PETANG itu Sara berasa malas untuk ke mana-mana. Puas ibunya, Puan Kamilah memujuk agar Sara ikut bersama ke bandar Machang, namun Sara tetap dengan keputusannya untuk tinggal di rumah walaupun perlu bersendirian. Ibunya berfikir daripada Sara duduk terperap di rumah, lebih baik diajaknya juga Sara keluar membeli-belah bersama-sama. Sudah lama Puan Kamilah tidak meluangkan masa dengan anak daranya yang seorang itu.
“Kalau Sara nak duduk di rumah, pastikan pintu berkunci, tau! Mama lama kat luar ni, sebab nak beli barang keperluan untuk adik Aiman,” ujar Puan Kamilah kepada anak kesayangannya itu.
Sebenarnya dia risau untuk membiarkan Sara berseorangan di rumah. Apatah lagi anak perempuannya itu masih muda jelita. Disebabkan khuatir dengan keselamatan di rumah, Puan Kamilah telah memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) di rumahnya.
Walaupun mereka bukanlah daripada golongan keluarga yang berada, tetapi Puan Kamilah berpendapat bahawa menjaga keselamatan itu memang suatu kewajiban. Mujurlah anak sulungnya, Rizal pandai memasang CCTV, jadi kos yang dikeluarkan oleh Puan Kamilah agak berbaloi dan lebih jimat jika dibandingkan dengan mengupah orang luar.
“Baik mama. Sara tahulah jaga diri, ma. Sara kan dah besar,” ujar Sara kepada Puan Kamilah.
Akur dengan kata-kata itu, Puan Kamilah akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya. Sara cepat-cepat mengunci pintu dari dalam rumahnya. Tanpa dia sedari, ada malang yang bakal menimpa.
Sara terus meluru ke ruang tamu. Dia menghampiri rak buku di ruang tamu lalu diambilnya buku kegemaran yang ditulis oleh Norhafsah Hamid. Memang inilah tujuan sebenar Sara tidak mahu ikut mamanya tadi. Dia ingin menghabiskan masa hujung minggunya dengan membaca novel cinta. Tiba-tiba, Sara terdengar bunyi loceng rumah ditekan.
Ding dong! Ding dong!
“Eh, cepatnya mama pulang!” ujar Sara sendirian.
Dengan tergesa-gesa disimpannya novel cinta tersebut.
“Ya mama, sekejap Sara buka pintu!” laung Sara meminta supaya ibunya bersabar.
Pelik juga. Mengapa mama menekan loceng berkali-kali tetapi tidak memberi salam? Padahal mama orang yang paling pantang jika tidak memberi salam apabila mahu masuk ke rumah.
Alangkah terkejutnya Sara apabila kelihatan seorang wanita dalam lingkungan 50-an sedang berdiri di depan pintu rumahnya.
“Mak cik. mak cik cari siapa ya?” ujar Sara kehairanan. Adakah wanita ini salah seorang kawan mama? Dia tidak pernah nampak wanita ini.
“Maaf, mak cik mengganggu anak. Mak cik datang ni ada hajat. Mak cik nak minta sumbangan. Dalam rumah ni ada Puan Kamilah tak?” wanita itu bertanya.
“Oh, mama! Mama tiada di rumah sekarang. Ada urusan apa ya?” tanya Sara dengan penuh sopan.
Mungkin mama ada urusan dengan mak cik yang sedang berdiri di hadapannya ketika ini.
“Mak cik kalau boleh nak jumpa dengan Puan Kamilah, sebab ada hal nak bincang,” ujarnya.
“Oh, kalau macam tu jemputlah masuk mak cik,” Sara terus mempelawa wanita itu masuk ke rumahnya. Dia tidak tahu bahawa perempuan itu ialah seorang penipu (scammer).
“Macam ni, nak. Mak cik sekarang tengah mohon sumbangan dari masjid ke masjid untuk keperluan rawatan mak cik. Mak cik ada juga minta sumbangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Pihak MAIK setuju nak beri sumbangan kepada mak cik, tapi sumbangan belum mencukupi. Sekarang ni pihak MAIK ada buat tawaran, kalau ada penderma yang sudi menderma kepada mak cik, mereka akan beri ganjaran tunai kepada penderma tersebut. Tidak kira individu ataupun institusi,” terang wanita tersebut panjang lebar.
Bersungguh-sungguh dia menerangkan tentang ganjaran tunai yang bakal diterima sekiranya ada pihak yang sudi menderma untuk kos rawatannya. Wanita itu juga ada menyebut nama penyakitnya, tetapi Sara tidak ingat tentang nama penyakit yang dihidapinya.
Sara termenung seketika. Dia tidak pernah dengar MAIK membuat program atau kempen sumbangan seperti yang disebut oleh wanita itu.
Dia menyuarakan pendapatnya, “Mak cik, kenapa MAIK suruh mak cik pula yang mohon sumbangan? Kalau pihak MAIK nak tolong, sepatutnya merekalah yang memohon sumbangan untuk mak cik.”
Wanita tersebut kelihatan terkesima. Namun cepat-cepat dilindungnya dengan kata-kata.
“Ini yang mak cik usahakan sendiri. Atas inisiatif sendirilah ni. Boleh ke mak cik minta sumbangan ni?” terus dia menukar topik. Mungkin dia takut ketahuan.
Sara pula masih termenung dan berfikir, sama ada dia patut percaya atau tidak kata-kata wanita itu. Tiba-tiba wanita itu menyingsingkan lengannya. Penuh dengan kesan lebam atau suntikan pada badannya. Menurutnya, lebam itu ialah kesan daripada rawatannya. Sara berasa kesian walaupun mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain. Tambahan pula hari itu ialah hari Jumaat. Sara berfikir bahawa sangat sesuai jika dia ingin bersedekah pada hari yang mulia.
“Baiklah, mak cik tunggu sekejap ya,” pinta Sara.
Sara terus mencari tabung simpanan dalam bilik tidurnya. Dengan lafaz bismillah, dia mengambil sekeping wang bernilai RM50.00. Walaupun timbul pelbagai persoalan dalam fikirannya, dia tetap membuat keputusan untuk menghulurkan wang kepada wanita itu.
“Terima kasih nak. Mak cik bersyukur sangat boleh jumpa dengan orang yang sudi tolong mak cik hari ini. Boleh tak mak cik nak minta nombor Puan Kamilah?” soal wanita tersebut sambil tersenyum manis.
“Boleh mak cik. Sekejap ya. Ini nombornya,” ujar Sara sambil menghulurkan nombor telefon yang ditulis di atas kertas kepada wanita itu.
“Masya-Allah, terima kasih nak,” wanita itu terus bersuara dalam nada syukur.
“Sama-sama mak cik. Saya doakan agar urusan mak cik dipermudahkan. Insya-Allah,” Sara menambah.
Sara lantas mengucapkan selamat tinggal kepada wanita itu sambil mendoakan urusannya. Lega hati Sara. Dia fikir dia telah membuat keputusan yang terbaik. Sara tersenyum sendiri tanda puas hati.
Sejurus selepas itu, kedengaran bunyi notifikasi di telefon bimbitnya menandakan ada pesanan Whatsapp yang masuk. Sara terus mengambil telefon bimbitnya itu. Sedang asyik menatal, Sara perasan ada mesej daripada Mak Cik Syuhara. Alangkah terkejutnya Sara apabila terbaca tajuk mesej tersebut “Awas, Ancaman Scammer dari Rumah ke Rumah.”
Oh, tidak! Nampaknya Sara sudah kena tipu. Entah bagaimana dia hendak beritahu mamanya nanti.
Sejam kemudian, Puan Kamilah tiba di rumah. Sara bergegas mendapatkan ibunya dan bercerita daripada A hingga Z. Dia menyatakan kekesalan atas kecuaiannya memberi ruang untuk orang yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah. Nasib baiklah tidak berlaku perkara buruk ke atas Sara. Puan Kamilah menggeleng-gelengkan kepala dan mengurut-urut dadanya.
“Allahu akbar! Mujur Sara selamat. Itulah Sara, kan mama dah pesan jangan bagi orang sembarangan masuk ke dalam rumah kita. Ini nasib baik Allah selamatkan Sara. Sebenarnya Sara, mama ada juga dapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali tadi, tetapi tertulis nombor scammer. Mama kan pakai Truecall, terus mama block nombor yang tak dikenali tu tadi. Ini Sara pula yang kena scam. Alahai anakku,” keluh Puan Kamilah.
“Betul mama. Sara minta maaf, mama. Sara janji akan lebih berhati-hati,” nada suaranya kesedihan.
Pada malam itu, Sara dan mama pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Tujuannya agar tidak ada lagi mangsa yang akan tertipu dengan scammer tersebut. Nasib baiklah ada bukti daripada rakaman CCTV. Hasil siasatan mendapati bahawa wanita itu telah menipu ramai mangsa dan pernah tular di Facebook pada tahun lepas. Wanita itu juga terlibat dengan aktiviti penagihan dadah. Duit hasil daripada menipu orang ramai itulah yang digunakan untuk membeli barang terlarang. Sara berjanji kepada ibunya bahawa selepas ini pisang tidak akan berbuah dua kali. Dia akan menyiasat terlebih dahulu sebelum mempercayai orang lain.