“AISYAH!”
Tiba-tiba kedengaran suara memanggilnya. Aisyah mengangkat muka, matanya mencari arah panggilan itu. Seorang wanita bertudung bawal ungu keluar dari sebuah kereta lama berwarna putih, sambil melambai dengan senyuman yang tidak berubah sejak dulu.
“Kavitha?” Aisyah terpegun seketika, seolah-olah tidak percaya. Dia melangkah laju, menuruni anak tangga rumah kayu berwarna biru muda itu. Mereka berpelukan. Bau sandalwood dan wangi rambut yang dikenalnya sejak zaman sekolah menyapa semula.
“Masya-Allah, Kavitha. Lama sungguh kita tak jumpa,” sapa Aisyah.
“Ya, Aisyah. Aku rasa macam mimpi dapat balik kampung. Aku rindu suasana ni, aku rindu mak, dan aku rindu kau,” Kavitha meluahkan perasaan.
Kata-kata itu membuatkan dada Aisyah terasa hangat. Sudah bertahun mereka terpisah selepas Kavitha berpindah ke Kuala Lumpur. Selepas sebuah kisah lama yang mereka sama-sama cuba lupakan.
Dulu sewaktu di tingkatan empat, mereka sangat rapat. Aisyah sering menumpang di rumah Kavitha selepas pulang dari sekolah. Mereka belajar, ketawa, bahkan berkongsi rahsia kecil gadis remaja. Tetapi semuanya berubah apabila suatu petang, selepas kelas tambahan, Aisyah tercedera ringan akibat terjatuh daripada basikal di hadapan kuil. Kavitha dan adiknya, Ravi yang menolong membawanya ke rumah menggunakan motor.
Kebetulan ketika itu orang kampung baru pulang dari surau. Banyak mata yang memandang penuh dengan prasangka.
Keesokan harinya, gosip merebak, “Aisyah dibonceng anak India, bercampur dengan orang bukan Islam, malu keluarga.”
Mak Aisyah yang uzur pada waktu itu menangis berhari-hari. Sejak hari itu, ayah Aisyah melarangnya ke rumah Kavitha. Dua sahabat itu berpisah tanpa sempat menjelaskan apa-apa. Ah, kejamnya!
Itulah peristiwa yang mereka cuba lupakan. Peristiwa yang menodai persahabatan mereka, bahkan mereka sama sekali tidak bersalah. Peristiwa yang memisahkan persahabatan mereka tanpa diberi kesempatan untuk membela diri.
Malam itu, mereka duduk di beranda rumah Aisyah, ditemani bunyi cengkerik dan angin malam. Lampu kalimantang menerangi beranda dan menampakkan dua wajah yang matang dalam usia lewat dua puluhan sedang rancak berbual. Dari rumah Kavitha di seberang jalan, kedengaran suara orang membaca mantera dan ketawa anak kecil bermain bunga api.
“Mak aku dah tak sihat sangat,” kata Kavitha, memegang cawan teh yang masih berasap.
“Aku balik sebab nak jaga dia. Dah lama sangat aku tinggalkan kampung ni,” tambahnya lagi.
Aisyah menatap wajah temannya yang sedikit cengkung.
“Mak aku pun makin lemah. Kadang-kadang aku rasa kita ni dah tua, Kavitha. Dulu kita sama-sama kejar pelangi, sekarang kita cuma menunggu hujan teduh,” ujar Aisyah.
Mereka ketawa kecil, namun di sebalik ketawa itu ada coretan yang tidak terucap. Mereka mengimbau zaman kecil, gembira berlari di sawah, menolong emak Kavitha menguli doh muruku, menyidai kain sari di pagar sambil berangan jadi pelakon Tamil.
Namun, di sebalik kenangan yang indah itu, ada luka lama yang masih membekas. Luka terhadap kepercayaan manusia yang melihat perbezaan warna kulit dan agama.
Sesungguhnya luka itu bukan sekadar fitnah, tetapi juga kerana Aisyah tidak sempat mempertahankan Kavitha di hadapan keluarganya. Kavitha pula membawa hati yang retak ke kota. Mereka saling menjauh, memendam kesedihan masing-masing selama bertahun-tahun.
Keesokan harinya, Aisyah ke pekan membeli gula dan minyak. Di tengah hiruk-pikuk pasar, matanya tertumpu pada papan tanda usang ‘KEDAI TEKSTIL SIVA’. Dia berhenti sejenak. Di situlah kenangan pahit itu bermula.
Dia ingat lagi, pada hari minggu itu, Aisyah, Kavitha dan Ravi singgah di kedai tekstil untuk memilih kain sari untuk persembahan tarian di sekolah. Cikgu Maimun meminta Aisyah menjadi penari utama kerana gaya lemah lembutnya. Tetapi sebaik sahaja gambar mereka bertiga dengan kain sari itu disiarkan di buletin sekolah, beberapa orang kampung tersalah faham. Mereka menuduh Aisyah memakai pakaian agama lain dan bergaul bebas. Ravi yang polos cuba menafikan, tetapi fitnah sudah menular.
Kedai tekstil itu menjadi saksi kepada permulaan retaknya hubungan antara dua keluarga yang dulu akrab, kemudian berpecah.
Dia melangkah perlahan ke dalam kedai. Bau kain baru dan kapur barus menyambutnya. Di sebalik kaunter, Ravi, adik lelaki Kavitha kelihatan sedang sibuk menyusun kain sari yang berwarna-warni.
“Ravi,” tegur Aisyah perlahan.
Ravi berpaling, teragak-agak sebelum senyum tipis. “Aisyah, kan? Dah lama betul aku tak nampak kau.”
Suara itu membawa kepada ingatan lama. Aisyah pernah menumpang motosikal Ravi sebaik pulang dari sekolah kerana hujan, tetapi fitnah bertebaran. Mendengar buah mulut orang kampung, ibu Aisyah jatuh sakit kerana malu. Sejak itu, ayah Aisyah melarang mereka berhubung.
Sebenarnya, hubungan Aisyah dan Ravi tidak pernah lebih daripada sekadar sahabat dan jiran. Tambahan pula, Ravi selalu membantu Aisyah dalam ulang kaji pelajaran matematiknya dan mereka berbicara tentang cita-cita. Menurut Ravi, suatu hari nanti dia mahu membuka kedai tekstil sendiri, Aisyah mahu jadi guru agama. Namun, manusia mudah mentafsir kebaikan dengan penuh syak wasangka.
Kini, setelah bertahun peristiwa itu berlalu, berdiri di hadapan Ravi membuatkan jantung Aisyah berdegup kencang. Bukan kerana cinta, tetapi kerana mengenangi peristiwa silam itu.
Ketika Aisyah keluar dari kedai itu, dia perasan dua wanita Melayu sedang berbual berhampiran tangga.
“Eh, itu Aisyah kan? Masih baik dengan keluarga India tu?”
“Ha, dulu pun macam-macam cerita pasal dia. Tak serik agaknya.”
Kata-kata itu mencucuk jantung Aisyah. Dia melangkah cepat, menahan sebak di dada.
Di rumah, dia termenung lama di beranda. Dari pekarangan rumah Kavitha, kelihatan pelita menyala terang, memantulkan cahaya ke jendela rumahnya. Bau colok bercampur wangi bunga melur mengisi udara. Dalam hening itu, Aisyah teringat kata-kata ayahnya dahulu.
“Berhati-hatilah berhadapan dengan masyarakat yang tidak faham dengan agama. Macam-macam fitnah boleh berlaku,” ujar ayah.
Namun, pada malam itu, Aisyah cuma rasakan rindu dan kehilangan sesuatu yang pernah lahir dalam hatinya.
Keesokan paginya, Kavitha datang membawa bungkusan kain. Warna jingga keemasan berkilau di bawah cahaya matahari.
“Aku belikan ni untuk kau,” katanya dengan nada ceria.
“Aku nak kau pakai masa datang rumah aku Deepavali nanti. Sama-sama kita makan muruku macam dulu,” ujar Kavitha.
Aisyah memegang kain itu. Jari-jarinya bergetar.
“Kavitha, aku tak boleh terima ini. Dan aku tak boleh datang. Nanti orang kampung akan tuduh apa-apa pula. Aku takut,” suara Aisyah sedih.
Lama Kavitha terdiam sebelum bertanya, “Kau takut pada siapa, Aisyah? Pada Tuhan, atau pada manusia?”
Aisyah tunduk. “Aku cuma tak nak menyusahkan sesiapa. Aku tahu orang kampung masih ingat kisah lama.”
Kavitha tersenyum hambar. “Aisyah, sejak kecil aku belajar satu perkara. Apabila cahaya datang, dia tak pilih rumah siapa untuk singgah. Kalau kita halang cahaya, kita sendiri yang tinggal dalam gelap.”
Kavitha beredar dari rumah Aisyah dengan membawa pulang semula kain sari tadi.
Air mata Aisyah menitis tanpa sedar. Dia memeluk Kavitha lama. Dalam pelukan itu ada keikhlasan yang tidak pernah berubah, walau masa dan agama memisahkan mereka.
Pagi Deepavali, Kampung Bukit Tebu hidup dengan penuh kemeriahan. Bau kari, manisan dan bunga melur memenuhi udara. Dari jendela, Aisyah memerhati rumah Kavitha yang meriah dengan kehadiran tetamu. Baju-baju berwarna terang berkilauan di bawah cahaya matahari, suara kanak-kanak bergema dan muzik Tamil lama berkumandang.
Aisyah memandang ke arah rumah Kavitha. Dalam hatinya, ada keinginan untuk melangkah ke rumah Kavitha, tetapi bayangan tohmahan orang kampung selama ini menahannya untuk pergi. Dia hanya mampu menatap dari jauh, menunggu keberanian timbul.
Menjelang senja, bunyi riuh di seberang jalan bertukar kecoh. Aisyah mendengar jeritan nyaring, kemudian suara tangisan. Tanpa berfikir, dia berlari keluar.
Kavitha terbaring di tangga rumahnya. Wajahnya pucat, matanya separuh terbuka. Emaknya menjerit minta tolong. Orang kampung berdiri di sekeliling, ada yang serba salah, ada yang sekadar menonton.
Menurut emaknya, Kavitha sebenarnya menghidap penyakit jantung kronik sejak setahun lalu. Penyakit itu sengaja disembunyikannya daripada Aisyah. Petang itu, ketika sedang menyalakan pelita di tangga rumah, dadanya sesak dan tubuhnya rebah tanpa sempat bersandar.
Pada mulanya, tiada siapa yang berani mendekatinya kerana masih ramai yang memandang keluarganya dengan prejudis.
Dengan pantas Aisyah menolak mereka, berlutut di sisi sahabatnya. Dia mendukung kepala Kavitha ke pangkuannya.
“Kavitha! Kau dengar aku? Kau jangan tinggalkan aku, Kavitha!”
Kavitha membuka mata perlahan, senyum tipis tersungging di bibirnya. Dalam genggamannya masih ada sehelai kain sari jingga.
“Aisyah, kalau aku tak sempat, kau jahitkan ni, pakai masa aku balik nanti,” suaranya kedengaran lemah.
Aisyah menggenggam tangannya erat. Namun perlahan-lahan genggaman itu makin longgar. Angin petang bertiup kuat, memadamkan pelita-pelita di halaman rumah. Dalam remang kegelapan itu, hanya tangisan Aisyah yang tinggal.
Beberapa hari kemudian, kampung kembali sunyi. Rumah Kavitha lengang, tirai ditutup rapat. Bau colok masih terawang-awang di udara, bercampur dengan sisa wangi bunga melur yang layu.
Aisyah duduk di beranda rumahnya sambil memeluk kain sari yang sudah dijahit menjadi sepasang baju kurung moden. Warna jingga keemasan itu kini kelihatan redup, seperti menyerap kesedihan yang ditinggalkan.
