Wahai insan, dengarlah bisikan
dari si rimba, laut dan awan
angin lembut berhembus mesra
mengundang kasih, penuh pesona.
Burung berkicau di pagi hening
menyambut mentari dengan nyanyian
dedaun melambai, pohon menari
bagai menanti belaian sang peri.
Air sungai mengalir jernih
bagai kalam menuturkan madah
jangan dicemar anugerah indah
sungai sumber kehidupan mengalirkan barakah.
Gunung tinggi menjulang megah
teguh berdiri, tiada lelah
gunung berseru kepada manusia
jagalah daku, pusaka berharga.
Wahai insan yang punya rasa
dengarlah rayuan sang alam
rayuan halus, namun mendalam
agar dirimu tidak alpa.
Hargailah segala ciptaan Tuhan
kerana alam ini satu amanah
bersatulah kita menjaga warisan
agar lestari sepanjang zaman.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
