Malam itu
samar-samar cahaya
menyelinap di celah pintu kamar
sepi tanpa bunyi
mereka lena dibuai mimpi.
Malam itu
dentuman muzik memecah sunyi
lampu bercahaya, berwarna-warni
mereka menari tanpa henti
mengejar tawa yang hanya sementara.
Malam itu
tiada mata yang memerhati
hanya Tuhan dan diri
sejadah terbentang sebagai saksi
seorang pendosa merenung kehinaan diri.
Malam itu
hujan menutup tangis berderai
membasuh tanah pusara
yang baru terbuka menerima jasad muda.
Dia Sang Malam –
saksi kesunyian
saksi kealpaan
saksi derita yang tidak mampu diucap
saksi dosa yang cuba disembunyikan.
Dan malam terus berbicara
menceritakan riwayat hidup manusia
walau di bawah malam sama
namun hati berbeza rupa.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
