiada guna lagi memujuk dan menentang anaknya ini. Ibu pasti tahu yang aku sudah menguatkan tekad untuk ke sana. Ibu hanya mampu mengangguk dan menyapu wajahnya yang mula digenangi air mata. Ibu berlalu pergi untuk menutupi tangisannya yang semakin menjadi-jadi.
Seminggu kemudian, hari yang penuh kelam bagi sang ibu pun terjadi. Anaknya akan pergi jauh meninggalkannya sendirian di rumah panjang itu. Rumah yang sudah semakin usang itu terlihat semakin suram bagi ibu.
“Ibu, Karmin pergi dulu ya. Ibu jaga diri dan kesihatan ya. Nanti kalau ibu ke bandar telefonlah Karmin ya”. Pesanku kepada ibu. Apalah nasib kami, di rumah panjang ini tiada liputan talian komunikasi. Jadi agak sukar bagi ibu untuk menghubungiku nanti.
“Karmin, jangan lupa kepada ibu ya”. Ibu mulai menangis teresak-esak dalam pelukanku. Tiada terbendung lagi kesedihan dan kerinduannya.
“Tidak ibu, Karmin janji ibu”. Balasku juga dalam tangisan.
“Karmin, ini ada sedikit duit yang ibu kumpul sejak lama. Ambillah nak, ibu tahu kamu lebih memerlukannya. Di sana nanti pasti banyak keperluan yang nak dibayar. Ambillah nak”. Ibu menghulur wang yang di simpan di dalam tasnya kepadaku. Agak banyak namun aku tidak tahu jumlahnya.
“Ibu, Karmin pasti akan mengirimi ibu wang setelah Karmin bekerja nanti. Terima kasih ibu”. Kataku terus memeluk ibu. Tidak sanggup rasanya berpisah dengan ibu. Tetapi aku bertekad untuk mengubah nasib ibuku untuk menjadi lebih baik.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada ibu dan orang-orang di rumah panjang, aku pun bertolak ke bandar dengan menaiki bot. Aku juga tidak lupa menitipkan pesan kepada rakan-rakan rumah panjang untuk membantu merawat dan menjaga ibuku. Aku pun berlepas ke Johor bersama rakan-rakanku.
Setelah beberapa hari berada di Johor, kami berjaya mendapatkan pekerjaan di pelabuhan. Kami juga telah berjaya mendapatkan tempat tinggal di sana. Gaji juga agak lumayan di sana sekitar RM2500 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa. Aku dan kawan-kawanku berasa seronok bekerja di sana. Tugas kami menyusun dan memindahkan kontena-kontena barangan daripada kapal ke pelantar di pelabuhan tersebut. Begitulah tugas kami sehari-hari bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Tidak terasa masa telah lama berlalu. Hampir 6 bulan sudah aku berada di sini. Bekerja dan bekerja setiap hari dengan penuh semangat dan komitmen yang tinggi. Tidak lupa setiap bulan aku akan menghantar duit kepada ibuku di kampung menggunakan pemindahan dalam talian. Namun, ibuku tidak pernah menghubungiku lagi kerana aku tahu ibu pasti belum ke pasar di bandar. Ibu pasti sukar ke bandar kerana tiada bot untuk bergerak.
“Helo,” terdengar suaru ibuku di hujung talian. Suara ibuku terdengar sayu.
“Ibu…” sahutku kegembiraan.
“Apa khabar, Karmin. Sihat? Sudah makan? Penat kerja nak?” tanya ibu bertalu-talu.
“Ibu, Karmin sihat ibu, sudah makan. Ibu? Sihat?”
“Sihat nak”. Sahut ibu dengan suara gementar, tentu menahan rindu di dada.
Begitulah ibu. Dalam tempoh 5 bulan hanya sekali menghubungiku kerana kekangan komunikasi. Hari demi hari berlalu, bulan demi bulan berganjak, tahun demi tahun berlabuh, aku masih di sini. Rupa-rupanya sudah 5 tahun aku di sini. Ibuku sering bertanya mengapa aku tidak pulang, setiap kali itulah juga aku beralasan. Karmin sibuk ibu, Karmin tidak dapat cuti ibu, Karmin tidak cukup duit ibu dan pelbagai alasan lain. Aku begitu terpesona dengan kemewahan dan kesenangan di sini. Pangkatku juga sudah naik, gajiku juga semakin banyak. Bukan itu sahaja, aku telah mempunyai kekasih hati di sini. Namun berbeza agama. Dia kekasihku, Nadia beragama Islam. Namun, keluarga tidak kisah mengenai hubungan kami.
Aku telah memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Nadia. Kehidupanku bertambah bahagia dan gembira. Ruang hatiku terisi dengan kehadiran wanita cantik, Nadia. Aku mabuk dalam alam indahnya percintaan dan bahagianya perkahwinan. Tidak kusangka hidupku begitu sempurna saat ini. Terbuai bagai di atas awan dipayungi lembayung pelangi bersinar indah. Dengan gajiku yang lumayan, rumah yang selesa, kereta yang besar dan wanita cantik pelengkap hidupku sehari-hari. Tiada cacat celanya bagiku. Hari-hariku berlalu tanpa aku sedar masa dan tahun yang telah bergantian.
Kini, telah 14 tahun aku berada di perantauan. Rupanya, aku lupa haluan hidupku. Aku lupa janjiku, aku lupa raut wajahmu, aku lupa titisan air matamu, aku lupa urat tanganmu, aku lupa kerinduanmu, ibu. Ya… aku lupa semuanya. Aku menjadi anak derhaka, aku menjadi penipu besar dalam janjiku. Tiada lagi panggilan anak buatku. Sudah lama ibu tidak menghubungiku. Kali terakhir aku mendengar suaranya 5 tahun yang lalu. Aku menyatakan padanya aku telah berkahwin, betapa gembira suara ibuku terlalu gembira mendengar perkhabaranku. Kami berbual lama. Namun, di saat dia bertanya, “bila kamu pulang nak?”, aku hanya menjawab belum tahu. Maka, suaranya kembali pudar dan lesu.
“Baiklah nak, berbahagialah selalu, ibu selalu mendoakanmu. Jaga diri, nak.” Itulah pesan terakhir ibu sebelum menamatkan panggilan.
Sudah 5 tahun ibu tidak menghubungiku, aku juga tidak pernah bertanya kepada rakan-rakanku di bandar mengenai keberadaan ibu. Aku juga sebenarnya selalu melewatkan memberi duit kepada ibu, kadang-kadang 3 bulan hanya sekali mengirimi ibu wang, jumlahnya juga semakin sedikit. Aku alpa akan duniaku, aku terlalu asyik dengan godaan dunia. Namun, satu hal yang selalu merawan hatiku, aku tidak dikurniakan anak walau telah 7 tahun berkahwin dengan Nadia. Kulihat Nadia sudah mulai kurang mencintaiku. Ada perasaan ragu-ragu di hatinya. Apa salahku atau Nadia hingga kami tidak dikurniakan anak oleh tuhan? Atau aku lupa, adakah ini hukuman untukku kerana menderhakai ibuku. Ya, aku tidak terfikir akan perkara itu lagi.
Suatu pagi, aku ke tempat kerja seperti biasa. Cuma, aku bukan lagi budak pengangkut barang seperti 10 tahun yang lalu. Aku kini bekerja di pejabat yang lengkap dengan pendingin hawa dan meja kerja yang luas. Namun, aku tidak sedar hatiku kini sedingin pendingin hawa yang menyejukkan tubuhku itu. Terlalu dingin seperti ais.
“Hai, sahabat lamaku. Lama kita tidak berjumpa”.
Tiba-tiba terjenguk wajah sabahatku di muka pintu pejabatku. Eddi, rakan yang sama-sama datang berhijrah bersamaku ke sini 15 tahun yang lalu. Namun, dia telah berpindah tempat kerja bersama keluarganya. Telah lama tidak berjumpa dengannya.
“Hai Eddi, sahabatku. Lama betul kita tidak bertemu ya.”
Kami duduk di pejabatku berbual-bual sambil menghirup kopi. Ada kalanya kami tertawa bersama mengenang kisah lama.
“Karmin, aku baru dari kampung 2 minggu yang lalu. Aku pulang ke sana untuk menyambut Gawai bersama keluargaku. Aku biasanya pulang 3 tahun sekali. Maklumlah, kewanganku tak mengizinkan aku pulang setiap tahun.”
“Wow, pasti meriah sambutan Gawai di kampung. Aku masih teringat pesta minum, bakar ayam ikan dan tarian yang mengasyikkan di sana. Rindunya Hari Gawai di kampung”.
“Ya, Karmin. Sangat meriah di kampung. Cuma, aku nak cakap sikit. Kamu jangan marah ya. Kita sahabat lama.” Kata kawanku dengan santai dan penuh penekanan.
“Ya, cakaplah Eddi. Tidak apa-apa.”
“Kamu tidak mahu pulangkah, Karmin? Sudah hampir 15 tahun kamu tidak pulang ke kampung. Ibumu setiap hari menunggumu Karmin. Setiap kali aku pulang, dia akan menangis dan bertanya tentangmu. Aku tidak tahu mahu cakap apa-apa kepada ibumu. Tapi, ibumu selalu berkata, Karmin akan pulang suatu hari nanti. Dia akan menunggu anaknya.” Kata Eddi dengan suara serak menahan kesedihan.
Aku serta-merta terbayang wajah tua yang sangat kurus itu menunggu kepulanganku, anaknya.
“Bukan aku tidak mahu Eddi. Aku susah mahu cuti lama. Nanti kena buang kerja pula. Bukan kamu tidak tahu pekerjaan aku ini. Sibuk sepanjang masa, cuti pun sekejap sahaja. Lagi pula, agamaku telah berubah Eddi. Aku takut isteriku tidak menerima keluargaku. Aku takut dia berubah hati nanti melihat kehidupan lamaku. Aku juga rindu ibuku”.
“Karmin, jangan menjadikan agama sebagai alasan. Kamu pun tahu, tiada agama yang meminta seorang anak menderhaka kepada ibunya. Soal isterimu, dia pasti menerima keluargamu sepertimana kamu menerima dirinya. Kita semua manusia Karmin.”
Kata-kata Eddi menusuk kalbu hatiku. Benar katanya, tiada agama melarang mencintai ibu walau berbeza agama apatah lagi Islam yang begitu indah dengan hubungan silaturahimnya.
“Eddi, aku tahu itu. Aku akan pulang setelah semua pekerjaanku selesai. Aku akan memujuk isteriku untuk pulang ke kampung bersamaku nanti.”
“Karmin, adakah kau tahu berapa lamu ibumu menunggu kepulanganmu? Kerja kita tidak akan selesai sehingga kita mati. Kau tahu tak, ibumu telah lama sakit. Dia tidak boleh berjalan lagi. Cuma, merangkak dan mengengsot ke sana-sini. Kata ibuku, ibumu tidak boleh berjalan lagi kerana tenaganya sudah tiada kerana bekerja terlalu keras sepanjang usianya. Aku sangat kasihan kepada ibumu, Karmin.”
Aku sangat terkejut mendengar ceritanya. Patutlah sudah lama ibu tidak menghubungiku. Dia sakit rupanya.
“Terima kasih Eddi kerana menasihatiku. Aku akan pulang nanti.”
“Baiklah Karmin. Itu sahaja, aku pergi dahulu ya. Terima kasih untuk kopinya,” Eddi tersenyum dan berbalik untuk pergi.
Itulah pertemuan terakhir kami di sini. Semenjak hari itu, kata-kata Eddi selalu terngiang-ngiang di telingaku. Namun, aku masih juga dengan sikapku berlengah-lengah untuk pulang ke kampung. Walau sudah hampir setahun pertemuanku dengan Eddi, aku tidak juga berfikir untuk pulang ke kampung. Hingga suatu hari yang teramat mendung bagiku.
“Abang, Nadia mahu minta cerai.”
Kata-kata Nadia bagai halilintar untukku. Memang sejak 3 tahun kebelakangan ini, sikap Nadia sangat berubah. Tiada lagi keceriaan malah sering mencari punca pergaduhan antara mereka.
“Kenapa Nadia?” kataku dengan suara terseket-sekat
“Nadia bosan hidup seperti ini, abang sibuk sepanjang masa, tiada anak dan Nadia tinggal di rumah sahaja.” Nampaknya tekad Nadia telah bulat. Tiada kata-kata yang dapat melunturkan hatinya. Pelbagai pujukan dan kata-kata manis telah kuberikan kepada Nadia namun semuanya sia-sia.
“Baiklah kalau itu mahumu Nadia.”
Perceraian kami berjalan lancar.
Hidupku bagai tiada erti lagi. Terumbang-ambing tanpa ombak. Siang dan malam bagiku sama sahaja.
Aku berkurung di dalam rumah selama 2 bulan. Tidak bekerja dan keluar rumah. Jiwaku begitu terpuruk dengan perceraian ini. Aku terlalu mencintai Nadia hingga aku lupa pada pencipta manusia. Aku lupa pada cinta yang sejati. Aku lupa pada cinta yang abadi… cinta ibu…
Setelah 2 bulan berkurung, aku memberanikan diri untuk pergi ke tempat kerja. Ya, aku telah lama menutup telefonku untuk menghindar dunia luar. Tiada panggilan tempat kerja kuterima. Namun, apabila sampai kulihat pejabatku telah diisi oleh orang lain. Tak semena-mena nafasku diburu kemarahan. Aku tidak dapat menahan emosiku. Aku menjerit dan menghalaunya keluar. Tepat saat itu, ketua perusahaan keluar dan menumbukku.
“Kau Karmin, keluar dari perusahaanku. Kau kupecat saat ini juga. Berapa lama kau menghilang? Telefon tidak dapat dihubungi. Kau ingat perusahaanku boleh menunggu pekerja sampah sepertimu?” Api kemarahan membakar di mata ketuaku itu. Aku ditarik keluar oleh para pengawal di sana.
Aku tercampak begitu sahaja. Jasaku di perusahaan ini selama 15 tahun bagai tiada ertinya. Aku dilempar seperti sampah ke tepi jalan. Tanpa aku sedar, bukankah aku juga berbuat perkara yang sama kepada ibuku. Ibuku membesarkanku 20 tahun dengan segala kudratnya, namun kuabaikan jasa-jasanya dan kutinggalkan dia sendirian tak bermaya. Namun, aku masih belum sedar sikapku sendiri.
Dengan langkah longlai, aku pulang ke rumah tanpa aku menduga ujian untukku belum berakhir. 3 orang suruhan bank telah bersedia menungguku di pagar rumahku. Saat aku turun dari kereta, mereka menyerahkan dokumen bank kepadaku. Rumahku disita oleh bank kerana 3 bulan tidak dibayar. Begitu juga keretaku juga ditarik oleh bank. Kini, aku cuma tinggal diriku sahaja bersama beg pakaianku. Tiada tempat untuk aku tuju lagi. Saat itu, baru aku ingat kepada IBU.
Kulangkahkan kakiku menuju lapangan terbang. 15 tahun yang lalu, lapangan terbang ini menjadi saksi langkah pertamaku di bumi Malaya ini. Aku meraup muka. Ya, 15 tahun lalu. Ingin aku menjerit meluahkan perasaan kecewaku waktu itu. Bukan kecewa kerana penderitaanku, namun kecewa kerana kealpaanku.
Aku lupa jalan pulang.
Setelah 2 jam menaiki kapal terbang, aku tiba di bumi kenyalang. Aku menginap sehari di hotel. Aku tabahkan hati menunggu hari esok…IBU…Tunggu anakmu ibu…aku akan melutut dan mencium kakimu memohon sejuta kemaafaan. Aku sedar aku telah salah. Aku sedar aku telah melupakanmu. Aku lupa janjiku kepadamu ibu. Tataplah anakmu sepuas hatimu, ibu. Anakmu berjanji akan berada di sisimu sampai bila-bila. Baru aku sedar, betapa kuatnya godaan dunia buat manusia yang lemah dan lemas dalam dunia semata-mata.
Tidurku sedikit terganggu kerana bayangan ibuku terus-menerus berawangan dimimpiku. Senyumannya, tawanya dan akhirnya tangisannya. Tanpa kusedari air mataku juga mengalir. Esoknya, aku pulang ke kampung dengan bot tumpangan rumah panjang yang lain. Hatiku sedikit terbuai menyantap pemandangan indah di sepanjang Sungai Kelam sambil menghirup udara segar. 3 jam menaiki bot, aku tiba di Rumah Panjang Jaka, rumah panjangku. Aku tidak tahu kenapa hatiku terasa sangat sayu, gemuruh, berdebar-debar dan takut. Semuanya bercampur menjadi satu. Langkah kakiku satu-satu menaiki jeti besi menuju ke rumah panjang. Langkah kakiku semakin laju melihat pintu rumah berada di depan mata.
“Ibu… ibu… Karmin pulang, ibu… ibu,” suaraku hampir menjerit. Namun, sunyi tiada sahutan daripada ibu. Aku menghampiri pintu bilikku. Aku tolak, berkunci.
“Karmin, kamu Karmin, kan?” sapa pak Agus, bapa saudaraku.
“Ya, pak. Saya Karmin.”
Pak Agus terus memeluk tubuhku sambil menangis kesyahduan. Dia menggosok-gosok tubuhku dalam tangisannya yang semakin keras. Aku mula kehairanan.
“Kenapa, pak?” Tanyaku cemas.
“Karmin, Karmin. Ibumu sudah tiada nak. Ibumu tiada lagi. Dia meninggal 3 bulan yang lalu. Kami cuba menghubungimu tetapi tiada sambungan. Maafkan bapak, nak.”
Ucapan Pak Agus bagai pisau belati menikam hatiku. Aku hampir pitam namun disambut oleh Pak Agus. Aku tidak berkata apa-apa. Langkah kakiku merayau entah ke mana. Aku terduduk di tepi tebing Sungai Kelam dengan tatapan kosong penuh penyesalan. Rupanya di sinilah aku saat ini. Mengenang segala kekesalan dan penyesalan yang tiada akhir.
Ibu, anakmu telah pulang. Namun, kenapa kau tidak menungguku.
Aku meraung sejadi-jadinya. Tidak kuhiraukan mata-mata orang rumah panjang menatapku kesedihan. Namun, siapa tahu di hati mereka menyatakan hal lain. Anak yang telah meninggalkan ibunya, menderhaka, lupa diri dan sebagainya. Aku membenarkan semua kata-kata mereka andai mereka meluahkannya di hadapanku. Aku khilaf.
Ibu, maafkanlah anakmu, ibu. Maafkanku atas segala penantianmu, ibu. Maafkanku atas segala penderitaanmu, ibu. Maafkan anakmu, ibu. Ibu, Karmin sangat-sangat menyesal ibu.
Aku jatuh terperuk di tepi tebing sambil menangis penuh penyesalan. Andai saja masa boleh kuputar…