Skip to content
Sampah Halimunan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Sampah Halimunan
Sampah Halimunan
Cerpen

Sampah Halimunan

  • CLAYTON ROBERT
  • 5 Julai 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 271
  • 5

PADA pagi itu, hujan turun dengan lebat. Kilat sabung-menyabung di dada langit seperti permainan bunga api. Air parit melimpah keluar. Anehnya, tidak nampak saluran yang tersumbat. Kadang-kadang kilat kelihatan bagai kilauan sisik ikan terkena cahaya matahari dalam air sungai. Deruan air yang meleleh daripada bibir parit dengan deras mengairi permukaan jalan raya.

Jalan raya bertar mulai digenangi air. Sedikit demi sedikit paras air menaik. Keanehan yang terjadi semakin menjentik fikiran. Kejadian sebegitu belum pernah terjadi sebelumnya. Ini kali pertama kawasan bandar sekonyong-konyong dilimpahi air parit. Tiada seorang pun yang menyangka yang hujan akan turun dengan lebat pagi itu. Semua penduduk bandar mengira hari akan cerah dan panas sepanjang hari.

Secara logiknya, banjir kilat akan berlaku sekiranya terdapat saliran parit yang tersumbat, menyebabkan aliran air tersekat dan gagal menuju ke sungai. Tiada persinggahan untuk meloloskan diri.

Penghuni-penghuni kota raya yang berasak-asak dan berpusu-pusu keluar daripada lubuk masing-masing untuk mencari rezeki mulai terjebak dengan kesesakan lalu lintas yang mulai menyangkut umpama ikan yang terperangkap pada jaring nelayan. Tidak dapat bergerak bebas dan langkah terhenti. Kematian jejak. Masa sentiasa berjalan dan tidak mungkin akan berhenti seketika. Dikhuatiri dengan kesesakan itu akan menimbulkan kemarahan majikan. Sekiranya diberikan amaran lisan sahaja masih lagi boleh diterima. Jikalau dipotong gaji atau diberhentikan kerja, sudah pasti akan menjadi suatu bencana.

Air semakin menaik dan terus meningkat daripada paras biasa. Hingga menenggelamkan suku separuh tayar kereta. Awan hitam yang memayungi kawasan langit bandar tidak berhenti-henti menjunamkan butir-butir air ke tanah. Tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan awan hujan akan segera meninggalkan kawasan bandar. Awan hitam itu masih setia menaungi kawasan dengan jumlah penduduk yang padat.

Bertahun-tahun, belum pernah terjadi kejadian seumpama ini. Bandar yang pesat membangun ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Begitu juga dengan laporan yang sering diucapkan dan dilaporkan oleh orang berbaju kot kemas – semuanya baik belaka.

Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan poster ramalan kaji cuaca yang terkini pada pukul 7.00 pagi tadi untuk tempoh empat jam ke depan. Cuaca pada sebelah pagi diramalkan hujan. Amaran hujan lebat berterusan juga telah dikeluarkan untuk hebahan awam supaya berhati-hati dan bersiap sedia dengan kemungkinan cuaca yang tidak menentu. Malangnya, ada sesetengah orang menganggap ramalan cuaca tidak semestinya benar dan kadangkala mengarut. Ketepatan data dan hasil kajian masih boleh diragukan. Ada juga yang mengabaikan ramalan kaji cuaca. Langsung tidak diendahkan sama sekali. Walaupun diramalkan akan hujan, tetapi apabila tiba-tiba cuaca cerah, maka akan dituduh ramalan kaji cuaca sentiasa tidak tepat dan melalut.

Manusia seharusnya berpijak di bumi yang nyata. Jabatan Meteorologi hanya meramalkan keadaan cuaca berdasarkan dapatan kajian yang dilakukan mengikut gaya atmosfera bumi di lokaliti tempatan. Yang menentukan hasil akhirnya ialah Tuhan, pencipta alam semesta. Manusia hanya mampu merancang.

Saya menapak keluar daripada pagar rumah kerana ingin memeriksa keadaan sistem perparitan di hadapan rumah. Dari pandangan mata kasar, saya tidak menemukan sebarang sampah atau benda yang menyebabkan parit tersumpal. Aliran air di dalam parit seperti biasa dan lancar.

Kebiasaannya, jika terdapat penghadang atau apa-apa benda yang menghalang aliran air, pasti akan mengakibatkan air melimpah keluar. Puas saya mencari sebarang petunjuk yang menjadi punca banjir kilat. Malangnya, tidak ditemukan apa-apa tanda.

Kejadian yang berlaku itu mengimbau kembali peristiwa yang pernah berlaku beberapa bulan yang lalu. Peristiwa hitam yang masih meninggalkan bekas mendalam dalam diri dan emosi jiran sebelah rumah. Sehingga kini, dia masih tidak dapat menerima kenyataan yang anak perempuannya telah pergi buat selama-lamanya. Jiran sebelah rumah saya, Siew Mei telah kehilangan anak perempuan satu-satunya yang pada ketika itu berusia 12 tahun akibat lemas dan dibawa arus deras.

Semasa kejadian, tiada sesiapa pun di kawasan perumahan ini menyangka akan terjadi banjir kilat terburuk dalam sejarah bandar ini. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Daripada penelitian kepada keadaan cuaca, semuanya baik dan tiada sebarang petanda akan berlaku bencana. Malangnya, pagi itu, langit mengguyur air hujan dengan lebat sekali. Tiada henti-henti.

Siew Mei pada ketika itu tetap berhasrat untuk menghantar anaknya ke sekolah tanpa menghiraukan hujan lebat. Baginya, pendidikan anak adalah segalanya. Akan tetapi, paras air yang naik dengan mendadak telah mengakibatkan motosikal yang dikendalinya gagal dikawal lalu tersembam ke tanah. Anak perempuannya terlepas daripada pelukan. Lalu dibawa arus deras banjir kilat menghala ke parit. Dalam keadaan yang panik. Siew Mei melolong meminta tolong penduduk-penduduk taman perumahan. Penduduk-penduduk taman perumahan yang mendengar jeritan Siew Mei bergegas keluar dari rumah walaupun pada ketika itu rumah telah dinaiki air.

Sangat mengharukan apabila anak perempuan Siew Mei gagal ditemukan. Dia dibawa arus deras sehingga menyukarkan penduduk taman perumahan mencari dan menyelamat. Akhirnya, bantuan daripada agensi penyelamat dihubungi. Selepas beberapa jam bertungkus lumus mencari kanak-kanak malang itu, akhirnya dia ditemui dalam keadaan tidak lagi bernyawa. Mayatnya ditemui tersadai di dalam parit.

Penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu oleh agensi penyelamat memicu raungan dan lolongan Siew Mei yang mendengking di bawah tujahan hujan yang masih lebat. Air mata kesedihan dan kepedihan ibu tunggal itu bercampur baur dengan air hujan yang makin meninggi hingga paras lutut. Siew Mei merangkul mayat anaknya tanpa dilepas walau sesaat.

Memandangkan keadaan banjir kilat semakin memburuk, semua penduduk taman perumahan diarahkan untuk berpindah ke dewan masyarakat yang berada di kawasan bukit berhampiran bandar. Disebabkan oleh kejadian alam itu, bandar menjadi sesak dan hampir lumpuh. Banyak kereta tersangkut di atas jalan raya akibat banjir. Suasana menjadi huru-hara. Masing-masing berusaha untuk menyelamatkan diri dan harta benda.

Kami semua mencari kelibat orang besar di dewan masyarakat. Lebih empat hari kami ditempatkan di dewan masyarakat. Tiada langsung kelibat sosok figura yang gemar berfoto kenangan di situ untuk mengambil gambar. Cuma beberapa agensi kerajaan tertentu sahaja yang setia membantu dan melayani kami termasuk menguruskan urusan pengebumian anak Siew Mei yang terkorban. Kami cuma dikhabarkan yang orang besar berada di luar kawasan. Sedang sibuk berfoto di tempat lain, barangkali.

Saya telah tinggal di bandar ini berpuluh tahun. Jarang-jarang sekali saya melihat kelibat orang besar yang berbaju kot dan terkenal itu. Yang lebih dahsyat, saya sendiri tidak mengenali sosok peribadi atau bertemu secara bersemuka dengan beliau. Anak saya seringkali menunjukkan figura beliau jika keluar di kaca televisyen ataupun di media sosial. 

Oh, ya. Saya teringat dua tahun dahulu, pernah sekali saya berjabat tangan dengan beliau. Di suatu majlis keramaian. Meraikan pemilihan. Selepas itu, saya tidak lagi berkesempatan untuk bertentang muka dengan beliau apatah lagi melihat kelibat beliau melilau di sekitar kawasan bandar untuk berjoging dan mengambil gambar kenang-kenangan sebelum pulang ke pejabat dan memasukkannya ke dalam buku memori.

Buku memori ini sangatlah berguna dan penting buat beliau. Buku itu umpama nyawa buat beliau. Tanpa buku kenangan, beliau akan mati. Mati tersungkur ke jurang paling dalam. Oleh itu, setiap tahun, beliau mesti mengemaskini dan melaporkan gambar-gambar kenangan supaya ada rekod untuk kegunaan beberapa tahun kemudian. Kata jiran-jiran, beliau tidak turun berseorangan. Beliau turut ditemani beberapa orang yang akan mengambil gambar kenangan dengan beliau. Kerlipan lampu kamera bergemerlapan seperti panahan petir. Demi membuktikan kawasan bandar itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

Oleh sebab situasi banjir kilat yang makin memburuk. Saya memutuskan untuk kembali ke dalam rumah bagi melakukan persiapan sekiranya diarahkan berpindah oleh agensi penyelamat. Air mulai memasuki kawasan ruang tamu rumah pada paras buku lali. Saya mengarahkan anak-anak untuk segera mengemas barang-barang keperluan peribadi yang penting. Dengan pantas, saya meluru laju ke dalam bilik dan mengambil beg besar untuk diisi dengan barang peribadi dan dokumen-dokumen penting untuk dibawa keluar kelak.

Dengan tidak semena-mena, anak lelaki saya berlari ke arah saya dengan membawa telefon bimbit sambil menjerit-jerit. Saya terpempan dibuatnya. Saya berhenti seketika menyusun pakaian di dalam beg. Anak lelaki saya terus duduk bersebelahan di atas katil. Dia menunjukkan sebuah klip video yang dirakam oleh orang besar secara langsung di laman media sosial Facebook miliknya.

Di dalam video yang dibuat secara langsung itu memaparkan situasi orang besar yang terperangkap di dalam keretanya atas jalan raya di kawasan bandar. Jalan sesak dan pergerakan kereta perlahan akibat banjir teruk. Itu bermakna orang besar berada berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. Selain itu, kelihatan juga orang besar sebenarnya dalam perjalanan ke kawasan perumahan untuk meninjau situasi banjir.

Saya dengan pantas meranduk air banjir ke luar rumah. Di situ saya juga menyaksikan beberapa orang penduduk taman perumahan yang melihat orang besar berada di kawasan parit dengan berpakaian baju hujan. Seperti biasa, dia membawa kamera untuk merakamkan memori untuk diingati.

“Jangan bimbang, bantuan akan tiba. Saya akan membawa isu banjir kilat ini untuk diatasi dengan segera”.

Orang besar berucap dengan menggunakan pembesar suara.

Pernah diusulkan dahulu supaya dibina dengan segera sistem perparitan bawah tanah yang lebih sistematik dan teratur untuk mengalirkan air hujan terus ke sungai berhampiran untuk mengurangkan risiko banjir. Tapi, semuanya tinggal kenangan.

Segala yang keluar dari mulut orang besar macam sampah hingga menyumbatkan parit. Yang menyumbatkan parit adalah janji. Janji orang besar. Itulah sebenarnya sampah.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (17) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (24) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Langit Petang
Puisi

Langit Petang

  • 9 Ogos 2023
  • 168
  • 3.5
Kempeitai: Di Manakah Moralnya?
Bicara Sastera

Kempeitai: Di Manakah Moralnya?

  • 20 Jun 2023
  • 437
  • 3.7
حيران؟
Puisi Moden

حيران؟

  • 5 Disember 2023
  • 5
Perjalanan Penulisan Melalui Pengalaman Yang Berharga
Tokoh

Perjalanan Penulisan Melalui Pengalaman Yang Berharga

  • 5 Mac 2025
  • 49
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP