Fragmen 1: Perempuan
Aku suka senja. Warna jingganya mengasyikkan. Sepotong matahari sepetang ini adalah secawan McCafe bagiku. Hidupku sebagai perempuan kini berubah. Mungkin jika hendak diberikan skala peratusan, ia dalam 98%. Lagi 2% adalah surat untuk engkau wahai lelaki tidak guna. Sejak engkau pergi dari hidupku bersama cinta (dan engkau memberikannya kepada manusia entah dari mana), aku lebih suka begini. Swafoto bersama langit indah. Tidak pun aku hanya menangkap gambar diriku tanpa apa-apa latar belakang dengan memakai seluar jeans dan baju ala moden. Tanganku akan diletakkan di lutut dan wajah cantikku yang kaupuji sewaktu dahulu akan mengukir senyum. Ia sama palsu seolah-olah watak dalam drama di kaca TV pukul 7.00 petang.
Hei, lelaki… engkau sudah lupa akan namaku. Oh, ya, lelaki semua sama sahaja. Sukar untuk cari yang janggal dalam kalangan mereka. Sudahlah, panggil sahaja aku sebagai perempuan jingga, perempuan bibliofil atau apa-apa sahaja yang engkau inginkan. Selagi engkau bahagia, ya, silalah. Sebenarnya, aku tidak pernah menafikan yang perasaan cinta aku padamu masih ada. Namun telah dilarutkan dalam secawan kopi pahit maung. Soal perasaan tiada siapa yang akan tahu, melainkan diri sendiri. Tetapi aku aneh, aku tidak pernah tahu apa yang aku rasa. Mir. Ya, engkau pun barangkali sudah tidak menyimpan apa-apa rasa terhadapku bersama perempuan bodoh itu, engkau bahagia. Silalah bawa dia jalan-jalan, pergi tonton wayang, makan bertih jagung atau belanjakan dia baju baharu, tudung baharu. Lupa perempuan itu tidak cukup baik, dia tak pakai tudung. Sama seperti watak dalam cerita Melayu yang lebih mementingkan kekayaan atau kekacakan lelaki. Dasar perempuan materialistik! Kalau aku, cukup sekadar puisi indahmu sudah membuatkan diriku suka akan kau.
Sedang aku membelek galeri dalam telefon pintar yang engkau berikan sempena hadiah hari lahirku dahulu, aku terjumpa sesuatu. Gambar kita. Latar belakangnya telah kausunting dengan gambar yang aku tangkap. Gambar pohon waktu senja. Segalanya terlalu indah nian. Tertulis sebuah puisi pendek, katamu:
Aku masih cuba menghadiahimu
Sepotong senja daripada indah nian
Panorama hari ini nan meromantikkan kita
Mencantikkan pandangan, mengindahkan cinta
Dan, menjadikan kita pemuisi.
Sepotong senja i: Mungkin inilah maksud engkau. Senja sementara bukan? Adakah kaumahu menyeksa aku dengan kesementaraan. Ya, sudah tercapai cita-citamu, Mir. Ketika ini aku menitiskan air mata… sudah Mir. Aku kira kau sudah mencapai cita-cita engkau Mir. Senja ini cukup indah bagiku, terlalu mengasyikkan dan melalaikan. Menikmatinya sambil membaca buku Jed Stellarose yang kauberikan dulu adalah perkara paling menyeronokkan sepanjang kita menjalinkan hubungan mesra.
Panorama hari ini nan meromantikkan kita I: Ini rupanya agenda kau Mir? Panorama inikah yang engkau maksudkan? Kaugembira ya? Melihat aku menangis. Kalau kausedih tengok aku sakit hati, kau tidak akan membiarkan aku. Memang jika engkau berpegang pada puisi Karim Mohd, lupa adalah cara waktu merawat luka. Tetapi ini bukan lagi luka! Ah, kau fikirlah sendiri. Mungkin saja, bagi engkau kesedihan aku sudah cukup romantis. Bukanlah lelaki gemar melihat perempuan menangis? Usah berselindung lagi, terus terang saja.
Mencantikkan pandangan, mengindahkan cinta,
Dan, menjadikan kita pemuisi. I: Cantikkah ini? Mir… tak kelakar Mir… Memang engkau pemuisi, aku pun perlahan-lahan menjadi pemuisi. Tetapi Mir, ini bukan pemandangan cantik. Jauh sekali cinta yang indah. Mungkin bagimu benar. Bagi aku, ini semua hanyalah ketiadaan. Dulu aku tidak sedar semua ini, aku tidak sedar pun yang engkau hanya memperolok-olokkan aku seperti mana yang pernah engkau lakukan terhadap ikan koi dalam akuariummu. Aku dan ikan koi itu sudah tiada bezanya. Kami terkurung. Ikan koi juga mati sebab stres terkurung. Mujur aku tak mati dikurung sepi (atau mungkin belum?)
Sudahlah… mulai hari ini, aku berazam, aku sudah tidak mempercayai mana-mana lelaki di atas muka bumi ini!
Mungkin inilah keputusan terbaik (walau ia seperti tergesa-gesa). Ya! Perempuan jingga seperti aku akan lebih bahagia jika dirundung pilu seperti Nobita dalam kartun Jepun Doraemon.
Fragmen II (Lelaki)
Ally, aku masih cintakanmu. Aku masih sayangkanmu. Aku tahu kausuka senja. Cantik betul hari ini. Pantai Teluk Cempedak begitu romantis bukan? Inilah tempat pertemuan pertama kita. Kalau kau ada, aku pasti sajak pendek itu menjadi katarsis untuk kita nikmati. Sambil angin nakal membawa pasir masuk ke mata kita. Mungkin sahaja reaksi kau akan menjadi malu-malu. Oh, ya, perempuan bibliofil itu gelaran kedua engkau Ally. Kau gemar benar akan buku Gaun Bulan tu. Ah, usahkan engkau, aku pun berulang kali membacanya. Mungkin keputusan untuk putuskan hubungan cinta ini adalah yang terbaik selepas aku mengambil kira semua aspek risiko yang bakal ditanggung sekiranya ia diteruskan. Kau tak akan bahagia dengan aku. Aku sedar diriku ini bodoh. Dungu. Cetek akal. Panas baran. Ya, terlalu baran. Sehinggakan sewaktu engkau mencuit hidungku pun aku memarahi engkau (walaupun pada akhirnya ia disusuli dengan gelak comel) tetapi sampai bila lagikah aku boleh berbohong dengan diri sendiri.
Ya, aku sedar yang berbohong pada diri sendiri satu-satunya pilihan yang paling aku tidak berhak untuknya. Selain sebagai lelaki, aku juga mahu membahagiakan orang lain. Waktu romantis, memang akulah heronya tetapi sewaktu amarah akulah antagonisnya. Fahamkan itu Ally. Jika kaubenar-benar mengetahui akan perkara itu, arghhh! Aku yakin kau dah tak marah.
Oh, ya… Aku harap kaudapat tafsirkan puisi yang aku tulis di pohon ini. Sedang aku menatap pohon ini, nostalgia hadir dalam jiwa. Mungkin aku tidak mampu mentafsirkannya kerana nostalgia ini terlalu pilu untuk didengari oleh telinga. Perihal puisi itu, aku yakin barangkali kau akan tersalah tafsir. Seperti puisi yang subjektif memang akan ada banyak tafsiran. Tetapi aku cuba untuk tuntaskannya (biarpun engkau tidak mendengar)
Sepotong senja ii : Ally, senja di sini bermaksud keindahan – mungkin kau akan salah faham di sini – barangkali kau akan tafsirkannya sebagai kesementaraan. Ah, untuk kau tidak ada istilah sementara. Bukankah senja itu muncul hari-hari? Memang sekejap. Tapi ia akan terbit semula pada keesokan harinya. Dan begitulah ia akan berulang sehingga Yaumul Qiyamah. Tidak ada istilah sementara bagi cinta. Aku dah cakap bukan? Aku memang cinta akan engkau persis Majnun tergila-gilakan Laila seperti pungguk merindukan bulan atau seperti Romeo dan Juliet.
Panorama hari ini nan meromantikkan kita II : Memang benar bukan? Hari itu sungguh romantis. Aku berswafoto bersamamu berlatarbelakangkan jingga dan pohon indah. Aku memang betul-betul berharap kaumenyimpan memorabilia paraphernalia cinta itu rapi-rapi. Jangan sekadar melupakannya – jangan pula engkau menyalahtafsirkannya. Dengarkanlah denyut jantung kesetiaan aku.
Mencantikkan pandangan, mengindahkan cinta
Dan, menjadikan kita pemuisi II : Benarlah, panorama begitu manja sekali seolah-olah faham ini pertemuan kita berdua Ally. Pandangannya yang meredupkan mata sesekali mengindahkan cinta kita. Ya, kita adalah pemuisi. Kita telah mencoretkan keindahan pandangan ke dalam bentuk yang hanya kita boleh faham akan maknanya.
***
Lelaki : Aku sungguh merindukanmu Ally.
Perempuan : Ya, engkau sudah tidak ingat akan aku. Entah-entah nama aku pun sudah engkau lupa sejak berkenalan dengan perempuan itu
Lelaki : Aku sudah putuskan hubungan dengan perempuan lain – setelah menyedari engkaulah anugerah paling indah Tuhan buat diriku.
Perempuan : Ah, apa aku ni? Entah-entah semua itu hanya andaian busuk hatiku sahaja… entah-entah dia masih mencintaiku… Amir itu lelaki yang baik kukira… biarpun dia hanya senja bagiku, tetapi senja itu tetap akan berulang bukan? Setiap hari aku melihat senja maknanya, setiap hari juga seolah aku mencintai dia.
Lelaki & Perempuan : Sungguh, aku mencintaimu.
Fragmen III : Puisi lelaki
Ally, izinkan aku menukilkan puisi ini buatmu. Aku tahu kau tidak mendengarnya biarlah aku menulisnya hanya di Instagram.
Tenang, tanganku mencapai helaian kertas yang tersisip rapi sajak patah hati dari tanganmu. Lukisan bulan dan awan yang menenggelamkannya jelas kelihatan. Kautahu? Kalau kauizinkan, marilah kita kembali menjadi sahabat, cukup sekadar itu. Dua tahun dahulu, impian telah kusisip kemas dan ketika itu, peristiwa datang janggal lalu menghinggap di alisku, lalu gugur sebagai rintik rindu, akhirnya hanya air mata yang keluar, menyamar menjadi kegembiraan paling abadi.
Ally, mungkin aku boleh buatkan kumpulan puisi cinta padamu. Agar cinta itu abadi. Walaupun mungkin sahaja kita tidak kekal ya. Tentu sahajalah kontra dengan peristiwa dalam puisi Sapardi:
“Yang fana adalah waktu, kita abadi.”
FRAGMEN IV : Kata-kata perempuan.
Aku percaya, harapan masih ada kerana yang fana adalah waktu kita abadi.
Ya, kita abadi sebagai memori. Syukran, Mir.