Peluh yang membasahi tubuh makin menggiatkan larian Laika. Ada lagi beberapa minit sebelum dia boleh mencapai sasaran lariannya untuk hari ini. Rutin setiap tiga hari dalam seminggu agar dapat mengikuti rekomendasi sang guru amalan gaya hidup sihat. Itu pun dia kutip maklumat rekomendasi dari atas talian. Kalau bukan artikel pembacaan percuma, UTube dan ThikThok kan ada. Tetapi bagi Laika secara peribadi, dia lebih gemar merujuk UTube dan artikel atas talian percuma. Tenang sedikit fikiran dan emosi daripada perlu berserabut melihat sohor kini yang kadang kala boleh menghakis kepercayaan pada hidup sendiri, sejujurnya.
Laika memperlahankan larian. Nafas diambil sambil ibu jari lincah menggerakkan paparan skrin senarai main lagu dalam aplikasi Spotifi akaun miliknya. Setelah bulat hatinya memilih lagu Linkin Park Leave Out All The Rest, dia menyambung semula larian pecutan yang terakhir untuk petang itu. Setiap langkah lariannya bergerak seiring dengan dentuman rentak lagu yang membawa makna tersendiri apabila dia semakin berada di penghujung lagu. Kalau diikutkan hati, semahunya dia ingin terus berlari tanpa perlu berhadapan dengan apa yang dikatakan oleh orang sebagai cabaran dan ujian hidup. Dia ingin rasa bebas di hati tanpa perlu terikat dengan sesuatu yang sering meresahkan.
Hal apakah yang meresahkan hati Laika? Sebaik sahaja aktiviti riadahnya tamat nanti, dia perlu kembali ke realiti alam pendewasaan. Sedalam mana pun pengharapannya agar aktiviti riadah ini dapat menjadi sebuah eskapisme yang bertahan lama, hidup harus diteruskan dan Laika perlu berlapang dada menerima sebarang bentuk yang datang secara tiba-tiba dalam roda hidup ini. Ada masa dia akan menjadi baik-baik sahaja, ada masa dia sering mempersoalkan kemampuan diri di saat sesuatu perkara berlaku di luar kawalannya. Sama ada tanpa ditunggu olehnya untuk terus-menerus menyalahkan diri sendiri, ataupun bergelut menahan amarah yang keliru antara menjaga hati sendiri mahupun orang lain.
‘Alih-alih boleh isytihar perang dunia ketiga sendiri, kerana setiap daripada kita mempunyai pertempuran tersembunyi dalam diam terhadap diri sendiri dan dunia luar,’ detik hati Laika yang kini sudah menuju ke ruang penyimpanan di taman rekreasi itu.
Di sekitar kawasan ruang penyimpanan atau nama lainnya ialah lokar, Laika melihat beraneka reaksi wajah manusia yang saling mengekspresikan diri mereka. Ada yang tersenyum dan tertawa gembira sambil membantu anak kecil mereka mengambil barang dari lokar, ada yang hanya memandang lokar dengan wajah polos tidak berperasaan bersebelahan lokar milik Laika. Dia tersenyum nipis kerana Laika semacam dapat meneka apa yang berlegar dalam ruang fikiran lelaki berwajah polos itu.
Laika turut termenung melihat lokarnya sambil cuba mengingat urutan nombor kunci. Tepat pada masanya, pemain lagu dan jam pintar menghantar notifikasi tamat sesi riadah dan dia perlu kembali ke realiti. Berkat melihat paparan nombor pada jam tangan, otak Laika segar-bugar mengingati nombor kunci lokar. Meskipun begitu, dia mengambil masa untuk kembali merenung lokarnya sebelum disapa oleh suara garau di sebelahnya. Oh, terlupa. Ada jiran pula rupanya.
“Sedang memikirkan apa itu?”
Kalau mengikut respons kebiasaan acuan tempatan gadis Nusantara, sepasang matanya cukup sekadar melirik dan tersipu malu. Sebaliknya pula berlaku. Keningnya terangkat meminta kepastian pengulangan soalan mesra alam sang jiran. Lelaki polos itu kini sedang sibuk mencabut fon telinga dan memakai topi baharu bagi menggantikan topi basah lencun berwarna kelabu. Sementara itu juga, dia mengeluarkan sesuatu yang membantutkan pemikiran Laika sama ada perlu jawab atau tidak persoalan awal lelaki tersebut.
Laika mengerutkan dahi lagak orang tua berkerut seribu. Dia terkesima melihat bagasi lelaki polos itu. Bagasi berwarna hitam bermotifkan ukiran sulur dan bunga periuk kera serta lingkaran bunga ros hitam. Laika bermonolog dalam hati kerana bukan calang-calang ukiran bagasi lelaki itu. Hendak dijadikan cerita sebuah syarikat telah memperkenalkan konsep baharu dalam mengawal emosi melalui penciptaan bagasi mesra emosi. Aneh sekali pada awalnya namun ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Terutama sekali bagi mereka yang dianggap sebagai seorang penuh emosi, ataupun nama jolokan masyarakat biasa adalah sensitif. Seorang sensitif yang sering disalah anggap ramai – tidak betah menahan ujian kehidupan, tidak teguh menerima ‘kritikan membangun’ sekeliling mereka – Sehingga mereka sendiri mengambil keputusan untuk membeli bagasi inovatif tersebut, dengan harapan agar mereka dapat mengurangkan ledakan emosi yang dihadapi selama ini.
Kerana bagi dunia negeri unik ini, bagi terlihat kuat dan ampuh engkau tidak boleh menjadi sensitif, penuh beremosi. Lemah namanya.
Lalu, bermacam rupa bentuk bagasi telah dihasilkan. Daripada yang bersaiz kecil, sederhana dan besar, ia datang dalam pelbagai bentuk kecuali pengkhususan tiga warna sahaja; hijau zamrud, biru diraja dan hitam kelabu. Bagasi berinovatif itu telah didigitalisasikan secara biometrik melalui aliran renjatan elektro emosi yang mengalir dari jemari tuan empunya badan. Cara seseorang itu boleh memindahkan emosi mereka pada bagasi itu, mereka cuma perlu menekan punat penyedut emosi pada tepi badan bagasi dan segera memegang pemegang bagasi yang mesra elektron badan. Bagi kebanyakan masa, salah satu petanda emosi seseorang berjaya dipindahkan pada bagasi apabila pelbagai rantaian halus berwarna-warni yang mewakili jenis-jenis emosi menonjolkan diri mereka pada paparan segi empat kecil digital automasi permukaan bagasi. Dari menjadi satu konsep khusus untuk kelompok tertentu, lama-kelamaan bagasi inovatif ini menjadi hal sohor kini dalam kalangan masyarakat yang ingin mencuba-cuba keunikan pengalaman perpindahan emosi.
Sehinggalah laporan penemuan baharu bagasi penuh beremosi itu mengakali kedua-dua syarikat penghasilan dan pemiliknya sendiri. Kebelakangan ini banyak laporan yang menyatakan penyatuan emosi dalam bagasi itu telah menghasilkan ukiran sendiri tanpa bantuan teknologi sains. Perkara yang menggusarkan ramai adalah ukiran mewakili campuran emosi itu menampakkan dirinya pada badan bagasi. Seakan-akan bagasi itu tidak terhad dikenali sebagai hasil inovatif terhebat rakyat negeri unik itu. Malah, bagasi itu menjadi sang pelukis secara terus dalam menterjemah pengalaman hidup si tuan empunya badan. Menurut arus normalisasi acuan masyarakat, siapa sahaja suka dan terbuka untuk membiarkan sebuah ciptaan akal pintar manusia memaparkan secara terus pengalaman hidup sendiri
Kerana kita sudah terbiasa mengekspresikan diri dan emosi sendiri dari pengalaman kehidupan pelbagai dengan menggunakan, mengenakan atau memiliki barangan materialistik yang indah-indah belaka. Nilai estetika yang menunjukkan sebuah pelepasan diri seseorang dari realiti sebenar kehidupan mereka. Siapa sahaja tidak suka dengan perkara indah-indah, bukan? Sekurang-kurang dengan memiliki, menggunakan atau mengenakan barangan materialistik penuh estetika dan fungsionalnya, ia dapat memberikan satu tanggapan perasaan bahawa semua akan baik-baik sahaja.
Sehingga Laika termasuk dalam golongan menidakkan kehadiran emosi sendiri yang perlu menerima padahnya bergantung harap dengan sebuah bagasi bernama emosi.
“Cantiklah bagasi kamu tu.” Dan marabahaya petandanya kamu ini, getus hati kecil Laika.
Nasiblah dia belum mengambil bagasi kecil berwarna hijau zamrudnya dari lokar. Berbeza pula dengan lelaki itu, riak wajahnya memberi respons terkejut beruk berbaur kegembiraan. Lagaknya seperti baru mendengar kata-kata sanjungan daripada seorang guru kepada anak muridnya yang berjaya menaikkan markah subjek yang kurang digemari. Giliran lelaki itu pula untuk ikut terkesima dengan sedikit terlopong bibirnya.
“Kalau mahu berkenalan pun, terus terang sahajalah.”
Eh. Tiada ribut tiada angin, terus dicakapnya orang macam itu. Mentang-mentanglah orang puji ukiran bagasinya cantik, terus mengambil kesempatan betul. Laika di sebalik lokar sedang menahan rona merah di pipi gebunya. Mengingat kembali mengapa juga diri sendiri merespons sedemikian rupa, kepalanya dipukul sedikit bagi meraih logik akal yang hilang sekejap. Laika memilih untuk senyap dan melemparkan senyuman berupa sengihan kambing kepada lelaki itu.
Laika tahu benar apa maksud di sebalik ukiran sulur dan bunga periuk dengan lingkaran bunga ros hitam pada bagasi lelaki yang tidak lagi polos itu. Tubuh yang sudah kering dari peluh larian seperti ingin kembali berkeringat atas sebab perasaan gementar yang dirasai. Laika cuba untuk menenangkan diri dengan melakukan teknik pernafasan betul bagi mengawal tanda-tanda serangan keresahan. Lelaki itu seorang pencinta wanita yang gagal total. Nama lainnya, sang pematah hati budiman.
Laika sengaja menganginkan pelawaan salam perkenalan lelaki itu meskipun hatinya dibentak oleh rasa ingin tahu yang menggunung tinggi. Bukan selalu engkau nampak orang berbagasi emosi dengan ukiran sebegitu. Kebanyakan daripada penduduk negeri unik itu sangat berhati-hati sejak ketahuan bagasi beremosi mereka boleh membuat lakaran sendiri tanpa dipinta.
Tetapi lelaki yang tidak lagi polos wajahnya selepas dipuji itu berjaya menyebabkan Laika menentang arus rasionalisasi perdebatan kata hati dan mindanya. Sekejap lagi, dia dahulu yang perkenalkan nama penuh Laika Lainan-nya kepada lelaki bernama Devyn Poeti itu.
“Bagasi kamu itu, bukan selalu orang nampak. Unik bagi saya.”
Kejujuran Laika meninggalkan rona merah pada telinga Devyn. Dia tersipu malu sehingga terlupa untuk menutup bagasi sendiri dengan kain penutupnya. Hal ini kerana ia pertama kali seseorang tidak menghakiminya terus berdasarkan apa yang dilihat pada bagasi emosinya. Disebabkan itu juga, hati Adamnya terjentik untuk mengetahui lanjut persepsi gadis bernama Laika itu terhadap pengalaman hidupnya yang sering disalah erti sebagai hodoh, kejam dan bermacam nista berdusta.
“Saya suka pada keyakinan kamu, tetapi saya tidak boleh menipu diri daripada persoalan ini.”
Giliran Devyn pula tersentak melihat bagasi beremosi Laika yang datang dalam bentuk bujur melintang dan sederhana warna hijau zamrud. Ukiran motif pada bagasi Laika adalah pusaran ombak berbuih yang beradu tempat dengan lahar api berwarna hijau muda. Terdapat taburan tapak sulaiman mirip bintang di langit mengelilingi paparan automasi segi empat panjang bagasinya. Laika tertawa kecil melihat reaksi spontan Devyn.
“Persoalan apa pula yang sedang berlegar di ruang fikiran kamu? Tentu sibuk dan sesak diminta-minta untuk diluahkan,” balas Laika sambil berjalan menghampiri Devyn selepas mengunci pintu lokar.
Langit petang belum mahu menunjukkan tanda-tanda ingin melabuhkan tirai persembahan watak hari siang. Alam seperti memahami ruang kesempatan antara dua jiwa yang tersilap catur meletak kepercayaan pengendalian emosi mereka pada sebuah bagasi. Lalu, kedua-dua mereka memutuskan untuk jalan beriringan ke kawasan parkir kereta dengan saling bertukar cerita.
“Selalunya orang akan memandang saya jelik kerana tanggapan mereka kepada saya adalah sang pematah hati budiman. Cowok yang gemar memainkan perasaan wanita padahal saya hanya berpegang pada prinsip ingin bersahabat baik dengan bertutur secara sopan dan santun seperti yang dididik oleh orang tua saya tanpa mengira jantina. Kalau benar tohmahan tulisan ramai yang mengatakan simbol saya ini seorang buaya darat konon, mungkin pada kegagalan hati sendiri dalam mengenal pasti tanda-tanda jelas seorang gadis yang jatuh suka pada saya. Kalau kisah saya ini diibaratkan sebagai sebuah lagu, lagu Pencinta Wanita oleh Irwansyah adalah runut bunyi asal telefilem saya.”
Laika tertawa mendengar penyataan terakhir Devyn. Suasana resah dan hiba tadi bertukar musim menjadi mekar kebahagiaan.
“Saya pula…” Laika kelihatan gusar dan kurang yakin untuk bertukar giliran ceriteranya.
Mereka berdua semakin menghampiri ruang legar parkir yang semakin lengang. Devyn di sebelah sabar menunggu perkongsian Laika. Langkah dihentikan dan pemegang bagasi dilepaskan. Devyn berpeluk tubuh sambil menguntumkan senyuman manis. Selang beberapa langkah, baru Laika turut serta melepaskan pemegang bagasi dan menoleh ke belakang melihat keberadaan Devyn. Pandangan mata lelaki itu halus dan redup, serta menggalakkan perasaan tersentuhnya hati manusia yang diuji pelbagai cabaran generalisasi anak muda Asia.
“Mesti berat kamu menanggung tanggungjawab itu, bukan?” titipan pesan Devyn meruntuhkan sedikit tembok kekuatan anak perempuan sulung dalam diri Laika.
Jika orang lain memandang enteng terhadap bagasi lingkaran flora Devyn, ukiran bagasi hamparan ombak yang saling bertingkah dengan lahar api Laika mendapat pujian dan sanjungan ramai. Tingkap mata Laika galak memancarkan teduhan seorang anak yang letih menjadi perisai, idola dan teladan ramai sehingga dia kehilangan memaknai diri sendiri. Dari menjadi anak patung kertas, anak piala kebanggaan, anak sokongan orang tuanya serta lain-lain peranan anak boneka sebelum mereka menekan punat ‘cukup’. Voila! Terimalah persembahan realiti sebenar tanpa lakonan olok-olokan.
Laika hanya mampu tersenyum nipis, namun cukup tajam dan dalam bagi mereka yang berkongsi perasaan dan sepengalaman dengannya. Devyn akur dengan bahasa tubuh Laika. Lagipun Devyn yakin masa tidak akan mencemburui mereka terus kerana masih jauh lagi perjalanan untuk mengenali hati budi masing-masing kalau dia tidak bertindak segera bagi mendapatkan cara menghubungi Laika selepas sesi riadah ini. Eh.
“Kalau mahu berkenalan lebih pun, usahlah bermain dengan ruang legar fikiran sendiri,” usik Laika sebelum berjaya bertukar nombor telefon dengan Devyn yang kembali kemerah-merahan rona telinganya. Lalu berkat penciptaan dan penemuan dua bagasi bernama emosi, jalinan kisah dua insan berbeza perjalanan dan pengalaman hidup menjadi satu sejarah yang bakal terlerai dalam persembahan olokan ruang legar tersendiri.