Di kala logam gergasi meluncur selaju 500km/j membelah awan gelap kelabu, segelap hatiku melihat setiap insan di tempat duduk yang seakan-akan putus nyawa. Rahangku terangkat lalu mulutku melongo melihat para penumpang tiba-tiba menjadi lemah dan longlai seperti kain perca yang kebasahan. Makanan lazat yang dihidang tidak terusik. Jika sebelum ini, nasi lemak ayam kukus yang menjadi menu utama akan selesai dijamah dalam beberapa minit. Kini, bungkusan makanan itu terduduk kaku tidak terusik. Bibir dan kuku mereka kelihatan kebiru-biruan sedangkan pendingin hawa telah pun diturunkan ke paras suhu bilik. Ada yang terbatuk-batuk. Ada yang menarik nafas panjang tetapi tersekat-sekat. Ada yang memegang dada. Ada yang mengelap mukus yang bertali arus keluar dari hidung. Kulit mereka mulai ditumbuhi bintik-bintik kemerahan. Mata mereka juga mulai berair. Bilik air semakin kerap menerima pengunjung seperti kaunter daftar masuk di lapangan terbang. Suara manusia merintih penuh kesakitan menyelubungi ruangan berbentuk silinder itu. Keadaan semakin tidak terkawal.
‘Keracunan makanan? Tidak mungkin!’ desis hatiku, sesak membungkam. Entah mengapa pada kali ini begitu sukar kakiku berpijak dengan tegap di atas lantai logam ini. Jika sebelum ini, walau segenting manapun keadaan di dalam pesawat, aku akan terus bertenang dan memberi arahan pada kru untuk melaksanakan arahan-arahan kecemasan. Malah, langsung tidak terlintas dan tidak pernah dibayangkan di dalam benakku akan terjadinya kejadian seumpama ini.
Air liur yang aku telan terasa pahit yang teramat. Baru sahaja pagi tadi, kuih selukung hasil air tangan isteri aku jamah penuh selera. Kemanisan kuih selukung, semanis senyuman isteriku melekat pada lidahku pada pagi tadi. Bau daun lerek masih memenuhi rongga hidungku. Kini, rasa manis dan bau daun lerek hilang entah ke mana.
Mungkinkah ini tanda-tanda terbaru serangan virus corona? Jikalau bukan corona, kenapa nafasku tersekat-sekat? Kenapa sendi-sendiku rasa sengal dan lesu? Kepalaku juga berdenyut-denyut, tekakku seakan dicakar-cakar, kakiku menggigil. Bukankah ini petanda jangkitan virus corona seperti yang tersenarai di dalam aplikasi Mysejahtera? Tetapi di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching suhu 26 darjah Celsius jelas terpapar pada skrin 42 inci. Bagaimana aku akan menerbangkan pesawat jika begini keadaan aku. Entah mengapa Carlos, pembantu juruterbang diam membisu? Tanpa sedar, aku memberengut.
Pandanganku berpinar. Sudah beberapa kali aku mengosok-gosok kelopak mataku, tetapi pandanganku masih tidak jelas. Semakin kabur. Beberapa botol air mineral sudah habis aku teguk. Jika diikut perhitungan, sebentar lagi pesawat Boeing-747 milik Syarikat Penerbangan Puncak Borneo Airways ini akan membelah awan biru menuju ke Hong Kong. Aku harus kuat. 130 nyawa manusia berada di atas bahuku. Aku merapatkan kepalaku pada tempat duduk juruterbang. Mataku ditutup rapat. Nafasku dilepaskan perlahan.
Aku tersentak dek bunyi panggilan radio dua hala. Suara ketua pramugari bergema. Mataku dileret ke arah jam tangan Casio yang seusia dengan anakku yang kini menuntut di Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Siburan, Sarawak. Tepat pukul 1100 pagi waktu tempatan. Kedengaran suara ketua pramugari mengumumkan akan tatacara keselamatan. Tanganku menggengam kemas pendikit pesawat dan menolak perlahan-lahan. Enjin pesawat menderu, berdengung, bergegar dan bergetar. Aku memusing pengemudi untuk mengarahkan logam gergasi itu menuju ke laluan utama landasan. Pesawat bersedia untuk berlepas. Mukaku dipaling ke arah Carlos. Dia tetap membisu. Mulutnya memuncung seperti muncung pesawat. Kepalanya tegak. Matanya tidak berkedip. Aku mengangkat ibu jariku kepadanya tetapi tidak diendah. Ah! Biarkan sahaja. Mungkin corona sudah menempel di atas bibirnya. Gumamku tanpa sedar.
Aku membuat pengumuman melalui radio kepada kru pesawat untuk sedia berlepas. Setelah pengumuman berlepas dibuat, kru sepatutnya duduk di tempat khas dan mengetatkan tali pinggang keledar. Saat berlepas adalah paling kritikal untuk sesebuah pesawat. Dengan sekuat tenaga aku menolak pendikit. Pesawat sedikit bergegar tetapi itu bukan sesuatu yang luar biasa. Pesawat meluncur laju di atas landasan.
Beberapa saat kemudian, pesawat sudahpun meluncur di atas langit biru, membelah awan putih gebu. Aku menghembus nafas dengan panjang. Aku merasakan ada senyuman terukir pada wajahku tetapi tidak pada wajah Carlos. Dia masih duduk tegak, tangannya masih menggenggam pengemudi. Aku mencapai sebotol lagi air mineral. Beberapa teguk masuk ke dalam kerongkongku. Aku merasa lega. Kepalaku tidak seberat semasa di lapangan terbang tadi. Penglihatanku mulai jelas.
“Ketua kru, sila lapor keadaan kabin… ketua kru …,” aku menghubungi ketua pramugari tetapi tiada jawapan. Beberapa kali aku cuba menghubungi ketua pramugari tetapi hanya kedengaran bunyi radio berdesing.
Ini suatu yang aneh. Teramat aneh. Aku melihat Carlos bangun dari tempat duduk tanpa sepatah kata. Ini bukan sahaja aneh tetapi sangat luar biasa. Tidak seperti selalu, dia akan menepuk bahuku jika ingin pergi ke bilik air. Paling tidak kami laga siku. Apakah tindak-tanduk Carlos ini juga tanda serangan virus corona atau norma baharu ketika ini? Entah. Biarkan sahaja. Mungkin dia perlu sedikit masa untuk bertenang. Mungkin terkejut dengan gegaran pesawat. Mungkin sahaja!
Ketika aku memusingkan pengemudi ke arah kanan, bahagian belakang kepalaku seperti dicucuh oleh objek keras dan tajam. Aku menoleh ke belakang. Berderau darahku. Degupan jantungku seakan berhenti. Nafasku tersekat pada saluran kerongkong. Mataku terbuka membulat besar. Mulutku melongo luas. Objek keras itu kini berada di tengah-tengah dahiku, tepat di atas pangkal hidung di antara bulu kening sehingga terasa mataku juling apabila cuba melihat ke arah objek itu. Objek keras itu terasa begitu dingin pada kulitku, sedingin tubuhku yang pucat lesi setelah melihat objek berwarna hitam digenggam dengan erat serta jari telunjuk yang sudah bersedia pada picu. Jika ditekan picu itu, pasti berderai segala isi kepalaku di dalam kokpit.
Mataku dileret ke atas menelusuri sekujur tubuh itu untuk melihat siapakah gerangannya yang begitu berani mengacu senjata menyerupai pistol ke arah mukaku. Kepalaku berdenyut dengan kencang seperti dihambat jutaan virus corona. Otot-otot lenganku yang tegang mendadak menjadi kendur, sekendur semangat juangku apabila melihat dua orang makhluk yang berdiri di depanku mempunyai sesungut-sesungut yang mencacak memenuhi kepalanya. Setiap hujung sesungut itu pula berbiji mata. Sepantas kilat, fikiranku berputar dengan ligat untuk mencongak jumlah mata pada kepala makhluk itu. Jika mengikut congakan dari ilmu hisabku, mata-mata itu tidak kurang dari satu ratus biji kesemuanya. Mataku menggelongsor lagi ke arah makhluk yang serupa berdiri tegak dibelakang makhluk yang sedang mengacu senjata ke dahiku. Makhluk yang satu itu mempunyai pakaian seperti aku! Pada dadanya ada tanda nama ‘Carlos’. Apakah ini Carlos pembantu juruterbang? Jika ya, dialah dalang di sebalik kejadian ini? Cis!
“Kau ikut arahan aku, jika tidak peluru ini aku benamkan terus ke dalam kepala kau tanpa minta izin!” pekik makhluk aneh berkepala menyerupai virus corona. Suaranya mendatar, bergetar, garau dan serak. Serentak dengan itu dahiku ditekan dengan objek keras itu.
Lututku terasa bergegar. Genggamanku semakin longgar. Aku tidak lagi merasa tempat yang aku pijak. Otakku kekeringan oksigen. Tengkukku seperti dikunci rapi dan ketat. Tidak dapat digerakan walau seinci. Tidak juga merasa lenguh mendongak ke arah ratusan mata pada kepala makhluk yang menyerupai virus corona. Ngeri. Jijik!
“Kamu setuju?” soal makhluk kedua dengan kasar. Serentak dengan herdikannya itu sesungut bermatanya mencacak menuju ke arahku.
Aku terkebil-kebil. Lidahku terdampar longlai di dalam mulut, Seakan-akan lingual frenulumku sudahpun dijangkiti varian delta, omega, lambda … . Ah! Banyak sungguh varian virus durjana ini. Di hadapan aku ini varian apa pula? Apakah ini juga varian terbaru? Atau manusia sudah berasimilasi menjadi virus?
Lamunanku terhenti apabila terasa kepalaku ditonyoh kuat dengan objek keras. Pandanganku kembali tertumpu kepada makhluk yang berada di hadapanku. Muncung pistol yang tajam dan pada bahagian tepinya juga berbonjol-bonjol seperti ketulan virus corona amat mengelikan.
“Tuan Koro, biar dia bawa kita ke Negara Sebutir Pasir. Negara itu sahaja yang belum kita sebar biak keturunan kita,” ujar ‘Carlos’ kepada makhluk yang sedang menggenggam senjata anehnya.
“Tidak!” bentak Tuan Koro, “kenapa tidak disuntik sahaja dengan enzim kita?” soal Tuan Koro dengan suara yang nyaring. “Dia harus menjadi seperti kita!” bentaknya lagi.
“Kita perlukan manusia yang bijak, kuat dan menurut perintah seperti dia. Kita ini hanya kuat dalam gerombolan. Tuan lihat sendiri, dia seorang sahaja boleh menerbangkan rangka gergasi ini, sudah tentu dia berguna untuk kita. Kita pula hanya hidup menumpang di dalam tubuh manusia!” sergah ‘Carlos’ mendabik dadanya dan menghampiri Tuan Coro. Mukanya merah menyala. Sesungut bermatanya tegak berdiri. Penumbuknya sudah digengam rapi.
Bunyi paluan gong dan petikan sape silih berganti berlegar-legar di ruang mindaku lalu membakar semangat juangku. Ini peluang untuk aku bertindak. Tanganku meraba-raba di bawah tempat duduk untuk mencari objek untuk dihayun kepada makhluk aneh menyerupai virus corona. Sekurang-kurangnya apabila salah seorang daripada mereka tumpas maka aku boleh bertindak selanjutnya.
Kedua-dua makhluk itu saling menengking dan melengking. Belum sempat tanganku menggapai sesuatu, pesawat bergegar dan bergoncang dengan kuat. Bunyi letupan yang bingit menusuk terus ke dalam gegendang telingaku. Mataku ternampak cahaya putih silau dimuntahkan dari muncung senjata dan menuju ke panel kawalan. Asap berkepul-kepul keluar dari panel kawalan. Pesawat terasa turun menjunam dengan mendadak. Bunyi penggera amaran kerosakan bergema memenuhi ruang kokpit. Para penumpang terpekik melolong.
Pesawat terus bergegar dengan kuat. Tiga makhluk juga berkepala seperti corona menerpa masuk ke dalam kokpit. Mereka menjerit-jerit dengan bahasa yang langsung tidak difahami dan tidak pernah aku dengar sepanjang karierku sebagai juruterbang. Sudah serata negara di dunia ini aku jelajah tetapi bahasa makhluk ini memang bukan bahasa Bumi. Pasti!
Melalui pintu kokpit yang sedikit terbuka, mataku dilontarkan ke arah kabin. Kelihatan, semua tangan dan kaki para kru terikat. Mereka terbaring di atas laluan kabin yang sempit. Di dalam kabin, kelihatan lima makhluk yang serupa memegang senjata seperti senjata Tuan Koro tetapi bersaiz lebih besar, anggaran 30 sentimeter panjang.
Ketua pramugari dengan pandangan yang tajam memandang tepat ke arahku. Bibirnya yang merah menyala bergerak-gerak perlahan seperti sedang mengatakan sesuatu kepadaku. Aku mengamati pergerakan bibirnya. Aku mengerti apa yang dia cuba sampaikan. Sudah menjadi sebahagian daripada rutin kami untuk memahami bahasa tubuh. Amat berguna jika berlaku sebarang kejadian yang tidak menuntut sekelumit suara dikeluarkan. Kejadian seumpama ini.
Tanpa membuang masa, aku memusingkan badan menghadap ke arah panel kokpit yang masih berasap. Aku menarik nafas dengan dalam. Bau getah terbakar tidak kuhiraukan. Aku memejamkan mata. Degupan jantungku kembali berdetak pada paras yang normal lalu aku menghembus nafas dengan panjang. Aku membuka mata. Menumpukan sepenuh perhatian pada panel. Butang autopilot aku tekan untuk mengemudi pesawat secara manual. Pesawat masih menjunam dengan laju. Bacaan altitud menunjukan penurunan yang mendadak dari paras 5000 meter.
Dengan sepenuh tenaga yang ada aku menarik pendikit untuk menaikan pesawat ke paras yang selamat. Pendikit seperti tidak berfungsi. Suara makhluk menyerupai corona semakin bingit, sebingit bunyi amaran di dalam kokpit sebagai tanda amaran pesawat akan terhempas.
Kali ini hatiku berdebar dengan kencang. Kedua-dua tanganku masih menggenggam erat pendikit. Aku hanya memerlukan pesawat ini dalam keadaan mendatar untuk melakukan pendaratan kecemasan. Mataku ternampak sebuah kawasan hijau yang rata. Ditumbuhi tumbuhan-tumbuhan yang berdaun lebar mencacak. Melambai-lambai ditiup angin seperti pengawal pemandu lalu lintas dilapangan terbang ketika pesawat bergerak masuk ke terminal.
Jika aku selamat, ini adalah penerbangan yang terakhir. Aku akan menghabiskan sisa hidup bersama isteri dan anak-anakku untuk mengembangkan perniagaan kuih selukung. Huh! Cara-cara buat kuih selukung tidak akan hilang dari ingatanku. Sudah sebati dengan darah keturunan Kayanku. Aku masih ingat akan ramuan rahsianya. Tertulis rapi di dalam benakku akan resipi turun-temurun. Dua kilogram beras pulut, 200 mililiter santan, dua sudu besar gula apong, dimasukkan ke dalam besen besar. Dicampur-aduk, diuli sehingga campuran menjadi perang gelap. Kemudian, dibalut dengan daun sang. Dua helai daun sang dilipat bersilang membentuk segi tiga. Dilipat padat dan kuat. Dikukus dalam kuali besar. Pasti harum dan sedap. Berduyun-duyun pelanggan akan singgah di Kedai Pangsin Enterprise. Hish! Tetapi daun sang tidak tumbuh di kawasan Penempatan Baru Empangan Bengoh, Padawan Sarawak. Jadi, daun apa yang harus aku guna?
Bunyi letupan kecil dari bahagian belakang mengejutkan aku dari lamunan. Kali ini aku mengumpul dan memusatkan segala tenagaku untuk menolak pendikit. Pendikit bergerak ke hadapan. Pesawat tidak lagi menjunam. Dari meter penanda aras, pesawat kini dalam keadaan melintang dan meluncur dengan stabil. Namun, pesawat perlu mendarat kerana bahan pembakar hampir kehabisan. Jika tidak, enjin pesawat akan mati dan pesawat akan terhempas. Ia tidak boleh berlaku.
Di hadapanku terbentang kawasan yang teramat luas. Tumbuh-tumbuhan menghijau tetapi tidak dihalang oleh pokok-pokok berbatang besar. Aku memulakan langkah untuk mendaratkan pesawat dalam keadaan kecemasan. Aku menarik tuas. Terasa gegaran pada bahagian bawah pesawat menandakan roda diturunkan. Dengan pantas, aku menekan butang brek automatik. Pendikit ditekan pada tahap paling maksimum. Pesawat semakin meluncur laju dan menurun sedikit demi sedikit ke arah kawasan terbuka yang menghijau. Melalui radio, aku memberi amaran kepada semua peumpang untuk bersedia menerima hentakan dari pendaratan kecemasan. Aku menoleh ke kiri dan kanan. Makhluk-makhluk menyerupai corona hilang entah ke mana.
Dengan hitungan sepuluh, pesawat mendarat dengan hentakan yang teramat kuat. Jeritan para penumpang yang bergema di ruang kabin beransur tenggelam. Dadaku begitu berat seperti dihempap oleh pesawat. Kepalaku terasa dicucuk-cucuk oleh senjata aneh Tuan Koro. Kulit-kulit badanku terasa panas membakar. Pipiku terasa pedih seperti ditampar-tampar.
‘Jahanam, sungguh berani makhluk ini menyentuh aku?’ getus hatiku. Mataku dibuka perlahan-lahan. Terus, mataku ditusuk oleh cahaya putih yang teramat silau seperti cahaya putih yang dimuntahkan dari muncung senjata Tuan Koro. Aku mengangkat tangan dengan perlahan ke arah dahi. Menghalang cahaya putih yang silau menerobos terus ke dalam kornea. Aku memicingkan mata.
Di sebalik bayang-bayang tanganku, aku melihat sesusuk tubuh manusia yang amat aku kenal. Bulu matanya yang melentik kelihatan bergumpal basah. Pipinya terangkat bersama hujung bibirnya yang kemerah-merahan. Rambut lurusnya diikat rapi ke belakang. Jari-jemarinya yang runcing menyentuh pipiku dengan lembut. Mataku terbuka luas, mulutku melopong. Matahari tegak terpacak di atas kepala.
Isteri dan anak-anak duduk berlutut ditepiku. Para pekerjaku berdiri mengelilingi aku. Ada yang masih merenjis-renjis air pada mukaku. Mataku terkebil-kebil. Mataku menatap mereka satu demi satu. Mataku berhenti pada wajah isteriku. Matanya merah berlinangan air mata.
“Abang pengsan sudah sejam,” ujar isteriku. Matanya sayu memandang tepat ke arah mataku. Aku tergamam.
Aku bingkas bangun. Mataku melilau ke sekitar ladang daun lerek. Tiada pesawat terhempas mahupun makhluk menyerupai corona, yang ada hanyalah sebuah ladang daun lerek yang terbentang luas. Ribuan daun lerek yang menghijau menunggu untuk dituai. Daun-daun lerek akan digunakan untuk membalut kuih selukung demi memenuhi ribuan tempahan para pelanggan kami. Aku menggenggam daun lerek lalu direnyuk-renyuk. Aku menghentak-hentak kaki. Terasa tempat berpijak. Aku menepuk-nepuk pipi. Terasa pedih. Sudah pasti ini alam realiti, bukan lagi alam mimpi.