AIR mata enggan berhenti tatkala aku melewati taman syurga itu. Semakin kutahan semakin lebat gugurnya. Ustazah Faridah di sebelahku memeluk erat kedua-dua belah bahuku. Dialah yang paling memahami derita yang pernah aku lalui sebelum kaki ini menjejaki bumi haramain. Ustazah Faridah mengusap lembut tubuhku yang kian longlai dek sebak yang semakin meruntun.
Suara Ramadan, mutawif yang mengendalikan rombongan umrah dan ziarah kami sayup-sayup kedengaran memberi penerangan tentang sejarah Masjid Nabawi kepada para jemaah.
“Inilah taman cinta Rasulullah SAW yang dikatakan menjadi ruang di antara rumah baginda dengan mimbar baginda itu ialah taman syurganya. Mimbar tersebut terletak di atas kolam baginda,” suara itu jelas di pendengaranku. Sesekali Ramadan mencuri pandang ke arahku lalu menyambung semula bicaranya di hadapan jemaah yang lain.
“Keluasan taman Raudah ini kira-kira 26 meter dari arah timur bermula dari kawasan rumah baginda sehingga ke mimbar baginda di sebelah barat. Namun kawasan tersebut telah disekat dengan pagar makam. Begitulah mengikut pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama,” tambah Ramadan lagi. Selesai penerangan ringkas tersebut para jemaah mulai bersurai dan melaksanakan ibadah sunat di sekitar Masjid Nabawi.
Aku melintasi makam junjungan agung dalam lingkungan kawasan yang dihampari dengan permadani berwarna putih dan hijau. Sebak masih belum hilang tatkala aku mula mengangkat takbir menunaikan solat sunat. Ustazah Faridah pula selepas menunaikan solat sunat, dia meminggirkan diri membaca al-Quran. Sebuah al-Quran kecil yang dibawa ke mana-mana sahaja memudahkan pembacaannya. Amalan itu juga menjadi kebiasaan aku sepanjang perjalanan umrah dan ziarah. Kami berjanji akan bertemu semula di pintu Babul Jibrail seperti mana laluan kami memasuki masjid nabi tadi untuk mengambil keberkatan laluan yang dimasuki oleh malaikat Jibrail AS semasa membawa wahyu kepada Nabi Muhammad SAW.
Aku mengambil masa yang panjang untuk meneruskan zikir dan taubatku. Sesekali tidak akan aku persia-siakan peluang menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi untuk beramal ibadat sedaya mungkin. Sungguh pun tiada nas atau dalil yang mengatakan taman Raudah itu merupakan tempat mustajab doa, namun aku penuh yakin dengan ijtihad para ulama bahawa tiang-tiang di Raudah ini adalah ruang terbaik untuk mengerjakan ibadah solat, zikir, doa dan membaca al-Quran. Mukjizat Rasulullah itu tidak pernah lekang dari tanganku.
Aku menamatkan bacaan kalamullah pada surah az-Zariyat ayat ke-49.
‘Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah,’ monologku terhenti mengenangkan diriku yang kotor.
Masih adakah lelaki yang sudi menjadikan aku pasangan hidupnya jika masa silamku penuh dengan dosa sehingga aku dianggap sebagai ahli neraka? Air mataku menitis lagi. Teresak-esak aku cuba menahannya namun tetap berlagu pilu dan menyesakkan dada.
‘Ya, Allah…ampunilah aku!’ Untuk kesekian kalinya aku merintih untuk taubatku kepada Yang Maha Esa. Penyesalan berlagu-lagu dalam jiwaku yang melankolik. Resah bersulam takut andai Allah tidak menerima taubatku.
Dari kejauhan ruang di pintu Raudah kulihat kelibat Ramadan memerhatikan tingkahku. Mutawif itu sangat budiman orangnya semenjak diperkenalkan oleh Haji Rahmat kepadaku dan jemaah umrah yang lain sebelum kami terbang ke Mekah. Haji Rahmat, pengurus besar agensi umrah Wisata Suci tidak turut serta dalam rombongan kami. Namun, beliau sangat mengambil berat tentang jemaah melalui pemantauan dalam talian. Anaknya Ustazah Faridah diminta menjadi mahramku agar terjaga keselamatanku.
“Odah menangis lagi?”
Pertanyaan Ustazah Faridah menerbangkan ingatanku terhadap kaabah. Baitullah itu kulihat sayu pada pertemuan pandangan pertama. Baik sungguh Tuhan kepadaku yang keji ini dengan membawa aku di hadapan rumah-Nya.
Ustazah Faridah mendekati aku usai aku mendapatkannya di tempat yang dijanjikan. Ujaran lembutnya itu sedikit sebanyak memujuk kembali jiwa resahku. Aku memandangnya dengan sayu. Kami beriringan menuju ke Kafe Kopi Taibah untuk seteguk kopi panas. Setelah sekian lama berada di Madinah, baru kini aku teringin mencari kopi. Kami menapak ke kedai kopi tersebut yang mengambil masa antara 15 hingga 20 minit namun tidak terasa kepenatannya. Kulihat ramai jemaah lain juga melalui jalan yang sama.
“Saya… saya takut Allah tidak mengampunkan dosa-dosa saya, ustazah,” nadaku perlahan namun masih didengari oleh Ustazah Faridah.
Dia menggenggam erat tanganku, memberi kekuatan dan semangat. Mataku semakin sembab dek aliran suam air mata. Bukan sekadar di Madinah titisannya malahan semenjak di Mekah lagi.
“Yakinlah dengan doa-doamu, Odah. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” ucap Ustazah Faridah lembut. Kami mengambil ruang yang agak terselindung daripada pengunjung lain di Kafe Kopi Taibah. Secangkir kopi panas melalui tekak aku. Kebiasaannya di Malaysia, kopi menjadi hidangan wajib aku pada setiap petang.
“Saya ini kotor dan jijik. Bukan perempuan suci dan baik,” sekali lagi jiwaku meruntun menyesali dosa silam. Aku menundukkan wajah.
Ustazah Faridah menggenggam lagi jari-jemariku. Kali ini lebih kedap.
Saat aku melarikan diri daripada Nona Yam dari sarang pelacuran di sebuah hotel bajet, aku seperti gelandangan yang mencari tempat untuk merempat. Saat aku melintasi sebuah balai polis, aku lihat laman tersebut dipenuhi dengan kereta peronda polis. Aku trauma dengan pihak berkuasa. Bimbang ditangkap dan disumbat ke dalam lokap. Walhal mereka itu penjaga keamanan negara. Kugagahi kudrat yang bersisa pada malam penuh tragedi itu untuk mendapatkan pertolongan tetapi aku bagai hilang arah tuju. Aku menyedari konco-konco Nona Yam mengekori aku sebaik sahaja aku melepasi balai polis. Tatkala azan magrib berkumandang dari sebuah surau yang kulalui, aku terjelepuk jatuh dan akhirnya tidak sedarkan diri.
“Allah menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara. Odah insan yang Allah pilih untuk mendepani ujian itu. Diuji dengan kesengsaraan dan akhirnya disucikan dengan keimanan.” Lembut bicara Ustazah Faridah membuatkan sukmaku sedikit terubat.
Perlahan-lahan aku mengesat pipi yang basah.
“Saya mahu hidup seperti orang lain juga. Punya keluarga yang dilimpahi kasih sayang.”
“Saya sudah menganggap Odah seperti saudara kandung. Ayah saya, Haji Rahmat juga sudah menganggap Odah seperti anaknya sendiri. Saat kami menemui Odah pengsan di perkarangan surau dulu, kami tidak pernah memandang Odah pada sisi yang gelap.” Ustazah Faridah mengimbas kembali pertemuan pertama kami.
Esok Ramadan bakal menjelma. Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut Ramadan di bumi asing yang penuh berkat. Betapa bersyukurnya aku apabila berpeluang menyambut puasa di bumi Madinah. Aku kuatkan semangat untuk bangkit daripada malas bagi menunaikan tahajud seperti mana yang diajarkan oleh Ustazah Faridah. Sebelum azan subuh kedengaran, aku sudah berada sekali lagi di taman syurga pesuruh Allah.
Aku berselisih dengan Ramadan, mutawif yang budiman itu. Dia melemparkan senyumannya sebaik sahaja kami bertembung di Babul Jibrail. Aku menundukkan pandanganku daripada berlama-lama memandang rautnya yang bersih.
Kali terakhir kami bertegur sapa semasa di Jabal Rahmah, sebelum rombongan kami meneruskan musafir ziarah ke Madinah. Bukit yang berketinggian 70 meter itu kudaki dengan penuh keinsafan. Sejarah pertemuan semula nabi Adam dan isterinya Hawa di Jabal Rahmah seolah-olah memanggil aku untuk merasai kasih sayang mereka. Aku, entahkan berjodoh entahkan tidak. Kulepaskan keluahanku kepada sang pencipta. Moga Allah mengurniakan kepadaku jodoh yang terbaik bagi-Nya.
Ramadan menyapaku dengan penuh hormat seadanya aku sebagai seorang wanita tika aku menelusuri Jabal Rahmah. Kalaulah dia tahu latar belakang kehinaan yang pernah aku lalui, sudah tentu dia tidak mahu menegurku apatah lagi melemparkan senyumannya kepadaku. Ustazah Faridah sudah laju ke hadapan meninggalkan aku. Meskipun usia wanita berstatus ibu tunggal itu sudah mencecah 50 tahun, tenaganya masih kuat untuk mendaki Jabal Rahmah.
“Orang kata, Jabal Rahmah ini tempat ‘minta jodoh’ tapi tiada dalil yang mengatakan sedemikian. Jadi para jemaah diingatkan agar tidak taasub dengan cerita ini.” Dengan penuh berhemah Ramadan memberikan penerangan kepada kami. Sekilas dia memandangku dengan senyuman.
Aku membalas seadanya agar tidak dikatakan sombong.
Taman Raudah belum disesakkan oleh pengunjung masjid. Peluang tersebut kuambil untuk berlama-lama di situ. Bersungguh-sungguh kumohon kepada Ilahi agar Dia mengampuni dosa-dosaku. Aku mahu pulang ke tanah air dengan ketenangan yang paling dalam. Air mata tidak mahu mengalah. Sekali lagi berderai membasahi pipi. Kukesat dengan telekung yang hampir lencun menginsafi segala kelaku yang buruk dan hina. Memohon diampuni segala noda dan menempatkan aku di dalam syurga Firdausi. Kusujud paling lama untuk terus berdoa sehingga sesak dadaku menahan tangisan yang enggan berhenti.
“Raudah…,”
Aku memesongkan tubuhku tatkala namaku dipanggil. Ustazah Faridah tercegat di belakangku. Tanpa kusedari laman Raudah itu sudah mula dipenuhi oleh jemaah masjid daripada pelbagai bangsa serata dunia. Aku beralih untuk memberi peluang kepada jemaah lain yang juga mahu merasai nikmatnya berada di taman Raudah.
“Jom, sahur!” Ustazah Faridah menarik lenganku dengan sopan keluar dari perkarangan Raudah.
Di luar pintu Raudah kelihatan Ramadan. Mutawif yang budiman itu sedang menunggu kami.
“Sahur di mana, ustazah?” tanyaku berbasi-basi. Sedangkan aku tahu kebiasaan jemaah di Madinah akan bersahur dengan kurma atau roti sahaja sama ada di dalam masjid atau di mana-mana pun keadaannya tidak banyak beza.
“Di sudut hati Ramadan,” jawapan Ustazah Faridah mengelirukan aku. Ustazah Faridah senyum manis.
“Salam Ramadan!” Ustazah Faridah menyapa mutawif budiman kemudian mengalihkan pandangannya kepadaku.
“Raudah, sudah terbukakah pintu hatimu untuk menerima jodoh yang terbaik bagi Allah buatmu?”
Pertanyaan Ustazah Faridah di hadapan mutawif budiman itu membuatkan aku terpana. Nafasku seakan-akan berjeda.
“Bagi pihak adinda saya, di dalam Masjid Nabawi, bersaksikan makam nabi dan makam para sahabat baginda, berlingkungkan bulan paling mulia, saya berhasrat menyunting Raudah sebagai adik ipar saya.”
Ramadan menyerahkan sebentuk cincin kepada Ustazah Faridah lalu disarungkan pula ke jari manisku. Aku tergamam seketika tanpa suara dan bicara. Aku memeluk wanita mulia itu seerat-eratnya dengan iringan tangisan kecil yang membasahi jubah hitamnya
“Cincin emas belah rotan, cinta berbalas pilihan Tuhan,” bisikku sayup antara dengar dengan tidak.
Lelaki mutawif yang budiman itu sujud syukur sebaik sahaja ungkapan itu aku tuturkan di hadapannya. Ramadan masih di pintu Raudah, menanti waktu bersahur. Kupandang dada langit Madinah yang bertebaran kerdipan bintang kesyukuran dan kebahagiaan.
Sebiji kurma kusuap ke mulut. Kurasai kemanisan waktu bersahur yang pertama di hati Ramadan.