AKU hanya sempat mengenali lelaki itu selama enam tahun. Aku tahu dia telah pergi. Linangan air mata ibu yang menuruni cerun pipinya yang putih dan gebu ketika bersimpuh di sebelah sesusuk tubuh yang terbujur kaku berbalut kain kapan cukup untuk menggambarkan kesedihannya. Ucapan belangsukawa untuk ibu tidak putus-putus dia terima daripada rakan dan jiran terdekat agar dirinya tabah untuk menghadapi ujian ini.
Kacapuri rumahku seolah-olah sebuah perkuburan yang sunyi sepi. Aku yang duduk di ribanya, didakap penuh erat. Entah berapa kali ibu mendaratkan bibirnya ke dahi, pipi dan ubun-ubunku. Antara dengar atau tidak, berulang kali ibu berbisik ke telingaku
“Abah Aqil telah pergi … Abah Aqil telah pergi.”
Saat sekujur tubuh abah diangkat pergi oleh beberapa orang penduduk kariah lalu dimasukkan ke dalam van jenazah berwarna putih, ibu pengsan. Beberapa kali ibu jatuh rebah tidak sedarkan diri. Mujur sempat disambut oleh beberapa orang penduduk jemaah kariah wanita.
Aku mengikuti van jenazah yang membawa tubuh kaku arwah abah hingga ke Tanah Perkuburan Islam Laman Abadi yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan. Setibanya di sana, aku turut berdiri betul-betul di tepi lubang kuburnya.
Tubuh arwah abah disambut oleh penggali kubur dan para jemaah yang lain lalu dibaringkan di liang lahad. Sebaik sahaja keranda menutupi jasadnya dan dikambus dengan tanah oleh para penggali kubur, air mataku tiba-tiba berlinangan. Barulah aku tahu ertinya perpisahan. Sungguh, rindu terhadap orang yang telah tiada amat menyakitkan atma!
Aku sempat menjeling ke arah ibu yang duduk di sebuah pondok yang terletak agak tidak jauh dari tempat ayah disemadikan. Dia duduk bersimpuh sambil tunduk tidak henti-henti menyeka air matanya. Beberapa orang saudara-mara terdekat mendakap erat tubuhnya memberikan kata-kata semangat dan bersabar akan ketentuan Malikulmanan.
Hari-hari yang berlalu benar-benar membuahkan suasana yang membisu dan sepi. Setiap petang, aku masih duduk di muka pintu menanti kepulangan arwah abah kendatipun aku tahu dia tidak akan muncul sampai bila-bila. Kini, tiada lagi kelibat lelaki yang bertubuh sasa tinggi lampai itu merangkul lalu mendukung tubuhku dan menghadiahkan ciuman yang bertubi-tubi ke arah pipiku sehingga aku canda tawa kegelian.
“Aqil, sudah hampir senja. Pergi mandi. Selepas itu solat Maghrib bersama dengan ibu,” pesan ibu lembut.
“Ibu, Kalau kita selalu solat dan berdoa, arwah abah akan pulang? kita akan jumpa abah?”
Ibu diam. Masih ada kesedihan yang terlukis di wajahnya. Sejak kebelakangan ini, ibu lebih banyak menitiskan air mata berbanding senyum. Dia merapati lalu mendakapku. Lembut jari-jemarinya mengusap-usap akan ubun-ubunku.
“Arwah abah tidak akan pulang lagi Aqil. Tapi kalau kita selalu berdoa, kita akan berjumpa dengan abah suatu hari nanti, insya-Allah,” balas ibu.
“Jumpa di mana?” tanyaku ingin tahu.
“Di syurga.” Jawab ibu ringkas diiringi linangan air mata rindu akan arwah abah.
“Syurga itu jauh tak ibu?” soalku lanjut ingin kepastian.
Ibu angguk. “Jauh … Kalau Aqil jadi anak yang soleh dan selalu berdoa untuk arwah abah, Aqil juga akan ke sana dan berjumpa dengan arwah abah.”
“Di syurga?”
“Ya, sayang…” Ibu angguk lagi.
Hilir malam terus melagukan senandung duka. Tiada lagi suara merdu abah mendodoikan lagu sehingga aku lena di bilik ini. Tiada lagi canda tawa dan hangat dakapannya. Malam ini dan malam-malam seterusnya aku hanya mendakap sunyi. Sunyi yang hanya diiringi air mata rindu yang menyesakkan atma mengenang.
**********
Sejak ketiadaan abah, ibu terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan kami. Seminggu ibu bekerja pada sebelah siang, seminggu lagi ibu bekerja pada sebelah malam, kerja kilang. Kata ibu, abah tidak meninggalkan wang simpanan yang banyak untuk kami. Apatah lagi hibah untuk kami. Aku tahu, arwah Abah hanya seorang penghantar makanan melalui e-panggilan.
Entah sampai bila aku harus melalui liku-liku hidup seperti ini. Lebih banyak menghabiskan masa di tadika berbanding di rumahku sendiri. Aku tidak menyalahkan ibu. Ibu punya tanggungjawab yang amat berat. Aku mesti memahaminya walaupun aku mula merasakan ada kerenggangan dalam hubungan kami berdua.
Setiap kali balik kerja, ibu sering mengadu keletihan. Oleh hal yang demikian, aku sering terbiar kesepian. Jika arwah abah masih ada, tentu suasana yang membisu ini dapat diisi oleh canda tawa serta gurau senda dan gelak ketawanya. Seletih mana pun abah, kemahuanku seboleh-bolehnya akan dia penuhi.
Dunia kecilku yang sepatutnya dipenuhi oleh bianglala indah bertukar menjadi kelam sejak ketiadaan arwah abah. Sudah hampir enam bulan abah bersemadi di negeri abadi. Kali terakhir aku menziarahi pusaranya kira-kira dua bulan lalu. Aku menemani ibu mencacakkan batu nisan yang bertulis nama abah, tarikh lahir dan tarikh kematiannya. Di situ, aku lihat ibu menangis lagi.
Sepi dan derita yang menghunjam hidup ibu rupa-rupanya tidak lama. Taman sepi dalam hati itu rupa-rupanya kembali dihiasi serayu harum aneka warna laksana bianglala tujuh warna. Ibu sudah kembali tersenyum dan ceria.
“Esok Aqil pakai baju yang cantik-cantik. Ikut ibu makan angin. Sudah lama Aqil tidak bersiar-siar di kota,” ujar ibu. Di bibirnya sentiasa menguntum senyuman.
“Maksud ibu, jalan-jalan? Dengan siapa?”
Tentu sahaja aku agak hairan. Lazimnya ibu terlalu sibuk dan akhirnya kepenatan mengurus aku dan rumah. Dunianya hanya aku, rumah dan kilang.
Ibu tidak menjawab. Ibu tersenyum lagi. Senyuman yang lebih panjang dan pastinya mengandungi makna yang tersirat. Ibu lebih senang membiarkan aku tertanya-tanya sambil berkerut seribu. Akhirnya, keseronokan bersiar-siar di kota raya lebih mengujakan daripada keanehan sikap ibu. Dan, inilah detik yang terbaik untuk mengimbas kenangan bersama arwah abah semasa hayatnya. Setiap awal bulan, pasti abah akan membawa aku dan ibu ke kota raya.
*********
Masih terlalu awal. Meskipun dia meladeni aku dengan baik, namun dalam hati ini masih ada sekelumit rasa curiga. Aku tidak tahu, apakah kebaikan yang dilakukannya hanya untuk membeli hatiku?
Pesan ibu, jangan suka berburuk sangka. Seboleh-bolehnya, ibu berusaha meyakinkan aku bahawa lelaki itulah calon yang terbaik untuk menggantikan arwah abahku.
“Aqil masih terlalu muda untuk mengenal erti hidup. Tapi Aqil percayalah, apa yang ibu lakukan adalah untuk kebaikan Aqil juga,” ujar ibu pada suatu malam ketika aku sedang menonton rancangan kanak-kanak kegemaranku, iaitu Keluang Man di kaca televisyen.
“Ibu sudah lupa pada arwah abah?”
Entah mengapa tiba-tiba pertanyaan itu terkeluar dari bibir mulutku. Ibu sedikit tersentak. Apabila ibu mengerling tajam ke arahku, aku segera tunduk. Betapa celuparnya mulutku. Lantas, aku segera masuk ke bilik. Tidak sanggup untuk bertentangan mata dengan ibu.
Akhirnya, ibu telah diijabkabulkan dengan lelaki itu. Lelaki yang kata ibu mampu menjadi pengganti arwah abah buatku walaupun statusnya hanya abah tiri. Saban pagi, lelaki itulah yang menghantarku ke sekolah tadika dan menjemputku ketika pulang. Adakalanya, dia mengajak aku minum di sebuah kedai yang letaknya tidak jauh dari kawasan rumahku. Aku sedar, ada kesungguhannya untuk memenangi hatiku. Malah, setiap masa seolah-olah dia tidak mahu berenggang denganku lebih-lebih lagi apabila ibu ada di rumah.
Curiga. Ah, entah mengapa perasaan itu berterusan mengasak jiwaku! Aku tidak pandai berbohong. Setiap kali aku meluahkan perasaanku, ibu tetap meyakinkan dialah lelaki terbaik untuk menggantikan tempat arwah abah.
**********
Setelah hampir tiga bulan dia menikahi ibuku, aku mula menghidu akan perubahan pada dirinya. Jika sebelum ini dia akan menjemput aku tepat pada waktunya, tapi kali ini acap kali dia lewat. Mujur guru prasekolah membenarkan aku berada di dalam kelas sehingga abah tiriku tiba untuk menjemputku.
“Anak mentah seperti kamu, perlukah bertanya ke mana abah pergi?” jerkahnya pada suatu hari apabila aku bertanya mengapa dia kerap lewat menjemputku. Sejak itu, aku diam sahaja. Tidak berani lagi bertanya-tanya.
Tiba-tiba aku berasa asing di rumahku sendiri. Rumah inilah satu-satunya pusaka abah yang begitu banyak menyimpan memori yang cukup sentimental. Seolah-olah di segenap ruang teratak ini ada arwah abah. Seiring nafas menghanyut usia, sedikit demi sedikit ibu mula membuang memori itu. Gambar abah tidak lagi tersangkut di ruang tamu atau di dalam bilik. Disembunyikan entah di mana. Malahan, semua pakaian arwah abah turut dibungkus dan diberikan kepada orang yang memerlukan.
Bersuara? Cukuplah sekali peritnya pipiku menerima sentuhan pertama abah tiriku kerana pernah bertanya kepada ibu tentang soal itu pada suatu ketika. Rupa-rupanya abah tiriku tidak menyukai akan sikapku.
“Abah kamu sudah mati! Kamu faham? Buat apa menyimpan barang orang yang sudah mati?” tengking abah tiriku sebaik sahaja ibu melangkah keluar dari rumah untuk pergi kerja.
Pada saat aku mengenal erti kehidupan, aku juga mengenal penderitaan. Malikulmanan sahaja yang tahu bagaimana rasanya diperlakukan sedemikian rupa. Hanya jerit kesakitan dan tangisan atma yang dapat kuluahkan. Rupa-rupanya, dendam abah tiriku tidak pernah sirna dari hatinya. Sekecil manapun kesalahan yang aku lakukan, pasti aku akan dihukum dengan sekeras-kerasnya. Lebih-lebih lagi selepas dia keluar dari bilik dengan mata yang merah dan terhoyong-hayang.
Ibu? Cinta dan kepercayaannya kepada abah tiriku melebihi kebenaran kata-kataku.
“Sejak bila Aqil pandai berbohong? Abah tiri Aqil baik perilakunya. Kenapa Aqil selalu cerita yang buruk-buruk tentang dia? Ibu lebih mengenali dia,” kata ibu tegas.
Aku diam seperti seorang penjenayah yang berada di kandang pesalah dan dibela oleh seorang peguam bela yang berpaling tadah.
Abah tiriku semakin bertindak buas dan ganas sejak dia mengetahui aku mengadukan perihal akan perlakuannya terhadap diriku kepada ibu.
“Kecil-kecil sudah pandai mengadu domba. Buat cerita yang bukan-bukan!”
Serentak itu, kepalan penumbuknya singgah di perutku. Senak yang teramat sehingga aku tidak mampu untuk mengeluarkan suara. Tidak cukup itu, belakang badanku dilibas dengan tali pinggang kulitnya. Lantas mengelupaslah kulitku. Pedih yang teramat! Aku merayu kepadanya agar tidak diperlakukan begitu, tetapi dia benar-benar sudah dirasuk syaitan. Syaitan dadah!
Saat aku terkulai tidak bermaya, dia lesap entah ke mana. Meskipun badanku lebam-lebam, aku tidak berani membuka mulut. Dia terlebih dahulu memberitahu ibuku bahawa belakangan ini aku terlalu nakal dan lasak bermain bersama dengan anak-anak jiran. Ibu pun percaya tanpa berkata apa-apa.
*********
Bagaikan retak pertujuh, kerinduanku terhadap arwah abah membuak-buak sejak akhir-akhir ini.
Dalam mimpi, dia sering datang dengan wajahnya yang jernih dan bersih. Dia sering mengajak aku mengikutnya. Katanya, di sana lebih tenteram dan damai.
Sudah hampir seminggu aku tidak ke sekolah. Aku benar-benar sakit. Perutku berasa sangat pedih seperti organ-organ dalamanku telah rosak. Ada juga ibu mengusulkan kepada abah tiriku agar membawaku ke klinik. Namun demikian, aku menolak.
“Salah makan tu. Budak-budak, pantang nampak makanan sedap, semua hendak ditelannya,” kata abah tiriku yang duduk sambil menyandarkan tubuhnya di sofa. Namun, matanya sempat menjeling tajam ke arahku.
“Kalau teruk sangat, esok abang bawa ke klinik ya,” ujar ibuku yang sedang duduk sambil melipat kain. Abah tiriku hanya mengangguk malas.
Malam itu, abah datang lagi dalam mimpiku. Kali ini aku dapat merasakan dia menyentuh tubuhku. Lembut jari-jemarinya membelai-belai rambutku. Ah, betapa rindunya! Sekali lagi dia mengajakku ke sana. Kali ini, aku angguk.
Aku terjaga daripada lena apabila terdengar suara abah tiriku merungut-rungut sambil menyelongkar almari pakaianku.
“Abah cari apa?” soalku lalu perlahan-lahan bangkit. Dia langsung mencekak leherku dan mengoncang-goncang tubuhku. Sungguh, perit rasanya menahan kesakitan yang tiada galang!
“Mana tabung kamu, ha? Mana?” jerkah abah tiriku. Matanya membulat merah.
“Tak boleh! Itu tabung peninggalan arwah abah Aqil,” ujarku dengan suara yang tersekat-sekat.
Dia semakin menguatkan cengkamannya. Entah berapa kali dia menghantukkan kepalaku ke dinding. Kepalaku berasa sakit dan pening. Dia melepaskan aku dan terus menyelongkar almari pakaianku. Berselerak isi perut almari itu. Akhirnya, abah tiriku menemui tabung yang hampir penuh itu. Aku merayu kepadanya agar tidak mengambil tabung itu kerana duit syiling di dalam tabung itu adalah satu-satunya pemberian daripada arwah abahku. Walaupun begitu, dia tidak mempedulikan suaraku. Ketika aku cuba menghalang, dia menghentak kepalaku dengan tabung yang diperbuat daripada seramik itu.
Aku terjatuh. Mataku memandang ke atas. Aku dapat merasakan ada cecair hangat mengalir keluar dari kepalaku yang membuak-buak. Pandanganku mula berpinar-pinar. Cahaya di sekeliling mula sirna. Dalam keadaan yang semakin berbalam-balam, muncul wajah bersih arwah abahku. Semakin lama semakin dekat. Semakin hampir. Arwah abah tersenyum manis kepadaku laksana laut madu berpantai gula. Lalu memberikan salam.
Aku menjawab salamnya. Kemudian, abah membawaku ke tempat yang penuh keindahan dan kenikmatan. Sungguh, rinduku pada arwah abah tidak terungkap dengan kata-kata. Aqil rindu abah!
Maka, sejak itu, aku bebas. Aku berasa sangat tenang. Rinduku kepada arwah abah telah terubat. Kini, aku dapat bersama-sama dengan abah di negeri abadi.
Selamat tinggal ibu, selamat tinggal abah tiriku. Semoga ibu sentiasa berbahagia di samping abah. Kenangkanlah daku dalam doamu.