“Andai lahirnya perempuan ke dunia ini sebagai sebidang kain semerdanta suci lalu sayalah cabikan perca terbuang di bawah mesin si tukang jahit.”
Perempuan itu percaya benar akan kisah Margaretta Gauthier dari Paris yang dibacanya lewat sebuah novel roman tulisan Tuan Hamka. Novel itu pemberian seseorang yang membengkar lama dalam kelopak hatinya. Meski, lama-kelamaan, kelopak itu melalui musim luruh yang panjang sehingga habis gugur segala keindahan warnanya. Luruh yang tidak diminta-minta kerana cinta perempuan itu lahir pada musim semi. Namun, musim tetap bersalin tubuh. Dari situ jugalah, penderitaannya benar-benar bermula.
“Hidup di rumah ini tidak tumpah seperti hidup di dalam penjara!” Nur Ain menarik kasar kerudung sarung yang dipakainya, lalu mengipas-ngipas batang leher tanda bahangnya cuaca, lebih-lebih lagi manik hujan sudah lama tidak menimpa lantai bumi.
Perempuan bernama Anggerik itu terus menyelak halaman buku seterusnya sambil sebelah tangan mengalihkan penanda buku magnet bergambar pemandangan alam ke muka surat lain. Bebola matanya masih setia bergerak ke kiri dan kanan buat menghabiskan bacaan sebuah novel. Tiada yang lebih indah saat ini, selain daripada menutup kesusahan hati dengan membaca atau terkadang sekadar pura-pura membaca.
“Dengan macam-macam ceramah. Program agama dari subuh sampai ke tengah malam tak habis-habis. Sumpah, aku tak tahanlah! Kauboleh tahan duduk sini? Kalau kau pun tak tahan, aku nak ajak kaulari saja dari tempat ini. Aku jamin, kita boleh hidup lebih baik dekat luar sana. Kita pindah ke Kuala Lumpur. Kaubayangkan, di tengah-tengah jutaan manusia yang macam semut halus tu, ada sesiapa nak pedulikan kita? Tentu-tentu tidak ada! Itulah yang aku mahukan.”
Nur Ain masih tidak berhenti mengipas-ngipas batang lehernya. Bukan sahaja tubuh, malah hatinya juga sedang menyala-nyala, meluahkan ketidakpuasan.
Kisah Margaretta yang terjatuh hati kepada Armand serta kepayahan mengakui cinta sejati itu kerana merasakan dirinya benar-benar hina dan harus dilaknati Tuhan sehingga akhir hayatnya kerana dia seorang pelacur benar-benar menawar sebak ke segenap jantung Anggerik. Entah mengapa, semakin dibaca kisah Margaretta, semakin dia merasakan dirinya perempuan hina dan tidak layak meneguk satu titis pun nikmat Tuhan, termasuklah nikmat nafas yang disedut dan dihembusnya tanpa rasa bersalah saban saat secara percuma. Tiba-tiba, Anggerik berasa mengkal pada diri sendiri, juga hina yang sebenar-benar hina.
“Hei, perempuan! Kaudengar atau tidak rancangan aku ini?” Sergahan Nur Ain berserta tepukan kuat hinggap di lengan kurus Anggerik, sehingga hampir terlucut sebuah novel dari tangannya.
Anggerik terpempan seketika. Tidak tahu apakah reaksi paling wajar patut dilemparkan kepada kawan senasibnya itu. Tetapi dia, mahu sekali berpijak di bumi yang nyata.
Anggerik akhirnya mengatup rapi bahan bacaan di tangan. Novel itu tidak dibelinya, sebaliknya diambil dari rak buku di sudut bacaan. Rak buku yang dipenuhi ratusan buku dan majalah hasil pemberian orang ramai. Sebanyak 69 buah buku habis dibaca Anggerik dari kulit ke kulit. Itupun, masih belum dapat mengikis kebungkaman pada setiap lapisan perasaannya.
Lama Anggerik terdiam buat membalas percakapan Nur Ain. Selepas memikirkan sedalam-dalam jawapan yang sesuai, barulah dia menyusun kata-kata.
“Ain, tidak semua yang kita bayangkan mudah itu akan jadi mudah dalam kehidupan sebenar. Realiti selalunya lebih pahit. Lebih-lebih lagi terhadap perempuan semacam kita.”
“Perempuan semacam apa?” Nur Ain mencelah pantas.
“Perempuan yang sudah tersimpang jauh daripada jalan lurus agama. Perempuan yang ibarat kain perca, ada tapi sudah tidak berguna kepada si tukang jahit.”
Percakapan Anggerik terjeda sebentar, sebelum diteruskan dengan kata-kata kebenaran.
“Sedar atau tidak, taraf kita dalam masyarakat makin rendah, Ain. Malahan saya berani cakap, sangat rendah sampailah saya sedar yang kita ini layak jika dipanggil perempuan murahan. Ya, perempuan murahan.”
Nur Ain menguis-nguis kuku yang semalam dimarahi oleh penjaga asrama kerana sengaja diwarnakan dengan cat merah. Telinganya tidak senang mendengar gelaran sebegitu keluar dari mulut Anggerik.
“Aku sebenarnya tidak kisah kalau kau tidak mahu ikut aku lari dari tempat ini. Tapi, kalau boleh janganlah beri gelaran yang sehina itu pada diri kita. Kita ini mangsa keadaan. Kau pun sedar. Kita ini … mangsa keadaan.”
Mendengar percubaan Nur Ain yang seolah-olah mahu menegakkan sumpit tak berisi, Anggerik melemparkan pandang ke arah sebuah potret pada dinding ruang bacaan itu. Di dalam sebuah bingkai kayu, adanya satu wajah begitu damai dan jernih. Matanya yang bundar dan senyuman yang nipis menzahirkan ikhlas. Wajah itulah yang menghulurkan cemati penyelamat sewaktu dia sedang tenggelam dan lemas di pulau kehinaan. Itulah wajah seorang wanita, pemilik rumah ini.
Anggerik mengusap-usap perutnya, sebelum bermula semula.
“Kalau kita lari, maksudnya kita lari daripada tanggungjawab. Saya tahu rancanganmu, Ain. Kaumahu lari dari sini selepas selamat beranak, bukan? Lalu, anak yang sedang kaukandungkan itu, bagaimana? Sudah tentu, kau akan tinggalkan. Pemilik rumah inilah yang akan pikul beban yang sepatutnya dipikul olehmu. Begitu? Saya sudah dapat teka rancanganmu, Ain. Sama sekali saya tidak setuju.”
Dengus panjang kedengaran. Sementara, kipas siling yang ligat tidak dapat meredakan hati antara mereka berdua. Anggerik menyimbah lagi kepanasan pada hati Nur Ain.
“Jika saya sebutkan statistik remaja hamil luar nikah pada hari ini, kau pasti akan tutup teling dan tidak mahu dengar lagi. Tentu kaumuak. Sudah ramai ustaz, ustazah hatta kaunselor yang menyebut statistik yang mengerikan itu berulang-ulang kali. Tapi, mahu tidak mahu, kau perlu tahu ribuan anak suci lahir tanpa dosa saban tahun, tanpa nama yang sempurna, kerana dituliskan nama bapa mereka sebagai Abdullah. Malangnya, nama Abdullah itu kekal sejak hari pertama mereka lahir ke dunia, sampailah dibawa ke hari tua, dibawa sampai ke liang lahad. Betapa panjangnya perjalanan mereka menanggung nama yang tiada bin dan binti yang sempurna itu. Kau perlu tahu itu, Ain.”
Di dua belah kelopak mata Anggerik, ternampak gelombang kesyahduan yang masih cuba disembunyikan sedapat-dapatnya.
“Saya juga mahu kautahu, Ain, bahawa nama Abdullah itu terkadang ibarat kesialan dalam hidup anak-anak luar nikah. Kaubayangkan, mereka membesar dengan berayahkan Abdullah yang tidak pernah mereka kenal. Sewaktu nama mereka dipanggil di dalam kelas oleh guru, pasti mereka berasa bingung. Sewaktu ditanyakan kepada mereka, ‘nama ayahmu siapa? Apakah pekerjaan ayahmu? Oleh guru mereka, lantas kaufikir, apa selayaknya jawapan yang patut mereka berikan? Sedang seumur hidup, langsung mereka tidak pernah mengenali Abdullah.”
“Saya dapat rasakan kepayahan ditanggung anak-anak luar nikah itu pada masa depan mereka, Ain. Jika kaufikir tempat perlindungan ini ibarat penjara, bagaimana pula dunia buat mereka? Tidakkah dunia ini bak neraka yang pijar dan bakal membakar tubuh mereka hidup-hidup? Dan, itu pasti sangat perit!”
Anggerik menghembuskan nafas panjang. Sangat panjang tanda menanggung hal yang berat. Dia enggan memandang ke wajah Ain.
“Kesialan hidup mereka tidak terhenti pada nama Abdullah itu. Kauperlu sedar, kesialan itu berterusan sehinggalah waktu anak-anak luar nikah perempuan mahu bernikah nanti. Waktu itu, perbalahan pasal wali akan timbul. Kekecohan akan berlaku. Soal-menyoal, ungkit-mengungkit tentang masa silam dan kain keaiban terobek bagai perca-perca tak bercantum semula. Dan saya mahu bertanya sejujur-jujurnya kepadamu, kaurasa bahagiakah jiwa manusia yang mahu memperisteri anak luar nikah?”
“Cubalah ketepikan hawa nafsumu sesaat. Sudahlah kita ini perempuan-perempuan yang terlanjur sampai hamil anak luar nikah, tetapi masih ada angan-angan mahu hidup bebas tanpa sedikitpun rasa sebal. Padahal, anak-anak yang bakal lahir dari rahim kita terpaksa tanggung malang. Biarlah … biarlah kita pikul dosa-dosa sendiri. Jangan dibiar anak kita nanti menjadi beban kepada orang lain. Cukup-cukuplah penderitaan yang bakal mereka tanggung nanti. Jangan kaubiarkan anakmu nanti rasakan hidupnya lebih terkutuk tanpa kasih seorang ibu kandung.”
Suasana begitu beku, kini. Perlahan-lahan Anggerik memandang ke wajah Nur Ain. Direnungnya wajah itu dalam-dalam. Dilihatnya pula perut Nur Ain yang membulat dan sarat, menghamilkan anak yang tidak berbapa. Ya, benar. Kebanyakan mereka yang menghuni rumah perlindungan itu ialah mangsa kepada iman lelaki yang tergelincir. Tetapi, begitu tidak adil jika seorang ibu yang menghamilkan anak tidak berbapa, memangsakan pula anak mereka. Sedang, anak itulah kain suci, tidak tercela, tidak ternoda. Anak itulah emas yang akan melimpahkan kemewahan pada jiwa-jiwa bertaubat.
Nur Ain terlihat mengesat air matanya diam-diam. Sementara Anggerik perlahan-lahan mencapai novel roman kesukaan dari tingkat rak buku paling atas. Kisah Margaretta Gauthier mengerbang-ngerbang semula dalam sawang batinnya. Sebagai pelacur, Margaretta berpendirian tetap terhadap diri sendiri bahawa perempuan sepertinya tidak layak merasai cebis bahagia. Kerana dia tahu kehinaan dirinya semacam apa. Adapun hadir seorang Armand yang berjanji bahawa “membaiki perempuan yang telah rosak itu adalah sebahagian daripada pekerjaan lelaki muliawan. Dan pekerjaan itu jauh lebih suci berbanding sebahagian lelaki muliawan lagi, yang membawa perempuan baik-baik menjadi binasa” lantas akhirnya mengubah sudut pandangnya terhadap cinta.
Akhirnya, Anggerik terpaksa mengesat air mata. Dia merasakan Margaretta jauh lebih beruntung berbanding dirinya kerana adanya Armand yang hadir sebagai cahaya di kala kegelapan menyelubungi batin. Namun, dirinya, tiada siapa-siapa. Tiada lelaki sesuci Armand yang mahu membersihkan kisah silamnya. Tiada juga lelaki bernama ayah seperti Hertog tua di dalam novel roman itu, yang sanggup membela Margaretta, menggangap dan mengasihi Margaretta tidak tumpah seperti anak kandung sendiri.
Anggerik akur. Semua lelaki sudah membuangnya padahal dosa-dosa yang dilakukan juga bermula dengan tangan rakus seorang lelaki. Novel roman tulisan Tuan Hamka ialah hadiah pemberian seorang lelaki yang mula-mulanya berjanji mahu menikahi dia, namun sewaktu mendapat tahu Anggerik sudah hamil dua bulan, segalanya rasa cinta berubah bilah dendam kesumat yang tidak dapat dipatahkan sampai bila-bila. Bayang pemerkosa yang meratah kesucian diri membangkitkan semula trauma dan kesakitan hebat dalam diri. Lantas dalam kehibaan dan kehinaan, Anggerik menyerahkan segala air matanya kepada Tuhan Yang Maha Memujuk Lagi Maha Menyembuhkan.
“Andai ada 1000 lelaki bernama Armand di dunia Tuhan ini
Lantas, sayalah perempuan perca yang berhak mendapat semula kesucian.”